"Letakkanlah titik noktah padanya. Sampai bila kau nak begini...", lembut peringatan daripada seorang teman PZ kala berhari raya di rumah beliau selepas Zuhur hari ini. Mengamati keadaan fizikal dan perubahan laku PZ, memang patut benar teman tersebut berpandangan sedemikian. Menyorot sedetik warna hidup PZ sejak entri terakhir, memang banyak perubahan yang berlaku tanpa PZ sedari. Namun apa yang pasti, ramai sahaja yang perasan ganjil tingkah laku diri ini, walaupun tidak ada seorang pun yang berani bertanya, cuma agak-agak sahaja.
Hari-hari yang berlalu menyaksikan putaran rutin yang sama. Bangun dari tidur, bersiap ke pejabat, menghadapi pelbagai tugasan dan mesyuarat, kembali ke rumah, tidur dan esoknya ke pejabat semula. Sejak beberapa bulan yang lepas, begitulah resam kehidupan PZ, sekadar untuk tidak mahu memikirkan sangat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku. Banyak menyendiri dan agak sangsi untuk berhadapan dengan kelompok yang ramai. Ya, perubahan-perubahan tanpa sedar!
Letakkanlah noktah. Bagaimana ya? Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Bukan mudah untuk bercerita dan tidak susah untuk melontar persepsi. PZ peduli apa. Namun, PZ akur dengan kesan yang dibawa oleh perubahan tersebut, baik secara fisiologi mahu pun mental. Justeru, supaya perantauzaman tidaj berkubur begitu sahaja, maka PZ paksakan juga diri untuk memasukkan entri kali ini. Puasa telah berlalu, hari raya juga baharu kita semua raikan. Namun segalanya amat pudar buat PZ. Merenung masa dan menghitung hari.
Petang 3 Syawal ini PZ sendiri lagi. Sebentar melabuhkan diri di Starbucks sambil menghirup secangkir coklat panas untuk menyegarkan tubuh yang kian lesu ini. Sambil mencongak-congak rencana esok hari, pelbagai ragam manusia lalu-lalang di hadapan PZ. Kebanyakkannya, ceria. Maklumlah semangat raya yang masih berkobar-kobar. Trafik masih tidak sesibuk hari biasa dan mudah untuk bergerak ke sana dan sini.
Cuti masih ada beberapa hari berbaki. Namun, kebanyakan masa cuti itu akan tercukai untuk kerja-kerja pejabat yang masih tertangguh. Segalanya harus diselesaikan sebelum 19 September kerana PZ akan berkursus seminggu di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sungai Petani selepas tarikh tersebut. Makanya, tercungap-cungap jugalah PZ dihambat garisan masa yang semakin menipis itu.
Telah jam 6:45 petang dan wajah senjakala mula merah di langit. Teringat PZ apa yang diungkapkan seorang sahabat kala berbuka puasa bersama di Kuala Lumpur seminggu lepas, "Just be yourself my friend. Don't give a damn of what other people say about you. You know yourself better." Memerhati hari yang kian suntuk di pelabuhannya, PZ tafakur menginsafi kejadian diri. Ya, Allah Ta'ala tidak akan memberati hamba-Nya dengan beban yang tidak upaya untuk dipikulnya. Itu janji-Nya dan PZ wajib percaya. Cuma kudrat PZ harapkan masih bersisa untuk mengisi perjalanan sendiri ini.
1 comment:
kadang-kadang Allah menghilangkan seketika mentari..
kemudian Dia datangkan guruh dan kilat..
puas kita meratap dimana serinya mentari..
rupa-rupanya Allah ingin mengurniakan pelangi yang indah..
"semoga abang wan kuat menghadapi dugaan hidup ini"
Post a Comment