Wednesday, September 29, 2010

"Hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku...”

"Tunggu sekejap, wahai kasih
Tunggulah sampai, hujan teduh
Mari ku dendang
Jangan mengenang orang jauh..."
Di celah rintik hujan awal dinihari 29 September, irama merdu lagu Tunggu Sekejap karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dinyanyikan semula oleh Allahyarhamah Datin Rafeah Buang menemani nukilan PZ untuk entri kali ini. Kedua-dua seniman dan seniwati itu telah lama kembali ke Rahmatullah, mudah-mudahan roh mereka dicucuri curahan rahmat oleh Ilahi.

Minggu-minggu pasca pulangnya PZ dari kursus di INTURA ternyata begitu padat dengan acara, aktiviti dan istiadat. Mesyuarat silih berganti, apatah lagi Majlis Konvokesyen Ke-5 UMP akan bertamu dalam tempoh seminggu lagi. Masih banyak yang belum selesai, terutamanya di pihak PZ. Minda diperah dan tenaga dikerah. Dalam kesuntukan waktu dan kedaifan kesihatan, digagahkan jua tubuh dan tulang empat kerat ini untuk berjerih ke tahap optimum. Memang amat melesukan!

Sambil kotak fikir meneroka angkasa minda untuk mengait ilham yang bermusim bagi mengusaikan tugasan untuk Majlis Konvokesyen Ke-5 tersebut, perhatian PZ telah dipancing oleh sepotong hadith tatkala melayari laman mStar Online sekejap tadi. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim itu Junjungan Agung bersabda:

“Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.”
Betapa daifnya kejadian kita sebagai manusia, kerana kadangkala akal yang dikurniakan itu tidak panjang pertimbangannya, lantaran dikuasai rasa putus-asa dan kecewa atas musibah-musibah dalam kehidupan seharian. PZ juga tidak terkecuali daripada kedaifan ini. Menekuni maksud hadith ini, betapa rendah harga diri kita dengan meminta-minta mati itu disegerakan, sedangkan jodoh pertemuan, hidup dan mati itu segalanya telah disuratkan. Barangkali itulah resam kejadian insan, dan PZ akui kelemahan itu.

Suasana semasa yang mewarnai kehidupan PZ kini mengemukakan cabaran yang tidak sedikit. Ya, hidup ini ibarat roda, sebentar di atas dan kemudian di bawah pula. Kadangkala kita rasa berkeyakinan dan tidak lama selepas itu timbul pula keraguan dan ketakpastian tentang upaya diri. Demikianlah rencah dan asam garamnya!

Berbalik kepada maksud hadith PZ perturunkan tadi, intisari iktibarnya amat bernilai untuk sama ditekuni. Daripada sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), antara yang wajar diinsafi ialah:


  1. Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.

  2. Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya. 

  3. Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakal kepada-Nya dalam segala keadaan.
Telah 1:57 pagi. Renyai hujan tiada menitis lagi. Hanya kedengaran lolongan katak bersahutan memecah sunyi gelap hari. Hingga detik ini, PZ masih dapat bernafas. Mungkin tidak sesihat dahulu, namun wajib PZ syukuri kerana tubuh ini masih upaya bergerak bagi menunaikan kewajipan terhadap-Nya, lantas memaknakan hakikat kejadian diri ini sebagai hamba-Nya.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar...

No comments: