Saturday, May 7, 2011

Tentang Pilihanraya Umum Singapura 2011

Kurang lebih 300 kilometer ke utara negara-kota Singapura, di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tarikh 7 Mei saban tahun menjadi hari kelepasan am bagi Negeri Pahang Darul Makmur. Sejak tahun 1975, tarikh tersebut diisytiharkan sebagai Hari Hol Negeri Pahang bagi mengingati kemangkatan al-Marhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin al-Muadzam Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah, Sultan Pahang keempat yang dimakamkan di Bandar Diraja Pekan pada 7 Mei 1974.

Namun, 7 Mei 2011 menyaksikan warga negara-kota Singa menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi. Demikian resam dalam sistem demokrasi berparlimen, apabila parlimen dibubarkan dan mandat pemerintahan berakhir, maka kuasa memilih kembali kepada rakyat jelata yang berkelayakan. Maka dalam semangat tersebut, berlangsunglah Pilihanraya Umum Singapura ke-11.

Walaupun secara tidak rasminya Singapura dan Malaysia seringkali memandang sinis antara satu sama lain, setiap perkembangan yang berlaku di bekas negeri-anggota yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 itu diikuti dengan penuh minat. Malah, dari sudut sejarah, negara pulau itu yang dirujuk sebagai Temasik dalam sastera Melayu silam mempunyai perkaitan yang terlalu rapat dengan Malaysia, sejak zaman bahri hinggalah hari ini.

Barangkali generasi muda di kedua-dua negara tersebut pada hari ini tidak mengetahui bahawa ramai bekas negarawan dan tokoh politik Singapura sebenarnya berasal dari Malaysia. Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusoff Ishak merupakan anak kelahiran kampung Trong, di Taiping, Perak. Malah, terdapat seorang bekas menteri kabinet Singapura era Lee Kuan Yew merupakan anak jati negeri Kelantan!

Perkaitan sejarah yang rapat ini, termasuk isu-isu yang berbangkit darinya, seperti bekalan air, tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar, pembinaan Jambatan Bengkok dan perobohan Tambak Johor serta lain-lain memerlukan hubungan diplomatik dua negara tetangga ini diuruskan dengan penuh cermat dan bijaksana oleh pimpinan kedua-dua negara. Maka tidak hairanlah, Dr Yaacob Ibrahim, seorang Anggota Parlimen dari Kawasan Perwakilan Berkumpulan (Group Representation Constituency - GRC) Jalan Besar dinamakan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, khusus bagi menangani urusan berkaitan bekalan air, yang tentunya melibatkan Malaysia.

Barangkali dengan meletakkan seorang Menteri Kabinet berbangsa Melayu untuk menguruskan sebarang rundingan bekalan air dengan Malaysia, Lee Hsien Loong mengandaikan proses tersebut dapat diredakan daripada sebarang sentimen kaum, kerana umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia berketurunan Melayu memandang sinis Singapura sebagai 'negeri Cina'. Dari satu sudut yang lain pula, langkah ini merupakan kebijaksanaan kepimpinan Lee Hsien Loong, anak Lee Kuan Yew yang boleh menuturkan Bahasa Melayu dengan fasih. Rakyat di kedua-dua negara ini juga dapat melihat bahawa hubungan Malaysia - Singapura berada pada tahap yang amat baik dan harmoni sejak Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak menerajui kerajaan Malaysia.

Dilaporkan bahawa pilihanraya umum kali ini merupakan yang paling mencabar kepada parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (People's Action Party - PAP) yang memerintah Singapura sejak tahun 1959. Penggunaan media baharu sebagai senjata kempen oleh pihak pembangkang, serta corak pemikiran rakyat yang kian kritis diakui boleh memberi kesan kepada dominasi PAP. Dalam konteks ini, PAP harus memikirkan strategi dan taktik baharu bagi mengekalkan kesetiaan pengundi, dan tidak sekadar mencanangkan pencapaian Singapura sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dianggarkan $255.388 bilion dan pendapatan per-kapita rakyat $57,238 - jauh mengatasi Malaysia.

Sama ada mandat kerajaan PAP akan diperbaharui atau sebaliknya, pastinya parti politik yang menerajui Singapura perlu terus mencari titik pertemuan dan persamaan dengan Malaysia bagi memastikan dua negara ini terus harmoni berjiran, dalam semangat setiakawan yang sebenar. Ambil pendekatan positif terhadap sejarah silam hubungan antara kedua-dua negara ini, ianya merupakan peluang untuk lebih memahami, bukannya jurang untuk membiarkan sangkaan buruk bersarang.

Apa yang penting rakyat Malaysia menghayati semangat cogan kata pada Jata Negara - Bersekutu Bertambah Mutu manakala hampir lima juta rakyat di seberang Tambak Johor, Majulah Singapura.

No comments: