Saturday, November 14, 2009

Multum in parvo!


Sesuatu mungkin dilihat kosong tanpa sebarang makna
sedang sebenarnya mengandungi cerita yang tersirat.
Sekeping gambar biasa mungkin membawa sejuta pengertian.
Rakaman lensa PZ di Selancar, Rompin. Mac 2008.



Ingin PZ kongsi satu kes yang PZ kendalikan pada hari Rabu, 11 November yang baru lepas. Seorang siswi, yang memang langsung PZ tidak kenali, dengan ditemani seorang siswi lain, dan tanpa sebarang temujanji, serta dengan seribu tanda tanya di wajah, menanti untuk berjumpa PZ di pejabat pada tengah hari tersebut. Pada awalnya PZ memang agak terganggu, memandangkan PZ tidak diberitahu dahulu, dan kebetulan pula PZ baru selesai mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada sebelah paginya. Minda PZ telah diprogramkan untuk menyemak coretan minit dan dokumen lain berkaitan mesyuarat tersebut pada sebelah petang.

PZ terima kedua-dua siswi tersebut untuk satu perjumpaan singkat. Mendengar cerita yang menghantui pelajar tersebut dan kecelaruan yang dihadapinya kini, timbul rasa simpati dan ingin membantu. Siswi ini telah menjadi mangsa sindiket yang berselindung di sebalik promosi 'Privillege Card'. PZ tidaklah ingin menamakan syarikat yang mendalangi sindiket ini, tetapi siswi ini tertekan dengan 'tuntutan-tuntutan bayaran' daripada syarikat kad ini. Kerana terpedaya dengan pakej yang 'ditawarkan' termasuklah potongan harga tiket penerbangan, siswi ini yang berasal dari Sabah telah membayar sejumlah wang kepada seorang ejen kad ini ketika promosi di Kuantan Parade pada tahun 2006. Siswi ini telah diyakinkan oleh ejen ini bahawa bayaran yang telah dijelaskan itu adalah sekali sahaja tanpa sebarang caj lain.

Disangkakan kisah ini berhenti setakat itu sahaja, siswi ini terkejut besar menerima bil tuntutan daripada syarikat terbabit lewat minggu lalu yang menuntut baki bayaran yuran kad yang tertunggak. Tambah mencemaskan siswi ini, ejen syarikat ini membuat panggilan telefon dan mengancam untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya bayaran yang tertunggak tersebut tidak dijelaskan. Ejen syarikat tersebut juga cuba mendapatkan nombor telefon bapa siswi ini, tetapi tidak dilayan.

Simpati dan kasihan. Pelajar ini telah terdesak untuk memohon bantuan dan seperti biasa PZ berikan nasihat undang-undang sebagaimana yang  diminta. PZ berhasil melayari laman sesawang syarikat terbabit dan PZ dapati laman tersebut telah lebih setahun tidak dikemaskini. Bentuk perniagaannya juga meragukan dan PZ percaya ini adalah salah satu daripada banyak pemangsa yang mensasarkan golongan pelajar dan orang yang tidak faham untuk mendapatkan wang segera.

Pelajar ini PZ bantu untuk menghubungi pusat aduan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur dan Alhamdulillah, panggilan dijawab dan aduan siswi tersebut dilayan dengan baik sekali. Walaupun masih berdebar-debar, terpancar sedikit kelegaan pada wajah siswi itu dan pihak PPIM dan PZ sependapat menyarankan supaya beliau membuat satu laporan polis. Mana tahu, satu sindiket lagi dapat dibongkar!

Kebetulan pula, selesai aduan kepada PPIM, dan sebelum siswi tersebut permisi dari pejabat PZ, ejen syarikat tersebut sekali lagi menghubungi siswi itu dan kali ini PZ berjaya mencelah. Ejen tersebut gagal menjawab apabila ditanya nama firma guaman yang mewakili syarikatnya. Tuntutan saman tidaklah boleh dibuat dengan mudah tanpa bantuan firma guaman. Nyata sekali, ini SYARIKAT PENIPU!

Apa iktibar daripada kes ini?

1. Orang ramai, termasuklah pelajar janganlah mudah terpedaya dengan promosi kad diskaun, privillege card dan seumpamanya;

2. Jika telah mula was-was, lekas-lekas elakkan diri daripada didatangi oleh ejen kad;

3. Jangan tandatangani apa-apa dokumen kosong;

4. Jangan tandatangani apa-apa dokumen tanpa membaca isi kandungannya terlebih dahulu;

5. Berani mengatakan TIDAK!


Ini kali kedua dalam tempoh kurang sebulan, PZ mengendalikan dua aduan yang berkait rapat dengan kebajikan dan kesejahteraan pelajar. Walaupun tidak tertulis sebagai sebahagian tugas rasmi, namun PZ bantu atas dasar kemanusiaan, simpati dan tanggungjawab sebagai seorang staf Universiti ini.

Namun, sebagaimana yang PZ pernah utarakan dalam entri SRO sebelum ini, telah tibalah masanya untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) memperkasa dirinya dengan mewujudkan sistem pengurusan aduan yang teratur dan boleh dimanfaatkan oleh para pelajar. Entah bila agaknya pengwujudan jawatan SRO akan dipertimbangkan oleh pihak atasan, namun sesuatu yang proaktif perlu diilhamkan oleh para pimpinan pelajar kita untuk mengisi ruang kosong ini.

Memanglah, MPP tidak akan berupaya menyelesaikan masalah seumpama ini, tetapi organisasi utama pelajar ini perlu memperlihatkan peranannya sebagai medan saluran aduan dan masalah yang BOLEH DIPERCAYAI (trustworthy) oleh para pelajar kita. MPP perlu mewujudkan rangkaian kerjasama yang baik dengan organisasi pengguna seperti FOMCA, PPIM, Tribunal Tuntutan Pengguna dan seumpamanya bagi membolehkan aduan berkaitan dapat diuruskan dengan sempurna. Cuba bayangkan betapa tingginya impression pelajar dan massa sekiranya fungsi ini dapat diperanankan dengan berkesan oleh MPP. Selain mendekati tokoh-tokoh politik, MPP juga perlu mendekati tokoh-tokoh dan organisasi kepenggunaan supaya rangkaian kerjasama yang PZ nyatakan tadi dapat dimaknakan. Dalam sudut yang lain pula, pelajar akan melihat bahawa MPP mengutamakan agenda kebajikan dan pembelaan. PZ percaya, banyak lagi kes lain yang melibatkan pelajar kita selain dua kes yang PZ kendalikan ini. Jadi, act, do not just talk!

MULTUM IN PARVO. Frasa bahasa Latin yang membawa makna "banyak dalam sedikit" atau much in little. Satu inisiatif atau perbuatan yang mungkin melibatkan kos yang sedikit tetapi memberi impak besar. Itu lebih baik daripada berbelanja besar dan mewah atas sesuatu perkara, tetapi impaknya langsung tiada, atau jika adapun hanya memanfaatkan puak atau individu tertentu sahaja. Apa yang PZ sarankan dalam entri ini mungkin nampak remeh dan enteng di mata teman-teman, namun ingatlah bahawa dalam kita memikirkan yang besar-besar, perkara-perkara kecil jangan pula dikesampingkan kerana perkara-perkara kecil biasanya memberi impak kepada perkara yang lebih besar. Lebih-lebih lagi jika kita hanya beretorik terhadap perkara-perkara besar, sedangkan ada perkara-perkara kecil yang boleh diselesaikan dalam bidang keupayaan kita. Pendekatan seimbang dan menang-menang adalah amat penting dalam kepimpinan. Menjadi pemimpin jangan disalah niatkan untuk mencari publisiti dan populariti, tetapi hadirnya seseorang pemimpin adalah kerana amanah dan tanggungjawab.

Dalam satu ceramah mengenai kepimpinan, pernah PZ ingatkan pada sekumpulan pimpinan pelajar bahawa mereka perlu stand out from the crowd untuk mengemukakan gaya kepimpinan yang kreatif, praktikal dan tidak streotaip. Dalam zaman serba canggih ini, wibawa seorang pemimpin tidak lagi terpancar oleh hebatnya beliau berpidato semata-mata, tetapi lebih dilihat pada keberkesanan dan profesonalisme tindakannya. Dinamika tindakannya pula hendaklah merentasi generasi dan tidak hanya relevan untuk zamannya sahaja. Itulah tanda kebijaksanaan, wawasan dan jiwa besar seorang pemimpin.



  

Sunday, November 8, 2009

Habis gelap terbitlah terang...


Raden Adjeng Kartini (1879 - 1904).
Sesingkat hayatnya selama 25 tahun, puteri bangsawan Jepara ini
mencabar status quo zamannya dengan pelbagai idea pencerahan.
Dengan coretan penanya, wanita ini berjuang memperbaiki kondisi masyarakatnya
dengan daya kesarjanaan yang tinggi. Habis gelap terbitlah terang merupakan
antara karya Kartini yang paling berpengaruh
(Foto dipetik dari http://open-trace.net/)

Satu lagi hujung minggu yang mendung di sini. Musim tengkujuh mengiringi kehadiran November 2009. Hujan mula mencurah seawal 1 November dan tika entri ini ditulis pun, saudara-mara kita di Kelantan dan Terengganu sedang meranduk keruh air bah. Agak awal bah melanda tahun ini kerana seingat-ingat PZ, curahan hujan yang paling banyak ialah pada Disember dan lazimnnya bah akan hanya bermula pada pertengahan bulan tersebut. Walau apa pun, pastinya ada hikmah di sebalik tengkujuh yang begitu awal bermula ini. Hikmah, iktibar dan peringatan daripada Maha Pencipta supaya kita jangan lekas leka dan alpa.

Kekosongan jadual pada hujung minggu ini PZ isi dengan membedah beberapa buah karya. PZ selesaikan bacaan Sejarah Melayu dan kemudian meneliti biografi beberapa tokoh dengan tujuan mendapatkan ilham bagi entri kali ini. Peluang untuk membedah beberapa karya dalam satu hujung minggu jarang-jarang dapat PZ lakukan lantaran kesibukan tugas, namun minggu ini berhasil juga dibuat memandangkan pelajar-pelajar PZ mula menghadapi peperiksaan, maka tiada lagi nota kuliah yang perlu PZ sediakan.

Habis gelap terbitlah terang merupakan sebuah karya besar seorang wanita yang dinobatkan sebagai salah seorang Tokoh Nasional di Indonesia. Raden Adjeng Kartini (Kartini), nama yang mungkin kurang dikenali di Malaysia, tetapi cukup berpengaruh di Republik Indonesia. Nama Kartini di Malaysia hanya disebut secara ringkas dalam sukatan pelajaran Sejarah bagi SPM, sedang pada hakikatnya nama ini cukup besar di zamannya. Hebatnya Kartini, tarikh lahirnya pada 21 April 1879 diraikan saban tahun sebagai Hari Kartini yang merupakan cuti umum di Indonesia sejak tahun 1964. Wajahnya juga menghiasi salah satu not kertas matawang Rupiah Indonesia. Kisahnya juga diangkat ke layar perak melalui filem RA Kartini, arahan sutradara Sjumandjaya yang menggondol anugerah Piala Citra tahun 1983.
(Lihat bagaimana teman-teman kita di Indonesia mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh nasional melalui layar perak, tidak seperti di Malaysia, begitu sedikit filem sejarah yang dihasilkan, akhirnya filem yang sama diulang tayang setiap kali sambutan kemerdekaan. Indonesia mungkin miskin harta, tetapi kaya dengan keperibadian nasional, manakala kita mengaku kaya hasil ekonomi tetapi cukup miskin dengan apresiasi terhadap sejarah tanah air.)



Wajah Kartini diabadikan pada setem peringatan khas Republik Indonesia
sempena ulang tahun ke-100 kelahirannya.

PZ tergerak untuk berbicara mengenai Kartini atas tiga asas. Pertama, hayatnya yang singkat. Kedua, sumbangan besarnya terhadap idea pencerahan di Indonesia sewaktu hayatnya yang singkat itu. Ketiga, intelektualisme yang ada padanya, apatah lagi sebagai seorang wanita yang dilatari zaman imperialisme Belanda dan masyarakat yang kolot. Justeru bagi PZ, Kartini ialah ikon kesarjanaan seorang anak muda.

Dibesarkan dalam keluarga bangsawan di Jepara, Jawa, Kartini berpeluang menikmati kemudahan persekolahan sehingga usianya 12 tahun. Seorang gadis yang pintar, beliau menguasai bahasa Belanda
dengan baik sekali, satu kelebihan yang membolehkannya mendampingi karya-karya besar dalam bahasa tersebut yang turut memberi pengaruh dalam idea pencerahan beliau. Maka tidak hairanlah, belum pun usianya menjangkau 20 tahun, karya-karya seperti Max Haveelar, De Stille Kracht dan Die Waffen Nieder! yang mencakupi pelbagai tema, isu dan persoalan telah usai ditekuni Kartini. Pada waktu tersebut, Kartini belajar secara sendirian di rumah setelah tamat pendidikan formalnya. Adat yang diwarisi keluarganya memerlukan beliau di'istirehat'kan di rumah sebelum dikahwinkan.

Melalui surat-surat diutuskan kepada rakan-rakan penanya yang terdiri daripada pelbagai bangsa, Kartini menyuarakan protesnya terhadap adat-adat yang mengongkong, penyalahgunaan agama bagi tujuan politik serta idea penambahbaikan terhadap status sosial wanita dan masyarakat tempatan, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan seumpamanya. Idea-idea beliau tentang Zelf-ontwikkeling, Zelf-onderricht, Zelf-vertrouwen, Zelf-werkzaamheid dan Solidariteit didasarkan kepada aliran humanitarianisme dan nasionalisme.

Kepintaran dan intelektualisme beliau yang tinggi telah menarik perhatian pemerintah Belanda untuk mengirim Kartini dan adiknya Rukmini melanjutkan pengajian ke Batavia (kini Jakarta) dan ke Netherlands, satu impian yang dicita-citakannya selama ini, tetapi sayangnya tidak kesampaian kerana beberapa sebab. Perkahwinannya sebagai isteri keempat kepada Raden Adipati Joyodiningrat, seorang bangsawan wilayah Rembang di Jawa, merupakan salah satu sebabnya.

Kematian Kartini pada usia 25 tahun tanggal 3 September 1904 adalah satu kehilangan yang amat besar. Sesingkat usianya, ketokohan, kewibawaan dan kesarjanaan Kartini wajar diteladani generasi muda hari ini. PZ yakin, hatta para mahasiswa kita pun tidak dapat menandingi kehebatan minda Kartini, khususnya dalam aspek pembacaan, penerokaan ilmu dan pengembangan idea. Kartini tidak pernah belajar di mana-mana universiti, namun idea dan mindanya meninggalkan pengaruh yang tidak sedikit kepada kondisi sosial yang melatari zamannya. Seawal usia 20'an, Kartini telah dapat berbicara sebagai seorang yang berjiwa besar, khususnya dalam ehwal pendidikan, ekonomi dan politik. Berapa ramai kalangan mahasiswa kita yang menghuni 20 buah universiti awam yang dapat mencapai tahap ini?

Kiranya ada masa dan kesempatan, PZ kadangkala menonton juga program bual bicara Suara Siswa di TV1 setiap Selasa malam. Maaf, tapi terpaksa juga PZ katakan bahawa sangat sedikit dalam kalangan pimpinan mahasiswa yang diketengahkan dalam program tersebut yang berupaya berbicara atas idea yang tulen, wibawa yang tersendiri dan kesarjanaan yang tinggi. Kebanyakannya hanya beretorik, sekadar ikut-ikutan dan hanya tahu memetik mutiara kata daripada sumber itu dan ini TANPA sebarang idea baharu yang menggambarkan jiwa besar seorang mahasiswa.

Kadang-kadang PZ hampir tergelak melihat sesetengah pimpinan mahasiswa yang ditampilkan melalui program bual bicara tersebut 'buat-buat pandai' dengan membawa fakta yang diragui kesahihannya, mengemukakan ulasan dangkal, dan hanya bercakap dari sudut pandang tunggal, tanpa melihat aspek-aspek lain. Maka tidak hairanlah, kenapakah generasi mahasiswa hari ini amat lesu tanpa sebarang jenama yang boleh dibanggakan kerana mereka hanya selesa menjadi pengikut kepada 'jerung-jerung' politik di luar atau sekadar selesa bersukaria tanpa mempedulikan apa-apa, sedang kewajipan besar menanti mereka di lapangan masyarakat apabila bergraduat kelak.

Dengan ringkas kisah Kartini PZ paparkan dalam entri kali ini untuk membuka mata teman-teman mengenai keperluan untuk terus bermujahadah bagi meningkatkan tahap penguasaan ilmu dan pengetahuan. Semakin banyak kita membaca, belajar dan meneroka, semakin sedarlah kita bahawa betapa luasnya ilmu Allah dan betapa kerdilnya kita. Kepada para mahasiswa, papara dalam entri ini adalah satu cabaran untuk ada bermuhasabah. Apakah anda sebenarnya layak berada di tempat pengajian kini atau sebenarnya anda telah mengambil tempat orang lain yang lebih layak?

Menutup entri ini, PZ teringat kata-kata Kartini, "agama sepatutnya melindungi kita daripada melakukan dosa, tetapi ramai orang melakukan dosa atas nama agama."   Mesej tajam dalam petikan kata-kata ini tepat berkait dengan realiti semasa di Malaysia pada hari ini. Ya, politik murahan dan kampungan yang cukup memualkan. Mahasiswa sekalian, bangkitlah sebagai cendekiawan untuk menambahbaik bangsamu, jangan biarkan 'jerung-jerung' politik memamah rakus masa depan tanah air!


p/s: PZ syorkan teman-teman untuk mengikuti kisah hidup Kartini dalam filem RA Kartini yang ada dimuatnaik di Youtube dalam 18 bahagian. Selamat menonton!

Saturday, November 7, 2009

Monolog Senja

Senjakala
Merah langit ditabiri mega
Seperjalanan hari
dan suria kembali mendakap peraduannya.

Senjakala
Kelam cahaya di sebalik suram gemawan
Kala tengkujuh datang menyiram musim
Maka hari tak seceria biasa.

Seperjalanan hari
Saat fajar tersenyum di langit dinihari
Pagi menjelang dan petang menggelincir suria
Dari teduh hingga rembang hari
Tiada terjawab jua persoalan.

Ternoktahkah ia
atau kelak bersambut jawabnya
Perkiraan masa rumit menghisab.

Seperjalanan hari
Hanya mampu merakam kata dan frasa
Tanpa suara, tinggal sepi di dalam jiwa.

Akhir hari di senjakala
Sendirian memerhati langit menutup tirai hari
Dan esok fajar kan menyinsing kembali
Bersisakah lagi harapan semalam?

Thursday, November 5, 2009

Manakan mungkin bangsaku maju jika...

Telah hampir seminggu November 2009 kita lewati. Maknanya, semakin dekatlah juga penghujung tahun 2009 sebelum menjelma tahun baharu 2010. Usia akan berganti dan semakin singkatlah lagi baki yang bersisa sebelum Izrail mencabut nyawa.

Menelaah koleksi yang tersimpan di perpustakaan mini PZ, buku Sejarah Melayu (versi Shellabear) karya Tun Seri Lanang menarik lensa analisa PZ pada tengah hari Khamis yang redup ini. Penuh dengan pelbagai ceritera berlatar zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan dihiasi Bahasa Melayu klasik yang indah tersusun, karya besar ini memiliki 'jiwa' yang tersendiri.

Hasad, dengki dan benci. Penyakit jiwa yang membusuk dalam diri segelintir dalam kalangan kita. Tidak kira siapa, pekung hasad, dengki dan benci (HDB) boleh menjangkiti kalangan orang bawahan dan juga orang atasan. Malah, dalam perjalanan hidup PZ, pernah juga PZ saksikan kalangan orang-orang bergelar 'cendekiawan' dan 'agamawan' dihinggapi kudis HDB.

Persaingan di tempat kerja untuk mendapat tempat, pangkat dan kedudukan, perebutan cinta dan inginkan perhatian adalah situasi-situasi yang mempercepatkan lagi penularan penyakit ini. Maka tidak hairanlah, ada yang sanggup 'berhantu-hantuan', 'bersantau-sauntauan' dan 'bersihir-sihiran' apabila serakah HDB menggila dalam diri. Manakan mungkin bangsa PZ maju jika sesama bangsa sendiri pun sanggup bercantas-cantasan apabila merasakan kepentingan diri dan kroni digugat, terancam dengan perubahan dan transformasi dan yang paling menyedihkan PZ, takut melihat orang muda lebih pandai. Manakan mungkin bangsa PZ bisa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan megah bermartabat sekiranya bangsa PZ terus senang melihat orang lain susah dan susah melihat orang lain senang. Sungguh rendah akal budi dan jelek sekali!

Berbalik kepada perbicaraan kita tentang Sejarah Melayu, suka PZ perturunkan sedikit petikan daripada karya tersebut mengenai rentetan peristiwa yang membawa kepada Kesultanan Melayu Melaka. Sayang sekali, Kesultanan agung yang punya kuasa dagang yang besar hingga dikatakan oleh sarjana Tom Pires sebagai setaraf dengan Venice akhirnya lenyap akibat pengkhianatan yang bermula dari dalam. Sejarah bukan sekadar riwayat lapuk. Sejarah akan berulang. Hanya yang menekuni sejarah lampau dengan mata dan jiwa yang celik akan memahami apa yang PZ maksudkan. Kebejatan dan kegawatan sosial dan politik yang berlaku dapat diredakan sekiranya sejarah dihargai dan tidak dilacurkan sesuka hati.

(akan bersambung)

Saturday, October 31, 2009

SRO


PZ bersama delegasi Majlis Tatatertib & Disiplin
Universiti Malaysia (MATDUM) berpeluang berdialog
bersama Student Rights Officer (SRO) di Monash University
semasa lawatan rasmi ke sana.
Rakaman lensa PZ di Monash University, Melbourne, Australia.
Mei 2005.

Seminggu berlalu. Pejam celik mata, gelap cerah langit, turun naik matahari. Peredaran masa menghambat kita dengan pelbagai perkara dan cerita. Minggu ini menyaksikan kotak fikir PZ dihimpit dengan pelbagai persoalan yang akhirnya membawa kepada STRES! Saat entri Warna apakah yang mendasari hari? terpapar di blog ini, PZ ditujah bertalu-talu dengan pertanyaan dari teman-teman. Biarlah PZ simpan sendiri 'kedalaman' maksud yang tersirat di sebalik puisi tersebut dan terima kasih kepada teman-teman yang prihatin.

Walaupun tertekan dengan hal-hal yang PZ nyatakan tadi, namun kerja tetap berjalan seperti biasa. Berulang-alik menghadiri mesyuarat, menyemak draf dan fail, memenuhi temujanji dan lain-lain. Rutin yang perlu dijalankan sebagai penjawat awam.

Ada satu peristiwa yang menarik fokus lensa analisa PZ untuk minggu ini. Mungkin kerana telah terlalu terdesak atau hampir putus asa agaknya, PZ telah didatangi oleh sekumpulan pelajar awal baru-baru ini. Hanya seorang dari kumpulan tersebut yang PZ kenali. Kisahnya, salah seorang dari kumpulan tersebut telah mendapati salah satu dari subjek yang perlu diduduki untuk peperiksaan akhir semester tidak lama lagi telah digugurkan tanpa pengetahuannya. Sebaik mengetahui, keadaan telah semakin suntuk dan turun naiknya pelajar ini di beberapa pejabat yang berkaitan seolah-olahnya tiada dilayan. Lebih menggusarkan lagi apabila subjek ini merupakan pre-requisite  kepada beberapa subjek lain semester depan. Bagaimanakah subjek tersebut telah digugurkan tanpa pengetahuannya? Kesilapan sistem barangkali? Unauthorized access? PZ timbangkan pelbagai kemungkinan, namun walau apapun kisah di sebaliknya, pelajar ini perlu PZ bantu. PZ menasihatkan pelajar ini untuk membuat surat rayuan kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) bagi mendapatkan budi bicara beliau dalam masalah ini, dan surat tersebut disalinkan kepada beberapa individu lain, termasuklah Naib Canselor. Ini penting bagi memastikan masalah pelajar ini 'dilayan' dengan terhormat. (Kerana seringkali staf mahu pelajar menghormati mereka, tetapi mereka tidak pula melayan pelajar dengan hormat!)

Alhamdulillah, PZ menerima satu mesej pesanan ringkas daripada pelajar ini bahawa segala masalahnya telah diselesaikan dengan baik dan dia boleh menduduki peperiksaan dengan tenang. Syukur pada Allah Taala!

Meneliti insiden ini, PZ terfikir-fikir, bagaimanakah boleh kita mantapkan sistem pengurusan aduan oleh para pelajar? Ini termasuklah penyediaan khidmat nasihat, bimbingan dan runding cara kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah dengan pihak pentadbiran dan seumpamanya.

Student Rights Officer atau SRO. Istilah ini mula PZ kenali semasa lawatan PZ ke Monash University di Melbourne, Australia pada Mei 2005. Enam buah universiti awam telah PZ singgahi sepanjang 12 hari musafir PZ di Australia. University of New Soth Wales dan University of Sydney di Negeri New South Wales, University of Canberra dan National University of Australia di Wilayah Ibukota Australia serta University of Melbourne dan Monash University di Negeri Victoria. Setiap universiti ini punya kekuatan masing-masing, dan bagi PZ, Monash punya sistem pengurusan pelajar yang cukup baik.

SRO adalah seorang pegawai yang dilantik oleh Monash untuk memberi bimbingan dan menasihatkan pelajar sekiranya hak-hak pelajar tersebut dicabuli oleh mana-mana pihak di dalam atau di luar kampus. Contohnya, jika seorang pelajar mendapati bahawa beliau telah dikeluarkan dari asrama hanya kerana ideologi politiknya, sedangkan itu bukanlah suatu kesalahan di sebuah negara demokrasi, maka pelajar ini boleh mendapatkan bantuan SRO. SRO akan meneliti aduan pelajar ini dan melakukan apa yang perlu sekiranya aduan tersebut sahih dan bukan diada-adakan. Semasa di Monash, PZ telah berpeluang berdialog dengan SRO yang dilantik dan pelbagai isu telah kami  bicarakan.

Sistem SRO yang diwujudkan akan mampu merapatkan jurang yang terbina atau kadangkala 'sengaja' diada-adakan antara pentadbiran dan pelajar. Pelajar yang terkilan (aggrieved) kerana sesuatu tindakan daripada pihak pentadbiran berhasil mendapatkan khidmat nasihat yang betul dari SRO yang dilantik, apatah lagi jika melibatkan isu-isu undang-undang.

PZ akui, ada segelintir pelajar yang hanya tahu meluaskan mulut untuk bersuara tentang hak dan kebebasan tetapi tidak disandarkan atas kerangka fakta, perundangan dan realiti, tetapi sekadar beremosi dan mencari populariti. Hal ini tentu sekali merumitkan lagi hubungan antara mereka dengan pihak pentadbiran yang kebiasaannya berakhir dengan perbuatan-perbuatan provokatif dan pendekatan agresif. Ini bukanlah watak mahasiswa yang berkesarjanaan dan berwibawa. Keadaan ini hanya akan menjadi modal kepada pihak yang satu lagi untuk terus memandang kecil suara dan peranan mahasiswa.

Justeru, sekiranya SRO dapat diperanankan dalam erti kata yang sebenarnya, para pimpinan pelajar dan kalangan pelajar berupaya dipandu untuk menyuarakan rasa hati, permasalahan dan isu secara yang lebih profesional dan menggambarkan wibawa intelektualisme mereka. Maka, tidaklah timbul lagi soal penyediaan memorandum itu dan ini yang bombastik ayat-ayatnya tetapi hanya mengandungi retorik dan 'awta' tanpa sebarang cadangan yang konstruktif dalam bahasa yang lebih 'bertamadun'. Lebih dari itu, pengwujudan SRO akan dapat mengurangkan atau terus melenyapkan kebergantungan segelintir kelompok mahasiswa terhadap Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau parti-parti politik untuk menjadi penyambung suara mereka. PZ sentiasa percaya bahawa mahasiswa perlu mengambil tahu tentang politik, namun PZ tidak bersetuju jika mahasiswa menjadi kuda tunggangan mana-mana parti politik. Orang-orang politik sepatutnya menyegani kewujudan universiti sebagai gedung ilmu.

Jika kita mahu mewujudkan suasana menang-menang di kampus antara pihak pentadbiran dan pelajar, maka SRO adalah salah satu alternatif yang wajar dipertimbangkan. Apalah maknanya membuat lawatan ke sana-sini di seluruh dunia saban tahun jika tiada sebarang penambahbaikan dibuat terhadap pengurusan pelajar kita.

Sunday, October 25, 2009

Warna apakah yang mendasari hari?

Warna apakah yang mendasari hari
Saat terbit suria hingga peraduan senjanya...

Warna apakah yang mendasari hari
Tika sunyi hingga hingar mengganti...

Warna apakah yang mendasari hari
Kala damai hingga sengketa melanda...

Celaru jiwa dihambat badai keliru
Apakah tersalah arah hingga khilaf percaturan?

Tempoh getir dilewati tiada teratur langkahnya lagi
Kunci jawapan tak terjejak jua...

Kelam hari dibayangi pudar paparan silam
Memendam rasa dalam cangkir peristiwa...

Apakah telah pernah terduga?
Apakah igauan cuma?

Rangkap dan bait membarisi luahan rasa
Bercambahkah lagi harapan?

Saban hari dilewati serba ketakpastian
Warna apakah yang mendasari hari?

Saturday, October 24, 2009

Ketam yang mengajar anaknya berjalan betul...


Jadilah seperti pokok yang rendang di mana yang lain boleh
menumpang teduhnya. Bukan seperti dedalu yang menyambung hidup
atas usaha orang lain.
Rakaman lensa PZ di Tasik Banding, Perak. Oktober 2007.

Dalam kedamaian malam di Bandar Muadzam Shah, Pahang, PZ mencari-cari ilham untuk dikongsi bersama teman-teman untuk entri kali ini. Berhujung minggu di pekan kecil ini mula menjadi kelaziman buat PZ sejak akhir-akhir ini setelah penukaran status peribadi PZ. Kebiasaannya, setiap kali di sini, rutin PZ diisi dengan memenuhi undangan ke majlis kenduri, menziarahi saudara-mara dan lain-lain. Ya, satu citra baharu dalam kehidupan peribadi PZ. Perkara yang sebelum ini bukan menjadi kelaziman dan agak mengambil masa untuk berakar umbi dalam diri.

Jadual PZ di pejabat semalam turut diisi dengan jemputan untuk menyampaikan ceramah "Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam" dalam Kursus Induksi untuk kakitangan Kumpulan Sokongan 2 dan 3. Dalam konteks perkhidmatan awam, Kumpulan Sokongan 2 dan 3 merujuk kepada kakitangan yang berada dalam gred 1 hingga 17 iaitu yang memiliki kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebenarnya, tajuk ceramah ini telah diperuntukkan untuk PZ setiap kali berlangsungnya kursus induksi, baik untuk Kumpulan Pengurusan & Profesional mahu pun Kumpulan Sokongan sejak dua tahun yang lepas. Tajuknya lebih bersifat umum, dan lazimnya akan PZ bicarakan dan kembangkan berdasarkan isu-isu semasa dan kajian kes-kes yang pernah PZ kendalikan di institusi ini. Matlamatnya jelas - para peserta haruslah mampu menghayati prinsip akauntibiliti, integriti dan ketelusan untuk diterjemahkan dalam gerak kerja dan tindak tanduk mereka sebagai penjawat awam.

Dalam derai tawa, PZ membuat penegasan kepada para peserta semalam bahawa berkhidmat di institusi pendidikan seumpama Universiti ini adalah berbeza sekali dengan berkhidmat di jabatan atau agensi kerajaan yang lain. Semasa PZ berkhidmat di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dulu, norma dan suasananya mudah. Bertertib sebagai seorang penjaway awam antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan tiada siapa yang akan ambil pusing selepas kita punch out pada jam 5.00 petang.

Di Universiti ini dan institusi pendidikan lain, warga kerjanya punya tanggungjawab yang lebih berat - menunjukkan teladan  yang baik pada setiap masa. Kenapa? Kerana di sini kita ada PELAJAR yang sentiasa memerhati gelagat kita. Baik teladan yang ditunjukkan, maka baiklah penerimaan oleh para pelajar dan buruk perangai yang diperlihatkan, maka buruklah rupa diri dan tertib para pelajar.

Ramai warga kerja yang seringkali alpa akan hakikat ini. Kalau tidak, masakan sehingga mengundang teguran tajam daripada Naib Canselor Universiti ini dalam perutusan tahunannya awal tahun ini! Agak mengecewakan, sikap yang sama masih diperlihatkan walaupun telah ditegur. Betullah, Melayu mudah lupa. Apakah bentuk generasi mahasiswa yang ingin kita bentuk sekiranya warga kerja sendiri gagal menzahirkan wibawa dan kesarjanaan yang dapat disegani?

Zaman telah berubah, dan bersama-samanya, aliran pemikiran juga telah jauh berbeza. Mahasiswa kini lebih kritis, justeru amat reaktif dan tidak mudah reseptif terhadap sesuatu perkara yang mengisi ruang pandangan mereka. Dengan 'bisa' yang ada pada media ketiga, seperti blog, mahasiswa akan menyuarakan pandangan mereka secara terus dan langsung, sebagaimana apa yang PZ lakukan kini. Warga kerja Universiti pula perlulah memahami rupa audien yang mereka hadapi sebagai pelanggan pada hari ini. Universiti bukanlah sekolah, di mana pelajar boleh dimarahi, diperlekeh atau diperolokk-olokkan tanpa sebarang sebab yang munasabah. Berdasarkan pemerhatian PZ, apabila ada staf yang mengeluh bahawa pelajar kini amat berlagak dan tak makan saman, jawapannya kembali semula kepada sikap yang ditunjukkan oleh segelintir warga kerja Universiti ini. Manakan tidak pelajar jadi tidak makan saman jika mereka sendiri melihat staf sewenang-wenangnya melanggar undang-undang sesuka hati? Memarkir kereta di sana sini, bukan di tempat yang sepatutnya, seolah-olahnya kampus ini sebuah lapangan pasar malam dan bukannya gedung ilmu.

Mahasiswa yang diperlihatkan dengan situasi dan suasana sebegini akan menzahirkan protes melalui tingkah laku dan gelagat mereka. Pernah PZ sentuh dalam entri Bimbing, Bukan Suruh! bahawa pelajar mengharapkan staf yang berupaya untuk turun padang bersama mereka, merasai susah senang yang dihadapi oleh pemegang taruh ini, bukan sekadar melaungkan arahan dari kamar pejabat dan kemudiannya menghentam pelajar atas kegagalan sesuatu projek atau program.

Barangkali ada yang beranggapan bahawa luahan pandangan PZ dalam entri ini bias kepada pelajar. PZ juga adalah staf dan PZ pernah menghadapi pelajar-pelajar yang lebih teruk bermasalah semasa mengendalikan kes-kes tatatertib pelajar dahulu. Pada masa yang sama, PZ juga adakah bekas mahasiswa yang pernah menghadapi zaman di mana aktivisme pelajar dibobrokkan dengan karenah yang bukan-bukan daripada pentadbiran. Sebagai mantan pimpinan pelajar, PZ amat memahami apa yang rakan-rakan mahasiswa rasai apabila hasil kerja tidak dihargai, apatah lagi diperkecil dan diperlekehkan.

Justeru, menerima tawaran untuk berkhidmat dengan sesebuah imstitusi pendidikan bermakna menerima tanggungjawab untuk menjadi ayah, ibu, abang, kakak, pembimbing dan sahabat kepada para pelajar, walau apapun jawatan yang kita sandang, dari Pembantu Am Rendah hinggalah Naib Canselor. Bukannya masuk bekerja di sini semata-mata untuk mencari ruang untuk memperkukuh kepentingan diri sehingga mengorbankan kewajipan untuk membina bakal peneraju negara masa hadapan.

Janganlah hendaknya kita menjadi seperti ketam yang mengajarnya anaknya berjalan betul.