Sunday, May 8, 2011

Seorang Ibu, Seorang Isteri, Seorang Wanita

"Surat rasmi begini cara tulisnya, laras bahasa mesti betul, walaupun maksudnya sama, tapi ada beza taraf antara perkataan undang, jemput, pelawa dan ajak." Pada ketika yang lain pula dia mengingatkan si suami, "Nak ke istana nanti songketnya dah sedia ke belum. Kain sampin Pahang bengkungnya di dalam, bunga soleknya diikat pada sampir keris."

Itu hanya mungkin sepotong peringatan dari berkajang-kajang kenangan PZ bersama bonda tercinta, Allahyarhamah Hajah Nor Aizan Md Saman (1946-2006). Bersara sebagai seorang Guru Besar, arwah bonda, yang kami adik-beradik panggil sebagai Ma memang mempunyai pengaruh yang amat mendalam dalam pembentukan keperibadian, perwatakan dan budaya kerja PZ secara khususnya. 

Mendapat pendidikan ilmu perguruan daripada District Training Centre di Kuantan, mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu merupakan opsyen arwah bonda. Tahun-tahun akhir sebelum menamatkan perkhidmatan, beliau dipilih pula oleh Kementerian Pendidikan pada ketika itu sebagai kumpulan perintis Guru Pakar mata pelajaran Sains yang diperkenalkan semula di sekolah-sekolah rendah.

Bertitik-tolak dari latar belakang opsyen arwah bonda itulah, maka PZ mempunyai minat yang amat mendalam dalam bidang sejarah, kesusasteraan dan bahasa. Sejak PZ berusia tujuh tahun lagi, buku Tawarikh Untok Tingkatan Enam disuakan kepada PZ untuk dibaca dan tanpa jemu dan bosan, minat yang berputik itu terus mekar subur hingga ke hari ini. Arwah bonda jugalah menjadi mentor PZ dalam ilmu pengurusan, walaupun secara tidak formal, yang PZ dapati amat berguna setelah menyertai perkhidmatan awam, terutamanya dalam menangani karenah kakitangan dan office politics. Begitu juga asuhan beliau dalam ilmu protokol dan adat istiadat, menjadikan kami adik-beradik begitu teliti dan cermat dalam selok-belok perbahasaan, berpakaian dan lain-lain.

Pastinya kalangan pembaca yang lain juga punya kenangan tersendiri bersama bonda masing-masing. Ada yang masih hidup, dan ada juga yang telah berada di alam barzakh, bersama-sama arwah bonda PZ. Sayang sekali ramai dalam kalangan kita yang mengambil mudah kewujudan seseorang kala hayatnya, dan hanya akan menderita dalam perasaan 'kehilangan' setelah insan itu diambil semula oleh Maha Pencipta.

Melihat kepada telatah anak-anak muda hari ini, terdapat segelintir yang bijak bermain 'wayang' dengan ibu bapa, terutamanya yang tinggal berjauhan daripada mereka, oleh sebab pekerjaan atau melanjutkan pengajian. Berwatak baik tatkala pulang ke kampung halaman itu satu perkara, dan watak lain di luar pandangan orang tua itu merupakan satu perkara lagi. Ini berkait rapat dengan soal kejujuran dipancarkan dengan penuh suci hati. Bukankah kita dituntut untuk sentiasa jujur?

Pandangan ini dilontarkan PZ berasaskan pengalaman. Hampir empat tahun terlibat dalam penyiasatan dan pendakwaan tatatertib mahasiswa, pelbagai kes telah PZ kendalikan. Telah sifatnya manusia itu mudah lupa, hampir semua mahasiswa yang menjadi OKT (orang kena tuduh) mengalirkan air mata kekesalan, hanya selepas mengetahui kesan besar akibat tindakan bodoh dan gerak nafsu mereka terhadap akademik dan masa depan. Apabila dimaklumkan kepada ibu bapa dan keluarga pula, memang lazim responnya begini, "Betul ke encik? Tak sangka sungguh, anak kami ni baik amat kalau di rumah, tak tahu sampai jadi macam ni!".

Itulah realitinya. Apa yang diperlukan ialah kecaknaan. Ibu bapa harus melepaskan si anak untuk menyambung pengajian atau bekerja dengan penuh keredhaan, namun perkembangan semasa si anak perlu diambil tahu, namun tidaklah sampai peringkat mengongkong hingga si anak merasa rimas. Di satu sudut lain pula, tidak wajar bagi si anak untuk sekadar menunggu panggilan orang tua untuk mengemaskini keadaan semasanya, si anak itu sendiri perlu ada inisiatif untuk berhubung dengan keluarga.

Naluri seorang ibu itu amat tajam, dan telah PZ alami sendiri. Siapa pun jua akan merindui saat suka duka yang telah dilalui bersama bonda tercinta, justeru hargailah masa yang ada ini selagi si ibu masih bernyawa.

Demikian bermaknanya kehadiran seorang insan bergelar ibu dalam hidup kita. Dia juga isteri kepada bapa kita, dan pengorbanannya bagaikan pejuang yang mencari syahid di medan jihad. Tatkala PZ menelaah autobiografi Allahyarhamah Benazir Bhutto berjudul Daughter of the East, catatan beliau di halaman 9 amat menarik untuk dihayati. Menziarahi bapanya, Zulfikar Ali Bhutto yang ditahan oleh rejim Jeneral Zia-ul-Haq dan menanti saat hukuman mati, si bapa berpesan kepada si ibu, "You have both suffered a lot," he says. "Now they are going to me tonight, I want to free you as well. If you want to, you can leave Pakistan while the Constitution is suspended and Martial Law imposed. If you want peace of mind and to pick up your lives again, then you might want to go to Europe. I give you my permission. You can go." Namun si isteri yang setia  tidak akan meninggalkan suaminya kala sukar seperti itu. Benazir mencatatkan reaksi ibunya, "No, no," Mummy says. "We can't go. We'll never go...If we leave, there will be no one to lead the party, the party you built." Mengetahui bahawa saat mautnya semakin hampir, si suami membalas, "I'm so glad. You don't know how much I love you, how much I've always loved you. You are my jewel. You always have been."


Kental dan waja. Itu semangat seorang wanita, seorang isteri dan seorang ibu. Benazir Bhutto sendiri telah kembali ke rahmatullah, menyertai ibunya yang telah pergi lebih awal, dan juga bonda PZ. Moga mereka dikurniakan Allah Ta'ala dengan rahmat dan peliharaan sebagai hamba-Nya yang solehah dan bertaqwa.

Selamat Hari Ibu...



1 comment:

Anonymous said...

mengingatkanku kepada kematianku sendiri nanti..dan tak ku tahu itu