Sunday, November 8, 2009

Habis gelap terbitlah terang...


Raden Adjeng Kartini (1879 - 1904).
Sesingkat hayatnya selama 25 tahun, puteri bangsawan Jepara ini
mencabar status quo zamannya dengan pelbagai idea pencerahan.
Dengan coretan penanya, wanita ini berjuang memperbaiki kondisi masyarakatnya
dengan daya kesarjanaan yang tinggi. Habis gelap terbitlah terang merupakan
antara karya Kartini yang paling berpengaruh
(Foto dipetik dari http://open-trace.net/)

Satu lagi hujung minggu yang mendung di sini. Musim tengkujuh mengiringi kehadiran November 2009. Hujan mula mencurah seawal 1 November dan tika entri ini ditulis pun, saudara-mara kita di Kelantan dan Terengganu sedang meranduk keruh air bah. Agak awal bah melanda tahun ini kerana seingat-ingat PZ, curahan hujan yang paling banyak ialah pada Disember dan lazimnnya bah akan hanya bermula pada pertengahan bulan tersebut. Walau apa pun, pastinya ada hikmah di sebalik tengkujuh yang begitu awal bermula ini. Hikmah, iktibar dan peringatan daripada Maha Pencipta supaya kita jangan lekas leka dan alpa.

Kekosongan jadual pada hujung minggu ini PZ isi dengan membedah beberapa buah karya. PZ selesaikan bacaan Sejarah Melayu dan kemudian meneliti biografi beberapa tokoh dengan tujuan mendapatkan ilham bagi entri kali ini. Peluang untuk membedah beberapa karya dalam satu hujung minggu jarang-jarang dapat PZ lakukan lantaran kesibukan tugas, namun minggu ini berhasil juga dibuat memandangkan pelajar-pelajar PZ mula menghadapi peperiksaan, maka tiada lagi nota kuliah yang perlu PZ sediakan.

Habis gelap terbitlah terang merupakan sebuah karya besar seorang wanita yang dinobatkan sebagai salah seorang Tokoh Nasional di Indonesia. Raden Adjeng Kartini (Kartini), nama yang mungkin kurang dikenali di Malaysia, tetapi cukup berpengaruh di Republik Indonesia. Nama Kartini di Malaysia hanya disebut secara ringkas dalam sukatan pelajaran Sejarah bagi SPM, sedang pada hakikatnya nama ini cukup besar di zamannya. Hebatnya Kartini, tarikh lahirnya pada 21 April 1879 diraikan saban tahun sebagai Hari Kartini yang merupakan cuti umum di Indonesia sejak tahun 1964. Wajahnya juga menghiasi salah satu not kertas matawang Rupiah Indonesia. Kisahnya juga diangkat ke layar perak melalui filem RA Kartini, arahan sutradara Sjumandjaya yang menggondol anugerah Piala Citra tahun 1983.
(Lihat bagaimana teman-teman kita di Indonesia mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh nasional melalui layar perak, tidak seperti di Malaysia, begitu sedikit filem sejarah yang dihasilkan, akhirnya filem yang sama diulang tayang setiap kali sambutan kemerdekaan. Indonesia mungkin miskin harta, tetapi kaya dengan keperibadian nasional, manakala kita mengaku kaya hasil ekonomi tetapi cukup miskin dengan apresiasi terhadap sejarah tanah air.)



Wajah Kartini diabadikan pada setem peringatan khas Republik Indonesia
sempena ulang tahun ke-100 kelahirannya.

PZ tergerak untuk berbicara mengenai Kartini atas tiga asas. Pertama, hayatnya yang singkat. Kedua, sumbangan besarnya terhadap idea pencerahan di Indonesia sewaktu hayatnya yang singkat itu. Ketiga, intelektualisme yang ada padanya, apatah lagi sebagai seorang wanita yang dilatari zaman imperialisme Belanda dan masyarakat yang kolot. Justeru bagi PZ, Kartini ialah ikon kesarjanaan seorang anak muda.

Dibesarkan dalam keluarga bangsawan di Jepara, Jawa, Kartini berpeluang menikmati kemudahan persekolahan sehingga usianya 12 tahun. Seorang gadis yang pintar, beliau menguasai bahasa Belanda
dengan baik sekali, satu kelebihan yang membolehkannya mendampingi karya-karya besar dalam bahasa tersebut yang turut memberi pengaruh dalam idea pencerahan beliau. Maka tidak hairanlah, belum pun usianya menjangkau 20 tahun, karya-karya seperti Max Haveelar, De Stille Kracht dan Die Waffen Nieder! yang mencakupi pelbagai tema, isu dan persoalan telah usai ditekuni Kartini. Pada waktu tersebut, Kartini belajar secara sendirian di rumah setelah tamat pendidikan formalnya. Adat yang diwarisi keluarganya memerlukan beliau di'istirehat'kan di rumah sebelum dikahwinkan.

Melalui surat-surat diutuskan kepada rakan-rakan penanya yang terdiri daripada pelbagai bangsa, Kartini menyuarakan protesnya terhadap adat-adat yang mengongkong, penyalahgunaan agama bagi tujuan politik serta idea penambahbaikan terhadap status sosial wanita dan masyarakat tempatan, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan seumpamanya. Idea-idea beliau tentang Zelf-ontwikkeling, Zelf-onderricht, Zelf-vertrouwen, Zelf-werkzaamheid dan Solidariteit didasarkan kepada aliran humanitarianisme dan nasionalisme.

Kepintaran dan intelektualisme beliau yang tinggi telah menarik perhatian pemerintah Belanda untuk mengirim Kartini dan adiknya Rukmini melanjutkan pengajian ke Batavia (kini Jakarta) dan ke Netherlands, satu impian yang dicita-citakannya selama ini, tetapi sayangnya tidak kesampaian kerana beberapa sebab. Perkahwinannya sebagai isteri keempat kepada Raden Adipati Joyodiningrat, seorang bangsawan wilayah Rembang di Jawa, merupakan salah satu sebabnya.

Kematian Kartini pada usia 25 tahun tanggal 3 September 1904 adalah satu kehilangan yang amat besar. Sesingkat usianya, ketokohan, kewibawaan dan kesarjanaan Kartini wajar diteladani generasi muda hari ini. PZ yakin, hatta para mahasiswa kita pun tidak dapat menandingi kehebatan minda Kartini, khususnya dalam aspek pembacaan, penerokaan ilmu dan pengembangan idea. Kartini tidak pernah belajar di mana-mana universiti, namun idea dan mindanya meninggalkan pengaruh yang tidak sedikit kepada kondisi sosial yang melatari zamannya. Seawal usia 20'an, Kartini telah dapat berbicara sebagai seorang yang berjiwa besar, khususnya dalam ehwal pendidikan, ekonomi dan politik. Berapa ramai kalangan mahasiswa kita yang menghuni 20 buah universiti awam yang dapat mencapai tahap ini?

Kiranya ada masa dan kesempatan, PZ kadangkala menonton juga program bual bicara Suara Siswa di TV1 setiap Selasa malam. Maaf, tapi terpaksa juga PZ katakan bahawa sangat sedikit dalam kalangan pimpinan mahasiswa yang diketengahkan dalam program tersebut yang berupaya berbicara atas idea yang tulen, wibawa yang tersendiri dan kesarjanaan yang tinggi. Kebanyakannya hanya beretorik, sekadar ikut-ikutan dan hanya tahu memetik mutiara kata daripada sumber itu dan ini TANPA sebarang idea baharu yang menggambarkan jiwa besar seorang mahasiswa.

Kadang-kadang PZ hampir tergelak melihat sesetengah pimpinan mahasiswa yang ditampilkan melalui program bual bicara tersebut 'buat-buat pandai' dengan membawa fakta yang diragui kesahihannya, mengemukakan ulasan dangkal, dan hanya bercakap dari sudut pandang tunggal, tanpa melihat aspek-aspek lain. Maka tidak hairanlah, kenapakah generasi mahasiswa hari ini amat lesu tanpa sebarang jenama yang boleh dibanggakan kerana mereka hanya selesa menjadi pengikut kepada 'jerung-jerung' politik di luar atau sekadar selesa bersukaria tanpa mempedulikan apa-apa, sedang kewajipan besar menanti mereka di lapangan masyarakat apabila bergraduat kelak.

Dengan ringkas kisah Kartini PZ paparkan dalam entri kali ini untuk membuka mata teman-teman mengenai keperluan untuk terus bermujahadah bagi meningkatkan tahap penguasaan ilmu dan pengetahuan. Semakin banyak kita membaca, belajar dan meneroka, semakin sedarlah kita bahawa betapa luasnya ilmu Allah dan betapa kerdilnya kita. Kepada para mahasiswa, papara dalam entri ini adalah satu cabaran untuk ada bermuhasabah. Apakah anda sebenarnya layak berada di tempat pengajian kini atau sebenarnya anda telah mengambil tempat orang lain yang lebih layak?

Menutup entri ini, PZ teringat kata-kata Kartini, "agama sepatutnya melindungi kita daripada melakukan dosa, tetapi ramai orang melakukan dosa atas nama agama."   Mesej tajam dalam petikan kata-kata ini tepat berkait dengan realiti semasa di Malaysia pada hari ini. Ya, politik murahan dan kampungan yang cukup memualkan. Mahasiswa sekalian, bangkitlah sebagai cendekiawan untuk menambahbaik bangsamu, jangan biarkan 'jerung-jerung' politik memamah rakus masa depan tanah air!


p/s: PZ syorkan teman-teman untuk mengikuti kisah hidup Kartini dalam filem RA Kartini yang ada dimuatnaik di Youtube dalam 18 bahagian. Selamat menonton!

2 comments:

Mohamad Suffi Kamari said...

Salam Ziarah Abang Wan

Sangat menghargai kupasan karya2 drpd Abang Wan. Keep it up bro!!

The Think Tanker
http://siffusuffi.blogspot.com/

Anonymous said...

saya sangat terkesan sekali dengan kata-kata kartini di akhir entri "agama sepatutnya melindungi kita daripada melakukan dosa, tetapi ramai orang melakukan dosa atas nama agama."
waduh, menginsafkan..