Sunday, April 11, 2010

Sembang petang dan ulangan 'kisah lama'

Menjengah sebentar ke laman rumah di tengah pekat larut malam ini, terasa sekali hangatnya. Nyata tiada bayu yang sudi lalu, lantas segala-galanya seolah kaku memaku lantai tanah. Pepohonan dan dedaunan tidak sedikit pun menari oleh tiupan bayu, suasana kekakuan yang amat menjemukan. Tapi mungkin juga cuaca akan berubah arah di penghujung malam, siapa kan tau?

Hampir seminggu PZ berkelana di Kuala Lumpur, mengikuti Kursus Pengendalian dan Penulisan Minit Mesyuarat Berkualiti di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Tengah atau INTENGAH di Jalan Elmu, bersebelahan Universiti Malaya. Sebagai kampus INTAN tertua, INTENGAH diselubungi nostalgia dan persekitaran klasik - baik senibina, bangunan, asrama dan segala-galanya.

Sepatutnya PZ mengikuti kursus ini di INTAN Kampus Utama di Bukit Kiara, namun penstrukturan semula pada saat akhir menyaksikan pemindahan pentadbiran kursus ini ke INTENGAH. Tidak banyak yang ingin PZ kongsikan mengenai kursus ini melainkan pengisian yang cemerlang dan penyampaian efektif - penghargaan buat para penceramah iaitu Encik Lecthumanan, Puan Sarengah dan Puan Zaliha serta kerjasama dan group binding tinggi para peserta yang bagi PZ, amat baik, mewujudkan suasana kekeluargaan sepanjang hampir lima hari berkursus.

Kembali semula ke Kuantan, maka bersiap sedialah pula PZ untuk tugasan luar seterusnya. Pagi Isnin 12 April akan menyaksikan PZ memecut ke Bandar Tun Razak, Rompin untuk mengendalikan Kursus Induksi untuk para usahawan yang dikelolakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selama setengah hari. Slaid dan nota ceramah telah diserahkan kepada PZ sejak minggu lepas, maka tidaklah perlu PZ bersusah payah sangat, sekadar perlu mentelaah sedikit supaya penyampaian jadi lebih efektif dan interaktif.

Sebelum memandu pulang ke kampung halaman tadi, PZ luangkan sedikit masa menziarahi wacana dan diskusi beberapa orang pimpinan siswa dan siswi untuk merencana pelaksanaan Minggu Induksi Siswa yang akan datang. Berbincang secara santai di celah cahaya petang yang terik, beberapa isu penting kami singkap untuk disumbangsaran secara bijaksana. Mengendali acara besar dan strategik seumpama Minggu Induksi Siswa bukanlah mudah dan enteng, justeru perencanaan awal amatlah perlu supaya kualiti dapat ditambah baik dan kesilapan lampau tidak diulangi.

Bersama dengan rakan-rakan siswa dan siswi tadi, PZ selesa sekali melihat mereka berbicara dan bersuara, kerana peluang sama rata diberi dalam hawa damai kekeluargaan, ibarat perbincangan sesama adik-beradik. Jelas sekali, tiada sebarang krisis atau pergeseran akan timbul jika wujud penghargaan, kepercayaan dan pengiktirafan. Mengikis ego dan merapatkan jurang dengan mereka, itu adalah kunci untuk menjuarai hati para siswa dan siswi. Berkali-kali PZ ulangi di perantauzaman bahawa pendekatan 'mengarah' atau 'remote control' telah lapuk dan tidak relevan lagi kerana para siswa dan siswi ini tidak kisah bekerja lebih, tetapi yang 'mengarah' dan 'remote control' itu perlu turut turun pandang menyingsing lengan bersama mereka. Namun, dalam banyak situasi PZ perhatikan, sikap turun padang itu hanya 'dilakonkan' secara langsung jika ada pengurusan berjawatan tinggi yang datang menjenguk. Amat jelek dan hipokrit sekali!

Menonton Buletin Utama TV3 kala singgah mengalas perut di sebuah gerai semasa perjalanan pulang mencuit-cuit ingatan PZ terhadap satu kisah lama semasa di kampus dahulu apabila diberitakan mengenai pembongkaran penipuan seorang pelatih PLKN yang mengaku dirinya 'Yang Mulia Tuan Muda Pahang'. Berani sungguh remaja 17 tahun ini, sehingga seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara juga terpedaya dengan tipu helahnya! Namun sampai bila penipuan itu boleh bertahan dalam zaman maklumat yang canggih ini.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua! Pelakon utama 'kisah lama' yang PZ sebut di atas itu nampaknya lebih bernasib baik kerana terlepas bebas dan masih 'at large' kini. Tersenyum sendirian PZ apabila mengenangkan betapa PZ dan beberapa teman sekuliah, malah beberapa Profesor boleh terpedaya dengan 'lakonan' ini, yang mengaku dirinya salah seorang pewaris takhta sebuah negara. Apalah agaknya yang dia lakukan sekarang.

Tidak perlu bertindak sedemikian hodoh untuk mencari publisiti, meraih simpati atau menarik perhatian khalayak. Barangkali ada penyakit psikologi yang khusus untuk merujuk individu seumpama ini, PZ tidaklah pula pasti. Namun, pendedahan kisah-kisah ini cukup untuk mengaktifkan litar waspada kita untuk mengelakkan diri daripada terperangkap. Macam 'kisah lama' di kampus dulu, hampir empat tahun PZ diperdaya dan dibohongi oleh individu tersebut yang PZ anggap sebagai seorang sahabat rapat. PZ percaya ramai lagi spesis ini berkeliaran tanpa dapat dikesan di luar sana, maka berhati-hatilah kita supaya dilindungi sentiasa. Apa motif spesis ini, PZ sendiri tidak pasti. Terlalu ambitious barangkali?


No comments: