Sunday, February 21, 2010

Munsyi

Ternyata sekali bahawa Februari kali ini benar-benar menguji kelasakan minda dan ketahanan diri. Tidak cukup dengan urusan kerja, berduyun pula bertandang hal-hal bersifat peribadi. Mahu sahaja dipanjangkan waktu menjadi 25 atau 30 jam sehari semalam, tetapi manakan itu mungkin, dan sekali pun mungkin, pasti tidak akan juga mencukupi kerana tabiat manusia itu sentiasa tidak puas dengan apa yang ada padanya.

Pendeknya tempoh istirehat selepas kerja mutakhir ini mula menampakkan kesannya pada kesihatan PZ. Bermula dengan kegatalan kerongkong dan hidung berair, ia membiak menjadi demam dan kelesuan yang amat sangat. Jalan mudahnya pastilah bercuti, namun kehadiran sejumlah perkara dalam senarai prioriti kerja dan peribadi menutup terus lintasan minda PZ untuk mengambil cuti rehat barang sehari dua.

Dalam kesibukan dan kelesuan itu, merangkak-rangkak jugalah PZ menelaah Hikayat Abdullah, sebuah karya Allahyarham Abdullah Abdul Kadir Munsyi, yang lebih kita kenali sebagai Munsyi Abdullah. Allahyarham dikenang sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden dan karya-karya beliau, antaranya Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah mengemukakan aliran dan citra baharu dalam penulisan sastera Melayu yang dilatari suasana sekitar Semenanjung Tanah Melayu, khususnya Melaka dan Singapura pada 50 tahun pertama kurun ke-19.

Pemerhatian, analisis dan kritikan beliau terhadap peristiwa dan masyarakat pada zamannya serta gaya penulisan yang melangkaui latar masa menjadikan Munsyi Abdullah seorang penulis yang istimewa pada hemat PZ. Munsyi bukanlah nama beliau, sebaliknya perkataan tersebut membawa makna "guru yang mengajar bahasa" dan inilah kerjaya Allahyarham semasa hayatnya. Tidak sedikit bangsa Eropah yang berguru Bahasa Melayu dengan beliau di Melaka dan Singapura, dan ini dikisahkan dengan jelas dalam Hikayat Abdullah.

Memang menarik bercerita tentang tokoh unik ini dan adalah menjadi hasrat PZ untuk mengupas lanjut mengenai riwayat hidup dan intipati penulisan Allahyarham, khususnya yang dinukilkan dalam Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah dalam entri-entri akan datang. Jika Allahyarham ditakdirkan berada di Eropah, pastinya nama beliau akan sebaris dengan tokoh-tokoh seperti Dickens, Conrad dan Stevenson. Sayang sekali, hanya segelintir anak muda tanahair yang mengenali Allahyarham dan menekuni karya-karyanya. Ternanti-nanti juga PZ siapakah pengarah dan penerbit drama atau filem yang punya kesedaran untuk mengadaptasi bab-bab dalam Hikayat Abdullah kepada bentuk drama bersiri dan membawa Hikayat Pelayaran Abdullah ke layar perak? Pengarah yang teliti tentu sekali dapat mengukir adapatasi karya-karya ini dengan penuh dramatik dan realistik, sebagaimana watak detektif Hercule Poirot rekaan penulis Agatha Christie diangkat menjadi drama bersiri yang cukup popular satu ketika dahulu. Tidak kalah juga rentetan peristiwa dalam Hikayat Pelayaran Abdullah jika dibandingka dengan apa yang kita tonton dalam filem Master and Commander dan Pirates of the Carribean sebagai misal.

Tidak percaya? Cuba teman-teman baca sepintas dahulu salah satu atau kedua-dua karya Allahyarham yang PZ nyatakan tadi. Tidak perlu ke toko buku, layari sahaja Internet dan dengan mudah karya ini dapat dibaca melalui mana-mana enjin carian. Cukup setakat ini dahulu kali ini. Akan kita kenali Munsyi Abdullah dan gagasan pemikirannya dalam entri akan datang.

No comments: