Monday, May 31, 2010

Menginsafi musibah

Seperti biasa jika ada kesempatan, Kemaman Kopitiam di Seri Dagangan 2, Kuantan menjadi lokasi PZ bersendirian mencari ilham atau meredakan tekanan. Maka malam tadi di sana, hampir sejam lebih PZ meneliti angkasa kelam dan mencari kilauan bintang di celah awan malam. Bertemankan segelas besar kopi O panas untuk mengekalkan haba dalam tubuh, PZ bergelut dengan ketidakselesaan hidung dan kerongkong, alamat jangkitan selesema.

Dua hari berehat di kampung halaman, dan keadaan cuaca yang tidak ketentuan dingin panasnya ternyata memberi kesan kepada tubuh PZ, malah dengan cepat dan mudah berbekas, kerana telah hampir seminggu PZ tidak mengunyah bekalan vitamin C dari buah oren yang kebiasananya dijamah sekurang-kurangnya dua biji setiap hari. Sekembali ke rumah, dua biji buah kiwi dimamah dan segera PZ baluti tubuh dengan gebar tebal untuk mengurangkan rasa tidak sihat tersebut. Mungkin ini adalah kemuncak kepada kecelaruan fikiran PZ kebelakangan ini dan hendaknya sembuh sihatlah sebelum PZ berangkat ke luar negara akhir minggu ini nanti. 

Betapa lemahnya kita sebagai manusia. Apalah daya kita untuk menolak ujian-Nya jika telah disuratkan? Sehebat mana sasa tubuh badan, akan layu terkapar jua jika penyakit menimpa. Daifnya kejadian manusia, dan itulah besar hikmah supaya kita menginsafi bahawa kuasa-Nya mengatasi segala yang lain. Sepandai mana kita tidak akan dapat menandingi ilmu kebijaksanaan-Nya. Jika Dia menghendaki sesuatu terjadi, maka jadilah ia, takkan dapat siapa jua menahan ketentuan-Nya.

Mengenang hakikat tersebut, pastinya kita menginsafi bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah suatu persinggahan. Ada yang susah dan sulit hidupnya, diuji dengan kepapaan dan kemiskinan, melarat dan merempat. Ada pula yang selesa dan mewah hidupnya, diuji dengan kekayaan harta, pangkat, pengaruh dan kuasa. Namun, tidak semestinya yang mewah kaya itu bahagia ceria dan tidak semestinya pula yang daif papa itu duka derita hidupnya. Hakikat ini jika dicermati, mengandungi iktibar yang tidak sedikit untuk memuhasabah diri. Bahkan PZ sendiri selalu dihambat igauan ngeri, bagaimana nasib diri ini jika dijemput Izra'il sebelum sempat mengikhlaskan taubat pada Ilahi.

Menyusuri suasana dan corak hidup masa kini, pastinya siapa jua yang waras akan gundah memikirkan warna generasi hari ini. Memandu pulang ke rumah tadi, PZ berselisih dengan gerombolan anak muda bermotosikal yang bangga beraksi bahaya di jalan raya. Hilangkah waras fikiran mereka untuk menginsafi besar petaka yang akan menimpa akibat perbuatan itu? Bersediakah mereka menghadap Ilahi dalam keadaan begitu? Singkat sekali jalur fikir generasi kini dan mudah-mudahan Allah Ta'ala sentiasa mengampuni kealpaan hamba-hamba-Nya, walaupun kita sering melupai-Nya.

Berbalik kepada diri ini, PZ memanjatkan doa supaya sembuh hendaknya seperti sedia kala. Kita hanya merancang, Allah Ta'ala jualah yang menentukan untung nasib percaturan. Teringat PZ kepada sepotong hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "setiap musibah yang menimpa itu adalah kafarah (pengampunan)." 

Sunday, May 30, 2010

Redha dan pasrah

Bersalah sungguh rasanya PZ kerana tidak menyinggahi perantauzaman selama hampir sebulan. Ternyata, tekanan dan hambatan yang bertali arus benar-benar memberikan kesan kepada keupayaan PZ untuk berkarya bulan ini. Hal-hal peribadi dan kerja, silih-berganti datang menghantui fikiran, dan sekaligus agak menjejaskan prestasi dan produktiviti. Itu realiti yang pahit buat PZ akui.

Sambutan Wesak yang jatuh pada 28 Mei telah memberi waktu rehat yang agak panjang, lantas memberi peluang buat PZ untuk melupakan hal-hal peribadi dan kerja, serta membolehkan PZ bermuhasabah dan memikirkan tentang ehwal diri sendiri. Telah dua malam PZ habiskan di kampung halaman, berehat dan menenangkan fikiran. Baharu sebentar tadi, PZ mula membedah buku California: A History karya Kevin Starr yang telah PZ beli di Carrefour Subang Jaya hampir dua bulan lalu, namun masih belum sempat ditelaah.

Dalam kesibukan kerja, sempat juga PZ selesaikan pembacaan The River of Lost Footsteps: Histories of Burma karya Thant Myint-U pada minggu sudah. Satu perbezaan yang baharu PZ rasai berbanding masa lalu, di mana lazimnya satu-satu buku yang dibaca boleh dihabiskan dalam tempoh dua atau tiga hari sahaja, walaupun ianya sebuah karya sejarah yang berat dan tebal.  Tetapi kini, PZ mengambil masa hampir sebulan untuk menyelesaikan pembacaan karya Thant Myint-U tersebut, yang tebalnya hanya sekitar 350 halaman. Betapa tekanan kerja boleh menjejaskan tumpuan bacaan santai. Satu lagi realiti yang pahit untuk ditelan oleh PZ.

Hampir dua jam setengah PZ habiskan waktu petang 29 Mei di Restoran KFC Pekan. Bukannya kerana terlalu kepingin meratah ayam goreng, tapi sekadar duduk menikmati sedikit juadah ringan dan menyelesaikan sedikit kerja dengan bertemankan komputer riba PZ. Suasana dingin dan khalayak yang tidak begitu ramai sedikit melapangkan fikiran dan kala itulah PZ terfikir untuk mengemaskini perantauzaman pada malam ini. Kalau tidak dipaksakan malam ini, akan bertangguh-tangguh lagilah ziarah PZ di perantauzaman, apatah lagi mulai hujung minggu hadapan, PZ akan berada di luar negara buat beberapa ketika. Pastilah lebih sukar untuk mengemaskini perantauzaman di sana kelak.

Terus terang PZ nyatakan bahawa warna hari sejak kebelakangan ini tidaklah begitu ceria dan indah buat PZ. Pelbagai persoalan mengasak laman fikir PZ, hingga ada ketikanya seolah terbayang di layar mata atau di kaca cermin kereta kala memandu. Makan dan minum juga bukanlah lagi satu keutamaan, dan hanya PZ ambil sekadar untuk menyambung nadi tenaga, walaupun pada hakikatnya langsung tidak berselera. Segala-galanya memberi kesan kepada diri PZ - tumpuan terhadap kerja, kepedulian terhadap diri dan tahap kesihatan. Beratkah persoalan itu? Biarlah PZ simpan sendiri. Namun kini PZ berusaha keras untuk menyuburkan semula kreativiti yang agak terhakis dan menjajarkan semula fokus lensa fikir PZ supaya tidak terbawa-bawa oleh perasaan dan fikiran yang bukan-bukan.

Dalam kecelaruan tersebut, teringat pula PZ kepada sepotong firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: "Tidak Allah berikan seseorang itu dengan suatu ujian yang lebih berat dari apa yang mampu dipikulnya." Sedikit tenang kala melihat ayat suci ini. Pastinya, Allah Ta'ala lebih mengetahui apa yang tersirat di sebalik setiap ujian ini. Sebagai insan biasa, PZ hanya mampu redha dan pasrah.

Friday, May 7, 2010

"Ha'ul"



Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin al-Muadzam Shah
ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Muktasim Billah,
Sultan Pahang keempat (1932 - 1974).
Tarikh kemangkatan Baginda pada 7 Mei 1974 diiisytiharkan
sebagai Hari Hol dan cuti umum bagi Negeri Pahang Darul Makmur.

Mudah-mudahan Allah Ta'ala mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan menempatkan Almarhum dalam kalangan hamba-Nya yang soleh dan beriman.


Hampir dua minggu perantauzaman tidak bersuara. Berhadapan dengan aneka perkara, ilham yang hadir terabai sendirian di gerbang minda. Keletihan, tekanan dan kesibukan bisa sahaja merumitkan proses penterjemahan ilham tersebut kepada kata, frasa dan ayat yang berupaya menyantuni pembaca perantauzaman. Sebagaimana yang pernah PZ nyatakan sebelum ini, catatan blog adalah sebuah karya sastera, justeru laman blog perlu dihiasi dengan keindahan bahasa yang sopan, walau mungkin niatnya menyindir. Sama ada yang tersurat atau tersirat, segalanya perlu dicermati supaya tiada siapa yang cedera perasaannya oleh tulisan kita. Itu prinsip PZ.

Ternyata sekali hari Jumaat 7 Mei ini amat membahang terik panasnya. Kebetulan pula hari ini merupakan cuti umum bagi Negeri Pahang Darul Makmur kerana Hari Hol, maka lapanglah sedikit jadual PZ yang lazimnya dipenuhi tugas dan kerja yang tidak berkesudahan. Bagi teman-teman yang kurang mengerti, "Hari Hol" merupakan hari untuk memperingati anggota keluarga yang telah meninggal dunia. Diambil dari perkataan Bahasa Arab iaitu ha'ul, lazimnya hari ini diiringi bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an, tazkirah dan jamuan oleh keluarga si mati.

Majlis ha'ul adalah suatu kelaziman dalam kalangan masyarakat berketurunan Arab, terutamanya yang bergelar Syed dan Sheikh, namun agak jarang dilaksanakan dalam masyarakat Melayu, kecuali keluarga diraja. PZ pernah menyertai sebuah majlis ha'ul yang diadakan oleh seorang bos PZ di tempat kerja sulung pada tahun 2004, dan beliau memang seorang yang berketurunan Syed dari Yaman. Makanya, Hari Hol Negeri Pahang pada hari ini adalah untuk memperingati kemangkatan Almarhum Sultan Abu Bakar Ria'ayatuddin al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Muktasim Billah, iaitu Sultan Pahang keempat yang memerintah mulai tahun 1932 hinggalah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 1974.

Berdasarkan pengalaman menyertai acara ha'ul seperti yang disebutkan tadi, PZ berpandangan bahawa elok juga jika ia dijadikan suatu amalan kerana pengisian yang banyak mengingatkan kita kepada kematian dan bahawa hidup ini hanya sementara. Masyarakat Melayu lebih gemar mengadakan kenduri arwah  yang diisi dengan bacaan Surah Yaasin, tahlil dan jamuan, namun peringatan berkenaan mati dalam bentuk tazkirah ringkas tidak pula diadakan. Justeru, mungkin konsep kenduri arwah sebagai ha'ul versi masyarakat Melayu boleh dimantapkan lagi dengan pengisian tazkirah yang PZ nyatakan tadi. Tidaklah nanti kenduri arwah tersebut hanya menjadi suatu kelaziman adat yang sekadar diikut-ikut tanpa difahami sedikit pun mesej dan falsafahnya.


Sunday, April 25, 2010

"Jika jatuh sembilan kali, bangunlah sepuluh kali"


"Jika jatuh sembilan kali, bangunlah sepuluh kali. Jika tidak bisa bangun, berusahalah untuk duduk dan berserah kepada Tuhan. "  Demikian antara mutiara kata perjuangan Robert Wolter Monginsidi
(1925 - 1949). Menyertai revolusi penentangan terhadap penjajah Belanda di Sulawesi, beliau pergi selamanya sebagai seorang pejuang pada usia semuda 24 tahun.

(foto dipetik dari wikipedia)

Memandu pulang dari kampung halaman sesudah Asar tadi, PZ berlabuh sebentar di Kemaman Kopitiam, Kuantan, menikmati kopi ais dan French toast, sekadar untuk merangsang selera makan yang kian mendangkal mutakhir ini. Sambil meneguk minuman dan mengunyah juadah, PZ memandang kosong matahari petang yang kian condong di ufuk barat. Petang tadi tidaklah seterik hari sebelumnya, dan nyaman udara mendesah lemah, menadikan langit yang sedikit mendung.

Satu lagi minggu yang amat sibuk bakal menanti PZ bermula 26 April ini. Pelbagai mesyuarat dan tugasan luar daerah telah mengisi laman perharian PZ sehingga 1 Mei, lantas luang waktu hari ini PZ gunakan sebaik mungkin untuk merehatkan minda dan mengalirkan semula tenaga. Leka dengan suasana, Kemaman Kopitiam PZ tinggalkan kala senja, hanya beberapa minit sebelum azan Maghrib ke udara.

Mengisi entri perantauzaman kali ini, ingin PZ soroti madah perjuangan yang ditinggalkan mendiang Robert Wolter Mongonsidi, seorang tokoh yang diiktiraf sebagai salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia, sebaris dengan nama-nama besar seperti Bung Karno, Jeneral Sudirman dan lain-lain. Menemui ajalnya di hujung muncung senapang skuad penembak angkatan Belanda pada usia yang belum pun mencecah 30 tahun, mendiang Robert adalah antara anak muda yang menyertai perjuangan menentang kehadiran semula penjajah Belanda di Indonesia setelah berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945. Kisah perjuangan anak muda berjiwa besar ini juga diangkat ke layar perak dan pernah ditayangkan di kaca televisyen tempatan pada pertengahan tahun 90'an.

Memperingati perjuangan beliau, di sini PZ perturunkan beberapa madah perjuangan mendiang Robert untuk renungan teman-teman. Meneliti rangkaian madah tersebut, jelas tergambar kejituan prinsip perjuangan dan merah bara semangat beliau, satu hakikat yang patut diteladani kita. Generasi muda kini kian terhakis kelasakan mental dan ketahanan diri, cepat mengalah pada susah payah dan mengharapkan jalan mudah dalam semua hal, menjadikan mereka individu berperibadi rapuh. Betapa bertuahnya tanah air sekiranya ada kalangan anak muda yang dapat menghayati nyala madah perjuangan mendiang Rober Wolter Monginsidi ini:

Jangan takut melihat masa yang akan datang. Saya telah turut membersihkan jalan bagi kalian meskipun belum semua tenaga kukeluarkan;

Jangan berhenti mengumpulkan pengetahuan agar kepercayaan pada diri sendiri tetap ada dan juga dengan kepercayaan teguh pada Tuhan;

Bahawa sejak dari kecil harus tahu berterima kasih pada diri sendiri...belajarlah melipat kepahitan! Belajar mulai dari enam tahun...dan jadilah contoh mulai kecil sedia berkorban untuk orang lain;

Apa yang saya bisa tinggalkan hanyalah roh ku sahaja iaitu roh "setia hingga terakhir pada tanah air" dan tidak mundur sekalipun menemui rintangan apa pun menuju cita-cita kebangsaan;

Saya telah relakan diriku sebagai korban dengan penuh keikhlasan memenuhi kewajipan buat masyarakat kini dan yang kan datang, saya penuh percaya bahawa berkorban untuk tanah air mendekati pengenalan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Saturday, April 17, 2010

Si Bodoh Sombong yang takut dengan bayang-bayang sendiri

Mengharungi terik petang, laut fikir PZ mencari-cari ilham untuk dinukilkan. Sebagaimana lazimnya, PZ akan pulang ke kampung halaman tiap petang Sabtu, dan ingin PZ coretkan sesuatu sebelum memandu pulang. Pagi tadi PZ berwacana bersama hampir 70 orang kaum ibu yang merupakan Sahabat Amanah Ikhtiar. Ceria sekali wacana tersebut, jauh lebih interaktif berbanding wacana sama awal minggu ini di Bandar Muadzam Shah. Program singkat anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) di Dewan Belia 4B di Bandar Indera Mahkota tersebut sekurang-kurangnya memberi kesempatan untuk PZ bermasyarakat, menyelami masalah usahanita Bumiputera dan merentangkan cadangan untuk memperkasa bisnes mereka. Banyak masalah yang dikongsi dan beberapa petua PZ beri kepada mereka. Penghargaan PZ kepada YaPEIM kerana memberi peluang untuk PZ menjadi salah seorang fasilitator program ini.

Entah mengapa, langit kerjaya PZ dibayangi rasa kecewa dan geram sepanjang minggu ini. Jarang sekali PZ dibalut amarah dan kehampaan, tetapi beberapa peristiwa yang mewarnai minggu ini memendungkan perasaan. Tidaklah PZ berhasrat untuk mengisahkan apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab, namun bagi PZ, ada banyak jalan lagi untuk menyelesaikan masalah dan menjernihkan suasana, bukan dengan apa yang PZ saksikan minggu ini.

Melihat apa yang telah berlaku, PZ dapat simpulkan bahawa segala-galanya berpunca daripada sikap 'bodoh sombong' dan 'takut' dengan bayang-bayang sendiri. Sikap tergesa-gesa dan gopoh-gapah dalam menghadapi sesuatu seringkali mengakibatkan rangka penyelesaian yang rapuh. Natijahnya, penyelesaian itu tidaklah berusia panjang, sebaliknya memberi implikasi negatif dalam jangka waktu singkat, yang mungkin baik di satu pihak, namun sebaliknya di satu pihak yang lain. Luka yang membelah kulit mungkin telah kering darahnya, namun parutnya membekas sampai bila-bila. Itu yang PZ dapat analogikan.

PZ teguh berpandangan bahawa hati seseorang atau sekolompok individu akan dapat dimenangi dengan adanya KEIKHLASAN. Keikhlasan itu terbit daripada ketulusan hati dan niat suci, yang tentu sekali tidak terbeli dengan mata benda dan wang ringgit. Keihklasan yang dicurah ibarat air baja yang menyuburkan tanaman yang akan tumbuh hijau, sihat dan segar. Keikhlasan sesekali tidak boleh dibuat-buat atau direka-reka, ia datang secara semulajadi. Keikhlasan layanan pada seseorang, sesebuah kumpulan atau komuniti akan menzahirkan KEPERCAYAAN. Bukan mudah untuk memperoleh kepercayaan. Kerana tidak mudah itulah, ada yang tidak sabar sehingga menjadi angkuh bongkak, cuba menjadi meraih kepercayaan dengan cara paksa dan tidak terhormat, seperti lanun dan peragut.

Jurang umur dan hirarki sesekali tidak relevan untuk menjustifikasi perlakuan jelek meraih kepercayaan dengan cara paksa. Inilah masalahnya apabila ada segelintir manusia yang merasakan diri mereka telah cukup 'berkuasa' dan 'kebal'. Kuasa dan kekebalan itu dijadikan perkakas untuk menakut-nakutkan orang lain, dan sesiapa sahaja yang tidak sepandangan akan dilabel sebagai penentang sewenang-wenangnya. Kuasa dan kekebalan itu juga menjadikan individu jelek ini alpa akan hakikat kewujudannya untuk BERKHIDMAT kepada pemegang taruh utama di organisasinnya, bukan memaksakan nilai anutannya dengan cara yang hanya menyuburkan permusuhan, prejudis dan rasa tidak mempercayai antara satu sama lain.

Sedih dan malang sekali jika watak begini membayangi layar kesarjaaan sebuah institusi bertaraf universiti. Berkhidmat di universiti menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tidak sedikit. Berkorban masa dan sabar menghadapi aneka karenah warga universiti, terutamanya mahasiswa. Mahasiswa adalah ibarat anak-anak, dan telah menjadi sesuatu yang lumrah dalam satu keluarga, akan ada anak yang baik, ada yang pendiam, ada yang dengar cakap dan ada juga yang agak nakal. Justeru, pendekatan layanan bagi setiap anak yang berlainan watak itu juga haruslah berbeza menurut kesesuaian. Ada yang cukup dengan sekali arahan, ada yang perlu diperjelas satu-persatu dan ada juga yang perlu ditinggikan suara. Lantas, jika ada anak yang agak nakal membuat kesalahan, cukuplah dia seorang yang ditegur dan dimarahi, kenapa anak-anak lain dipalit sama dengan amarah tersebut?

Inilah realitinya. Ada orang bangga berbicara tentang profesionalisme dan berfalsafah mengenai metodologi pendidikan, tetapi gagal mengawal emosi sendiri apabila menghadapi karenah yang seharusnya boleh diantisipasi sejak awal. Sudah terhantuk baru terngadah, maka pelbagai cara dicuba untuk kononnya 'meredakan' suasana tetapi hakikatnya tambah mencederakan. Dalam suasana seumpama ini, ramai yang hanya mencari penyelesaian, namun apakah mungkin penyelesaian itu memberi kesan yang positif dan long lasting sekiranya punca sebenar masalah tidak diziarahi dan diteliti?

PZ bukanlah seorang nujum yang boleh meramal. Namun bekalan pengalaman yang ditempuh masa lalu menyebabkan PZ amat menghargai sejarah sebagai sumber muhasabah. Mereka yang angkuh bongkak, bodoh sombong dan takut dengan bayang-bayang sendiri ini sama sekali tidak belajar dari sejarah. Akhirnya, krisis dan kemelut sama berulang dan terus berulang dengan dilatari zaman dan generasi yang berbeza. Bagi PZ, mendung peristiwa minggu ini adalah satu lagi pengulangan sejarah. Mungkin ia kelihatan sebagai satu penyelesaian, namun ibarat api dalam sekam, baranya masih merah di satu pihak yang lain.

Selagi mana tiada KEIKHLASAN, KESUCIAN NIAT dan KEPERCAYAAN, yakinlah bahawa sejarah ini akan berulang lagi satu hari nanti. Beruntunglah mereka yang mengambil iktibar dari sejarah silam, dan rugilah mereka yang enggan mengakui kelemahan sendiri, malah terus kebal dalam keangkuhan, karamlah mereka dalam laut kejahilan, selagi mana tiada perubahan sikap.

Friday, April 16, 2010

Kala Pagi

Kala pagi
Lembut sinar mentari
mencurah di atas dingin bumi.

Kala pagi
Bermula satu babak hari
Mengisi ruang hidup ini.

Kala pagi
Segalanya segar di sana sini
Lapang ruang minda dan isi hati
Meneruskan langkah mengisi misi.

Kala pagi
Kita hadir sekadar mengungsi
Meninggalkan semalam takkan kembali
Tiadalah perlu disesalkan lagi
apa yang telah berlalu pergi
sekadar menginsafi hakikat diri
untuk memandang esok hari.

Sunday, April 11, 2010

Sembang petang dan ulangan 'kisah lama'

Menjengah sebentar ke laman rumah di tengah pekat larut malam ini, terasa sekali hangatnya. Nyata tiada bayu yang sudi lalu, lantas segala-galanya seolah kaku memaku lantai tanah. Pepohonan dan dedaunan tidak sedikit pun menari oleh tiupan bayu, suasana kekakuan yang amat menjemukan. Tapi mungkin juga cuaca akan berubah arah di penghujung malam, siapa kan tau?

Hampir seminggu PZ berkelana di Kuala Lumpur, mengikuti Kursus Pengendalian dan Penulisan Minit Mesyuarat Berkualiti di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Tengah atau INTENGAH di Jalan Elmu, bersebelahan Universiti Malaya. Sebagai kampus INTAN tertua, INTENGAH diselubungi nostalgia dan persekitaran klasik - baik senibina, bangunan, asrama dan segala-galanya.

Sepatutnya PZ mengikuti kursus ini di INTAN Kampus Utama di Bukit Kiara, namun penstrukturan semula pada saat akhir menyaksikan pemindahan pentadbiran kursus ini ke INTENGAH. Tidak banyak yang ingin PZ kongsikan mengenai kursus ini melainkan pengisian yang cemerlang dan penyampaian efektif - penghargaan buat para penceramah iaitu Encik Lecthumanan, Puan Sarengah dan Puan Zaliha serta kerjasama dan group binding tinggi para peserta yang bagi PZ, amat baik, mewujudkan suasana kekeluargaan sepanjang hampir lima hari berkursus.

Kembali semula ke Kuantan, maka bersiap sedialah pula PZ untuk tugasan luar seterusnya. Pagi Isnin 12 April akan menyaksikan PZ memecut ke Bandar Tun Razak, Rompin untuk mengendalikan Kursus Induksi untuk para usahawan yang dikelolakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selama setengah hari. Slaid dan nota ceramah telah diserahkan kepada PZ sejak minggu lepas, maka tidaklah perlu PZ bersusah payah sangat, sekadar perlu mentelaah sedikit supaya penyampaian jadi lebih efektif dan interaktif.

Sebelum memandu pulang ke kampung halaman tadi, PZ luangkan sedikit masa menziarahi wacana dan diskusi beberapa orang pimpinan siswa dan siswi untuk merencana pelaksanaan Minggu Induksi Siswa yang akan datang. Berbincang secara santai di celah cahaya petang yang terik, beberapa isu penting kami singkap untuk disumbangsaran secara bijaksana. Mengendali acara besar dan strategik seumpama Minggu Induksi Siswa bukanlah mudah dan enteng, justeru perencanaan awal amatlah perlu supaya kualiti dapat ditambah baik dan kesilapan lampau tidak diulangi.

Bersama dengan rakan-rakan siswa dan siswi tadi, PZ selesa sekali melihat mereka berbicara dan bersuara, kerana peluang sama rata diberi dalam hawa damai kekeluargaan, ibarat perbincangan sesama adik-beradik. Jelas sekali, tiada sebarang krisis atau pergeseran akan timbul jika wujud penghargaan, kepercayaan dan pengiktirafan. Mengikis ego dan merapatkan jurang dengan mereka, itu adalah kunci untuk menjuarai hati para siswa dan siswi. Berkali-kali PZ ulangi di perantauzaman bahawa pendekatan 'mengarah' atau 'remote control' telah lapuk dan tidak relevan lagi kerana para siswa dan siswi ini tidak kisah bekerja lebih, tetapi yang 'mengarah' dan 'remote control' itu perlu turut turun pandang menyingsing lengan bersama mereka. Namun, dalam banyak situasi PZ perhatikan, sikap turun padang itu hanya 'dilakonkan' secara langsung jika ada pengurusan berjawatan tinggi yang datang menjenguk. Amat jelek dan hipokrit sekali!

Menonton Buletin Utama TV3 kala singgah mengalas perut di sebuah gerai semasa perjalanan pulang mencuit-cuit ingatan PZ terhadap satu kisah lama semasa di kampus dahulu apabila diberitakan mengenai pembongkaran penipuan seorang pelatih PLKN yang mengaku dirinya 'Yang Mulia Tuan Muda Pahang'. Berani sungguh remaja 17 tahun ini, sehingga seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara juga terpedaya dengan tipu helahnya! Namun sampai bila penipuan itu boleh bertahan dalam zaman maklumat yang canggih ini.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua! Pelakon utama 'kisah lama' yang PZ sebut di atas itu nampaknya lebih bernasib baik kerana terlepas bebas dan masih 'at large' kini. Tersenyum sendirian PZ apabila mengenangkan betapa PZ dan beberapa teman sekuliah, malah beberapa Profesor boleh terpedaya dengan 'lakonan' ini, yang mengaku dirinya salah seorang pewaris takhta sebuah negara. Apalah agaknya yang dia lakukan sekarang.

Tidak perlu bertindak sedemikian hodoh untuk mencari publisiti, meraih simpati atau menarik perhatian khalayak. Barangkali ada penyakit psikologi yang khusus untuk merujuk individu seumpama ini, PZ tidaklah pula pasti. Namun, pendedahan kisah-kisah ini cukup untuk mengaktifkan litar waspada kita untuk mengelakkan diri daripada terperangkap. Macam 'kisah lama' di kampus dulu, hampir empat tahun PZ diperdaya dan dibohongi oleh individu tersebut yang PZ anggap sebagai seorang sahabat rapat. PZ percaya ramai lagi spesis ini berkeliaran tanpa dapat dikesan di luar sana, maka berhati-hatilah kita supaya dilindungi sentiasa. Apa motif spesis ini, PZ sendiri tidak pasti. Terlalu ambitious barangkali?