Sunday, September 19, 2010

"Jangan workaholic sangat!"

9 Syawal 1431 Hijrah. Telah lebih seminggu berlalu sejak umat Islam meraikan sambutan Eidul Fitri tahun ini. Esok, sekolah akan bermula kembali dan pejabat-pejabat akan riuh semula. Kesibukan dengan urusan keduniaan akan datang seperti sedia kala.

Dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara jari-jemari PZ mengetuk papan kekunci untuk entri kali ini. Kampus ini yang lebih dikenali sebagai INTURA bertamu di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Inilah kunjungan sulung PZ ke bumi Kedah Darul Aman tahun ini. Kali terakhir PZ di Jelapang Padi ini ialah pada akhir Disember 2009, atas urusan peribadi.

Hari panjang PZ pada Ahad, 19 September ini bermula awal, sebelum fajar menyinsing lagi. Berkemas dan bersiap seawal pukul 4:30 pagi, terkejar-kejar PZ memandu ke pejabat untuk dihantar ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan bagi menaiki pesawat Penerbangan Malaysia ke Kuala Lumpur pada pukul 6:50 pagi. Bersarapan ringan di Burger King di bangunan transit KLIA sementara menanti penerbangan ke Pulau Pinang pada pukul 10:35 pagi, sempat juga PZ menelaah kerja-kerja pejabat yang mengiring bersama. Sudah disuratkan pula agaknya, bersua pula dengan sahabat lama zaman kampus yang telah lima tahun tidak bertemu. Maha Suci Allah!

Memijak laman INTURA pada pukul 2:00 petang, maka rutin kursus selama lima hari akan mula mengisi kehidupan PZ hinggalah penerbangan pulang pada jam 12:00 tengah hari, 24 September. Selepas itu, telah tersusun rapi jadual kerja PZ untuk hari-hari seterusnya hinggalah minggu kedua Oktober. Tidak henti-henti. Sehingga baru-baru ini sebelum Idul Fitri, seorang teman rapat menegur sinis: "Jangan workaholic sangat!". Namun apakan daya PZ, sebagai seorang penjawat awam, diri ini terikat dengan ungkapan saya yang menurut perintah. Walaupun berat beban kerja dengan masa dan tenaga yang terbatas, terpaksa diikhlaskan jua. Ini jalan yang telah PZ pilih.

Di celah kesuntukan masa sepanjang kursus ini, terpaksalah bijak PZ mengambil peluang menyiapkan kerja-kerja pejabat yang dibawa bersama. Dengan kemudahan mel elektronik dan jalur lebar, komunikasi dengan staf di pejabat tidak akan  tertangguh dan sentiasa akan dikemas kini. Ya, selain memudahkan urusan, teknologi menyebabkan kita kian sibuk tanpa mengira masa! Seolah-olahnya masa tiada ternoktah lagi. Cuma biarlah kesibukan itu memanfaatkan penghidupan dan tidak menjarakkan diri ini daripada-Nya.

Hendaknya peringatan Allah Ta'ala dalam Surah al-Asr jadi renungan kita bersama. "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali bagi mereka yang beramal soleh; yang berpesan-pesan pada kebenaran dan yang berpesan-pesan pada kesabaran." 





No comments: