Sunday, April 4, 2010

Ziarah hujung minggu dan adab berkarya



Travel, in the younger sort, is a part of education, in the elder, a part of experience - Sir Francis Bacon

(Foto rakaman lensa PZ di Penyabong, Johor, Januari 2010)


Ziarah Hujung Minggu

Hujung minggu kala pangkal April ini telah PZ habiskan di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Bersama-sama adik-adik siswa siswi dari Kelab In-Smartive, Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 kami imarahkan dengan kem motivasi kepimpinan untuk para pemimpin pelajar sekolah tersebut. 2 April, seusai jadual kerja yang amat padat di pejabat, pekat malam diharungi bersama dua adik siswa yang menemani sehingga tiba di laman Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 lewat 2:00 pagi. Seperti lazimnya, peluang bertugas luar daerah dalam suasana santai seumpama ini amat PZ hargai untuk melonggarkan kejang otot minda yang capek oleh rutin pejabat pada hari biasa.

4 April. Sendirian PZ memandu keluar dari laman Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 kurang lebih jam 11:30 pagi. Masih terlalu awal untuk PZ pulang ke Kuantan, lantas jeda waktu tersebut diisi untuk memenuhi temujanji bersama seorang teman di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Sejak zaman siswa PZ di UIAM hampir 10 tahun lampau hinggalah kini, Amcorp Mall menjadi antara destinasi yang paling kerap PZ lazimi tiap kali hujung minggu sekiranya masa mengizinkan. Tiada apa yang hebat dan gah pada gedung Amcorp Mall ini, malah ia jauh lebih kerdil daripada Times Square atau Midvalley dengan pilihan beli-belah yang agak terbatas. Kalau tidak kerana dua tarikan uniknya - pasar barang lusuh (flee market) setiap hari Ahad dan Excess Book Store yang menawarkan jualan buku pada harga runtuh yang hampir tidak masuk akal, memang takkan terlangkah kaki PZ di gedung ini. Hampir separuh koleksi buku dalam khutub-khanah mini PZ datangnya dari dua tarikan di gedung Amcorp Mall ini.

Dua buku sejarah mencukai RM20.00 dari poket PZ tengah hari tadi. Epic Sea Battles dan The Pictorial History of Air Battles merupakan koleksi terbaharu yang menemani perjalanan pulang PZ ke Kuantan jam 4:00 petang tadi. Walaupun telah agak lusuh dan berusia, namun ilmu, peristiwa dan sejarah yang menghuni sebuah buku takkan lapuk dan sentiasa relevan sebagai rujukan. Sesetengah dari kita mungkin hanya mahu yang segar dan baharu sahaja, namun tidak semestinya yang segar dan baharu itu sentiasa dibaca. Tiba di rumah seawal jam 6:30 petang, kedua-dua buku tersebut terus PZ singkap dan bedah sebagai tatapan awal, satu kelaziman setiap kali datang koleksi baharu. Pelaburan RM20.00 tadi ternyata amat berbaloi, dan pastinya seminggu musafir panjang PZ bermula 5 April ini akan ditemani oleh kedua-dua buku ini.


Adab Berkarya

Akhirnya malam ini, dengan kedua-dua koleksi terkini tersebut di sisi, renyai ilham menitis di laman minda PZ, membolehkan perantauzaman dikemaskini. Ada dua tiga lagi cerita menarik dari Seksyen 7 yang ingin PZ kongsi, namun hanya akan PZ bentangkan dalam coretan akan datang. Walaupun tiap malam sebelum tidur PZ cuba memaksa ilham untuk hadir mencoret sesuatu di sini, namun tak kunjung tiba jua. Ternyata, ilham itu perlu segar untuk dihidang di laman ini, kerana seperti yang PZ wacanakan bersama sekumpulan siswa dan siswi dalam sembang Penulisan Blog Beretika selepas Isya' pada malam PZ berangkat ke Bangi 2 April lalu, blog merupakan sebuah karya sastera. Sebagai sebuah karya sastera, isi kandungan sesebuah blog perlulah digambarkan dengan kesucian bahasa dan adab. Sesebuah sekali-kali tidak boleh dilacurkan dengan cemar keladak dan limbah bahasa sampah, wajah bernanah dan sumpah seranah yang memualkan. 




Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

(Foto dipetik dari http://www.usmm.org/)

Ada orang menyertai laman blog dengan niat tulen untuk berwacana dan berda'wah dengan positif dan hikmah. Tidak kurang juga menjadikan laman blog sebagai medan pemasaran produk secara maya. Itu juga tidak mengapa. Namun, yang jeliknya, ada pula menjadikan laman blog wadah pecah-belah, sama ada disedari atau tidak, tanpa niat atau sebaliknya. Lantas, PZ memohon ketulusan dan keikhlasan nawaitu daripada teman-teman yang ingin berkarya di mana-mana laman blog. Menulis itu satu hal, implikasi dari tulisan itu merupakan satu hal lagi yang perlu diberi perhatian. Pertanggungjawaban (accountibility) adalah obligasi yang sesekali tidak patut dicuai alpakan oleh sesiapa jua pengendali laman blog. Kewarasan akal budi dan halus pertimbangan yang dikurniakan Ilahi perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengelakkan laman blog kita daripada menjadi sumber dosa percuma.

Menutup coretan ini, suka PZ kongsikan petikan firman Ilahi daripada ayat 11 dan 12, Surah al-Hujurat:

“Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan janganlah pula panggil memanggil dengan gelaran (yang tidak baik)…


…jauhilah kebanyakan dari prasangka (andaian terhadap sesama Muslim), kerana sebahagian prasangka itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu, bahawa ia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkainya)? Maka tentu kamu benci memakannya…”



No comments: