Sunday, February 28, 2010

Panas!

Mundar-mandir PZ di laman teratak leluhur, memerhati cerah langit malam penghujung Februari. Telah dua bulan tahun 2010 kita lewati dan kini Mac bakal melangkah tiba. Walau tidak sedingin biasa, bayu malam di kampung halaman ini ternyata lebih nyaman berbanding apa yang PZ rasai dua malam lepas.

Cuti Maulidurrasul 1431 Hijrah telah PZ isi dengan musafir di Kuala Lumpur, bersua sahabat-sahabat yang rapat sambil bertukar pelbagai kisah dan cerita, di samping 'melaburkan' wang di beberapa lokasi beli-belah pilihan PZ. Tanggal Khamis 25 Februari, seusai kerja di pejabat, terus saja PZ memecut ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, berkesempatan pula mengikuti ceramah khas Maulidurrasul di Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta yang disampaikan Ustaz Zahazan Mohd. Sekitar 10.30 malam, kereta PZ menjengah laman Sentul West dan bertamu di KLPAC (Kuala Lumpur Performing Arts Centre). Sebagai peminat seni, PZ luangkan malam tersebut bersembang (atau barangkali lebih banyak mendengar dek kepenatan!) bersama Radhi Khalid, seorang pelakon, dramatis dan pelawak yang PZ kira amat dikenali teman-teman dan seorang sahabat rapat PZ yang kini menjadi pelakon teater sepenuh masa.

Bukan isi sembang seni kami yang berakhir sekitar jam 1.30 pagi di sebuah warung India Muslim di Jalan Ipoh yang ingin PZ kongsikan bersama teman-teman pada malam ini. Mauduk kali ini amat mudah - CUACA. Berbeza sekali perit cuaca panas di Kuala Lumpur berbanding Kuantan. Pada perkiraan PZ, teman-teman di Kuantan masih upaya tidur lena di malam hari walaupun panasnya menggigit-gigit kulit pada waktu siang. Kala di KLPAC tempoh hari, lencun tubuh PZ oleh peluh kerana malam yang amat hangat, diburukkan lagi dengan kematian angin. Itu cerita sebelah malam, maka pastilah sebelah siangnya lebih perit!

Angin panas yang agak luar biasa ini boleh sahaja dikaitkan dengan pelbagai punca. Pemanasan global, pembakaran hutan, peralihan musim dan pelbagai lagi. Rata-rata mengeluh. Diberitakan ada rakan-rakan di Lembah Klang yang tidak dapat melelapkan mata hingga awal fajar kerana panas berpanjangan. Jualan kipas dan alat pendingin hawa pula telah meningkat hingga 30%, semuanya kerana ingin lebih selesa.

Sepanjang pemanduan pulang ke Kuantan awal tengah hari 27 Februari, PZ rentangkan muhasabah panjang berhubung cuaca panas sekarang. Kesimpulannya amat menggerunkan diri kerdil yang daif dan jahil ini. Cuaca sepanas 36' Celcius pun tidak sanggup untuk kita menghadapinya. Bagaimana agaknya keadaan kita kala perhimpunan Mahsyar nanti? Tidak terbayangkan oleh PZ, matahari yang hanya sejengkal dari tubuh, dan sesetengah yang menunggu perhitungan itu lemas dalam peluh mereka sendiri kerana dahsyat hangat matahari Mahsyar! Ya, Allah Ta'ala itu tidak diperlu diragui lagi Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Disuakan kita dengan ujian kepanasan cuaca ini untuk direnung dan diambil iktibar. Apalah sangat panas 36' Celcius berbanding panas perhimpunan Mahsyar? Beruntunglah mereka yang mengambil pengajaran.


Sunday, February 21, 2010

Munsyi

Ternyata sekali bahawa Februari kali ini benar-benar menguji kelasakan minda dan ketahanan diri. Tidak cukup dengan urusan kerja, berduyun pula bertandang hal-hal bersifat peribadi. Mahu sahaja dipanjangkan waktu menjadi 25 atau 30 jam sehari semalam, tetapi manakan itu mungkin, dan sekali pun mungkin, pasti tidak akan juga mencukupi kerana tabiat manusia itu sentiasa tidak puas dengan apa yang ada padanya.

Pendeknya tempoh istirehat selepas kerja mutakhir ini mula menampakkan kesannya pada kesihatan PZ. Bermula dengan kegatalan kerongkong dan hidung berair, ia membiak menjadi demam dan kelesuan yang amat sangat. Jalan mudahnya pastilah bercuti, namun kehadiran sejumlah perkara dalam senarai prioriti kerja dan peribadi menutup terus lintasan minda PZ untuk mengambil cuti rehat barang sehari dua.

Dalam kesibukan dan kelesuan itu, merangkak-rangkak jugalah PZ menelaah Hikayat Abdullah, sebuah karya Allahyarham Abdullah Abdul Kadir Munsyi, yang lebih kita kenali sebagai Munsyi Abdullah. Allahyarham dikenang sebagai pelopor kesusasteraan Melayu moden dan karya-karya beliau, antaranya Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah mengemukakan aliran dan citra baharu dalam penulisan sastera Melayu yang dilatari suasana sekitar Semenanjung Tanah Melayu, khususnya Melaka dan Singapura pada 50 tahun pertama kurun ke-19.

Pemerhatian, analisis dan kritikan beliau terhadap peristiwa dan masyarakat pada zamannya serta gaya penulisan yang melangkaui latar masa menjadikan Munsyi Abdullah seorang penulis yang istimewa pada hemat PZ. Munsyi bukanlah nama beliau, sebaliknya perkataan tersebut membawa makna "guru yang mengajar bahasa" dan inilah kerjaya Allahyarham semasa hayatnya. Tidak sedikit bangsa Eropah yang berguru Bahasa Melayu dengan beliau di Melaka dan Singapura, dan ini dikisahkan dengan jelas dalam Hikayat Abdullah.

Memang menarik bercerita tentang tokoh unik ini dan adalah menjadi hasrat PZ untuk mengupas lanjut mengenai riwayat hidup dan intipati penulisan Allahyarham, khususnya yang dinukilkan dalam Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah dalam entri-entri akan datang. Jika Allahyarham ditakdirkan berada di Eropah, pastinya nama beliau akan sebaris dengan tokoh-tokoh seperti Dickens, Conrad dan Stevenson. Sayang sekali, hanya segelintir anak muda tanahair yang mengenali Allahyarham dan menekuni karya-karyanya. Ternanti-nanti juga PZ siapakah pengarah dan penerbit drama atau filem yang punya kesedaran untuk mengadaptasi bab-bab dalam Hikayat Abdullah kepada bentuk drama bersiri dan membawa Hikayat Pelayaran Abdullah ke layar perak? Pengarah yang teliti tentu sekali dapat mengukir adapatasi karya-karya ini dengan penuh dramatik dan realistik, sebagaimana watak detektif Hercule Poirot rekaan penulis Agatha Christie diangkat menjadi drama bersiri yang cukup popular satu ketika dahulu. Tidak kalah juga rentetan peristiwa dalam Hikayat Pelayaran Abdullah jika dibandingka dengan apa yang kita tonton dalam filem Master and Commander dan Pirates of the Carribean sebagai misal.

Tidak percaya? Cuba teman-teman baca sepintas dahulu salah satu atau kedua-dua karya Allahyarham yang PZ nyatakan tadi. Tidak perlu ke toko buku, layari sahaja Internet dan dengan mudah karya ini dapat dibaca melalui mana-mana enjin carian. Cukup setakat ini dahulu kali ini. Akan kita kenali Munsyi Abdullah dan gagasan pemikirannya dalam entri akan datang.

Tuesday, February 16, 2010

Kisah Sesumpah


Chamaeleonidae - ciptaan Ilahi untuk direnung dan ditimba iktibarnya.
Jangan pula kita berwatak sesumpah dalam hidup hanya untuk menjaga kepentingan sendiri.

(Foto dipetik dari wikipedia)

1:04 minit tengah hari. Kereta kerdil PZ direhatkan seketika di laman parkir Masjid Jame' Bukit Sekilau di pinggir Bandar Kuantan. Hangat tengah hari 15 Februari sedikit menyengat, lantas enjin kereta terus dihidupkan bagi mendapatkan hembusan dingin alat penyaman udara sementara menanti tibanya seorang teman PZ. Dalam luang ruang waktu itu PZ lebarkan perhatian ke sekeliling laman parkir. Sunyi sepi. Sebuah Perodua Viva putih  pegun di tengah laman parkir menadah bahang suria, manakala di satu sudut lagi, sebuah lori ais menumpang rimbun pohon di tepi pagar sambil pemandunya berehat di bangku kecil, barangkali menanti azan fardhu Zuhur.

Leka dengan kekakuan suasana tersebut, tiba-tiba lensa mata PZ terhenti di dahan palma bersebelahan petak parkir kereta kerdil PZ. Besar kecil mata rabun PZ dilaraskan untuk mengamati objek di sebelah, berubah-ubah warnanya menurut suasana. Ya, seekor sesumpah! 29 tahun hayat PZ, inilah antara beberapa kali yang tidak berapa banyak PZ dapat melihat makhluk Allah yang unik ini. Nampaknya sang sesumpah di depan mata PZ ini sedang asyik mencari habuan tengah harinya. Berlegar-legar ia di dahan pohon palma yang sedang lebat berbunga, dengan samaran warna tubuhnya, memamah kumbang yang menghirup madu si bunga palma. Dalam kelekaan PZ memerhati lagak sang sesumpah, telefon bimbit berdering, si teman telah tiba dan sang sesumpah PZ tinggalkan di pohon palma. Walau sebentar cuma masanya, lagak sang sesumpah tadi menerbangkan ilham ke kotak fikir PZ untuk mengukir entri kali ini.

Segala apa yang dibentuk, direka dan dijadikan oleh Maha Pencipta adalah untuk ditaakul dan ditekuni olej kita selaku hamba-Nya. Seingat-ingat PZ, ada satu ayat dalam al-Qur'an mengenai perkara ini, bahawa segala apa yang ada di langit dan di bumi adalah untuk difikir dan diambil pengajaran daripadanya. Nah, lihat sahaja apa yang bisa diinsafi daripada unik kejadian seekor sesumpah, belum lagi kita dalami hikmah penciptaan makhluk-makhluk lain atau iktibar kejadian alam. "Ada mata pandang, ada mulut cakap, ada telinga dengar..." teringat PZ kepada lirik lagu Yang Remeh dan Yang Temeh dendangan penyanyi Pak Pandir sekitar tahun 1992, kala PZ berada di tahun 6 sekolah rendah.

Bercakap tentang sesumpah, haiwan reptilia berdarah sejuk ini tergolong dalam keluarga cicak. Boleh ditemui dalam 160 spesis yang berbeza, haiwan ini bersemenda hampir di setiap benua. Sesumpah boleh dijumpai dalam saiz kecil dan sederhana di belantara tropika, padang pasir, savanna dan lain-lain. Sifatnya yang paling kita kenali ialah keupayaan tubuhnya untuk berubah warna mengikut keadaan persekitaran. Kelebihan besar ini tidak Allah Taala kurniakan kepada haiwan yang jauh lebih besar seperti harimau atau gajah, tetapi kepada sesumpah yang berpuluh kali jauh lebih kerdil dari si harimau dan sang gajah. Semuanya dalam ilmu Allah Taala yang boleh kita tekuni dan insafi.

Keunikan sesumpah yang boleh berubah warna inilah yang sering menyebabkannya dijadikan kias ibarat dalam masyarakat kita untuk merujuk kepada individu yang tidak tetap pendirian. Dalam hal ini, PZ ingin melebarkan lagi kias ibarat itu untuk meliputi individu-individu malang yang sama ada disedari atau tidak, tergolong dalam spesis oportunis, talam dua muka dan takut menghadapi risiko.

Menarik sekali kan, sesumpah mengubah warna tubuhnya sebagai samaran untuk memerangkap bakal habuan perutnya tanpa disedari si mangsa. Diterjemahkan pula kepada alam manusia, individu berstatus 'sesumpah' cuba menempatkan dirinya di setiap kumpulan dan kelompok, berbicara seolahnya senada dalam satu suara, tapi cepat-cepat pula menukar irama apabila berada dalam kelompok yang berbeza. Analisa umum PZ mendapati bahawa individu berwatak 'sesumpah' ini lazimnya terdiri daripada mereka yang ingin mencari atau mengekalkan populariti, "tunjuk baik", atau dalam banyak situasi, mencari laba peribadi demi kepentingan politik sendiri (politik di sini bisa merujuk politik partisan, politik pejabat atau politik kelompok), termasuklah MENGAMPU!

Lebih menarik lagi, manusia-manusia yang menerima sumpahan 'kenan sesumpah' ini banyak berselerak dalam masyarakat. Tetapi waspada! Amat mendukacitakan apabila sumpahan-sumpahan sesumpah ini mula membiak dalam kampus; asalnya tidak ramai, cuma dalam kalangan segelintir jentera pentadbiran, dan mutakhir ini sumpahan ini terkena pula anak-anak muda yang sepatutnya menjadi cendekiawan muda, tetapi tersasar arah dan menukar spesis menjadi sesumpah.

Individu-individu sesumpah ini merasakan diri mereka licik dan pandai, tapi siapalah mereka dibandingkan kebijaksanaan Allah Yang Maha Kuasa. Sepanjang hampir enam tahun perkhidmatan PZ, banyak sudah individu sesumpah ini PZ temui, dan dengan mudah lagak dan permainan mereka dapat dihidu, kerana lazimnya individu malang ini terlalu bermuka-muka dan over-expressed. Justeru, PZ lebih selesa sendiri, tidak perlu bernaung dalam mana-mana kelompok atau kem, kerana sesumpah-sesumpah ini ada di mana-mana. Jika dilayan, buruk padahnya. Lain yang kita ceritakan, lain pula yang sampai ke sebelah sana.

Jika diamat-amati, individu sesumpah ini selalunya ingin play safe supaya kepentingan dirinya tidak terjejas. Pernah PZ saksikan sendiri, bagaimana individu sesumpah ini sanggup mencederakan imej dan reputasi orang lain hanya untuk memelihara kedudukannya. Dengan manis muka dan lagak tawaddu', individu ini mungkin mendekati kita untuk menggali cerita, dan apabila berada di kelompok berbeza pula, kepoh kecoh bicaranya ibarat burung unta yang gagal bertelur. Sang sesumpah ini bijak mengatur strategi, menjaja cerita di kelompok sana, membawa cerita lain di kumpulan sini, menuang najis fitnah dan memburukkan orang lain di hadapan pimpinan organisasi dan bermacam lagi. Berhati-hatilah wahai teman-teman, memang kita dianjurkan berbuat baik dengan semua orang, tetapi pada masa yang sama kita dikurniakan akal oleh Allah Taala untuk membuat penilaian dengan panduan-Nya.

Lebih hebat lagi jika didalami, individu sesumpah ini bertenggek senang hampir di setiap peringkat, jentera pentadbiran, jentera sokongan, pimpinan pelajar, dan pelajar biasa. Bukan calang-calang juga, ada yang tergolong dalam kumpulan overseas graduates, ulat buku dan alim-alim kucing. Ibarat pelakon bangsawan yang boleh membawa aneka peranan, demikian jugalah watak individu sesumpah ini.

Rumusan PZ amat mudah. Individu berspesis sesumpah ini sebenarnya takut menghadapi realiti dan gusar dengan bayang-bayang sendiri. Kerana wujud kepentingan peribadi yang hendak dijaga, integriti dan maruah organisasi ditolak ke tepi. Akhirnya, walaupun telah lapan tahun kampus ini wujud (16 Februari 2010 adalah ulang tahun pengasasan UMP ke-8), sikap, sifat dan paradigma segelintir warganya tetap sama. Paling menakutkan, gejala individu sesumpah ini mungkin sampai ke tahap kebenaran tiada lagi berani disuarakan, yang banyak adalah cakap dan tikam belakang, mengadu domba dan berebutkan kuasa dan jawatan dunia yang hanya sementara. Perjalanan Universiti ini masih jauh dan menara kesarjanaan ini perlu dipelihara daripada buruk wajah si sesumpah.

Teman-teman, berhati-hatilah, jadilah dirimu sendiri, tidak perlu terikut-ikut dan meniru-niru gaya lagak orang lain, apatah lagi si sesumpah. Harapkan pandangan-Nya, bukan pandangan manusia biasa.

Monday, February 15, 2010

Nanah busuk di gerbang kampus

Melimpasi pertengahan Februari, langit fikir PZ telah menjangkaui hal-hal peribadi dan kerja untuk Mac akan datang. Pantas benar masa berlalu, dan 2010 hadir bagaikan tetamu singkat dalam episod kehidupan. Kepantasan masa kadangkala hampir tidak terkejar, maka seringkali termengah-mengahlah kita, belum pun sempat nafas lega dihela, datang pula masalah lain, satu-persatu. Apa lagi yang bisa dibuat selain bersabar. Pentas realiti dunia yang amat mencabar. PZ ambil positif semuanya dan melihatnya sebagai sebahagian proses pembelajaran dan muhasabah diri.

Telah masuk hari ketiga dalam rangkaian cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini. Jarang sekali cuti berangkai yang panjang seperti ini dapat dinikmati, maka hadirnya pastilah disambut dengan wajah yang berseri-seri. Lesu tubuh dan kusut minda yang dihambat kesibukan kerja terubat dengan istirehat panjang ini.

Teman-teman menghujani PZ dengan pelbagai andaian dan soalan berhubung apa yang telah berlaku sepanjang hampir 90 hari lepas dan dua puisi yang menghiasi entri Februari. PZ serahkan pada kebijaksanaan teman-teman untuk membuat interpretasi. Bait-bait puisi yang dinukilkan tersebut terbuka luas untuk didalami, ditekuni dan difahami. Buat masa ini, PZ belum lagi bersedia untuk berbicara tulus dan telus mengenainya.

Memandangkan agak lama PZ mendiamkan diri, terasa janggal juga untuk kembali menyorot lensa analisa PZ terhadap isu-isu semasa pada awalnya. Namun, perkembangan mutakhir di kampus PZ mencuit-cuit minda PZ untuk mencurahkan tinta pandangan untuk dikongsi bersama. Kerap kali PZ ulangi di laman ini bahawa berdirinya sebuah universiti adalah sebagai menara ilmu, lantas KESARJANAAN merupakan agendanya yang paling utama.

Kesarjanaan itu bukanlah seperti mural yang dicat pada dinding bangunan universiti, juga bukan seperti tulisan pada slogan dan papan tanda. Kesarjanaan ialah watak sebuah universiti yang sentiasa bergelumang dengan ilmu pengetahuan, ia terpancar pada KEBIJAKSANAAN warganya. Kesarjanaan datang seiring dengan kebijaksanaan. Gabungan kedua-duanya menatijahkan KESAKSAMAAN pertimbangan dan penilaian warga universiti terhadap sesuatu perkara dengan berasaskan KEINTELEKTUALAN dan KEWARASAN, yang sesekali tiada terbawa-bawa oleh kehanyiran pengaruh politik, sentimen perkauman dan ekstrimisme keagamaan.

Watak kesarjanaan warga universiti bukanlah retorik atau falsafah semata-mata, ia hadir sebagai nadi kelestarian dan kemandirian sebuah universiti. Kesarjanaan, kebijaksanaan, kesaksamaan dan kewarasan perlu dibebaskan mengalir di setiap ceruk penjuru kampus, ianya ibarat jernih anak sungai yang menghiasi universiti sebagai taman ilmu. Mutakhir ini, lancar jernih alirannya seolah-olah cuba dicemarkan dengan perkara-perkara titik-bengik dan remeh-temeh, yang bagi PZ, merupakan kerja licik segelintir individu yang sengaja tidak memahami keluhuran sebuah universiti, lantas cuba memarakkan api yang dicurah dengan busuk maung pengaruh politik, sentimen perkauman dan ekstrimisme keagamaan.

Pengaruh politik dan sentimen perkauman. Dua nanah busuk yang sesekali tidak perlu dihidu-hidu untuk sekadar menunjuk berani. Kesarjanaan sebagai watak warga universiti merupakan satu nilai elit dan eksklusif yang patut dipelihara dengan rasa bangga oleh kita semua. Dengan watak kesarjanaan, kita berhak dan bebas mengemukakan pandangan membina demi kebaikan bersama. Dengan watak kesarjanaan jugalah, kita berupaya membuat rumusan saksama terhadap sesuatu perkara, berasaskan analisis intelektual yang akademik. Inilah watak universiti yang perlu sentiasa lestari dan berkesinambungan.

Nah, apa lagi yang tinggal untuk dibanggakan oleh warga universiti apabila nanah busuk politik dan sentimen perkauman dibawa masuk? Dalam hal ini PZ tegas mempertahankan bahawa keagungan universiti sebagai menara ilmu merentasi jurang politik, agama, ras dan ekonomi. Universiti dibangunkan untuk manfaat sejagat, dan bukannya untuk kepentingan peribadi sesiapa. Curang dan jelek sekali mereka yang menggunakan menara ilmu ini untuk menjaja agenda politik luar, memarakkan api perkauman dan menyempitkan kesucian agama. Cukuplah kita melihat kebobrokan institusi politik dan fabrik integrasi kaum yang mula carik di luar sana, janganlah dibuka pula pintu untuk kebobrokan dan carikan itu melintas masuk ke dalam kampus pula.

Sekiranya ingin mencari populariti dan tempat dalam politik, dengan hormatnya PZ persilakan warga yang berkenaan untuk bergiat di luar pagar kampus. Cukup setakat itu. Masuk ke dalam pagar kampus, berwataklah secara profesional sebagai cendekiawan dan sarjana yang berbicara soal-soal besar mengenai umat dan masyarakat, bukannya bersembang tentang politik partisan. Dalam hal ini, apa sahaja yang ada kait-mait dengan politik luar, perkauman dan ektrimisme agama di luar sana sama sekali tidak relevan untuk dibawa masuk, baik sebagai aliran pemikiran, idealisme atau organisasi. Di universiti, you don't need a title to lead. Di universiti, it's all about authority of idea, not idea of authority.

Rumusan PZ mudah saja. Individu yang bersokongkol membawa kehanyiran pengaruh politik, sentimen perkauman dan ektrimisme keagamaan dalam kampus, baik dalam apa jua bentuk, cara dan pendekatan adalah tidak layak dan tidak berhak diiktiraf sebagai warga universiti, malah mereka inilah pengkhianat yang menjadi limbah yang mencemarkan keluhuran sebuah universiti. Inilah golongan bebal yang tidak memahami falsafah kewujudan sebuah universiti, malah menganggapnya sama seperti kedai kopi dan pasar. Kebebalan itulah yang membungkus minda mereka dari menekuni kesarjanaan, kebijaksanaan, kesaksamaan dan kewarasan akal budi yang mendasari watak warga sebuah universiti.

Pertahankanlah KESARJANAAN! 

Sunday, February 14, 2010

Monolog Dinihari

Tersentak seisi penghuni
oleh tetiba badai kala tenang hari
terjangkakah ia di celah ceria wajah tempoh hari?

Hampir tersungkurlah diri
Suram mengganti girang yang pergi
Secebis nipis iman berbaki
mengikat sabar kecamuk hati.

Tersentak seisi penghuni
berbilanglah tafsiran sendiri
namun sesekali tiada ditagih belas simpati
Disandarkan segala kepada-Nya Maha Mengetahui...

Berbekaskah lagi harapan?
Bersisakah lagi perjalanan?
Bersinarkah lagi masa hadapan?

Jejak langkah cuba digagahi
Walau tersentak seisi penghuni
Tiada dapat dipaksa untuk memahami
Lantas apalah kudratnya lagi
Usah ditagih pandangan mereka, hanya dipohonkan pandangan Ilahi
Ujian-Nya hadir untuk diredhai
Siapalah kita untuk menolak rencana suci?

Halus kedengaran sayup bisikan
"Pandanglah ke hadapan!"
"Pedulikanlah suratan yang telah ditinggalkan!"
Sejenak direnungi nasihat sabdaan
Berkalau-kalau itu perangkap syaitan
Jangan terjerat dek ujian
Kekufuran menghakis keimanan!
Kepada-Nya dipohonkan
"Kurniakanlah kekuatan!"
"Sesungguhnya berat, namun tetap ditabahkan!"

Saat awal dinihari
Panjang nafas ditarik menginsafkan realiti
Sekuat manalah diri
Berbanding kudrat Ilahi?
Remuk jiwa dipujuk sendiri
Teringat firman Maha Suci
"Tiadalah diri hamba-Nya diuji
lebih berat dari apa yang mampu digagahi"
Biarlah tersentak seisi penghuni
Dengan-Nya ku dampingi
Meneruskan baki perjalanan ini...

Wednesday, February 3, 2010

Jeda Hari

Jeda hari
sunyi tak terisi
seakan mati jari-jemari
bagai tak sudi singgah lagi.

Jeda hari
Berliku seribu kanan kiri
Jauh jaraknya hari
bagai tak berpenghujung lagi.

Jeda hari
Ditekuni sendiri
Mundar-mandir mengesan erti
Berbelah bahagi tanpa pasti.

Kini jeda hari itu berlalu
Masa membuka langkah baru
Di pentas lain diri bertamu
Meneroka zaman tiada lagi ragu!

Bagaikan sebuah kelahiran semula
Kembali berkelana...
memandang hari muka
dengan limpah kasih-Nya.

Tuesday, February 2, 2010

72 hari!



72 hari. Sunyi dan senyap PZ dari laman ini bagaikan tak sudi lagi bertamu. Perenggan waktu antara 23 November 2009 hinggalah ke hari ini, 2 Februari 2010 diwarnakan aneka cerita dan peristiwa. Puas ditimbang, diteliti dan diperhalusi, maka PZ memutuskan untuk kembali aktif bertamu di laman ini. Agak terlewat bagi coretan ini menjadi entri sulung bagi tahun baharu 2010.

Tidak dapat dinafikan, sepanjang 72 hari lepas, jari-jemari PZ mahu saja mengukir coretan di laman ini. Namun, kekangan dan hambatan tertentu sepanjang tempoh tersebut membantutkan segala-galanya. Maka, laman ini kelihatan seperti terabai tanpa sebarang pengisian. Jauh sekali niat PZ untuk meninggalkan, apatah lagi terus melenyapkan terus laman ini.

Sepanjang 72 hari lepas juga, tidak sunyi telinga PZ disinggahi pelbagai soalan dan pertanyaan dari teman-teman. "Kenapa tak update blog?" "Hangat-hangat tahi ayam je ke?" "Mana menghilang?"  dan bentuk-bentuk seumpamanya. PZ hanya upaya tersenyum dan mendiamkan diri. Buat masa ini, biarlah PZ simpan sendiri,

Maka, selepas 72 hari, PZ sekali lagi menghadirkan diri di sini. Meskipun telah 33 hari berada dalam tahun 2010, tidak terlewat bagi PZ memperbaharui iltizam, wajah dan watak. Kabur barangkali bagi segelintir teman PZ untuk mendalami mesej PZ kali ini, namun yang paling penting, Allah Ta'ala masih mengurniakan kekuatan untuk PZ kembali berkarya di laman ini, maka PZ amat amat bersyukur kepadan-Nya!

Dengan iltizam, wajah dan watak baharu tersebut, maka kembalinya PZ di laman ini akan dilatari slogan NEWBORN!