"Jika jatuh sembilan kali, bangunlah sepuluh kali. Jika tidak bisa bangun, berusahalah untuk duduk dan berserah kepada Tuhan. " Demikian antara mutiara kata perjuangan Robert Wolter Monginsidi
(1925 - 1949). Menyertai revolusi penentangan terhadap penjajah Belanda di Sulawesi, beliau pergi selamanya sebagai seorang pejuang pada usia semuda 24 tahun.
(foto dipetik dari wikipedia)
Memandu pulang dari kampung halaman sesudah Asar tadi, PZ berlabuh sebentar di Kemaman Kopitiam, Kuantan, menikmati kopi ais dan French toast, sekadar untuk merangsang selera makan yang kian mendangkal mutakhir ini. Sambil meneguk minuman dan mengunyah juadah, PZ memandang kosong matahari petang yang kian condong di ufuk barat. Petang tadi tidaklah seterik hari sebelumnya, dan nyaman udara mendesah lemah, menadikan langit yang sedikit mendung.
Satu lagi minggu yang amat sibuk bakal menanti PZ bermula 26 April ini. Pelbagai mesyuarat dan tugasan luar daerah telah mengisi laman perharian PZ sehingga 1 Mei, lantas luang waktu hari ini PZ gunakan sebaik mungkin untuk merehatkan minda dan mengalirkan semula tenaga. Leka dengan suasana, Kemaman Kopitiam PZ tinggalkan kala senja, hanya beberapa minit sebelum azan Maghrib ke udara.
Mengisi entri perantauzaman kali ini, ingin PZ soroti madah perjuangan yang ditinggalkan mendiang Robert Wolter Mongonsidi, seorang tokoh yang diiktiraf sebagai salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia, sebaris dengan nama-nama besar seperti Bung Karno, Jeneral Sudirman dan lain-lain. Menemui ajalnya di hujung muncung senapang skuad penembak angkatan Belanda pada usia yang belum pun mencecah 30 tahun, mendiang Robert adalah antara anak muda yang menyertai perjuangan menentang kehadiran semula penjajah Belanda di Indonesia setelah berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945. Kisah perjuangan anak muda berjiwa besar ini juga diangkat ke layar perak dan pernah ditayangkan di kaca televisyen tempatan pada pertengahan tahun 90'an.
Memperingati perjuangan beliau, di sini PZ perturunkan beberapa madah perjuangan mendiang Robert untuk renungan teman-teman. Meneliti rangkaian madah tersebut, jelas tergambar kejituan prinsip perjuangan dan merah bara semangat beliau, satu hakikat yang patut diteladani kita. Generasi muda kini kian terhakis kelasakan mental dan ketahanan diri, cepat mengalah pada susah payah dan mengharapkan jalan mudah dalam semua hal, menjadikan mereka individu berperibadi rapuh. Betapa bertuahnya tanah air sekiranya ada kalangan anak muda yang dapat menghayati nyala madah perjuangan mendiang Rober Wolter Monginsidi ini:
Jangan takut melihat masa yang akan datang. Saya telah turut membersihkan jalan bagi kalian meskipun belum semua tenaga kukeluarkan;
Jangan berhenti mengumpulkan pengetahuan agar kepercayaan pada diri sendiri tetap ada dan juga dengan kepercayaan teguh pada Tuhan;
Bahawa sejak dari kecil harus tahu berterima kasih pada diri sendiri...belajarlah melipat kepahitan! Belajar mulai dari enam tahun...dan jadilah contoh mulai kecil sedia berkorban untuk orang lain;
Apa yang saya bisa tinggalkan hanyalah roh ku sahaja iaitu roh "setia hingga terakhir pada tanah air" dan tidak mundur sekalipun menemui rintangan apa pun menuju cita-cita kebangsaan;
Saya telah relakan diriku sebagai korban dengan penuh keikhlasan memenuhi kewajipan buat masyarakat kini dan yang kan datang, saya penuh percaya bahawa berkorban untuk tanah air mendekati pengenalan kepada Tuhan Yang Maha Esa.
2 comments:
Salam Perjuangan buat Sdr PZ
Saya akui jatuh bangun dalam perjuangan sidah menjadi adat resam.Biasanya peenguasa akan terus menerus menjatuihkan lawan tidak kira sama ada di padang rata atau sebaliknya.
Lawan harus ditumpaskan dan di'bisu'kan walau apa cara sekali pon...
Terima kasih atas nukilan berharga buat seluruh Kepimpinan anak muda yang dahagakan panduan utk meneruskan idealisme perjuangan...
TTT tidak akan berhenti berjuang...
Saudara TTT,
Benar sekali bicara tersebut. Sirah Rasulullah meyakinkan kita bahawa tiada jalan mudah dalam perjuangan.
Konsisten dalam perjuangan, tegas dengan prinsip. Bijaksana dalam diplomasi dan kompromi.
Yakinlah bahawa Allah akan mengurniakan ganjaran berharga atas susah payah dan keikhlasan perjuangan itu.
Post a Comment