Thursday, October 14, 2010

Menjelang monolog lagi...

Lapang dan lega. Sempurnanya pelaksanaan Majlis Konvokesyen Ke-5 UMP menoktahkan timbunan ayat dan abjad yang perlu PZ pindahkan dari laut fikir kepada lembar kertas untuk dijadikan naskah-naskah bertulis yang kemudian dibaca dan dipetik pula untuk siaran media. Satu bulan sebelumnya menyaksikan PZ memerah ilham saban malam bagi menyempurnakan tugasan tersebut. Nampak mudah dan enteng, semudah segelintir orang yang senang sahaja melontar komen tanpa sedikit pun menghargai penat lelah mengerah kudrat minda itu!

Tamat satu bab. Segala ulasan PZ simpan untuk Mesyuarat Post-Mortem Majlis Konvokesyen Ke-5 yang akan diadakan pada 15 Oktober. Apakah ini kali terakhir PZ menyandang amanah ini atau sebaliknya, tidak dapat PZ jamin dan pastikan. Hidup ini ada pasang surut dan pulang perginya. Hari ini di sini, esok mungkin di tempat lain pula.

Telah PZ pujuk hati untuk bersabar sehingga usainya Majlis Konvokesyen Ke-5 bagi memulakan kembara seterusnya. Ya, tahun 2010 ini dipenuhi dengan kembara dan 'monolog' PZ di pelbagai ceruk rantau. Apakah ia sekadar bercuti biasa atau melayarkan jiwa duka, biarlah PZ simpan sendiri. Ada yang cuba berkias-kias berlapik bahasa dengan niat menggali ceritera, tetapi biarlah sementara ini PZ diam diri sahaja. Teruskanlah berteka-teki!

Apa yang penting, hujung minggu pertama selepas Majlis Konvokesyen Ke-5 memang PZ nanti-nantikan sejak beberapa bulan yang lepas. Janji pada diri perlu dikota dan itulah yang PZ akan lakukan. Berangkat ke satu destinasi untuk melebarkan lingkungan pandangan dan menekuni suasana di sana. Ya, sebuah destinasi yang telah begitu lama PZ tinggalkan, terlalu lama. Tidak dapat PZ pastikan apakah saki baki ingatan tentang gambaran destinasi tersebut sama dengan apa yang akan PZ saksikan hujung minggu ini.

Dalam iklim yang serba tidak menentu ini, PZ cuba sedaya upaya menggagahkan keyakinan diri untuk terus menapak ke hadapan. Biarlah merangkak, biarlah mengengsot sekali pun, PZ tabahkan juga. Kala ini, akan kita kenali mereka yang sebetulnya ikhlas tanpa sempadan kepentingan, dan dengan mudah juga mereka yang bertalam dua wajahnya dapat dikesan bersama serong niat dan hanyir lakunya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui!

Hujan mula lebat mencurah pada pangkal Oktober ini. Dikhabarkan akan banjir besar pada hujung tahun ini. Namun, itu cuma ramalan. Guruh berdentum-dentam di luar teratak terpencil PZ ini. Jauh di dasar hati, PZ insaf bahawa segala aturan ini punya hikmahnya yang telah ditentukan Ilahi. Kita sekadar hamba-Nya yang hanya mampu menjangka. Ya, PZ hanya upaya menjangkakan secebis ketenangan daripada kembara dan 'monolog' di destinasi 'itu' hujung minggu ini.

PZ permisi.

No comments: