Wednesday, September 29, 2010

"Hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku...”

"Tunggu sekejap, wahai kasih
Tunggulah sampai, hujan teduh
Mari ku dendang
Jangan mengenang orang jauh..."
Di celah rintik hujan awal dinihari 29 September, irama merdu lagu Tunggu Sekejap karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dinyanyikan semula oleh Allahyarhamah Datin Rafeah Buang menemani nukilan PZ untuk entri kali ini. Kedua-dua seniman dan seniwati itu telah lama kembali ke Rahmatullah, mudah-mudahan roh mereka dicucuri curahan rahmat oleh Ilahi.

Minggu-minggu pasca pulangnya PZ dari kursus di INTURA ternyata begitu padat dengan acara, aktiviti dan istiadat. Mesyuarat silih berganti, apatah lagi Majlis Konvokesyen Ke-5 UMP akan bertamu dalam tempoh seminggu lagi. Masih banyak yang belum selesai, terutamanya di pihak PZ. Minda diperah dan tenaga dikerah. Dalam kesuntukan waktu dan kedaifan kesihatan, digagahkan jua tubuh dan tulang empat kerat ini untuk berjerih ke tahap optimum. Memang amat melesukan!

Sambil kotak fikir meneroka angkasa minda untuk mengait ilham yang bermusim bagi mengusaikan tugasan untuk Majlis Konvokesyen Ke-5 tersebut, perhatian PZ telah dipancing oleh sepotong hadith tatkala melayari laman mStar Online sekejap tadi. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim itu Junjungan Agung bersabda:

“Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata: Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku.”
Betapa daifnya kejadian kita sebagai manusia, kerana kadangkala akal yang dikurniakan itu tidak panjang pertimbangannya, lantaran dikuasai rasa putus-asa dan kecewa atas musibah-musibah dalam kehidupan seharian. PZ juga tidak terkecuali daripada kedaifan ini. Menekuni maksud hadith ini, betapa rendah harga diri kita dengan meminta-minta mati itu disegerakan, sedangkan jodoh pertemuan, hidup dan mati itu segalanya telah disuratkan. Barangkali itulah resam kejadian insan, dan PZ akui kelemahan itu.

Suasana semasa yang mewarnai kehidupan PZ kini mengemukakan cabaran yang tidak sedikit. Ya, hidup ini ibarat roda, sebentar di atas dan kemudian di bawah pula. Kadangkala kita rasa berkeyakinan dan tidak lama selepas itu timbul pula keraguan dan ketakpastian tentang upaya diri. Demikianlah rencah dan asam garamnya!

Berbalik kepada maksud hadith PZ perturunkan tadi, intisari iktibarnya amat bernilai untuk sama ditekuni. Daripada sumber Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), antara yang wajar diinsafi ialah:


  1. Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.

  2. Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya. 

  3. Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakal kepada-Nya dalam segala keadaan.
Telah 1:57 pagi. Renyai hujan tiada menitis lagi. Hanya kedengaran lolongan katak bersahutan memecah sunyi gelap hari. Hingga detik ini, PZ masih dapat bernafas. Mungkin tidak sesihat dahulu, namun wajib PZ syukuri kerana tubuh ini masih upaya bergerak bagi menunaikan kewajipan terhadap-Nya, lantas memaknakan hakikat kejadian diri ini sebagai hamba-Nya.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar...

Friday, September 24, 2010

Kembara tiga suasana

Sungai Petani, Pengkalan Hulu dan George Town. Tiga bandar yang terletak di tiga negeri menerima kehadiran PZ dalam tempoh satu hari. Kursus PZ di INTURA, Sungai Petani memasuki hari akhirnya pada 23 September. Hati melonjak-lonjak girang untuk segera pulang. Bukan girang kerana dapat bersembang kosong mengisi waktu senggang, tetapi girang kerana dapat pulang menyempurnakan tugasan yang belum usai.

Sudah takdir dan ketentuan-Nya, PZ tidak dapat mengikuti sepenuhnya pengisian kursus di INTURA. Ternyata, keadaan kesihatan PZ yang tidak menentu kebelakangan ini menampakkan impaknya dalam pemukiman panjang seperti ini. Bermula dari gatal-gatal hidung yang kemudiannya berair dengan rasa tidak selesa badan, akhirnya PZ akur untuk dihantar ke klinik pada 21 September. Tubuh terasa lesu dan lemah, maka tidak hairanlah bacaan tekanan darah merosot sekali, hanya pada tahap 90/60. Mahu tidak mahu, terpaksa PZ berehat sahaja di kamar B3 di INTURA seperti pesakit di wad, menelan ubat dan makan mengikut waktu.

Kerana keuzuran tubuh inilah juga, maka PZ tidak dapat merasai pengalaman kembara ke dua buah gua di Pengkalan Hulu, Perak sepanjang hari tanggal 23 September. Namun, PZ gagahi juga tubuh lemah ini untuk turut menghantar sahabat-sahabat seperjuangan ke lokasi kembara dan kemudian berehat panjang di Rumah Rehat Pengkalan Hulu sehingga mereka kembali. Agak nostalgik juga kunjungan PZ ke pekan di perbatasan Perak dan Betong, Thailand ini. Kali terakhir pekan kecil di Daerah Hulu Perak ini PZ singgahi ialah pada tahun 1995, kala PZ di Tingkatan 3. Dalam tempoh 15 tahun tersebut, tidak banyak yang PZ lihat berubah, cuma suasana pekannya kelihatan lebih ceria dan 'bernyawa'. Terdetik juga sekali sekala, alangkah tenang jika dapat ditempatkan di daerah-daerah terpencil seperti ini! Masyarakatnya masih peduli dan tidak bobrok oleh kebejatan sosial.

Sesingkat masa di pekan yang ditadbir sebagai sebuah daerah kecil kepada daerah Hulu Perak yang beribu pejabat di Grik, kira-kira 60 kilometer ke selatan, PZ melewati Kampung Selarong dan Kampung Tasek dalam perjalanan menghantar sahabat-sahabat seperjuangan ke lokasi kembara. Nama Selarong itu mengingatkan PZ kepada Makam Selarong di Negara Brunei Darussalam, dikatakan di situlah bersemadinya jasad Puteri Lela Menchanai. Kampung Tasek pula dihuni komuniti Siam dan sebuah wat Budhha berdiri megah di tengah desa pinggir itu, lambang kuatnya pegangan penduduk setempat terhadap anutan berzaman nenek moyang mereka.

Hujan lebat mengiringi perjalanan pulang ke INTURA. Malah, di beberapa tempat di pekan Baling yang terletak 13 kilometer dari Pengkalan Hulu, bas kami terpaksa meranduk air bah kilat yang bertakung di jalan raya. Kiri dan kanan kelihatan penduduk tempatan yang menyaksikan penuh minat, seolahnya bah kilat itu satu temasya pula.

6:35 petang PZ tiba di INTURA. Berehat sebentar dan kemudian bersiap untuk majlis penutup. Tergesa-gesa juga PZ berkemas kerana menyambut teman lama yang datang menjemput pukul 11:00 malam. Walaupun waktu penerbangan ialah pukul 12:00 tengah hari 24 September dari Bayan Lepas, namun malam terakhir ini PZ ceriakan di luar INTURA bersama teman lama yang berkhidmat di UiTM Kedah dan bekas pelajar yang kini bertugas di INTEL, Pulau Pinang, juga hos kepada PZ sementara menanti siang menjelma.

Nah, walaupun tiada upaya PZ menyempurnakan kembara semasa kursus ini, namun dapat juga PZ berkembara ke tiga negeri dalam tempoh sehari. Dan kini, sementara menanti perlepasan pesawat penerbangan Malaysia MH1145 ke Kuala Lumpur tengah hari nanti, PZ labuhkan sebentar diri di Bukit Jambul, Pulau Pinang untuk istirehat singkat. Satu noktah sementara kepada tapak-tapak kembara seterusnya dalam jejak hidup PZ. Soalnya, apakah masa masih banyak berbaki untuk diri ini?

Sunday, September 19, 2010

"Jangan workaholic sangat!"

9 Syawal 1431 Hijrah. Telah lebih seminggu berlalu sejak umat Islam meraikan sambutan Eidul Fitri tahun ini. Esok, sekolah akan bermula kembali dan pejabat-pejabat akan riuh semula. Kesibukan dengan urusan keduniaan akan datang seperti sedia kala.

Dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara jari-jemari PZ mengetuk papan kekunci untuk entri kali ini. Kampus ini yang lebih dikenali sebagai INTURA bertamu di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Inilah kunjungan sulung PZ ke bumi Kedah Darul Aman tahun ini. Kali terakhir PZ di Jelapang Padi ini ialah pada akhir Disember 2009, atas urusan peribadi.

Hari panjang PZ pada Ahad, 19 September ini bermula awal, sebelum fajar menyinsing lagi. Berkemas dan bersiap seawal pukul 4:30 pagi, terkejar-kejar PZ memandu ke pejabat untuk dihantar ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan bagi menaiki pesawat Penerbangan Malaysia ke Kuala Lumpur pada pukul 6:50 pagi. Bersarapan ringan di Burger King di bangunan transit KLIA sementara menanti penerbangan ke Pulau Pinang pada pukul 10:35 pagi, sempat juga PZ menelaah kerja-kerja pejabat yang mengiring bersama. Sudah disuratkan pula agaknya, bersua pula dengan sahabat lama zaman kampus yang telah lima tahun tidak bertemu. Maha Suci Allah!

Memijak laman INTURA pada pukul 2:00 petang, maka rutin kursus selama lima hari akan mula mengisi kehidupan PZ hinggalah penerbangan pulang pada jam 12:00 tengah hari, 24 September. Selepas itu, telah tersusun rapi jadual kerja PZ untuk hari-hari seterusnya hinggalah minggu kedua Oktober. Tidak henti-henti. Sehingga baru-baru ini sebelum Idul Fitri, seorang teman rapat menegur sinis: "Jangan workaholic sangat!". Namun apakan daya PZ, sebagai seorang penjawat awam, diri ini terikat dengan ungkapan saya yang menurut perintah. Walaupun berat beban kerja dengan masa dan tenaga yang terbatas, terpaksa diikhlaskan jua. Ini jalan yang telah PZ pilih.

Di celah kesuntukan masa sepanjang kursus ini, terpaksalah bijak PZ mengambil peluang menyiapkan kerja-kerja pejabat yang dibawa bersama. Dengan kemudahan mel elektronik dan jalur lebar, komunikasi dengan staf di pejabat tidak akan  tertangguh dan sentiasa akan dikemas kini. Ya, selain memudahkan urusan, teknologi menyebabkan kita kian sibuk tanpa mengira masa! Seolah-olahnya masa tiada ternoktah lagi. Cuma biarlah kesibukan itu memanfaatkan penghidupan dan tidak menjarakkan diri ini daripada-Nya.

Hendaknya peringatan Allah Ta'ala dalam Surah al-Asr jadi renungan kita bersama. "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali bagi mereka yang beramal soleh; yang berpesan-pesan pada kebenaran dan yang berpesan-pesan pada kesabaran." 





Tuesday, September 14, 2010

Hikmah tanpa sedar

Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Dinihari. Beberapa jam lagi fajar akan menyinsing dan bermulalah lagi warna hari yang baharu. Syukur pada Ilahi, hingga saat ini PZ dan teman-teman masih bisa bernafas, menyambung hayat dan mengabdikan diri pada-Nya.

Sekadar sementara bernoktah di Bandar Raya tunggal di Pantai Timur Semenanjung ini, PZ berlibur dan pada masa yang sama turut bersyukur. Takat pengetahuan kita sama sekali tidak tertanding dengan luasnya ilmu Yang Maha Esa. Justeru, banyak ketikanya di mana hikmah itu datang tanpa kita sedar melalui pelbagai cara dan bentuk. Tidaklah perlu PZ perincikan. Biarlah sendiri diri ini menekuninya.

Semalam yang telah berlalu PZ manfaatkan sepenuhnya. Mengairi kontang jiwa dengan mendekatkan diri pada-Nya. Ya, iman insan daif seperti PZ turun naik, lantaran kekerdilan dan kelemahan sendiri. Adakalanya terasa begitu jauh diri ini daripada pandangan-Nya, dan lekas-lekas diri ini tersedar dari alpanya tatkala musibah datang menimpa.

Beberapa hari lepas, salah seorang yang rapat dengan PZ berbisik, "Hijrahlah ke tempat lain. Mungkin itu yang sesuai untuk engkau buat masa sekarang." Ya, tidak sekali PZ berfikir di atas landasan pandangan tersebut. Namun ada beberapa perkara lain yang perlu PZ pertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan sedemikian. Tiadalah PZ mahu terburu-buru, khuatir pula jika sesal tidak berkesudahan di kemudian hari. Biarlah dalam sedikit tempoh masa yang berbaki, PZ fikir-fikirkan lagi.


Monday, September 13, 2010

Perihal nas, rujukan dan perhitungan

Lewat malam dan ambang dinihari. Seusai solat dan wirid, PZ menelaah beberapa laman sesawang berita dan blog untuk mendapatkan khabar terkini tempatan dan antarabangsa. Paling menarik perhatian PZ, selain kes pembunuhan Allahyarhamah Dato' Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, ialah spekulasi mengenai pemasyhuran Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baharu bagi menggantikan ayahanda Baginda, Tuanku Ismail Petra yang telah setahun gering.

Tidaklah PZ berhasrat untuk mengulas tentang kemelut Istana Kelantan yang telah berlarutan sekian lama, namun laman TheKelantanInsider melaporkan bahawa Istiadat Pemasyhuran Sultan Kelantan yang baharu akan dijalankan di Istana Balai Besar pada 13 September 2010. Pastinya peristiwa ini melakar sejarah baharu kepada Negeri Kelantan dan akan menarik minat para penganalisa. Adakah akan berlaku cabar mencabar dan saman menyaman? Kita saksikan sahaja selepas ini.

Sebagai graduan undang-undang, PZ telah dilatih dan dididik untuk tidak sewenang-wenangnya memberikan pandangan perundangan tanpa terlebih dahulu merujuk dan meneliti nas-nas yang ada. Nas yang dirujuk akan memberikan asas kewajaran kepada pandangan yang diberikan. Tambah penting lagi, rujukan terhadap nas amat penting apakala menyentuh soal-soal berkaitan kesahihan (legitimacy) sesuatu tindakan atau keputusan. Justeru, pastinya Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Laws of Constitution of the State of Kelantan) menjadi sandaran utama kepada apa jua perdebatan dan pertikaian yang mungkin menyusul selepas ini. Lantas, kita serahkan sahaja kepada kebijaksanaan Mahkamah dan kearifan Hakim untuk menentukannya.

Apa iktibarnya di sini? Sebagai insan yang dikurniakan akal fikiran untuk menaakul dan budi bicara untuk menghitung pertimbangan, jangan sesekali kita tergopoh-gapah atau terburu-buru. Tingkah laku melulu akibat perhitungan singkat dek kematangan yang dangkal mungkin berhasil menzahirkan satu penyelesaian, namun soalnya, apakah natijah penyelesaian tersebut rata meresap, atau sekadar menerjah permukaan? Justeru, biarlah sedikit masa diambil untuk merujuk apa jua sumber yang wajar, supaya tidak sesal di kemudian hari. Dalam zaman pengetahuan ini, segala-galanya berkehendakkan ilmu, tiada lagi hukum rimba, melainkan bagi manusia dungu yang berkasad serong.

Suka PZ perturunkan maksud firman Allah Ta'ala dalam Surah an-Nisa' ayat 59:

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah pada Allah dan taatlah kepada Rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa dalam kalangan kamu. Sekiranya kamu berbalah atas sesuatu perkara, maka rujuklah kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat."

Sunday, September 12, 2010

"Letakkanlah noktah..."

"Letakkanlah titik noktah padanya. Sampai bila kau nak begini...", lembut peringatan daripada seorang teman PZ kala berhari raya di rumah beliau selepas Zuhur hari ini. Mengamati keadaan fizikal dan perubahan laku PZ, memang patut benar teman tersebut berpandangan sedemikian. Menyorot sedetik warna hidup PZ sejak entri terakhir, memang banyak perubahan yang berlaku tanpa PZ sedari. Namun apa yang pasti, ramai sahaja yang perasan ganjil tingkah laku diri ini, walaupun tidak ada seorang pun yang berani bertanya, cuma agak-agak sahaja.

Hari-hari yang berlalu menyaksikan putaran rutin yang sama. Bangun dari tidur, bersiap  ke pejabat, menghadapi pelbagai tugasan dan mesyuarat, kembali ke rumah, tidur dan esoknya ke pejabat semula. Sejak beberapa bulan yang lepas, begitulah resam kehidupan PZ, sekadar untuk tidak mahu memikirkan sangat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku. Banyak menyendiri dan agak sangsi untuk berhadapan dengan kelompok yang ramai. Ya, perubahan-perubahan tanpa sedar!

Letakkanlah noktah. Bagaimana ya? Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Bukan mudah untuk bercerita dan tidak susah untuk melontar persepsi. PZ peduli apa. Namun, PZ akur dengan kesan yang dibawa oleh perubahan tersebut, baik secara fisiologi mahu pun mental. Justeru, supaya perantauzaman tidaj berkubur begitu sahaja, maka PZ paksakan juga diri untuk memasukkan entri kali ini. Puasa telah berlalu, hari raya juga baharu kita semua raikan. Namun segalanya amat pudar buat PZ. Merenung masa dan menghitung hari.

Petang 3 Syawal ini PZ sendiri lagi. Sebentar melabuhkan diri di Starbucks sambil menghirup secangkir coklat panas untuk menyegarkan tubuh yang kian lesu ini. Sambil mencongak-congak rencana esok hari, pelbagai ragam manusia lalu-lalang di hadapan PZ. Kebanyakkannya, ceria. Maklumlah semangat raya yang masih berkobar-kobar. Trafik masih tidak sesibuk hari biasa dan mudah untuk bergerak ke sana dan sini.

Cuti masih ada beberapa hari berbaki. Namun, kebanyakan masa cuti itu akan tercukai untuk kerja-kerja pejabat yang masih tertangguh. Segalanya harus diselesaikan sebelum 19 September kerana PZ akan berkursus seminggu di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sungai Petani selepas tarikh tersebut. Makanya, tercungap-cungap jugalah PZ dihambat garisan masa yang semakin menipis itu.

Telah jam 6:45 petang dan wajah senjakala mula merah di langit. Teringat PZ apa yang diungkapkan seorang sahabat kala berbuka puasa bersama di Kuala Lumpur seminggu lepas, "Just be yourself my friend. Don't give a damn of what other people say about you. You know yourself better." Memerhati hari yang kian suntuk di pelabuhannya, PZ tafakur menginsafi kejadian diri. Ya, Allah Ta'ala tidak akan memberati hamba-Nya dengan beban yang tidak upaya untuk dipikulnya. Itu janji-Nya dan PZ wajib percaya. Cuma kudrat PZ harapkan masih bersisa untuk mengisi perjalanan sendiri ini.