Sunday, April 25, 2010

"Jika jatuh sembilan kali, bangunlah sepuluh kali"


"Jika jatuh sembilan kali, bangunlah sepuluh kali. Jika tidak bisa bangun, berusahalah untuk duduk dan berserah kepada Tuhan. "  Demikian antara mutiara kata perjuangan Robert Wolter Monginsidi
(1925 - 1949). Menyertai revolusi penentangan terhadap penjajah Belanda di Sulawesi, beliau pergi selamanya sebagai seorang pejuang pada usia semuda 24 tahun.

(foto dipetik dari wikipedia)

Memandu pulang dari kampung halaman sesudah Asar tadi, PZ berlabuh sebentar di Kemaman Kopitiam, Kuantan, menikmati kopi ais dan French toast, sekadar untuk merangsang selera makan yang kian mendangkal mutakhir ini. Sambil meneguk minuman dan mengunyah juadah, PZ memandang kosong matahari petang yang kian condong di ufuk barat. Petang tadi tidaklah seterik hari sebelumnya, dan nyaman udara mendesah lemah, menadikan langit yang sedikit mendung.

Satu lagi minggu yang amat sibuk bakal menanti PZ bermula 26 April ini. Pelbagai mesyuarat dan tugasan luar daerah telah mengisi laman perharian PZ sehingga 1 Mei, lantas luang waktu hari ini PZ gunakan sebaik mungkin untuk merehatkan minda dan mengalirkan semula tenaga. Leka dengan suasana, Kemaman Kopitiam PZ tinggalkan kala senja, hanya beberapa minit sebelum azan Maghrib ke udara.

Mengisi entri perantauzaman kali ini, ingin PZ soroti madah perjuangan yang ditinggalkan mendiang Robert Wolter Mongonsidi, seorang tokoh yang diiktiraf sebagai salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia, sebaris dengan nama-nama besar seperti Bung Karno, Jeneral Sudirman dan lain-lain. Menemui ajalnya di hujung muncung senapang skuad penembak angkatan Belanda pada usia yang belum pun mencecah 30 tahun, mendiang Robert adalah antara anak muda yang menyertai perjuangan menentang kehadiran semula penjajah Belanda di Indonesia setelah berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945. Kisah perjuangan anak muda berjiwa besar ini juga diangkat ke layar perak dan pernah ditayangkan di kaca televisyen tempatan pada pertengahan tahun 90'an.

Memperingati perjuangan beliau, di sini PZ perturunkan beberapa madah perjuangan mendiang Robert untuk renungan teman-teman. Meneliti rangkaian madah tersebut, jelas tergambar kejituan prinsip perjuangan dan merah bara semangat beliau, satu hakikat yang patut diteladani kita. Generasi muda kini kian terhakis kelasakan mental dan ketahanan diri, cepat mengalah pada susah payah dan mengharapkan jalan mudah dalam semua hal, menjadikan mereka individu berperibadi rapuh. Betapa bertuahnya tanah air sekiranya ada kalangan anak muda yang dapat menghayati nyala madah perjuangan mendiang Rober Wolter Monginsidi ini:

Jangan takut melihat masa yang akan datang. Saya telah turut membersihkan jalan bagi kalian meskipun belum semua tenaga kukeluarkan;

Jangan berhenti mengumpulkan pengetahuan agar kepercayaan pada diri sendiri tetap ada dan juga dengan kepercayaan teguh pada Tuhan;

Bahawa sejak dari kecil harus tahu berterima kasih pada diri sendiri...belajarlah melipat kepahitan! Belajar mulai dari enam tahun...dan jadilah contoh mulai kecil sedia berkorban untuk orang lain;

Apa yang saya bisa tinggalkan hanyalah roh ku sahaja iaitu roh "setia hingga terakhir pada tanah air" dan tidak mundur sekalipun menemui rintangan apa pun menuju cita-cita kebangsaan;

Saya telah relakan diriku sebagai korban dengan penuh keikhlasan memenuhi kewajipan buat masyarakat kini dan yang kan datang, saya penuh percaya bahawa berkorban untuk tanah air mendekati pengenalan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Saturday, April 17, 2010

Si Bodoh Sombong yang takut dengan bayang-bayang sendiri

Mengharungi terik petang, laut fikir PZ mencari-cari ilham untuk dinukilkan. Sebagaimana lazimnya, PZ akan pulang ke kampung halaman tiap petang Sabtu, dan ingin PZ coretkan sesuatu sebelum memandu pulang. Pagi tadi PZ berwacana bersama hampir 70 orang kaum ibu yang merupakan Sahabat Amanah Ikhtiar. Ceria sekali wacana tersebut, jauh lebih interaktif berbanding wacana sama awal minggu ini di Bandar Muadzam Shah. Program singkat anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) di Dewan Belia 4B di Bandar Indera Mahkota tersebut sekurang-kurangnya memberi kesempatan untuk PZ bermasyarakat, menyelami masalah usahanita Bumiputera dan merentangkan cadangan untuk memperkasa bisnes mereka. Banyak masalah yang dikongsi dan beberapa petua PZ beri kepada mereka. Penghargaan PZ kepada YaPEIM kerana memberi peluang untuk PZ menjadi salah seorang fasilitator program ini.

Entah mengapa, langit kerjaya PZ dibayangi rasa kecewa dan geram sepanjang minggu ini. Jarang sekali PZ dibalut amarah dan kehampaan, tetapi beberapa peristiwa yang mewarnai minggu ini memendungkan perasaan. Tidaklah PZ berhasrat untuk mengisahkan apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab, namun bagi PZ, ada banyak jalan lagi untuk menyelesaikan masalah dan menjernihkan suasana, bukan dengan apa yang PZ saksikan minggu ini.

Melihat apa yang telah berlaku, PZ dapat simpulkan bahawa segala-galanya berpunca daripada sikap 'bodoh sombong' dan 'takut' dengan bayang-bayang sendiri. Sikap tergesa-gesa dan gopoh-gapah dalam menghadapi sesuatu seringkali mengakibatkan rangka penyelesaian yang rapuh. Natijahnya, penyelesaian itu tidaklah berusia panjang, sebaliknya memberi implikasi negatif dalam jangka waktu singkat, yang mungkin baik di satu pihak, namun sebaliknya di satu pihak yang lain. Luka yang membelah kulit mungkin telah kering darahnya, namun parutnya membekas sampai bila-bila. Itu yang PZ dapat analogikan.

PZ teguh berpandangan bahawa hati seseorang atau sekolompok individu akan dapat dimenangi dengan adanya KEIKHLASAN. Keikhlasan itu terbit daripada ketulusan hati dan niat suci, yang tentu sekali tidak terbeli dengan mata benda dan wang ringgit. Keihklasan yang dicurah ibarat air baja yang menyuburkan tanaman yang akan tumbuh hijau, sihat dan segar. Keikhlasan sesekali tidak boleh dibuat-buat atau direka-reka, ia datang secara semulajadi. Keikhlasan layanan pada seseorang, sesebuah kumpulan atau komuniti akan menzahirkan KEPERCAYAAN. Bukan mudah untuk memperoleh kepercayaan. Kerana tidak mudah itulah, ada yang tidak sabar sehingga menjadi angkuh bongkak, cuba menjadi meraih kepercayaan dengan cara paksa dan tidak terhormat, seperti lanun dan peragut.

Jurang umur dan hirarki sesekali tidak relevan untuk menjustifikasi perlakuan jelek meraih kepercayaan dengan cara paksa. Inilah masalahnya apabila ada segelintir manusia yang merasakan diri mereka telah cukup 'berkuasa' dan 'kebal'. Kuasa dan kekebalan itu dijadikan perkakas untuk menakut-nakutkan orang lain, dan sesiapa sahaja yang tidak sepandangan akan dilabel sebagai penentang sewenang-wenangnya. Kuasa dan kekebalan itu juga menjadikan individu jelek ini alpa akan hakikat kewujudannya untuk BERKHIDMAT kepada pemegang taruh utama di organisasinnya, bukan memaksakan nilai anutannya dengan cara yang hanya menyuburkan permusuhan, prejudis dan rasa tidak mempercayai antara satu sama lain.

Sedih dan malang sekali jika watak begini membayangi layar kesarjaaan sebuah institusi bertaraf universiti. Berkhidmat di universiti menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tidak sedikit. Berkorban masa dan sabar menghadapi aneka karenah warga universiti, terutamanya mahasiswa. Mahasiswa adalah ibarat anak-anak, dan telah menjadi sesuatu yang lumrah dalam satu keluarga, akan ada anak yang baik, ada yang pendiam, ada yang dengar cakap dan ada juga yang agak nakal. Justeru, pendekatan layanan bagi setiap anak yang berlainan watak itu juga haruslah berbeza menurut kesesuaian. Ada yang cukup dengan sekali arahan, ada yang perlu diperjelas satu-persatu dan ada juga yang perlu ditinggikan suara. Lantas, jika ada anak yang agak nakal membuat kesalahan, cukuplah dia seorang yang ditegur dan dimarahi, kenapa anak-anak lain dipalit sama dengan amarah tersebut?

Inilah realitinya. Ada orang bangga berbicara tentang profesionalisme dan berfalsafah mengenai metodologi pendidikan, tetapi gagal mengawal emosi sendiri apabila menghadapi karenah yang seharusnya boleh diantisipasi sejak awal. Sudah terhantuk baru terngadah, maka pelbagai cara dicuba untuk kononnya 'meredakan' suasana tetapi hakikatnya tambah mencederakan. Dalam suasana seumpama ini, ramai yang hanya mencari penyelesaian, namun apakah mungkin penyelesaian itu memberi kesan yang positif dan long lasting sekiranya punca sebenar masalah tidak diziarahi dan diteliti?

PZ bukanlah seorang nujum yang boleh meramal. Namun bekalan pengalaman yang ditempuh masa lalu menyebabkan PZ amat menghargai sejarah sebagai sumber muhasabah. Mereka yang angkuh bongkak, bodoh sombong dan takut dengan bayang-bayang sendiri ini sama sekali tidak belajar dari sejarah. Akhirnya, krisis dan kemelut sama berulang dan terus berulang dengan dilatari zaman dan generasi yang berbeza. Bagi PZ, mendung peristiwa minggu ini adalah satu lagi pengulangan sejarah. Mungkin ia kelihatan sebagai satu penyelesaian, namun ibarat api dalam sekam, baranya masih merah di satu pihak yang lain.

Selagi mana tiada KEIKHLASAN, KESUCIAN NIAT dan KEPERCAYAAN, yakinlah bahawa sejarah ini akan berulang lagi satu hari nanti. Beruntunglah mereka yang mengambil iktibar dari sejarah silam, dan rugilah mereka yang enggan mengakui kelemahan sendiri, malah terus kebal dalam keangkuhan, karamlah mereka dalam laut kejahilan, selagi mana tiada perubahan sikap.

Friday, April 16, 2010

Kala Pagi

Kala pagi
Lembut sinar mentari
mencurah di atas dingin bumi.

Kala pagi
Bermula satu babak hari
Mengisi ruang hidup ini.

Kala pagi
Segalanya segar di sana sini
Lapang ruang minda dan isi hati
Meneruskan langkah mengisi misi.

Kala pagi
Kita hadir sekadar mengungsi
Meninggalkan semalam takkan kembali
Tiadalah perlu disesalkan lagi
apa yang telah berlalu pergi
sekadar menginsafi hakikat diri
untuk memandang esok hari.

Sunday, April 11, 2010

Sembang petang dan ulangan 'kisah lama'

Menjengah sebentar ke laman rumah di tengah pekat larut malam ini, terasa sekali hangatnya. Nyata tiada bayu yang sudi lalu, lantas segala-galanya seolah kaku memaku lantai tanah. Pepohonan dan dedaunan tidak sedikit pun menari oleh tiupan bayu, suasana kekakuan yang amat menjemukan. Tapi mungkin juga cuaca akan berubah arah di penghujung malam, siapa kan tau?

Hampir seminggu PZ berkelana di Kuala Lumpur, mengikuti Kursus Pengendalian dan Penulisan Minit Mesyuarat Berkualiti di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Tengah atau INTENGAH di Jalan Elmu, bersebelahan Universiti Malaya. Sebagai kampus INTAN tertua, INTENGAH diselubungi nostalgia dan persekitaran klasik - baik senibina, bangunan, asrama dan segala-galanya.

Sepatutnya PZ mengikuti kursus ini di INTAN Kampus Utama di Bukit Kiara, namun penstrukturan semula pada saat akhir menyaksikan pemindahan pentadbiran kursus ini ke INTENGAH. Tidak banyak yang ingin PZ kongsikan mengenai kursus ini melainkan pengisian yang cemerlang dan penyampaian efektif - penghargaan buat para penceramah iaitu Encik Lecthumanan, Puan Sarengah dan Puan Zaliha serta kerjasama dan group binding tinggi para peserta yang bagi PZ, amat baik, mewujudkan suasana kekeluargaan sepanjang hampir lima hari berkursus.

Kembali semula ke Kuantan, maka bersiap sedialah pula PZ untuk tugasan luar seterusnya. Pagi Isnin 12 April akan menyaksikan PZ memecut ke Bandar Tun Razak, Rompin untuk mengendalikan Kursus Induksi untuk para usahawan yang dikelolakan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) selama setengah hari. Slaid dan nota ceramah telah diserahkan kepada PZ sejak minggu lepas, maka tidaklah perlu PZ bersusah payah sangat, sekadar perlu mentelaah sedikit supaya penyampaian jadi lebih efektif dan interaktif.

Sebelum memandu pulang ke kampung halaman tadi, PZ luangkan sedikit masa menziarahi wacana dan diskusi beberapa orang pimpinan siswa dan siswi untuk merencana pelaksanaan Minggu Induksi Siswa yang akan datang. Berbincang secara santai di celah cahaya petang yang terik, beberapa isu penting kami singkap untuk disumbangsaran secara bijaksana. Mengendali acara besar dan strategik seumpama Minggu Induksi Siswa bukanlah mudah dan enteng, justeru perencanaan awal amatlah perlu supaya kualiti dapat ditambah baik dan kesilapan lampau tidak diulangi.

Bersama dengan rakan-rakan siswa dan siswi tadi, PZ selesa sekali melihat mereka berbicara dan bersuara, kerana peluang sama rata diberi dalam hawa damai kekeluargaan, ibarat perbincangan sesama adik-beradik. Jelas sekali, tiada sebarang krisis atau pergeseran akan timbul jika wujud penghargaan, kepercayaan dan pengiktirafan. Mengikis ego dan merapatkan jurang dengan mereka, itu adalah kunci untuk menjuarai hati para siswa dan siswi. Berkali-kali PZ ulangi di perantauzaman bahawa pendekatan 'mengarah' atau 'remote control' telah lapuk dan tidak relevan lagi kerana para siswa dan siswi ini tidak kisah bekerja lebih, tetapi yang 'mengarah' dan 'remote control' itu perlu turut turun pandang menyingsing lengan bersama mereka. Namun, dalam banyak situasi PZ perhatikan, sikap turun padang itu hanya 'dilakonkan' secara langsung jika ada pengurusan berjawatan tinggi yang datang menjenguk. Amat jelek dan hipokrit sekali!

Menonton Buletin Utama TV3 kala singgah mengalas perut di sebuah gerai semasa perjalanan pulang mencuit-cuit ingatan PZ terhadap satu kisah lama semasa di kampus dahulu apabila diberitakan mengenai pembongkaran penipuan seorang pelatih PLKN yang mengaku dirinya 'Yang Mulia Tuan Muda Pahang'. Berani sungguh remaja 17 tahun ini, sehingga seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara juga terpedaya dengan tipu helahnya! Namun sampai bila penipuan itu boleh bertahan dalam zaman maklumat yang canggih ini.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua! Pelakon utama 'kisah lama' yang PZ sebut di atas itu nampaknya lebih bernasib baik kerana terlepas bebas dan masih 'at large' kini. Tersenyum sendirian PZ apabila mengenangkan betapa PZ dan beberapa teman sekuliah, malah beberapa Profesor boleh terpedaya dengan 'lakonan' ini, yang mengaku dirinya salah seorang pewaris takhta sebuah negara. Apalah agaknya yang dia lakukan sekarang.

Tidak perlu bertindak sedemikian hodoh untuk mencari publisiti, meraih simpati atau menarik perhatian khalayak. Barangkali ada penyakit psikologi yang khusus untuk merujuk individu seumpama ini, PZ tidaklah pula pasti. Namun, pendedahan kisah-kisah ini cukup untuk mengaktifkan litar waspada kita untuk mengelakkan diri daripada terperangkap. Macam 'kisah lama' di kampus dulu, hampir empat tahun PZ diperdaya dan dibohongi oleh individu tersebut yang PZ anggap sebagai seorang sahabat rapat. PZ percaya ramai lagi spesis ini berkeliaran tanpa dapat dikesan di luar sana, maka berhati-hatilah kita supaya dilindungi sentiasa. Apa motif spesis ini, PZ sendiri tidak pasti. Terlalu ambitious barangkali?


Sunday, April 4, 2010

Ziarah hujung minggu dan adab berkarya



Travel, in the younger sort, is a part of education, in the elder, a part of experience - Sir Francis Bacon

(Foto rakaman lensa PZ di Penyabong, Johor, Januari 2010)


Ziarah Hujung Minggu

Hujung minggu kala pangkal April ini telah PZ habiskan di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. Bersama-sama adik-adik siswa siswi dari Kelab In-Smartive, Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 kami imarahkan dengan kem motivasi kepimpinan untuk para pemimpin pelajar sekolah tersebut. 2 April, seusai jadual kerja yang amat padat di pejabat, pekat malam diharungi bersama dua adik siswa yang menemani sehingga tiba di laman Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 lewat 2:00 pagi. Seperti lazimnya, peluang bertugas luar daerah dalam suasana santai seumpama ini amat PZ hargai untuk melonggarkan kejang otot minda yang capek oleh rutin pejabat pada hari biasa.

4 April. Sendirian PZ memandu keluar dari laman Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 kurang lebih jam 11:30 pagi. Masih terlalu awal untuk PZ pulang ke Kuantan, lantas jeda waktu tersebut diisi untuk memenuhi temujanji bersama seorang teman di Amcorp Mall, Petaling Jaya. Sejak zaman siswa PZ di UIAM hampir 10 tahun lampau hinggalah kini, Amcorp Mall menjadi antara destinasi yang paling kerap PZ lazimi tiap kali hujung minggu sekiranya masa mengizinkan. Tiada apa yang hebat dan gah pada gedung Amcorp Mall ini, malah ia jauh lebih kerdil daripada Times Square atau Midvalley dengan pilihan beli-belah yang agak terbatas. Kalau tidak kerana dua tarikan uniknya - pasar barang lusuh (flee market) setiap hari Ahad dan Excess Book Store yang menawarkan jualan buku pada harga runtuh yang hampir tidak masuk akal, memang takkan terlangkah kaki PZ di gedung ini. Hampir separuh koleksi buku dalam khutub-khanah mini PZ datangnya dari dua tarikan di gedung Amcorp Mall ini.

Dua buku sejarah mencukai RM20.00 dari poket PZ tengah hari tadi. Epic Sea Battles dan The Pictorial History of Air Battles merupakan koleksi terbaharu yang menemani perjalanan pulang PZ ke Kuantan jam 4:00 petang tadi. Walaupun telah agak lusuh dan berusia, namun ilmu, peristiwa dan sejarah yang menghuni sebuah buku takkan lapuk dan sentiasa relevan sebagai rujukan. Sesetengah dari kita mungkin hanya mahu yang segar dan baharu sahaja, namun tidak semestinya yang segar dan baharu itu sentiasa dibaca. Tiba di rumah seawal jam 6:30 petang, kedua-dua buku tersebut terus PZ singkap dan bedah sebagai tatapan awal, satu kelaziman setiap kali datang koleksi baharu. Pelaburan RM20.00 tadi ternyata amat berbaloi, dan pastinya seminggu musafir panjang PZ bermula 5 April ini akan ditemani oleh kedua-dua buku ini.


Adab Berkarya

Akhirnya malam ini, dengan kedua-dua koleksi terkini tersebut di sisi, renyai ilham menitis di laman minda PZ, membolehkan perantauzaman dikemaskini. Ada dua tiga lagi cerita menarik dari Seksyen 7 yang ingin PZ kongsi, namun hanya akan PZ bentangkan dalam coretan akan datang. Walaupun tiap malam sebelum tidur PZ cuba memaksa ilham untuk hadir mencoret sesuatu di sini, namun tak kunjung tiba jua. Ternyata, ilham itu perlu segar untuk dihidang di laman ini, kerana seperti yang PZ wacanakan bersama sekumpulan siswa dan siswi dalam sembang Penulisan Blog Beretika selepas Isya' pada malam PZ berangkat ke Bangi 2 April lalu, blog merupakan sebuah karya sastera. Sebagai sebuah karya sastera, isi kandungan sesebuah blog perlulah digambarkan dengan kesucian bahasa dan adab. Sesebuah sekali-kali tidak boleh dilacurkan dengan cemar keladak dan limbah bahasa sampah, wajah bernanah dan sumpah seranah yang memualkan. 




Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

(Foto dipetik dari http://www.usmm.org/)

Ada orang menyertai laman blog dengan niat tulen untuk berwacana dan berda'wah dengan positif dan hikmah. Tidak kurang juga menjadikan laman blog sebagai medan pemasaran produk secara maya. Itu juga tidak mengapa. Namun, yang jeliknya, ada pula menjadikan laman blog wadah pecah-belah, sama ada disedari atau tidak, tanpa niat atau sebaliknya. Lantas, PZ memohon ketulusan dan keikhlasan nawaitu daripada teman-teman yang ingin berkarya di mana-mana laman blog. Menulis itu satu hal, implikasi dari tulisan itu merupakan satu hal lagi yang perlu diberi perhatian. Pertanggungjawaban (accountibility) adalah obligasi yang sesekali tidak patut dicuai alpakan oleh sesiapa jua pengendali laman blog. Kewarasan akal budi dan halus pertimbangan yang dikurniakan Ilahi perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengelakkan laman blog kita daripada menjadi sumber dosa percuma.

Menutup coretan ini, suka PZ kongsikan petikan firman Ilahi daripada ayat 11 dan 12, Surah al-Hujurat:

“Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan janganlah pula panggil memanggil dengan gelaran (yang tidak baik)…


…jauhilah kebanyakan dari prasangka (andaian terhadap sesama Muslim), kerana sebahagian prasangka itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu, bahawa ia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkainya)? Maka tentu kamu benci memakannya…”