Sembah Tahniah
24 Oktober 2010. Entri kali ini PZ mulakan dengan menyembahkan setinggi-tinggi tahniah ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Must'ain Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin al-Muadzam Shah di atas sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-80 pada hari ini. PZ memanjatkan doa ke hadrat Allah Ta'ala mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus dilanjutkan usia dengan limpah lindungan keimanan, kesihatan dan kesentosaan. Dirgahayu Tuanku!
Perihal Kesinambungan Kuasa
Perhimpunan Agung UMNO Ke-64 melabuhkan tirainya petang tadi. Sepertimana yang telah dijanjikan dalam entri terdahulu, ada sesuatu mengenai isi Perhimpunan Agung tersebut yang ingin PZ kongsikan dalam entri kali ini.
Meneliti ucapan dasar pada hari perasmian dan ucapan penggulungan petang tadi oleh Presiden UMNO, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak, terselit mesej tersirat yang sarat dengan sejuta makna untuk ditekuni. Malah, sesetengah pemerhati meramalkan bahawa apa yang telah diungkapkan Dato' Sri Najib tersebut mengisyaratkan hampirnya Pilihanraya Umum Ke-13. Pastinya, Pilihanraya Kecil Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan Pilihanraya Kecil Kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah tidak lama lagi merupakan medan ujian yang genting buat yang memerintah dan yang membangkang. Pada pandangan PZ, keputusan kedua-dua pilihanraya kecil tersebut amat penting buat Dato' Sri Najib mencatur tarikh Pilihanraya Umum Ke-13.
Di ambang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10, Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi, Dato' Sri Najib memerlukan mandat jelas daripada rakyat dalam bentuk tanda pangkah atas kertas undi. Ini penting bagi membuktikan bahawa langkah-langkah tranformasi dan pembaharuan yang diterajui beliau benar-benar mendapat restu daripada para pengundi.
PZ sendiri telah selesai membedah kandungan Program Transformasi Kerajaan yang dicetuskan beliau, dan secara peribadi PZ melihat dokumen tersebut amat lengkap dan hampir sempurna perhitungannya. Mensasarkan pencapaian status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, dokumen ini memerlukan jentera penggerak yang benar-benar komited, ikhlas dan kompeten untuk direalisasikan sepenuhnya.
Justeru, detik-detik pasca Perhimpunan Agung UMNO Ke-64 ini adalah amat kritikal kepada UMNO-Barisan Nasional, begitu juga kepada parti-parti pembangkang. Dalam suasana politik tanah air yang amat sukar diramalkan selepas berakhirnya Pilihanraya Umum Ke-12 pada tahun 2008, parti-parti siasah di Malaysia, sama ada yang menerintah mahu pun yang membangkang bergelut hebat untuk bernafas dalam selut politik demi survival kuasa dan pengaruh. Malah, mantan Perdana Menteri kelima, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menyuarakan bahawa adalah sukar UMNO-Barisan Nasional untuk memperolehi majoriti 2/3 kerusi di Parlimen dalam suasana hari ini.
Pun begitu, pentadbiran pimpinan Dato' Sri Najib memerlukan mandat dan restu yang jelas daripada rakyat. Itulah semangat demokrasi dan soal mandat dan restu daripada yang diperintah bukanlah lagi sesuatu yang boleh dipandang enteng kini. Lantas, sekiranya Pilihanraya Umum Ke-13 direncanakan lebih awal daripada tahun 2012, percaturan tersebut merupakan satu risiko besar bagi kedua-dua belah pihak, yang memerintah dan yang membangkang dalam perebutan kuasa dan survival politik mereka. Maka, pada hemat PZ, Dato' Sri Najib telah membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam hal ini dan telah jua mengambil kira kesan dan akibat yang mungkin timbul daripada keputusan yang bakal diambil itu.
Itu pengamatan PZ. Cabaran yang menanti amat besar kepada yang memerintah dan yang membangkang. Pertarungan hari ini tidak lagi secara totalnya ditentukan secara konvensional, malah pengaruh media baharu di dunia maya terlebih-lebih lagi berperanan besar. Maka, pemain-pemain politik tanah air tidak dapat lari dari mengakui hakikat bahawa dunia maya tanpa sempadan tersebut telah memberi impak tinggi kepada literasi politik rakyat, terutamanya pengundi muda. Kaedah dan pendekatan lapuk melalui media arus perdana hanya akan menjadi jenaka kepada mereka, yang sentiasa dikemaskini melalui sumber alternatif yang disediakan media baharu.
Walau bagaimana terdesak sekali pun di pihak yang memerintah dan yang membangkang, satu sahaja harapan dan pinta PZ - tolonglah berhemah, telus dan bijaksana! Memang PZ amat skeptikal dan sinis dengan ahli-ahli politik kerana 'kehebatan' retorik, manis kata dan janji mereka. Iklim semasa tanah air dan sentimen pengundi menuntut keikhlasan para pemain politik. Ini bukan lagi zaman di mana kita perlu berutus surat dan telegram untuk menyampaikan khabar berita; kini dengan kemudahan jalur lebar, tiada lagi sesiapa yang privilleged dengan sesuatu berita.
Itu realiti yang perlu ditekuni dan diinsafi. Kesinambungan kuasa kala ini ialah melalui ilmu dan kebijaksanaan, bukan lagi emosi, provokasi dan nostalgia!
No comments:
Post a Comment