Sungai Petani, Pengkalan Hulu dan George Town. Tiga bandar yang terletak di tiga negeri menerima kehadiran PZ dalam tempoh satu hari. Kursus PZ di INTURA, Sungai Petani memasuki hari akhirnya pada 23 September. Hati melonjak-lonjak girang untuk segera pulang. Bukan girang kerana dapat bersembang kosong mengisi waktu senggang, tetapi girang kerana dapat pulang menyempurnakan tugasan yang belum usai.
Sudah takdir dan ketentuan-Nya, PZ tidak dapat mengikuti sepenuhnya pengisian kursus di INTURA. Ternyata, keadaan kesihatan PZ yang tidak menentu kebelakangan ini menampakkan impaknya dalam pemukiman panjang seperti ini. Bermula dari gatal-gatal hidung yang kemudiannya berair dengan rasa tidak selesa badan, akhirnya PZ akur untuk dihantar ke klinik pada 21 September. Tubuh terasa lesu dan lemah, maka tidak hairanlah bacaan tekanan darah merosot sekali, hanya pada tahap 90/60. Mahu tidak mahu, terpaksa PZ berehat sahaja di kamar B3 di INTURA seperti pesakit di wad, menelan ubat dan makan mengikut waktu.
Kerana keuzuran tubuh inilah juga, maka PZ tidak dapat merasai pengalaman kembara ke dua buah gua di Pengkalan Hulu, Perak sepanjang hari tanggal 23 September. Namun, PZ gagahi juga tubuh lemah ini untuk turut menghantar sahabat-sahabat seperjuangan ke lokasi kembara dan kemudian berehat panjang di Rumah Rehat Pengkalan Hulu sehingga mereka kembali. Agak nostalgik juga kunjungan PZ ke pekan di perbatasan Perak dan Betong, Thailand ini. Kali terakhir pekan kecil di Daerah Hulu Perak ini PZ singgahi ialah pada tahun 1995, kala PZ di Tingkatan 3. Dalam tempoh 15 tahun tersebut, tidak banyak yang PZ lihat berubah, cuma suasana pekannya kelihatan lebih ceria dan 'bernyawa'. Terdetik juga sekali sekala, alangkah tenang jika dapat ditempatkan di daerah-daerah terpencil seperti ini! Masyarakatnya masih peduli dan tidak bobrok oleh kebejatan sosial.
Sesingkat masa di pekan yang ditadbir sebagai sebuah daerah kecil kepada daerah Hulu Perak yang beribu pejabat di Grik, kira-kira 60 kilometer ke selatan, PZ melewati Kampung Selarong dan Kampung Tasek dalam perjalanan menghantar sahabat-sahabat seperjuangan ke lokasi kembara. Nama Selarong itu mengingatkan PZ kepada Makam Selarong di Negara Brunei Darussalam, dikatakan di situlah bersemadinya jasad Puteri Lela Menchanai. Kampung Tasek pula dihuni komuniti Siam dan sebuah wat Budhha berdiri megah di tengah desa pinggir itu, lambang kuatnya pegangan penduduk setempat terhadap anutan berzaman nenek moyang mereka.
Hujan lebat mengiringi perjalanan pulang ke INTURA. Malah, di beberapa tempat di pekan Baling yang terletak 13 kilometer dari Pengkalan Hulu, bas kami terpaksa meranduk air bah kilat yang bertakung di jalan raya. Kiri dan kanan kelihatan penduduk tempatan yang menyaksikan penuh minat, seolahnya bah kilat itu satu temasya pula.
6:35 petang PZ tiba di INTURA. Berehat sebentar dan kemudian bersiap untuk majlis penutup. Tergesa-gesa juga PZ berkemas kerana menyambut teman lama yang datang menjemput pukul 11:00 malam. Walaupun waktu penerbangan ialah pukul 12:00 tengah hari 24 September dari Bayan Lepas, namun malam terakhir ini PZ ceriakan di luar INTURA bersama teman lama yang berkhidmat di UiTM Kedah dan bekas pelajar yang kini bertugas di INTEL, Pulau Pinang, juga hos kepada PZ sementara menanti siang menjelma.
Nah, walaupun tiada upaya PZ menyempurnakan kembara semasa kursus ini, namun dapat juga PZ berkembara ke tiga negeri dalam tempoh sehari. Dan kini, sementara menanti perlepasan pesawat penerbangan Malaysia MH1145 ke Kuala Lumpur tengah hari nanti, PZ labuhkan sebentar diri di Bukit Jambul, Pulau Pinang untuk istirehat singkat. Satu noktah sementara kepada tapak-tapak kembara seterusnya dalam jejak hidup PZ. Soalnya, apakah masa masih banyak berbaki untuk diri ini?
1 comment:
abang wan, kuatkan semangat!
saya yakin abang wan boleh. jangan putus asa abang wan.banyakkan doa dan baca Al-Quran...sayang abang wan.
Post a Comment