Sunday, April 4, 2010

Ziarah hujung minggu dan adab berkarya



Travel, in the younger sort, is a part of education, in the elder, a part of experience - Sir Francis Bacon

(Foto rakaman lensa PZ di Penyabong, Johor, Januari 2010)


Ziarah Hujung Minggu

Hujung minggu kala pangkal April ini telah PZ habiskan di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Bersama-sama adik-adik siswa siswi dari Kelab In-Smartive, Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 kami imarahkan dengan kem motivasi kepimpinan untuk para pemimpin pelajar sekolah tersebut. 2 April, seusai jadual kerja yang amat padat di pejabat, pekat malam diharungi bersama dua adik siswa yang menemani sehingga tiba di laman Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 lewat 2:00 pagi. Seperti lazimnya, peluang bertugas luar daerah dalam suasana santai seumpama ini amat PZ hargai untuk melonggarkan kejang otot minda yang capek oleh rutin pejabat pada hari biasa.

4 April. Sendirian PZ memandu keluar dari laman Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 kurang lebih jam 11:30 pagi. Masih terlalu awal untuk PZ pulang ke Kuantan, lantas jeda waktu tersebut diisi untuk memenuhi temujanji bersama seorang teman di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Sejak zaman siswa PZ di UIAM hampir 10 tahun lampau hinggalah kini, Amcorp Mall menjadi antara destinasi yang paling kerap PZ lazimi tiap kali hujung minggu sekiranya masa mengizinkan. Tiada apa yang hebat dan gah pada gedung Amcorp Mall ini, malah ia jauh lebih kerdil daripada Times Square atau Midvalley dengan pilihan beli-belah yang agak terbatas. Kalau tidak kerana dua tarikan uniknya - pasar barang lusuh (flee market) setiap hari Ahad dan Excess Book Store yang menawarkan jualan buku pada harga runtuh yang hampir tidak masuk akal, memang takkan terlangkah kaki PZ di gedung ini. Hampir separuh koleksi buku dalam khutub-khanah mini PZ datangnya dari dua tarikan di gedung Amcorp Mall ini.

Dua buku sejarah mencukai RM20.00 dari poket PZ tengah hari tadi. Epic Sea Battles dan The Pictorial History of Air Battles merupakan koleksi terbaharu yang menemani perjalanan pulang PZ ke Kuantan jam 4:00 petang tadi. Walaupun telah agak lusuh dan berusia, namun ilmu, peristiwa dan sejarah yang menghuni sebuah buku takkan lapuk dan sentiasa relevan sebagai rujukan. Sesetengah dari kita mungkin hanya mahu yang segar dan baharu sahaja, namun tidak semestinya yang segar dan baharu itu sentiasa dibaca. Tiba di rumah seawal jam 6:30 petang, kedua-dua buku tersebut terus PZ singkap dan bedah sebagai tatapan awal, satu kelaziman setiap kali datang koleksi baharu. Pelaburan RM20.00 tadi ternyata amat berbaloi, dan pastinya seminggu musafir panjang PZ bermula 5 April ini akan ditemani oleh kedua-dua buku ini.


Adab Berkarya

Akhirnya malam ini, dengan kedua-dua koleksi terkini tersebut di sisi, renyai ilham menitis di laman minda PZ, membolehkan perantauzaman dikemaskini. Ada dua tiga lagi cerita menarik dari Seksyen 7 yang ingin PZ kongsi, namun hanya akan PZ bentangkan dalam coretan akan datang. Walaupun tiap malam sebelum tidur PZ cuba memaksa ilham untuk hadir mencoret sesuatu di sini, namun tak kunjung tiba jua. Ternyata, ilham itu perlu segar untuk dihidang di laman ini, kerana seperti yang PZ wacanakan bersama sekumpulan siswa dan siswi dalam sembang Penulisan Blog Beretika selepas Isya' pada malam PZ berangkat ke Bangi 2 April lalu, blog merupakan sebuah karya sastera. Sebagai sebuah karya sastera, isi kandungan sesebuah blog perlulah digambarkan dengan kesucian bahasa dan adab. Sesebuah sekali-kali tidak boleh dilacurkan dengan cemar keladak dan limbah bahasa sampah, wajah bernanah dan sumpah seranah yang memualkan. 




Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

(Foto dipetik dari http://www.usmm.org/)

Ada orang menyertai laman blog dengan niat tulen untuk berwacana dan berda'wah dengan positif dan hikmah. Tidak kurang juga menjadikan laman blog sebagai medan pemasaran produk secara maya. Itu juga tidak mengapa. Namun, yang jeliknya, ada pula menjadikan laman blog wadah pecah-belah, sama ada disedari atau tidak, tanpa niat atau sebaliknya. Lantas, PZ memohon ketulusan dan keikhlasan nawaitu daripada teman-teman yang ingin berkarya di mana-mana laman blog. Menulis itu satu hal, implikasi dari tulisan itu merupakan satu hal lagi yang perlu diberi perhatian. Pertanggungjawaban (accountibility) adalah obligasi yang sesekali tidak patut dicuai alpakan oleh sesiapa jua pengendali laman blog. Kewarasan akal budi dan halus pertimbangan yang dikurniakan Ilahi perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengelakkan laman blog kita daripada menjadi sumber dosa percuma.

Menutup coretan ini, suka PZ kongsikan petikan firman Ilahi daripada ayat 11 dan 12, Surah al-Hujurat:

“Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan janganlah pula panggil memanggil dengan gelaran (yang tidak baik)…


…jauhilah kebanyakan dari prasangka (andaian terhadap sesama Muslim), kerana sebahagian prasangka itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu, bahawa ia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkainya)? Maka tentu kamu benci memakannya…”



Monday, March 29, 2010

Di ruangan ini

Di ruangan ini aku sendiri
Mencongak datang dan pergi hari.

Di ruangan ini aku berdiri
Melihat yang hadir dan terusir dari sisi.

Di ruangan ini jua
Episod lampau dan baharu silih berganti
Mencorak hidup pelbagai hala
Meneroka luas ruang yang tak bertepi.

Di ruangan ini jualah
Kadangkala kita bersua
Kadangkala kita berpisah
Kadangkala hanya terdengar nama.

Di ruangan ini kini terlantar diri
Meniti hari sendiri
Jerih denai diharungi
Tanpa bekalan di sisi
Sekadar mengharap pada yang sudi
Apakah di sana harapan masih berbaki?


Tuesday, March 23, 2010

Selagi ada nafas



Ilmu kita hanyalah seperti kerdil butir pasir di pantai berbanding luasnya ilmu Allah Taala.
Hari ini kita senyum tawa dan berseronok semahunya hingga alpa maut bisa menjemput pada bila-bila masa. Terlantarlah kita seperti pelepah nipah ini. Terbiar, mereput dan menderita.

(Rakaman lensa PZ di Teluk Lipat, Endau, Johor. Januari 2010).

Sepatutnya sebagaimana rutin, kereta kerdil PZ dipecutkan terus ke rumah setiap kali selesai urusan kerja di pejabat. Kesibukan dan 'disibukkan' dengan tugasan sepanjang minggu menyebabkan PZ amat-amat menghargai sekiranya dapat menikmati suasana siang di rumah pada hari bekerja. Lazimnya menjelang tenggelam suria di ufuk barat, barulah kereta kerdil PZ menjengah laman rumah. Itu yang dihasratkan PZ petang semalam, lantaran segala kerja telah siap menjelang detik 5.30 petang.

Kita merancang, Allah yang menentukan. Sedang kita barangkali termimpi-mimpi untuk bersantai seronok di rumah pada petang hari, rupanya ada insan sakit yang terlupa diziarahi. Lantas, impian asal PZ untuk pulang awal dikorbankan untuk menziarahi seorang siswa, yang PZ kenali dengan agak rapat setelah diberitahu mengenai keseriusan keadaannya. Masuk ICU, ada darah beku di kepala, kehilangan sementara ingatan dan lain-lain; semuanya menolak-nolak PZ untuk memecut ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan sekitar jam 6:00 petang.

Yang sakit diziarahi dan diberi motivasi untuk terus bersemangat, manakala kedua ibu bapanya pula disantuni. Setelah bertanya khabar dan menggali cerita sedikit sebanyak, mengertilah PZ dengan apa yang berlaku dan kagumlah juga dengan semangat hamba Allah ini kerana menunjukkan tanda pemulihan dalam tempoh yang amat singkat, Alhamdulillah!

Menurut jadualnya hamba Allah ini akan dipindahkan ke Hospital Teluk Intan, Perak pada esok pagi, berikutan keadaannya yang kian pulih dan stabil. Jaraknya pun lebih dekat dengan kampung halaman beliau di Kampar. Ibu bapa hamba Allah ini telah hampir dua minggu 'berumah tangga' di HTAA kerana mereka tiada sebarang saudara-mara di Kuantan ini. Namun kedua-duanya mensyukuri dan begitu terharu dengan sikap prihatin dan ihsan warga UMP yang tak putus mengunjungi hamba Allah ini - satu kenyataan yang menyebabkan PZ bangga dengan warga UMP yang prihatin!

Demikianlah, betapa tidak berkiranya orang lain terhadap diri kita jika kita tidak berkira sangat dalam hidup. Sesetengah orang memikirkan bahawa dia punya segalanya, sumber yang cukup dan keselesaan hidup sehingga takabbur menabur kata bahawa dia tidak perlu bergantung dengan orang lain. Angkuh dan bongkaknya manusia, sedangkan bukan kita yang menanam diri sendiri ke dalam liang lahad pabila hayat berakhir nanti. Orang lain jualah yang akan memandi, mengkafan, membawa, menanam dan mentalkinkan kita.

Macam kes hamba Allah ini. Tak tersangka langsung oleh beliau untuk diuji dengan kecelakaan di jalanan ke bandar Kuantan untuk menukar kaca mata. Kita juga begitu. Susuk tubuh yang gagah dan kuat serta kesihatan yang stabil tidak menjamin tubuh lemah kita daripada remuk dibantai kenderaan atau haiwan akibat kemalangan. Ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa terjangka!

Perjalanan pulang PZ ke rumah selepas itu diisi dengan muhasabah di atas. Terbayang-bayang PZ betapa sedikitnya amal kebaikan yang telah dilakukan. Bagaimana pula jika tetiba nyawa dicabut tatkala memandu kereta atau tika tidur lena? Apa bekalan yang hendak dibawa menghadap-Nya jika tidak siap siaga? Terbawa-bawa kemusykilan itu hingga tiba di rumah jam 9.05 malam hinggalah saat hendak melelapkan mata. Syukur pagi ini kerana masih bernafas seperti biasa, tetapi adakah keistimewaan ini terus ada pada esok pagi pula? PZ istighfar panjang...


Monday, March 22, 2010

Merencana Kelana

Merencana Kelana - ke mana arah kita?

...sungai yang tenang?

...ladang nan menghijau?

...samudera luas?

...atau puncak tanah tinggi?

(Rakaman lensa PZ di Kuala Kangsar, Perak; Chuping, Perlis; Kuala Perlis dan Gunung Jerai, Kedah.
Disember 2009)

Bahang hawa Februari dan Mac berselang-seli dengan lesu curahan hujan sesekali. Akibat terlalu tertekan dengan cuaca hangat atau timbunan kerja yang silih berganti mengisi hari barangkali, menyebabkan tumpuan PZ sedikit celaru dalam tempoh sebulan ini. Mengejar sesuatu di sini, dikejar sesuatu di sana dan ke hulu ke hilir, akhirnya perantauzaman seolah terbiar tanpa kunjungan.

Di sebalik tekanan akibat hangat hawa tersebut, hati PZ sedikit terhibur. Seperti biasa, rasa stres akibat kerja yang tidak ada noktahnya kerapkali diredakan dengan aktiviti dan diskusi bersama para pelajar. Senang dan tenang sekali meraikan kunjungan mereka ke pejabat, mendapatkan pandangan dan nasihat PZ, terutamanya dalam hal-hal bersangkutan pengurusan acara, protokol dan perhubungan dengan Naib Canselor. Dengan sabar PZ layan dan tunjuk ajar, supaya segalanya jadi ilmu untuk dijadikan panduan untuk para pelajar ini pasa masa muka, khususnya apabila bekerjaya kelak.

Kesanggupan para pelajar ini untuk belajar sesuatu yang baharu, sekaligus melebarkan kemahiran yang tidak diajar di dewan kuliah benar-benar membuat PZ seronok dan sukacita. Semangat yang diperlihatkan serta kesudian mengorbankan masa hujung minggu mereka yang cukup berharga turut memotivasikan PZ untuk turut melapangkan masa untuk memenuhi jemputan mereka. Justeru, selama sehari suntuk pada 12 Mac yang lalu, PZ berwacana bersama kepimpinan PERKASA atau Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Awam & Sumber Alam UMP dalam Bengkel Dinamika Organisasi yang julung-julung kali dianjurkan. Inisiatif yang cukup baik dan amat wajar menerima pujian.



Mampukah mereka merealisasikan wawasan untuk menjadi
pertubuhan mahasiswa bertaraf Nombor 1?
Dengan pengisian yang telah diwacanakan, diharapkan mereka
upaya menggalas cabaran tersebut.

 
PERKASA mendahului pertubuhan-pertubuhan pelajar lain di Universiti ini untuk mengail input positif dan strategik mengenai pembangunan dan kelestarian organisasi, satu aspek yang jarang-jarang sekali diberi perhatian oleh pertubuhan-pertubuhan pelajar lain di UMP, kerana mentaliti 'program' yang terlalu tebal. Apa yang akan berlaku kepada persatuan yang dipimpin untuk jangka waktu panjang tidak diambil pusing, berjawatan sekadar menghangatkan kerusi, ibarat tayar, dibuang juga akhirnya pabila haus dan lusuh, walau apa jua jenamanya.

Maka, 12 Mac lalu diisi dengan perkongsian dan pewacanaan mengenai Built to Last, How the Mighty Fall dan Decision Making, kebanyakannya dikupas dari pemikiran Jim Collins. Perlu PZ nyatakan bahawa kumpulan yang PZ hadapi pada hari tersebut sangat-sangat interesting, dan PZ juga bersemangat untuk meneruskan pembentangan hingga detik 5:00 petang. Jika ditanya adik-adik dari PERKASA yang turut serta dalam bengkel tersebut, pastinya yang paling menarik ialah kupasan mengenai rahsia di sebalik bulan kelahiran, ilmu yang PZ timba daripada Dato' Dr. Fadzillah Kamsah. Kepada barisan kepimpinan PERKASA, syabas PZ ucapkan dan terima kasih kerana sudi menjemput PZ. Kejar tekad kalian untuk menjadi Number One!

Ibarat air yang mencurah mengisi dasar kolam yang kontang, bertalu-talu pula jemputan yang mengetuk laman diari PZ selepas 12 Mac. Tiada masalah untuk PZ penuhi, namun hambatan masa menuntut PZ waspada menyeimbangkan keperluan jemputan dan tuntutan kerjaya. Dalam susah payah itu, PZ beri komitmen untuk dua jemputan, pertama Motivasi Pelajar Tingkatan Enam Daerah Pekan pada 25 Mac di Pekan dan kedua, Seminar Pengurusan Majlis Mahasiswa pada 27 Mac di UMP Kampus Gambang. Sekali lagi, kesungguhan yang ditunjukkan penganjur menyebabkan PZ serba salah untuk menghampakan mereka.

Komitmen telah dimuktamad, maka janji perlu dipenuhi. Seusai menerima jemputan untuk acara 25 Mac, terpinga-pingalah PZ mencari tajuk yang sesuai. "Terpulang bentuk motivasi yang hendak diberi, yang penting Encik Wan sudi", ujar Puan Anizah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Abdullah, Pekan di hujung gagang ketika merisik tarikh PZ. Audien yang bakal PZ hadapi adalah para pelajar Tingkatan Enam, maka kaedah penyampaiaannya perlu lebih matang dan 'dewasa' serta terarah. Hampir lima hari PZ bergelut sendiri, sehinggalah suatu malam laut fikir PZ mendaratkan satu idea - Merencana Kelana.

Sepanjang hujung minggu 20 dan 21 Mac PZ menghadap skrin komputer riba, merekabentuk story board menyediakan slaid power point untuk Merencana Kelana. Dengan mauduk yang dibawa, para audien akan dibawa menelusuri realiti, sekaligus menjadi realistik menghadapi cabaran selepas STPM. Seronok bermain dengan aneka foto beraneka rona untuk menghiasi slaid, PZ tenggelam dalam dunia power point sepanjang hujung minggu 20 dan 21 Mac.

Tajuk ini juga memotivasikan PZ untuk merencana kelana yang seterusnya. Telah hampir empat bulan 2010 diziarahi, namun belum PZ langkahkan kaki untuk kelana seterusnya. Hasratnya ada, dan jika diizinkan Allah Taala, April dan Mei akan diisi dengan kelana yang baharu. Cuma satu persoalan, ke mana arah tuju kelana PZ selepas ini?


Sunday, February 28, 2010

Panas!

Mundar-mandir PZ di laman teratak leluhur, memerhati cerah langit malam penghujung Februari. Telah dua bulan tahun 2010 kita lewati dan kini Mac bakal melangkah tiba. Walau tidak sedingin biasa, bayu malam di kampung halaman ini ternyata lebih nyaman berbanding apa yang PZ rasai dua malam lepas.

Cuti Maulidurrasul 1431 Hijrah telah PZ isi dengan musafir di Kuala Lumpur, bersua sahabat-sahabat yang rapat sambil bertukar pelbagai kisah dan cerita, di samping 'melaburkan' wang di beberapa lokasi beli-belah pilihan PZ. Tanggal Khamis 25 Februari, seusai kerja di pejabat, terus saja PZ memecut ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, berkesempatan pula mengikuti ceramah khas Maulidurrasul di Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta yang disampaikan Ustaz Zahazan Mohd. Sekitar 10.30 malam, kereta PZ menjengah laman Sentul West dan bertamu di KLPAC (Kuala Lumpur Performing Arts Centre). Sebagai peminat seni, PZ luangkan malam tersebut bersembang (atau barangkali lebih banyak mendengar dek kepenatan!) bersama Radhi Khalid, seorang pelakon, dramatis dan pelawak yang PZ kira amat dikenali teman-teman dan seorang sahabat rapat PZ yang kini menjadi pelakon teater sepenuh masa.

Bukan isi sembang seni kami yang berakhir sekitar jam 1.30 pagi di sebuah warung India Muslim di Jalan Ipoh yang ingin PZ kongsikan bersama teman-teman pada malam ini. Mauduk kali ini amat mudah - CUACA. Berbeza sekali perit cuaca panas di Kuala Lumpur berbanding Kuantan. Pada perkiraan PZ, teman-teman di Kuantan masih upaya tidur lena di malam hari walaupun panasnya menggigit-gigit kulit pada waktu siang. Kala di KLPAC tempoh hari, lencun tubuh PZ oleh peluh kerana malam yang amat hangat, diburukkan lagi dengan kematian angin. Itu cerita sebelah malam, maka pastilah sebelah siangnya lebih perit!

Angin panas yang agak luar biasa ini boleh sahaja dikaitkan dengan pelbagai punca. Pemanasan global, pembakaran hutan, peralihan musim dan pelbagai lagi. Rata-rata mengeluh. Diberitakan ada rakan-rakan di Lembah Klang yang tidak dapat melelapkan mata hingga awal fajar kerana panas berpanjangan. Jualan kipas dan alat pendingin hawa pula telah meningkat hingga 30%, semuanya kerana ingin lebih selesa.

Sepanjang pemanduan pulang ke Kuantan awal tengah hari 27 Februari, PZ rentangkan muhasabah panjang berhubung cuaca panas sekarang. Kesimpulannya amat menggerunkan diri kerdil yang daif dan jahil ini. Cuaca sepanas 36' Celcius pun tidak sanggup untuk kita menghadapinya. Bagaimana agaknya keadaan kita kala perhimpunan Mahsyar nanti? Tidak terbayangkan oleh PZ, matahari yang hanya sejengkal dari tubuh, dan sesetengah yang menunggu perhitungan itu lemas dalam peluh mereka sendiri kerana dahsyat hangat matahari Mahsyar! Ya, Allah Ta'ala itu tidak diperlu diragui lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Disuakan kita dengan ujian kepanasan cuaca ini untuk direnung dan diambil iktibar. Apalah sangat panas 36' Celcius berbanding panas perhimpunan Mahsyar? Beruntunglah mereka yang mengambil pengajaran.


Sunday, February 21, 2010

Munsyi

Ternyata sekali bahawa Februari kali ini benar-benar menguji kelasakan minda dan ketahanan diri. Tidak cukup dengan urusan kerja, berduyun pula bertandang hal-hal bersifat peribadi. Mahu sahaja dipanjangkan waktu menjadi 25 atau 30 jam sehari semalam, tetapi manakan itu mungkin, dan sekali pun mungkin, pasti tidak akan juga mencukupi kerana tabiat manusia itu sentiasa tidak puas dengan apa yang ada padanya.

Pendeknya tempoh istirehat selepas kerja mutakhir ini mula menampakkan kesannya pada kesihatan PZ. Bermula dengan kegatalan kerongkong dan hidung berair, ia membiak menjadi demam dan kelesuan yang amat sangat. Jalan mudahnya pastilah bercuti, namun kehadiran sejumlah perkara dalam senarai prioriti kerja dan peribadi menutup terus lintasan minda PZ untuk mengambil cuti rehat barang sehari dua.

Dalam kesibukan dan kelesuan itu, merangkak-rangkak jugalah PZ menelaah Hikayat Abdullah, sebuah karya Allahyarham Abdullah Abdul Kadir Munsyi, yang lebih kita kenali sebagai Munsyi Abdullah. Allahyarham dikenang sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden dan karya-karya beliau, antaranya Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah mengemukakan aliran dan citra baharu dalam penulisan sastera Melayu yang dilatari suasana sekitar Semenanjung Tanah Melayu, khususnya Melaka dan Singapura pada 50 tahun pertama kurun ke-19.

Pemerhatian, analisis dan kritikan beliau terhadap peristiwa dan masyarakat pada zamannya serta gaya penulisan yang melangkaui latar masa menjadikan Munsyi Abdullah seorang penulis yang istimewa pada hemat PZ. Munsyi bukanlah nama beliau, sebaliknya perkataan tersebut membawa makna "guru yang mengajar bahasa" dan inilah kerjaya Allahyarham semasa hayatnya. Tidak sedikit bangsa Eropah yang berguru Bahasa Melayu dengan beliau di Melaka dan Singapura, dan ini dikisahkan dengan jelas dalam Hikayat Abdullah.

Memang menarik bercerita tentang tokoh unik ini dan adalah menjadi hasrat PZ untuk mengupas lanjut mengenai riwayat hidup dan intipati penulisan Allahyarham, khususnya yang dinukilkan dalam Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah dalam entri-entri akan datang. Jika Allahyarham ditakdirkan berada di Eropah, pastinya nama beliau akan sebaris dengan tokoh-tokoh seperti Dickens, Conrad dan Stevenson. Sayang sekali, hanya segelintir anak muda tanahair yang mengenali Allahyarham dan menekuni karya-karyanya. Ternanti-nanti juga PZ siapakah pengarah dan penerbit drama atau filem yang punya kesedaran untuk mengadaptasi bab-bab dalam Hikayat Abdullah kepada bentuk drama bersiri dan membawa Hikayat Pelayaran Abdullah ke layar perak? Pengarah yang teliti tentu sekali dapat mengukir adapatasi karya-karya ini dengan penuh dramatik dan realistik, sebagaimana watak detektif Hercule Poirot rekaan penulis Agatha Christie diangkat menjadi drama bersiri yang cukup popular satu ketika dahulu. Tidak kalah juga rentetan peristiwa dalam Hikayat Pelayaran Abdullah jika dibandingka dengan apa yang kita tonton dalam filem Master and Commander dan Pirates of the Carribean sebagai misal.

Tidak percaya? Cuba teman-teman baca sepintas dahulu salah satu atau kedua-dua karya Allahyarham yang PZ nyatakan tadi. Tidak perlu ke toko buku, layari sahaja Internet dan dengan mudah karya ini dapat dibaca melalui mana-mana enjin carian. Cukup setakat ini dahulu kali ini. Akan kita kenali Munsyi Abdullah dan gagasan pemikirannya dalam entri akan datang.

Tuesday, February 16, 2010

Kisah Sesumpah


Chamaeleonidae - ciptaan Ilahi untuk direnung dan ditimba iktibarnya.
Jangan pula kita berwatak sesumpah dalam hidup hanya untuk menjaga kepentingan sendiri.

(Foto dipetik dari wikipedia)

1:04 minit tengah hari. Kereta kerdil PZ direhatkan seketika di laman parkir Masjid Jame' Bukit Sekilau di pinggir Bandar Kuantan. Hangat tengah hari 15 Februari sedikit menyengat, lantas enjin kereta terus dihidupkan bagi mendapatkan hembusan dingin alat penyaman udara sementara menanti tibanya seorang teman PZ. Dalam luang ruang waktu itu PZ lebarkan perhatian ke sekeliling laman parkir. Sunyi sepi. Sebuah Perodua Viva putih  pegun di tengah laman parkir menadah bahang suria, manakala di satu sudut lagi, sebuah lori ais menumpang rimbun pohon di tepi pagar sambil pemandunya berehat di bangku kecil, barangkali menanti azan fardhu Zuhur.

Leka dengan kekakuan suasana tersebut, tiba-tiba lensa mata PZ terhenti di dahan palma bersebelahan petak parkir kereta kerdil PZ. Besar kecil mata rabun PZ dilaraskan untuk mengamati objek di sebelah, berubah-ubah warnanya menurut suasana. Ya, seekor sesumpah! 29 tahun hayat PZ, inilah antara beberapa kali yang tidak berapa banyak PZ dapat melihat makhluk Allah yang unik ini. Nampaknya sang sesumpah di depan mata PZ ini sedang asyik mencari habuan tengah harinya. Berlegar-legar ia di dahan pohon palma yang sedang lebat berbunga, dengan samaran warna tubuhnya, memamah kumbang yang menghirup madu si bunga palma. Dalam kelekaan PZ memerhati lagak sang sesumpah, telefon bimbit berdering, si teman telah tiba dan sang sesumpah PZ tinggalkan di pohon palma. Walau sebentar cuma masanya, lagak sang sesumpah tadi menerbangkan ilham ke kotak fikir PZ untuk mengukir entri kali ini.

Segala apa yang dibentuk, direka dan dijadikan oleh Maha Pencipta adalah untuk ditaakul dan ditekuni olej kita selaku hamba-Nya. Seingat-ingat PZ, ada satu ayat dalam al-Qur'an mengenai perkara ini, bahawa segala apa yang ada di langit dan di bumi adalah untuk difikir dan diambil pengajaran daripadanya. Nah, lihat sahaja apa yang bisa diinsafi daripada unik kejadian seekor sesumpah, belum lagi kita dalami hikmah penciptaan makhluk-makhluk lain atau iktibar kejadian alam. "Ada mata pandang, ada mulut cakap, ada telinga dengar..." teringat PZ kepada lirik lagu Yang Remeh dan Yang Temeh dendangan penyanyi Pak Pandir sekitar tahun 1992, kala PZ berada di tahun 6 sekolah rendah.

Bercakap tentang sesumpah, haiwan reptilia berdarah sejuk ini tergolong dalam keluarga cicak. Boleh ditemui dalam 160 spesis yang berbeza, haiwan ini bersemenda hampir di setiap benua. Sesumpah boleh dijumpai dalam saiz kecil dan sederhana di belantara tropika, padang pasir, savanna dan lain-lain. Sifatnya yang paling kita kenali ialah keupayaan tubuhnya untuk berubah warna mengikut keadaan persekitaran. Kelebihan besar ini tidak Allah Taala kurniakan kepada haiwan yang jauh lebih besar seperti harimau atau gajah, tetapi kepada sesumpah yang berpuluh kali jauh lebih kerdil dari si harimau dan sang gajah. Semuanya dalam ilmu Allah Taala yang boleh kita tekuni dan insafi.

Keunikan sesumpah yang boleh berubah warna inilah yang sering menyebabkannya dijadikan kias ibarat dalam masyarakat kita untuk merujuk kepada individu yang tidak tetap pendirian. Dalam hal ini, PZ ingin melebarkan lagi kias ibarat itu untuk meliputi individu-individu malang yang sama ada disedari atau tidak, tergolong dalam spesis oportunis, talam dua muka dan takut menghadapi risiko.

Menarik sekali kan, sesumpah mengubah warna tubuhnya sebagai samaran untuk memerangkap bakal habuan perutnya tanpa disedari si mangsa. Diterjemahkan pula kepada alam manusia, individu berstatus 'sesumpah' cuba menempatkan dirinya di setiap kumpulan dan kelompok, berbicara seolahnya senada dalam satu suara, tapi cepat-cepat pula menukar irama apabila berada dalam kelompok yang berbeza. Analisa umum PZ mendapati bahawa individu berwatak 'sesumpah' ini lazimnya terdiri daripada mereka yang ingin mencari atau mengekalkan populariti, "tunjuk baik", atau dalam banyak situasi, mencari laba peribadi demi kepentingan politik sendiri (politik di sini bisa merujuk politik partisan, politik pejabat atau politik kelompok), termasuklah MENGAMPU!

Lebih menarik lagi, manusia-manusia yang menerima sumpahan 'kenan sesumpah' ini banyak berselerak dalam masyarakat. Tetapi waspada! Amat mendukacitakan apabila sumpahan-sumpahan sesumpah ini mula membiak dalam kampus; asalnya tidak ramai, cuma dalam kalangan segelintir jentera pentadbiran, dan mutakhir ini sumpahan ini terkena pula anak-anak muda yang sepatutnya menjadi cendekiawan muda, tetapi tersasar arah dan menukar spesis menjadi sesumpah.

Individu-individu sesumpah ini merasakan diri mereka licik dan pandai, tapi siapalah mereka dibandingkan kebijaksanaan Allah Yang Maha Kuasa. Sepanjang hampir enam tahun perkhidmatan PZ, banyak sudah individu sesumpah ini PZ temui, dan dengan mudah lagak dan permainan mereka dapat dihidu, kerana lazimnya individu malang ini terlalu bermuka-muka dan over-expressed. Justeru, PZ lebih selesa sendiri, tidak perlu bernaung dalam mana-mana kelompok atau kem, kerana sesumpah-sesumpah ini ada di mana-mana. Jika dilayan, buruk padahnya. Lain yang kita ceritakan, lain pula yang sampai ke sebelah sana.

Jika diamat-amati, individu sesumpah ini selalunya ingin play safe supaya kepentingan dirinya tidak terjejas. Pernah PZ saksikan sendiri, bagaimana individu sesumpah ini sanggup mencederakan imej dan reputasi orang lain hanya untuk memelihara kedudukannya. Dengan manis muka dan lagak tawaddu', individu ini mungkin mendekati kita untuk menggali cerita, dan apabila berada di kelompok berbeza pula, kepoh kecoh bicaranya ibarat burung unta yang gagal bertelur. Sang sesumpah ini bijak mengatur strategi, menjaja cerita di kelompok sana, membawa cerita lain di kumpulan sini, menuang najis fitnah dan memburukkan orang lain di hadapan pimpinan organisasi dan bermacam lagi. Berhati-hatilah wahai teman-teman, memang kita dianjurkan berbuat baik dengan semua orang, tetapi pada masa yang sama kita dikurniakan akal oleh Allah Taala untuk membuat penilaian dengan panduan-Nya.

Lebih hebat lagi jika didalami, individu sesumpah ini bertenggek senang hampir di setiap peringkat, jentera pentadbiran, jentera sokongan, pimpinan pelajar, dan pelajar biasa. Bukan calang-calang juga, ada yang tergolong dalam kumpulan overseas graduates, ulat buku dan alim-alim kucing. Ibarat pelakon bangsawan yang boleh membawa aneka peranan, demikian jugalah watak individu sesumpah ini.

Rumusan PZ amat mudah. Individu berspesis sesumpah ini sebenarnya takut menghadapi realiti dan gusar dengan bayang-bayang sendiri. Kerana wujud kepentingan peribadi yang hendak dijaga, integriti dan maruah organisasi ditolak ke tepi. Akhirnya, walaupun telah lapan tahun kampus ini wujud (16 Februari 2010 adalah ulang tahun pengasasan UMP ke-8), sikap, sifat dan paradigma segelintir warganya tetap sama. Paling menakutkan, gejala individu sesumpah ini mungkin sampai ke tahap kebenaran tiada lagi berani disuarakan, yang banyak adalah cakap dan tikam belakang, mengadu domba dan berebutkan kuasa dan jawatan dunia yang hanya sementara. Perjalanan Universiti ini masih jauh dan menara kesarjanaan ini perlu dipelihara daripada buruk wajah si sesumpah.

Teman-teman, berhati-hatilah, jadilah dirimu sendiri, tidak perlu terikut-ikut dan meniru-niru gaya lagak orang lain, apatah lagi si sesumpah. Harapkan pandangan-Nya, bukan pandangan manusia biasa.