Wednesday, December 22, 2010

Pulang jua

Mengharungi penerbangan pulang dari kota Tian Jin selama enam jam, PZ selamat tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) tepat jam 10:00 malam, 20 Disember. Berbaris panjang untuk urusan imigresen, bersesak pula di lapangan tuntutan bagasi dan mengisi perut dengan santapan larut malam, LCCT hanya ditinggalkan lewat jam 12:30 tengah malam, 21 Disember. Tiba di teratak PZ empat jam setengah kemudian, PZ hanya dapat lena seusai solat Subuh, itu pun hanya untuk empat jam sahaja!

Ya, hampir seminggu PZ kembali semula ke Republik Rakyat China yang telah PZ tinggalkan bulan Jun lepas. Bezanya hanya musim. Kala ziarah pertama enam bulan lalu, kota Beijing masih suam dengan awal musim panasnya, dan berbeza benar kali ini, tubuh kering PZ digigit kedinginan melampau musim sejuk, hingga menjangkau -10'Celcius! Satu pengalaman baharu buat PZ.

Sesekali berkelana menjauhkan diri dari timbunan kerja dan masalah di pejabat ternyata menjadi riadah minda yang amat berkesan. Meskipun amat meletihkan, namun ia terbit dari perencanaan sendiri, tiada kaitannya dengan urusan rasmi yang dibayangi protokol dan peraturan yang menjengkelkan. Kita bebas merencana sendiri dan mengembara dengan berdikari.

Kembali semula ke tanah air, PZ syukur kerana segalanya sempurna terlaksana. Walau sehebat mana pun negeri orang, namun tempat sendiri juga yang lebih selesa. Buat PZ, tahun baharu 2011 yang kini berada di ambangnya menakung satu titik soal besar - ke mana arah PZ selepas ini?

Saturday, November 13, 2010

Dia Maha Mengetahui

Mendung langit tengkujuh nampaknya awal benar hadir tahun ini. Telah 12 hari November merangkak masuk untuk melengkapkan peredaran tahun 2010 dan sepanjang tempoh itu, hampir setiap hari bumi dibasahi titik hujan yang silih berganti renyai, sederhana dan lebat. Syukur kerana lebat tengkujuh tahun ini telah awal dicerap, justeru dapat PZ katakan bahawa di pelbagai peringkat, kelihatan persediaan yang baik terencana untuk menghadapi kemungkinan bencana bah. Itulah yang sepatutnya. Berupaya membuat jangkaan dan bersedia dalam perimeter ramalan itu. Pelan tindakan telah disusun, sekaligus mengurangkan budaya "sudah terhantuk baharu terngadah" dan buat kerja pada saat akhir, yang kerap mencacatkan persepsi massa kepada sesetengah agensi dan jabatan kerajaan. Harapan PZ, biarlah indah perencanaan pada dada kertas itu molek diterjemah di peringkat pelaksanaan kelak.

Tanpa menghiraukan hari yang basah ini, PZ mengharung pangkal malam untuk meluangkan masa berjeda bersama seorang sahabat. Enak bersembang bertemankan kopi secangkir, pelbagai perkembangan jadi bahan tukaran bualan. Kebanyakannya berkisar dalam lingkungan perencanaan tahun baharu PZ, yang telah banyak kali PZ kiaskan dalam puisi-puisi yang mengisi perantauzaman  sebelum ini. Banyak sekali petunjuk dan petanda yang PZ perolehi minggu ini. Berpaksikan panduan yang PZ pinta dalam doa kepada-Nya, pelbagai perkembangan yang melatari minggu ini cukup membantu PZ mencatur pilihan dan seterusnya memuktamadkan keputusan. Amat-amat PZ insafi bahawa tiada banyak lagi masa yang berbaki. Permulaan tahun baharu 2011 perlu diengkapkan dengan perancangan rapi mengenai laluan kerjaya yang melorongkan kelana penghidupan PZ.

Alhamdulillah, walaupun mungkin awal benar untuk PZ menetapkan laluan yang bakal diikuti selepas ini, namun baharulah sekarang dapat PZ rasakan keupayaan yang lahir dari diri untuk menyakini keputusan yang akan dibuat. Kunci-kunci jawapan kepada beberapa soalan penting berhubung laluan kerjaya dan kelana PZ telah memberikan tindak balas, lantas membolehkan PZ menyusun rentak dan langkah seterusnya.
 
Pun begitu, PZ amat menginsafi hakikat bahawa apa jua pilihan yang bakal dimuktamadkan, diri ini tidak dapat memuaskan hati semua orang. Atas kesedaran bahawa if you want to satisfy everybody, you will satisfy nobody, PZ perlu menimbangkan opsyen yang paling baik dan bermanfaat untuk kebajikan diri ini buat masa sekarang. Pastinya akan ada yang mempersoal dan mempertikaikan apa jua keputusan yang akan dibuat, namun biarlah mereka terus-terusan begitu. Pada PZ, Allah Ta'ala jualah yang Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu.

Thursday, November 11, 2010

"Tiada lagi ragu"

Berliku-liku denainya ditempuhi
Meranduk payau rawa
Mendaki tinggi gunung
Menuruni cangkat lembah
Calar-balar cakar duri menggarisi
Kematu telapak menjejaki
Ceruk sudut diterokai
Mencari pengertian hakiki.

Rentak persoalan bertingkah iramanya
Di celah sulam simpulan duka dan suka
sambil lagu silam dan hari muka didendang
di ambang persimpangan
...memori, nostalgia dan pilihan
...dan seri wajah-wajah meruntun jiwa.

Berliku-liku denainya
Rumit sulit timbang nilainya
merumus saksama caturan
...agar tiada cedera tiada luka
...agar pengorbanan sekali ini
berlaba mulia
di hujung hari muka.

Hampirlah sudah
liku-liku denai itu disusur sendiri
sukakah sebaliknya
harus wujud jawapannya
harus ada bicara putusnya
supaya tiada tersungkur lagi
oleh rapuh yakin diri
telah jiwa bicara:
"Tidak untuk kali ini!"
detik telah menyapa
doa ditadah mohon pada-Nya
tiada lagi ragu
untuk aku ceria berlagu:
"Ya, masanya telah tiba!"

Tuesday, November 9, 2010

"Bersama Tengkujuh November"

Basah laman hati
Kala tengkujuh November menyirami
bersama gema angin badai pesisir
hadirlah ia sekali lagi
di hujung jalur tahun
mengisi ruang nan sepi.

Basah laman hati
Oleh lelah keringat perah fikir
menerjah segenap penjuru arah
menjejaki kunci tembok masalah
merungkai lilit persoalan
menghambat diri
di tengah sunyi perjalanan ini.

Basah laman hati
Jiwa menakung titis tangis
angin badainya seolah tak tertangkis
...ceria dihakis
...senyum dikikis
...tawa ditepis
ke manakah sekaliannya habis?

Basah laman hati
disapu seorang diri
cukuplah yang lain sekadar memerhati
tiada dipaksa untuk memahami
biarlah diri itu sendiri mencari
pedih parah dideritai
biarpun tiada siapa di sisi...
Bersama tengkujuh November
...biarkan derita itu berlalu pergi.


Friday, November 5, 2010

"Ditelan mati emak..."

November. Kurang dua bulan lagi tahun baharu 2011 akan menjengah. Beralihlah lagi putaran masa dan berubahlah pula warna suasana. Cuma persoalannya, adakah kita semua akan terus berada di pentas dan tahap yang sama? Sukar sekali untuk diramal, apatah lagi dengan perkembangan mutakhir, terutamanya yang bersangkutan dengan kehidupan PZ.

Kembara PZ ke Kuala Kangsar telah hampir seminggu disudahkan. Singkat cuma, namun mengandungi aneka makna dan pengertian. Mengeratkan ukhuwwah, dan pada masa yang sama melebarkan jaringan silaturrahim. Ya, indah sekali jika semangat persaudaraan seagama itu dihayati sepenuhnya. Menghormati kepelbagaian ragam manusia dan menerima perbezaan dengan hati yang lapang lagi terbuka. Aman kehidupan dan ceria dunia. Tiada nilai untuk dipaksakan dan tiada resam untuk dilazimkan. Dalam erti kata yang lain, menerima seadanya.

Kembali semula ke laman kehidupan biasa, terasa sekali bahawa telah hampir benar ketikanya untuk PZ membuat pilihan lagi. Telah lama babak ini PZ tinggalkan, dan begitu berat bagi PZ untuk mengulangnya lagi. Namun, jika itulah ketentuan dan keperluan yang terbaik untuk diri ini buat masa sekarang, maka redhalah PZ untuk menabahkan hati menghadapinya. Kosong ruang masa yang panjang merentang sejak berakhirnya Majlis Konvokesyen Ke-5 pada 9 Oktober lalu sehinggalah saat ini telah melorongkan kotak fikir PZ untuk menaakul dan mencatur, dan seterusnya menetapkan arah tujuan bagi tahun 2011. Situasinya tidaklah mudah berbanding masa-masa yang lalu, memandangkan beban, komitmen dan tanggungjawab yang tidak pernah menipis. Segalanya menuntut sehalus-halus pertimbangan, penilaian dan perhitungan.

Menyorot perkembangan-perkembangan yang disaksikan dan alami minggu ini, minda cetek PZ menduga bahawa ada alamat dan petanda yang jelas untuk segera membuat pilihan dan memuktamadkan keputusan. Dalam suasana yang dibayangi keyakinan dan ketidakpastian yang silih berganti hadir, begitu sukar untuk PZ menopangkan diri pada pelantar yang benar-benar stabil. Maka, rujukan kepada Yang Maha Pencipta jualah yang lebih awla dalam situasi genting seumpama ini. Ibaratnya seumpama "ditelan mati emak, diluah mati bapak."

Dalam ketidakyakinan itu, PZ berterima kasih kepada mereka di sekeliling PZ yang memahami dan sentiasa setia memberi sokongan moral. Satu mesej pesanan ringkas (SMS) yang diterima beberapa hari yang lalu sedikit menghadirkan kudrat untuk PZ membuat penilaian dan perhitungan yang benar-benar sempurna dan saksama dalam masa terdekat ini. Bicara sang pengirim dalam SMS beliau:

"Bila hati berjuang kerana Allah, dugaan itu tempat bersinggah;
Keperitan ditelan sebagai juadah, kejayaan dianggap mimpi indah;
Semoga Allah memberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan."

Kepada sang pengirim, PZ hargai pesanan tersebut dan dihulurkan ucapan jazakallah.

Saturday, October 30, 2010

Dari Jalan Grove...

Jalan Grove, Poskod 30110 Ipoh. Dinihari 30 Oktober 2010. PZ bertamu sebentar di ibu negeri Perak Darul Ridzuan ini, melegakan diri dari lelah setelah memandu hampir lima jam dari Kuantan. Destinasi PZ - Bandar Diraja Kuala Kangsar. Menikmati segelas Nescafe tarik panas amat-amat menyegarkan mata, mensisakan kudrat untuk menyudahkan kelana ini. Sedikit lagi masa diperlukan untuk melangkah masuk ke Kuala Kangsar dan menunaikan fardu subuh di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan yang indah lagi bersejarah.

Inilah kunjungan pertama PZ ke Bandaraya Ipoh setelah lebih setahun. Tiada apa yang boleh dijenguk, apatah lagi diziarahi kala hari masih gelap-gelita seperti ini. Yang penting, tenaga yang telah sedikit tercukai sepanjang pemanduan tadi dapat dipulihkan semula, mengembalikan stamina untuk menghadapi agenda kelana ini yang seterusnya.

Walaupun kesihatan diri ini tidak sesempurna dahulu, Alhamdulillah PZ bersyukur kerana masih punya upaya untuk memandu sejauh ini, mengisi kegemaran masa lapang. Kembara kali ini bukanlah sekadar 'jalan-jalan' yang lazim, tetapi punya sebabnya yang tersendiri - memenuhi sebuah undangan. Ya, persahabatan yang dibina atas landasan keikhlasan tidak terjejas oleh jauh jarak atau batas waktu.  Justeru, PZ tidak rasa terbeban untuk memandu sejauh ini untuk memaknakan sebuah persahabatan. Sekurang-kurangnya, ada kesempatan buat PZ lari seketika dari suasana biasa yang dilatari politik pejabat dan beban tugas. Syukur!

Sekadar catatan ringkas PZ di pinggir jalanan menghala ke Kuala Kangsar. Masih ada 35 kilometer berbaki untuk PZ sudahkan. Mohon berlalu!

Friday, October 29, 2010

Mengejar Kelam Jalur Cahaya

Langit terlukis jingga
saat ambang senjakala
menggembala suria ke peraduannya.

Hampir usai seperjalanan hari
Mengisi waktu aneka citra melatari
Segenap ceruk sudut rata disuluhi
sempurna tugas sang mentari
...sebentar tadi.

Hari melewati perbatasan siangnya
Memasuki malam penuh misteri untuk diteroka
Hitam kelam langit tanpa cahaya
Resah mendesah jiwa
Dibalut sangsi awas curiga
...menjejak bahaya!

Namun dikuatkan jua
separuh lagi gelita kembara
seorang cuma berteman tiada
menggagahi denai tanpa penghujungnya
dengan ketakpastian dan tanda tanya
mengejar kelam jalur cahaya
penuh pengharapan mindanya berbicara
menanti sinar bertitik di sana...