Monday, January 17, 2011

Nota Sulung Januari

Minggu Januari yang panjang dan dipenuhi aneka peristiwa. Telah lebih 16 hari tahun 2011 diharungi, dan PZ masih berada dalam proses penyesuaian dalam alam kerjaya baharu sebagai seorang cendekiawan. Satu permulaan yang menarik bagi tahun baharu ini dan amat PZ yakini bahawa inilah laluan yang dicari-cari selama ini. Kebebasan untuk berkarya, mengutara idea dan mengulas suasana di medan ini, pastinya without fear or favour.

Tatkala berkereta pulang dari mesyuarat di Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu, sempat PZ berjeda seketika di destinasi kesukaan PZ, The Curve di Mutiara Damansara. Sambil meninjau-ninjau habuan baharu bagi mengisi ruang perpustakaan peribadi PZ, bersama secangkir kopi PZ habiskan penghujung petang tersebut di sisi jendela restoran IKEA, menyelesaikan sedikit kerja suntingan dan terjemahan yang muncul tiba-tiba. Cemas sahaja bunyinya staf yang menghubungi PZ memohon bantuan kerana masa yang kian suntuk, dan dengan tenang PZ minta sedikit masa untuk menyemak naskah yang telah dikirim melalui e-mel. Melihat kualiti teks yang dikirim, PZ menarik nafas geram dan sedikit kesal. Susunan kata dan binaan ayat yang terhasil dari direct translation membuahkan naskah yang amat janggal. Ini sikap segelintir 'cendekiawan' kita, buat kerja sekadar melepaskan batuk di tangga. Yang diinginkan cuma nama dan pangkat berjela, namun cuai sekali pekerjaannya! Sungguh-sungguh jelek!

Lantas, lebih dua jam PZ memaku diri di sisi jendela restoran IKEA tersebut, memperbetul naskah yang longgar supaya jadi lebih segar. Merenung ke kanan, memandang ke kiri, mendongak ke atas untuk memancing inspirasi, akhirnya usai juga. Telah hampir 6:30 petang kala itu, dan PZ melabuhkan pula diri di toko buku Borders di seberang IKEA, menanti seorang sahabat lama yang telah lebih tiga tahun tidak bersua.

Tidak sampai 10 halaman buku di ribaan ditelaah, sahabat yang dinanti tercegat di depan mata. "Kenapa kurus sangat ni?!" soalan yang telah PZ jangka akan terpacul dari mulut beliau. Memang pun berhak beliau menyoal sedemikian kerana sepanjang hampir 10 tahun perkenalan kami, beliau arif benar dengan perangai, cara dan kehidupan PZ. Itulah Saudara Amin Idris, junior PZ di Kulliyyaah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM dan kini merupakan seorang perunding motivasi dan personaliti TV yang PZ kira punya bintang yang cerah bersinar.

Bertemankan hidangan ayam goreng McD dan burger quarter pounder, satu jam perbualan kami berkisar di pelbagai penjuru, soal kerjaya dan juga peribadi. Tidak perlu diperinci di sini. Namun yang pastinya, PZ amat bangga dengan kejayaan saudara Amin, yang lebih merupakan seorang mentor kepada PZ, walaupun usianya lebih muda berbanding PZ. Seronok bertukar cerita dan jenaka, terpaksa jua kami berpisah oleh batas Maghrib. Tidak mengapa, permulaan yang baik bagi mengukuhkan sebuah jaringan!

Dek kesibukan itulah, maka perantauzaman hanya terisi kembali lebih dua minggu selepas Januari menjelma. Itu pun, petang tadi, mata PZ masih meneliti abjad demi abjad pada satu lagi naskah yang dikirim secara 'kecemasan' untuk PZ sunting dan semak terjemahannya. 30 halaman semuanya dan PZ usaikan bersama secangkir coklat panas di Secret Recipe di Bandar Indera Mahkota.

Nah kini, dari perpustakaan peribadi yang telah 90% siap di kediaman PZ, entri sulung 2011 ini berjaya PZ abadikan. Satu sejarah, kerana inilah pertama kali PZ menjalankan urusan dalam kamar perpustakaan peribadi ini. Siap sepenuhnya kelak, akan PZ raikan dengan penuh kesyukuran. Dari kecil lagi telah PZ impikan, memiliki sebuah perpustakaan dan pejabat sendiri di rumah. Alhamdulillah!