Friday, June 18, 2010

Hujan emas di negeri orang...



Semangat patriotisme rakyat Republik Rakyat China yang bersendikan aliran revolusioner
yang dipelopori mendiang Mao Tse Tung terpancar pada disiplin, kualiti diri dan sistem kehidupan mereka. Banyak monumen didirikan di sekitar negara berpenduduk paling ramai ini bagi mengabadikan semangat perjuangan tersebut.
Rakaman lensa PZ di Medan Tiananmen, Beijing pada 7 Jun 2010.


Hampir dua minggu bumi Malaysia PZ tinggalkan. Kali ini, PZ berkelana ke Republik Rakyat China dalam misi rasmi bersama Naib Canselor UMP dan turut disertai oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa UMP. Ziarah sulung PZ ke negara yang masyhur dengan legasi sejarah dan tamadun ini ternyata bernilai, terutamanya dalam pelebaran pengalaman dan jaringan pengetahuan.

Jam 2:45 petang, 15 Jun 2010 menyaksikan PZ kembali semula ke tanah air. Sebaik pesawat Malaysia Airlines MH371 menjejak landasan Lapangan Antarabangsa KL, terdetik semangat untuk berkongsi pengalaman kelana PZ ini bersama teman-teman melalui laman perantauzaman. Sekurang-kurangnya, tiadalah memori dan pengalaman tersebut hilang begitu sahaja. Lebih dari itu, teman-teman yang mungkin menyimpan hasrat untuk melawat negara unik ini boleh mengambil sedikit sebanyak pedoman daripada nukilan PZ nanti.


Peta kedudukan kota-kota utama di Republik Rakyat China.
Sepanjang di sana, kelana PZ bermula di Bandar Raya Beijing, diikuti lawatan ke Baoding, Lanzhou dan Wuhan sebelum kembali semula ke Beijing.
Dipetik dari http://www.reliefweb.int

Oleh yang demikian, beberapa entri akan datang akan diisi dengan catatan harian PZ sepanjang di Republik Rakyat China dari 7 Jun hingga 15 Jun 2010 termasuk deskripsi terperinci kawasan-kawasan yang PZ singgahi iaitu Bandar Raya Beijing, Baoding, Lanzhou, Xining dan Wuhan. Tiada yang lebih bermakna melainkan ungkapan Alhamdulillah kerana PZ diberi peluang dan kepercayaan untuk menyertai misi ini. Nantikan entri seterusnya.