Monday, February 15, 2010

Nanah busuk di gerbang kampus

Melimpasi pertengahan Februari, langit fikir PZ telah menjangkaui hal-hal peribadi dan kerja untuk Mac akan datang. Pantas benar masa berlalu, dan 2010 hadir bagaikan tetamu singkat dalam episod kehidupan. Kepantasan masa kadangkala hampir tidak terkejar, maka seringkali termengah-mengahlah kita, belum pun sempat nafas lega dihela, datang pula masalah lain, satu-persatu. Apa lagi yang bisa dibuat selain bersabar. Pentas realiti dunia yang amat mencabar. PZ ambil positif semuanya dan melihatnya sebagai sebahagian proses pembelajaran dan muhasabah diri.

Telah masuk hari ketiga dalam rangkaian cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini. Jarang sekali cuti berangkai yang panjang seperti ini dapat dinikmati, maka hadirnya pastilah disambut dengan wajah yang berseri-seri. Lesu tubuh dan kusut minda yang dihambat kesibukan kerja terubat dengan istirehat panjang ini.

Teman-teman menghujani PZ dengan pelbagai andaian dan soalan berhubung apa yang telah berlaku sepanjang hampir 90 hari lepas dan dua puisi yang menghiasi entri Februari. PZ serahkan pada kebijaksanaan teman-teman untuk membuat interpretasi. Bait-bait puisi yang dinukilkan tersebut terbuka luas untuk didalami, ditekuni dan difahami. Buat masa ini, PZ belum lagi bersedia untuk berbicara tulus dan telus mengenainya.

Memandangkan agak lama PZ mendiamkan diri, terasa janggal juga untuk kembali menyorot lensa analisa PZ terhadap isu-isu semasa pada awalnya. Namun, perkembangan mutakhir di kampus PZ mencuit-cuit minda PZ untuk mencurahkan tinta pandangan untuk dikongsi bersama. Kerap kali PZ ulangi di laman ini bahawa berdirinya sebuah universiti adalah sebagai menara ilmu, lantas KESARJANAAN merupakan agendanya yang paling utama.

Kesarjanaan itu bukanlah seperti mural yang dicat pada dinding bangunan universiti, juga bukan seperti tulisan pada slogan dan papan tanda. Kesarjanaan ialah watak sebuah universiti yang sentiasa bergelumang dengan ilmu pengetahuan, ia terpancar pada KEBIJAKSANAAN warganya. Kesarjanaan datang seiring dengan kebijaksanaan. Gabungan kedua-duanya menatijahkan KESAKSAMAAN pertimbangan dan penilaian warga universiti terhadap sesuatu perkara dengan berasaskan KEINTELEKTUALAN dan KEWARASAN, yang sesekali tiada terbawa-bawa oleh kehanyiran pengaruh politik, sentimen perkauman dan ekstrimisme keagamaan.

Watak kesarjanaan warga universiti bukanlah retorik atau falsafah semata-mata, ia hadir sebagai nadi kelestarian dan kemandirian sebuah universiti. Kesarjanaan, kebijaksanaan, kesaksamaan dan kewarasan perlu dibebaskan mengalir di setiap ceruk penjuru kampus, ianya ibarat jernih anak sungai yang menghiasi universiti sebagai taman ilmu. Mutakhir ini, lancar jernih alirannya seolah-olah cuba dicemarkan dengan perkara-perkara titik-bengik dan remeh-temeh, yang bagi PZ, merupakan kerja licik segelintir individu yang sengaja tidak memahami keluhuran sebuah universiti, lantas cuba memarakkan api yang dicurah dengan busuk maung pengaruh politik, sentimen perkauman dan ekstrimisme keagamaan.

Pengaruh politik dan sentimen perkauman. Dua nanah busuk yang sesekali tidak perlu dihidu-hidu untuk sekadar menunjuk berani. Kesarjanaan sebagai watak warga universiti merupakan satu nilai elit dan eksklusif yang patut dipelihara dengan rasa bangga oleh kita semua. Dengan watak kesarjanaan, kita berhak dan bebas mengemukakan pandangan membina demi kebaikan bersama. Dengan watak kesarjanaan jugalah, kita berupaya membuat rumusan saksama terhadap sesuatu perkara, berasaskan analisis intelektual yang akademik. Inilah watak universiti yang perlu sentiasa lestari dan berkesinambungan.

Nah, apa lagi yang tinggal untuk dibanggakan oleh warga universiti apabila nanah busuk politik dan sentimen perkauman dibawa masuk? Dalam hal ini PZ tegas mempertahankan bahawa keagungan universiti sebagai menara ilmu merentasi jurang politik, agama, ras dan ekonomi. Universiti dibangunkan untuk manfaat sejagat, dan bukannya untuk kepentingan peribadi sesiapa. Curang dan jelek sekali mereka yang menggunakan menara ilmu ini untuk menjaja agenda politik luar, memarakkan api perkauman dan menyempitkan kesucian agama. Cukuplah kita melihat kebobrokan institusi politik dan fabrik integrasi kaum yang mula carik di luar sana, janganlah dibuka pula pintu untuk kebobrokan dan carikan itu melintas masuk ke dalam kampus pula.

Sekiranya ingin mencari populariti dan tempat dalam politik, dengan hormatnya PZ persilakan warga yang berkenaan untuk bergiat di luar pagar kampus. Cukup setakat itu. Masuk ke dalam pagar kampus, berwataklah secara profesional sebagai cendekiawan dan sarjana yang berbicara soal-soal besar mengenai umat dan masyarakat, bukannya bersembang tentang politik partisan. Dalam hal ini, apa sahaja yang ada kait-mait dengan politik luar, perkauman dan ektrimisme agama di luar sana sama sekali tidak relevan untuk dibawa masuk, baik sebagai aliran pemikiran, idealisme atau organisasi. Di universiti, you don't need a title to lead. Di universiti, it's all about authority of idea, not idea of authority.

Rumusan PZ mudah saja. Individu yang bersokongkol membawa kehanyiran pengaruh politik, sentimen perkauman dan ektrimisme keagamaan dalam kampus, baik dalam apa jua bentuk, cara dan pendekatan adalah tidak layak dan tidak berhak diiktiraf sebagai warga universiti, malah mereka inilah pengkhianat yang menjadi limbah yang mencemarkan keluhuran sebuah universiti. Inilah golongan bebal yang tidak memahami falsafah kewujudan sebuah universiti, malah menganggapnya sama seperti kedai kopi dan pasar. Kebebalan itulah yang membungkus minda mereka dari menekuni kesarjanaan, kebijaksanaan, kesaksamaan dan kewarasan akal budi yang mendasari watak warga sebuah universiti.

Pertahankanlah KESARJANAAN! 

3 comments:

Seven said...

as expected,this is well written
huhuuhu..bile la saye blh sampai tahap penulisan cmni
huhuhuhu

Helmy Zain said...

U can do it bro, i learnt the hard way too...banyakkan membaca, sentiasa cabar diri sendiri :) jangan ambil jalan mudah dengan guna bahasa pasar, singkatan atau guna bahasa slanga :)

Seven said...

insyaAllah