Sebagai peminat dan pengkaji sejarah, buku-buku sejarah sentiasa menarik perhatian PZ pada setiap masa. Baik untuk dilihat, dibeli, ditelaah, dibaca dan dibedah. Kesibukan mutakhir ini sedikit sebanyak mencukai masa PZ untuk bersantai bersama buku atau menghabiskan masa sejam dua di toko-toko buku kegemaran PZ di Kuala Lumpur. Masa jeda yang terluang pasca Majlis Konvokesyen Ke-5 ini membolehkan PZ meneliti judul-judul yang tersimpan di khutub-khanah mini PZ di rumah.
Sejarah Johor Moden 1855 - 1940 Satu Perbincangan Dari Pelbagai Aspek karya Fawzi Basri dan Hasrom Haron terbitan 1978 oleh Muzium Negara menarik perhatian PZ malam ini. Sejarah Johor, khususnya Johor moden merupakan antara lapangan kajian yang paling PZ minati, seperti juga sejarah Sarawak era pemerintahan keluarga Brooke. Memang mengujakan untuk diperhalusi.
Karya Fawzi dan Hasrom tersebut memang telah beberapa kali PZ usaikan telaahnya. Namun tidak bosan diulang baca, sebagaimana PZ menikmati karya Bernardine Kielty, The Fall of Constantinople. Johor memiliki sejarah unik dan kemajuannya mendahului negeri-negeri Melayu yang lain pada pertengahan dan akhir kurun ke-19.
Menarik sekali, seawal tahun 1885, pentadbiran Johor telah kemas tersusun dengan birokrasi yang lengkap. Meneliti Singapore and Straits Directory bagi tahun 1885, kerajaan Johor pada waktu tersebut telah memiliki lima buah kapal wap iaitu Pantie, Pulai (yang dijadikan gunboat), Bintayan, Phatander dan Duffader. Memang negeri Johor hari ini patut benar berterima kasih kepada pemacu-pemacu silamnya seperti Almarhum Sultan Abu Bakar, Dato' Bentara Luar Mohd Salleh Perang, Dato' Sri Amar Diraja Abdul Rahman Andak, Dato' Muhammad Ja'afar dan lain-lain.
Kemajuan tersebut turut membekas pada perkembangan legislatif negeri tersebut. Umum mengetahui bahawa Johor merupakan negeri Melayu pertama yang menggubal perlembagaan bertulis iaitu Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) pada tahun 1895. Perlembagaan tersebutlah yang ingin PZ kongsi bersama teman-teman dalam entri kali ini. Ada dua peruntukan dalam UUTKJ yang amat menarik untuk PZ perturunkan di sini Fasal 39 berhubung Menteri-menteri tak usah dengan ada gelaran dan Fasal 63 mengenai Ingatan jangan deras membuat darjah:
Fasal 39: Menteri-menteri tak usah dengan ada gelaran
Tiada diwajibkan bagi seseorang pegawai yang menjadi Menteri walaupun Menteri Besar atau Naib Menteri Besar itu ada ia mempunyai gelaran "Datuk" sama ada gelaran Datuk bagi kerajaan atau gelaran Datuk bagi sesuatu darjah yang dikurniakan oleh raja kepadanya atau sesuatu gelaran yang lain akan tetapi adalah termaklum pangkatnya di antara taulan-taulannya dan dalam istiadat-istiadat kerajaan dan di hadapan isi negeri oleh kerana hak jawatan menjadi Menteri itu.
Fasal 63: Ingatan jangan deras membuat darjah
Sungguhpun dinyatakan di dalam undang-undang ini hendaklah dipakai dan diperkekalkan darjah-darjah yang tersebut itu, tiada pula dilarang atau ditegah akan raja daripada membuat, menjadi dan mengadakan darjah-darjah dan tanda-tanda kemuliaan dan kebesaran yang lain kerana Raja itu mata air bagi segala kemuliaan dan kebesaran akan tetapi adalah diperingatkan janganlah diperbuat, dijadi dan diadakan sesuatu darjah lain dengan sebab semata-mata hendak membanyakkan dan menambahkan bilangan darjah-darjah sahaja dengan tiada difikirkan dengan cermat dan baik adakah berguna dan berkehendak dijadikan yang baharu kerana banyak bilangan dan terlalu banyak kelihatan di dalam negeri tanda-tanda kemuliaan dan kebesaran itu akan menjadikan kurang mutu dan kurang harga semuanya itu, istimewa pada tentang suatu kerajaan yang kecil.
Mungkin ada teman yang mengeluh dengan jela panjang bahasa klasik yang mengisi peruntukan UUTKJ di atas. Namun, semangat peruntukan UUTKJ di atas amat jelas. Memiliki gelaran kebesaran bukanlah satu kemestian pada batang tubuh seorang kenamaan. Pada masa yang sama juga, pengurniaan darjah kebesaran sewenang-wenangnya dalam jumlah yang banyak akan menjatuhkan martabat darjah kebesaran itu. Maka, tidak hairanlah, Istana Johor diketahui menetapkan kriteria ketat dalam pengurniaan gelaran, darjah dan bintang kebesaran. Semangat UUTKJ 1895 itu terus dijunjung hingga hari ini. Sembah tahniah dan sanjungan PZ kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor!
Melihat suasana sekeliling hari ini, mereka yang punya gelaran Datuk bersepah di sana-sini. Tiada masalah jika gelaran itu hinggap pada tubuh yang berhak, tiada sebarang pertikaian di situ. Namun, tertanya-tanya juga PZ apabila kadangkala melihat gelaran itu hinggap pada tubuh-tubuh yang kurang dikenali, tidak pernah kedengaran pun bakti jasanya yang istimewa. Sekadar pandai berpolitik dengan manis bicara dan janji atau merdu suara tidak lagi melayakkan seseorang itu menerima gelaran kebesaran. Apatah lagi jika penerima tersebut dicadang dari senarai politik atau lebih menakutkan jika gelaran itu dibeli!
PZ menyanjung tinggi kebijaksanaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri dalam hal ini. Setiap gelaran, darjah dan bintang kebesaran itu ada harga dan maruahnya. Molek benarlah jika Fasal-fasal 39 dan 63 UUTKJ itu diambil sebagai rujukan persuasif untuk memandu kebijaksanaan mereka yang berada di takhta dan istana.
Menutup entri ini, marilah kita insafi bahawa Allah Ta'ala jualah yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu mengatasi segala yang lain. Firman Allah Ta'ala dalam Surah Ali Imran ayat 26:
"Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau memberikan kekuasaan kepada yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan kepada yang dikehendaki. Engkau memuliakan yang Engkau kehendaki dan menghinakan yang Engkau kehendaki. Di tanganmulah segala kebaikan, Sungguh, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”