Monday, September 13, 2010

Perihal nas, rujukan dan perhitungan

Lewat malam dan ambang dinihari. Seusai solat dan wirid, PZ menelaah beberapa laman sesawang berita dan blog untuk mendapatkan khabar terkini tempatan dan antarabangsa. Paling menarik perhatian PZ, selain kes pembunuhan Allahyarhamah Dato' Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, ialah spekulasi mengenai pemasyhuran Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baharu bagi menggantikan ayahanda Baginda, Tuanku Ismail Petra yang telah setahun gering.

Tidaklah PZ berhasrat untuk mengulas tentang kemelut Istana Kelantan yang telah berlarutan sekian lama, namun laman TheKelantanInsider melaporkan bahawa Istiadat Pemasyhuran Sultan Kelantan yang baharu akan dijalankan di Istana Balai Besar pada 13 September 2010. Pastinya peristiwa ini melakar sejarah baharu kepada Negeri Kelantan dan akan menarik minat para penganalisa. Adakah akan berlaku cabar mencabar dan saman menyaman? Kita saksikan sahaja selepas ini.

Sebagai graduan undang-undang, PZ telah dilatih dan dididik untuk tidak sewenang-wenangnya memberikan pandangan perundangan tanpa terlebih dahulu merujuk dan meneliti nas-nas yang ada. Nas yang dirujuk akan memberikan asas kewajaran kepada pandangan yang diberikan. Tambah penting lagi, rujukan terhadap nas amat penting apakala menyentuh soal-soal berkaitan kesahihan (legitimacy) sesuatu tindakan atau keputusan. Justeru, pastinya Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Laws of Constitution of the State of Kelantan) menjadi sandaran utama kepada apa jua perdebatan dan pertikaian yang mungkin menyusul selepas ini. Lantas, kita serahkan sahaja kepada kebijaksanaan Mahkamah dan kearifan Hakim untuk menentukannya.

Apa iktibarnya di sini? Sebagai insan yang dikurniakan akal fikiran untuk menaakul dan budi bicara untuk menghitung pertimbangan, jangan sesekali kita tergopoh-gapah atau terburu-buru. Tingkah laku melulu akibat perhitungan singkat dek kematangan yang dangkal mungkin berhasil menzahirkan satu penyelesaian, namun soalnya, apakah natijah penyelesaian tersebut rata meresap, atau sekadar menerjah permukaan? Justeru, biarlah sedikit masa diambil untuk merujuk apa jua sumber yang wajar, supaya tidak sesal di kemudian hari. Dalam zaman pengetahuan ini, segala-galanya berkehendakkan ilmu, tiada lagi hukum rimba, melainkan bagi manusia dungu yang berkasad serong.

Suka PZ perturunkan maksud firman Allah Ta'ala dalam Surah an-Nisa' ayat 59:

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah pada Allah dan taatlah kepada Rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa dalam kalangan kamu. Sekiranya kamu berbalah atas sesuatu perkara, maka rujuklah kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat."

No comments: