Tuesday, October 13, 2009

Di celah dentuman guruh...


Musim tengkujuh. Langit muram, hujan mencurah, laut gelora.
Si nelayan termenung panjang kerana terhenti mata pencarian.
Rakaman lensa PZ di Tanjung Gosong, Pekan pada Disember 2007
sewaktu mengiringi Naib Canselor UMP meninjau keadaan banjir
besar di Pekan dan melawat mangsa banjir di sana.

Seingat-ingat PZ, cuaca begitu panas di bumi Pahang sejak dua minggu lepas. Panas yang amat terik dan merimaskan, seolah-olahnya seperti musim kemarau yang lazimnya melanda antara bulan Mac hingga Ogos. Oktober menyaksikan musim tengkujuh dengan angin monsun timur lautnya yang membawa hujan lebat hinggalah lewat Januari.

Telah hampir sembilan hari PZ bercuti, ya antara cuti yang paling panjang pernah PZ ambil sepanjang lima tahun perkhidmatan dengan kerajaan. Menyelesaikan apa yang perlu di sini sana, dan akhirnya termenung kosong apabila kebosanan mula melanda. Terlalu panjang cuti kali ini, dan pagi tadi PZ memandu 70 kilometer ke pejabat. Alangkah leganya melihat bilik kerja PZ di Bangunan Canseleri, melihat kampus dan sebentar dapat meluangkan masa tengah hari dan petang menikmati minuman ringan dan makanan lewat petang bersama pelajar-pelajar yang rapat. Jam telah menunjukkan pukul 6.30 petang kala PZ mula memandu pulang ke Pekan. Saat melalui Lebuhraya Tun Razak menghala ke Paloh Hinai, langit mula menghitam diselubungi awan yang amat-amat tebal dengan letusan sinar kilat yang kerap. "Pasti hujan lebat malam ni", getus hati PZ, dan ketika kereta kerdil PZ menyeberangi Sungai Pahang di Paloh Hinai sekitar pukul 6.50 petang, nyatalah gumpalan awan hitam yang PZ saksikan itu terlalu besar dan panjang, merentang dari kawasan Temai hinggalah ke Salong, menurut anggaran PZ, jarak yang tidak kurang dari 30 kilometer.

Memang tepat telahan PZ, di tengah-tengah terik cuaca Oktober, hujan ribut yang amat lebat melanda malam ini, dan entri ini ditulis di celah-celah dentuman petir dan sabungan kilat.

Tujuh hari berselang sejak entri terdahulu dan seminggu yang lepas menyaksikan peristiwa-peristiwa penting menghiasi diari hidup PZ. Bermula dengan episod penting pada 3 Oktober, ia berakhir dengan penganugerahan Ijazah Sarjana Undang-undang Perbandingan kepada PZ sempena Majlis Konvokesyen UIAM ke 25 pada 10 Oktober. Tamat sebuah episod, dan dalam masa lima tahun akan datang , PZ mencabar diri sendiri untuk mendapatkan ijazah PhD pula, so there is not a single moment to lose. Keutamaan kini ialah mengejar ijazah PhD, walau apa jua rintangan dan dugaannya. Dalam hal ini, falsafah yang dinadikan oleh karya-karya mendiang Mahatma Gandhi begitu mempengaruhi prinsip PZ. Menyingkap karya beliau berjudul My Experience With Truth, teman-teman akan dapat melihat perjuangan Gandhi untuk mencari identiti dan siapa dirinya melalui kaedah tidak memanjakan diri sendiri. Karya tersebut PZ beli dengan RM10.00 di Borders Times Square Kuala Lumpur beberapa tahun lepas, judul yang sangat bagus untuk dibaca.

Ramai teman yang bertanya siapa yang PZ 'hentam' dalam entri Yang Hampas dan Yang Waras, tetapi PZ enggan komen. Biarlah PZ simpan komen tersebut untuk diluahkan melalui saluran rasmi - Mesyuarat Post-Mortem Majlis Konvokesyen Komemoratif & Konvokesyen Ke-4 UMP tidak lama lagi. PZ ambil tanggungjawab penuh terhadap luahan rasa dalam entri tersebut. Lebih baik beterus terang dari mengumpat kosong ibarat seorang pengecut di belakang tabir.

Bangsa kita rosak dan diselaputi kudis hasad dan dengki kerana ramai orang takut untuk berterus terang dan berkata benar di hadapan. Takut untuk berkata benar dan menegur kesilapan kerana takut tidak dinaikkan pangkat, diboikot dan hilang kawan. Sedih PZ lihat orang-orang seperti ini, yang memang ramai melata di sekeliling kehidupan kita. Mereka lupa, rezeki datang dari Allah Taala, dan bukannya manusia. Ya, kita dituntut untuk berbuat baik sesama manusia, namun, tuntutan tersebut tidaklah sampai hingga sehingga kita mesti MENDUSTAKAN KEBENARAN hanya untuk menjaga perasaan orang lain. Bangsaku seringkali alpa tentang perkara ini dan akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana. Sedang Rasulullah S.A.W. pernah bersabda "Katakanlah kebenaran walaupun pahit."

Pernah PZ berbicara dengan salah seorang rakan sekerja di kampus. "Kita ni tak boleh berterus terang sangat menegur kesilapan orang, nanti susah, orang tak suka kita pulak nanti, kenaikan pangkat pun susah", demikian pendapatnya. PZ hormati dengan penuh sinis pendapat tersebut. Kecewa dan hampa pun ada. Bagaimana bisa bangsaku maju jika semua orang berfikiran seperti ini? Kita berkhidmat untuk negara dan teguran yang kita utarakan adalah untuk kepentingan bersama, supaya kesilapan yang sama tidak diulangi lagi, supaya generasi akan datang dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik, dan yang paling utama, kita tidak dicerca seranah oleh generasi hari esok kerana tidak memperbetulkan kesilapan yang dilakukan pada hari ini.

Guruh telah berhenti berdentum, cuma kilat masih sekali-sekala mencakar langit malam. Perlu atau tidak entri ini diteruskan? Cukup dulu buat kala ini. Insya-Allah, akan PZ perturunkan petikan daripada My Experience With Truth karya mendiang Mahatma Gandhi dalam entri akan datang.

Sebelum PZ terlupa, ingin PZ rakamkan perasaan bangga dengan kelancaran Majlis Konvokesyen PZ di UIAM tanggal 10 Oktober yang lepas. Walaupun ada sedikit kecacatan setelah PZ teliti semula rakaman DVD majlis tersebut, namun yang pastinya sebagai graduan, PZ berpuas hati dengan suasana majlis yang menggambarkan kesarjanaan sebuah institusi, meninggalkan kesan yang mendalam kepada sekalian yang hadir, kerana alunan indah irama gamelan mengiringi penganugerahan ijazah kepada graduan, bukannya muzik hampas seperti yang PZ nyatakan dalam entri lepas!

No comments: