Sunday, May 1, 2011

Hari Buruh 2011 - Harapan dan cita-cita pekerja Malaysia

1 Mei dirai golongan pekerja seantero dunia. Dilihat sebagai sambutan yang mengangkat 'kuasa' kaum buruh, Hari Pekerja Sedunia meniti sejarah, menyaksikan perjuangan golongan ini untuk mendapatkan tempat dan kedudukan yang lebih baik di sisi golongan majikan.

Di sesetengah negara, 1 Mei dirayakan dengan penuh teratur dan tertib, manakala di sesetengan negara pula, 1 Mei sinonim dengan tunjuk perasaan dan pertembungan dengan dan pasukan pencegah rusuhan, ucapan penuh semangat serta syarahan berapi-api. Sebagaimana hangatnya alam perjuangan mahasiswa, demikian jugalah bahang yang disuakan oleh kaum pekerja. Kedua-dua segmen ini dilingkungi idealisme tegar, semangat yang membuak-buak serta dorongan kuat untuk berwatak sebagai kumpulan pendesak.

Justeru, kaum buruh dilihat sebagai segmen kritikal dalam sesebuah negara, seperti juga para mahasiswa. Revolusi Bolshevik di Russia pada tahun 1917 pimpinan Lenin yang menumbangkan pemerintahan beraja Tsar, mendapat dukungan besar kaum buruh. Begitu juga di negara-negara lain, lantas perjuangan kaum buruh kerap kali digambarkan sebagai bayangan sosialisme - penuh dengan idea radikal dan tindakan agresif.

Walau apa jua label dan anggapannya, sumbangan signifikan kaum buruh dan pekerja terhadap pembangunan negara tidak boleh dinafikan. Keghairahan pihak majikan dan pengusaha untuk melipatgandakan keuntungan daripada perusahaan mereka mestilah diseimbangkan dengan keprihatinan mereka terhadap kebajikan kaum buruh dan pekerja. Tidak mudah untuk menunaikan setiap tuntutan dan permintaan golongan tersebut, namun perhatian dan pertimbangan penuh kebijaksanaan akan membuahkan iklim perhubungan yang lebih harmoni antara majikan dan pekerja, sekaligus melestarikan produktiviti.

Di satu sudut yang lain pula, golongan pekerja juga perlu sentiasa rasional dalam setiap tuntutan dan permintaan mereka. Segala-galanya perlu disandarkan kepada kesedaran terhadap realiti semasa dan kajian yang mendalam, bukan sekadar omongan kosong atau retorik yang tidak ke mana. Hubungan yang bersifat komplimentari ini perlu disuburkan, di mana ada give and take dan persefahaman, tanpa sebarang sentimen atau sangkaan yang tiada asasnya.

Dalam konteks Malaysia, barangkali banyak yang diharapkan oleh golongan pekerja pada tahun 2011 ini. Tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang mengeluh tertekan dengan kos hidup yang tinggi pada ketika ini. Harga barangan keperluan dan perkhidmatan yang kian meningkat menghimpit kehidupan, justeru gema tuntutan kenaikan gaji pekerja semakin kuat kedengaran. 

Sebagai seorang pekerja dalam sektor awam, PZ turut memahami keadaan ini. Bagi kami penjawat awam, semakan gaji kali terakhir dibuat pada tahun 2005, ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Enam tahun telah berlalu, dan berdasarkan iklim ekonomi semasa, maka amat wajar bagi gaji penjawat awam disemak semula. Begitu juga dengan rakan-rakan pekerja dalam sektor swasta. Telah lama gaji minimum diperjuangkan, dan sekiranya ini tidak diberi perhatian, maka lebih ramai golongan pekerja khususnya yang berjawatan rendah akan berada di bawah garis kemiskinan.

Menteri Kewangan Kedua, Dato' Ahmad Husni Hanadzlah telah mengumumkan bahawa Bajet 2012 yang bakal dibentangkan Oktober depan akan mengambil kira aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Pada masa yang sama juga, Menteri Sumber Manusia, Dato' S Subramaniam telah memberi jaminan bahawa Rang Undang-undang Majlis Konsultasi Gaji Minimum akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang. 

Sebagai pengundi dan pembayar cukai, pastinya PZ bersama rakan-rakan pekerja, baik dalam sektor awam mahu pun swasta mengharapkan angin transformasi terhadap kebajikan dan kesejahteraan hidup kami. Pengumuman dan jaminan pihak pemerintah perlu diterjemah kepada keputusan berhemah yang mendukung kepentingan awam. Dalam sistem demokrasi, tiada yang kuat, tiada yang lemah - kerajaan rakyat, daripada rakyat untuk rakyat. Para pemimpin perlu ingat, sepertimana juga para buruh dan marhaen yang lain, mereka juga adalah rakyat. Jika tidak, ungkapan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan hanya akan dianggap sebahagian rakyat sebagai pernyataan politik semata-mata.




No comments: