Tuesday, March 23, 2010

Selagi ada nafas



Ilmu kita hanyalah seperti kerdil butir pasir di pantai berbanding luasnya ilmu Allah Taala.
Hari ini kita senyum tawa dan berseronok semahunya hingga alpa maut bisa menjemput pada bila-bila masa. Terlantarlah kita seperti pelepah nipah ini. Terbiar, mereput dan menderita.

(Rakaman lensa PZ di Teluk Lipat, Endau, Johor. Januari 2010).

Sepatutnya sebagaimana rutin, kereta kerdil PZ dipecutkan terus ke rumah setiap kali selesai urusan kerja di pejabat. Kesibukan dan 'disibukkan' dengan tugasan sepanjang minggu menyebabkan PZ amat-amat menghargai sekiranya dapat menikmati suasana siang di rumah pada hari bekerja. Lazimnya menjelang tenggelam suria di ufuk barat, barulah kereta kerdil PZ menjengah laman rumah. Itu yang dihasratkan PZ petang semalam, lantaran segala kerja telah siap menjelang detik 5.30 petang.

Kita merancang, Allah yang menentukan. Sedang kita barangkali termimpi-mimpi untuk bersantai seronok di rumah pada petang hari, rupanya ada insan sakit yang terlupa diziarahi. Lantas, impian asal PZ untuk pulang awal dikorbankan untuk menziarahi seorang siswa, yang PZ kenali dengan agak rapat setelah diberitahu mengenai keseriusan keadaannya. Masuk ICU, ada darah beku di kepala, kehilangan sementara ingatan dan lain-lain; semuanya menolak-nolak PZ untuk memecut ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan sekitar jam 6:00 petang.

Yang sakit diziarahi dan diberi motivasi untuk terus bersemangat, manakala kedua ibu bapanya pula disantuni. Setelah bertanya khabar dan menggali cerita sedikit sebanyak, mengertilah PZ dengan apa yang berlaku dan kagumlah juga dengan semangat hamba Allah ini kerana menunjukkan tanda pemulihan dalam tempoh yang amat singkat, Alhamdulillah!

Menurut jadualnya hamba Allah ini akan dipindahkan ke Hospital Teluk Intan, Perak pada esok pagi, berikutan keadaannya yang kian pulih dan stabil. Jaraknya pun lebih dekat dengan kampung halaman beliau di Kampar. Ibu bapa hamba Allah ini telah hampir dua minggu 'berumah tangga' di HTAA kerana mereka tiada sebarang saudara-mara di Kuantan ini. Namun kedua-duanya mensyukuri dan begitu terharu dengan sikap prihatin dan ihsan warga UMP yang tak putus mengunjungi hamba Allah ini - satu kenyataan yang menyebabkan PZ bangga dengan warga UMP yang prihatin!

Demikianlah, betapa tidak berkiranya orang lain terhadap diri kita jika kita tidak berkira sangat dalam hidup. Sesetengah orang memikirkan bahawa dia punya segalanya, sumber yang cukup dan keselesaan hidup sehingga takabbur menabur kata bahawa dia tidak perlu bergantung dengan orang lain. Angkuh dan bongkaknya manusia, sedangkan bukan kita yang menanam diri sendiri ke dalam liang lahad pabila hayat berakhir nanti. Orang lain jualah yang akan memandi, mengkafan, membawa, menanam dan mentalkinkan kita.

Macam kes hamba Allah ini. Tak tersangka langsung oleh beliau untuk diuji dengan kecelakaan di jalanan ke bandar Kuantan untuk menukar kaca mata. Kita juga begitu. Susuk tubuh yang gagah dan kuat serta kesihatan yang stabil tidak menjamin tubuh lemah kita daripada remuk dibantai kenderaan atau haiwan akibat kemalangan. Ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa terjangka!

Perjalanan pulang PZ ke rumah selepas itu diisi dengan muhasabah di atas. Terbayang-bayang PZ betapa sedikitnya amal kebaikan yang telah dilakukan. Bagaimana pula jika tetiba nyawa dicabut tatkala memandu kereta atau tika tidur lena? Apa bekalan yang hendak dibawa menghadap-Nya jika tidak siap siaga? Terbawa-bawa kemusykilan itu hingga tiba di rumah jam 9.05 malam hinggalah saat hendak melelapkan mata. Syukur pagi ini kerana masih bernafas seperti biasa, tetapi adakah keistimewaan ini terus ada pada esok pagi pula? PZ istighfar panjang...


No comments: