Langit petang.
Panorama Kepong - Selayang dari kamar penginapan
PZ di aras 6, Crystal Crown Kuala Lumpur.
Terlalu hilang fokus barangkali akibat tujahan satu persatu persoalan bertalu-talu, sehingga PZ boleh tertinggal beg yang mengandungi komputer riba PZ di tempat penginapan PZ di KL. Apabila direnung-renung semula, banyak hikmahnya. Dalam rangka musafir singkat PZ, sepatutnya PZ terus bertolak ke Kuala Terengganu dari KL jam 9.00 pagi tadi. Awal pagi tadi, dek kerana mata yang tidak-tidak juga mengantuk walaupun badan amat letih, PZ membuat sedikit pindaan terhadap rangka musafir singkat ini dengan menyimpang sekejap ke Nilai 3 sebelum menziarahi ibu saudara di Muadzam Shah dan langsung ke Kuala Terengganu. Hanya setelah tiba di Nilai 3, barulah PZ sedar beg berharga tu tertinggal. Mujurnya beg tu selamat dalam simpanan Crystal Crown Hotel KL, tempat PZ menginap semalam setelah dihubungi.
5.45 petang. PZ di Lebuhraya Pantai Timur,
230 km dari Kuala Terengganu
6.45 petang. PZ di Jalan Jerangau - Jabor,
128 km dari Kuala Terengganu.
Keadaan trafik dari Muadzam Shah hingga Kuala Terengganu sederhana sibuknya. PZ dapat mengekalkan kelajuan biasa (yang pastinya bukan 80km/j!) dan buat timing perjalanan sebagaimana yang dirancang. Memang syukur dan puas hati sangat apabila segala perancangan berjalan baik seperti yang dijadualkan. Sehingga kini, PZ masih memikirkan apa hikmahnya hingga tanpa diduga Allah Taala mentakdirkan pindaan pada rangka musafir singkat PZ kali ini. Pastinya ada sesuatu...
7.45 malam. PZ di Kampung Tok Randok,
43 km dari Kuala Terengganu.
Bila dihitung dan dicongak, perjalanan PZ hari ini boleh tahan juga jauhnya. KL ke Nilai 60 km, Nilai ke KL 60 km, KL ke Persimpangan Gambang 226 km, Persimpangan Gambang ke Muadzam Shah 83 km, Muadzam Shah ke Persimpangan Gambang 83 km dan Persimpangan Gambang ke Kuala Terengganu 230 km, bila dijumlahkan = 742 km. Pengalaman yang meletihkan tetapi memberi lebih ruang masa untuk PZ berfikir dan berfikir, mencari jawapan-jawapan ke persoalan-persoalan yang 'melanda'.
8.18 malam. Akhirnya PZ tiba di Bandaraya Kuala Terengganu.
Kompleks, kompleks sungguh persoalannya...dari jendela kamar di Aras 7 ini, PZ memerhati suram langit malam dan tompok cahaya di jalanan...bulan tak kelihatan, hanya kerdipan neon buatan menerangi...banyak betul yang artificial dalam hidup kita kan?
No comments:
Post a Comment