Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah
ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Muktasim Billah,
Sultan Pahang keempat (1932 - 1974).
Tarikh kemangkatan Baginda pada 7 Mei 1974 diiisytiharkan
sebagai Hari Hol dan cuti umum bagi Negeri Pahang Darul Makmur.
Mudah-mudahan Allah Ta'ala mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan menempatkan Almarhum dalam kalangan hamba-Nya yang soleh dan beriman.
Hampir dua minggu perantauzaman tidak bersuara. Berhadapan dengan aneka perkara, ilham yang hadir terabai sendirian di gerbang minda. Keletihan, tekanan dan kesibukan bisa sahaja merumitkan proses penterjemahan ilham tersebut kepada kata, frasa dan ayat yang berupaya menyantuni pembaca perantauzaman. Sebagaimana yang pernah PZ nyatakan sebelum ini, catatan blog adalah sebuah karya sastera, justeru laman blog perlu dihiasi dengan keindahan bahasa yang sopan, walau mungkin niatnya menyindir. Sama ada yang tersurat atau tersirat, segalanya perlu dicermati supaya tiada siapa yang cedera perasaannya oleh tulisan kita. Itu prinsip PZ.
Ternyata sekali hari Jumaat 7 Mei ini amat membahang terik panasnya. Kebetulan pula hari ini merupakan cuti umum bagi Negeri Pahang Darul Makmur kerana Hari Hol, maka lapanglah sedikit jadual PZ yang lazimnya dipenuhi tugas dan kerja yang tidak berkesudahan. Bagi teman-teman yang kurang mengerti, "Hari Hol" merupakan hari untuk memperingati anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Diambil dari perkataan Bahasa Arab iaitu ha'ul, lazimnya hari ini diiringi bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an, tazkirah dan jamuan oleh keluarga si mati.
Majlis ha'ul adalah suatu kelaziman dalam kalangan masyarakat berketurunan Arab, terutamanya yang bergelar Syed dan Sheikh, namun agak jarang dilaksanakan dalam masyarakat Melayu, kecuali keluarga diraja. PZ pernah menyertai sebuah majlis ha'ul yang diadakan oleh seorang bos PZ di tempat kerja sulung pada tahun 2004, dan beliau memang seorang yang berketurunan Syed dari Yaman. Makanya, Hari Hol Negeri Pahang pada hari ini adalah untuk memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar Ria'ayatuddin al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Muktasim Billah, iaitu Sultan Pahang keempat yang memerintah mulai tahun 1932 hinggalah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 1974.
Berdasarkan pengalaman menyertai acara ha'ul seperti yang disebutkan tadi, PZ berpandangan bahawa elok juga jika ia dijadikan suatu amalan kerana pengisian yang banyak mengingatkan kita kepada kematian dan bahawa hidup ini hanya sementara. Masyarakat Melayu lebih gemar mengadakan kenduri arwah yang diisi dengan bacaan Surah Yaasin, tahlil dan jamuan, namun peringatan berkenaan mati dalam bentuk tazkirah ringkas tidak pula diadakan. Justeru, mungkin konsep kenduri arwah sebagai ha'ul versi masyarakat Melayu boleh dimantapkan lagi dengan pengisian tazkirah yang PZ nyatakan tadi. Tidaklah nanti kenduri arwah tersebut hanya menjadi suatu kelaziman adat yang sekadar diikut-ikut tanpa difahami sedikit pun mesej dan falsafahnya.
No comments:
Post a Comment