Monday, September 14, 2009
Cendekiawan Celup?
Mohon maaf sekiranya entri PZ kali ini menyinggung perasaan mana-mana teman yang berada dalam dunia akademik, baik sebagai pensyarah atau pendidik. Jika tidak kerana apa yang PZ lihat sendiri waktu di pejabat petang tadi, idea untuk menulis entri ini tidak akan muncul.
Lazimnya, para ahli akademik, pensyarah dan pendidik dikenali sebagai golongan bijak pandai cendekiawan. Panggilan yang cukup mulia, menggambarkan kebijaksanaan dan ketinggian ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Sebagaimana yang pernah PZ nyatakan dalam entri sebelum ini, PZ amat-amat menghormati golongan ini, terutamanya guru-guru yang pernah mendidik PZ.
Seorang ahli akademik dan pensyarah menjadi medan rujukan kerana bidang kepakaran mereka. Walaupun kadangkala isu yang dirujuk itu tidak berkait secara langsung dengan bidang kepakaran mereka, namun itu cukup menggambarkan betapa ulasan dan pandangan golongan ini mempunyai nilai yang diyakini. Kepercayaan ini adalah penghormatan, dan penghormatan ini perlu dipelihara sebaiknya supaya golongan cendekiawan diakui kebijaksanaan mereka bersuara dengan jujur dan ikhlas, jauh sekali dari menyalahguna kepercayaan itu untuk kepentingan perut, puak dan peribadi.
Sarjana silam mencurahkan sepenuh masa dan tenaga untuk mengembangkan ilmu pengetahuan bagi manfaat sejagat. Usaha pengembangan ilmu pengetahuan dilakukan dalam jerih payah serta serba kekurangan, namun hasil penemuan dan ciptaan mereka memberi impak besar terhadap kemajuan tamadun manusia pada abad-abad seterusnya. Lihat sahaja kegigihan Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Imam al-Bukhari, Alexander Graham Bell, Wright Bersaudara dan lain-lain. Impak besar penemuan dan ciptaan para sarjana dan ilmuan ini didasarkan kepada pokok persolan utama iaitu BERUSAHA dan MEMANFAATKAN ILMU PENGETAHUAN.
Sayang seribu kali sayang. Masa beredar dan zaman berubah. Kesarjanaan dan intelektualisme yang sepatutnya menjadi kewajipan (Hadith Rasulullah SAW: Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam) telah berubah arah menjadi satu kerjaya. Pada PZ, itu masih tidak mendatangkan apa-apa masalah. Namun, lazimnya, kerjaya akan berkait dengan struktur sesuatu organisasi dan secara langsung akan menyentuh soal birokrasi. Apakah para ahli akademik, pensyarah dan pendidik masa kini meletakkan pengembangan illmu pengetahuan sebagai prioriti pertama atau apakah hal tersebut telah menjadi agenda sampingan yang didahului dengan prioriti untuk naik pangkat dengan cepat, mengampu, mencari jawatan, populariti dan kedudukan? Jika premis kedua itu menjadi prioriti, negara dan umat bakal berada dalam keadaan yang amat genting!
Ya, apa yang PZ lalui petang tadi? Seorang pensyarah yang berkemahiran dalam bidang bahasa telah ditugaskan untuk membuat terjemahan daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris untuk beberapa petikan teks yang perlu dimuatkan ke dalam sebuah buku untuk disembahkan kepada Sultan sebuah negeri. Jadi, sudah tentu kerja terjamahan tersebut mestilah dilakukan dengan teliti terutamanya bagi mengelakkan kejanggalan bahasa dan struktur maksud direct translation. Sebagai seorang pensyarah bahasa, tentu sekali staf tersebut berkeupayaan melaksanakannya, ini satu ujian terhadap penguasaan ilmu bahasa yang dimilikinya, kalau tidak, masakan dilantik sebagai Pensyarah Universiti Gred DS45 pada usia muda?
Apabila tiba tarikh akhir tugasan iaitu petang tadi, naskah terjemahan dikembalikan untuk suntingan akhir. TERKEJUT! Inikah hasil terjemahan seorang pensyarah? PZ mengeluh panjang dan menggeleng-geleng. Ayat-ayat terjemahan yang dikemukakan dalam naskah tersebut adalah direct translation! Akibatnya amatlah memalukan jika naskah yang sedemikian rupa diterbitkan. Lebih mengejutkan PZ apabila pensyarah itu sendiri mengakui, beliau hanya menggunakan Google Translator untuk menyiapkan tugasan itu. Sedih PZ, inikah rupa ahli akademik yang boleh diharapkan untuk menyemarakkan budaya kesarjanaan di kampus? PZ mengharapkan kemahiran beliau (yang sepatutnya banyak membaca karya berkualiti) untuk dimanfaatkan bagi tugasan terjemahan yang diberikan. Setakat menggunakan Google Translator, tidak perlu PZ menggunakan khidmat waima seorang Profesor Emiritus sekalipun, cukup dengan menyuruh kerani PZ melakukannya!
Jadi teman-teman, itulah gambaran realitinya. PZ percaya, senario ini juga berlaku di institusi-institusi lain. Amat jelek apabila ahli akademik sendiri tidak mahu membaca. Amat parah apabila ahli akademik sendiri tidak menghayati firman sulung Allah Taala dalam al-Qur'an iaitu Iqra'. Betapa terhinanya dunia akademia dan runtuhnya budaya kesarjanaan jika institusi-institusi kita dipenuhi oleh ahli akademik seperti ini!
Dalam renungan panjang, PZ melihat dengan penuh gusar, apakah untung nasib anak watan dan ummah jika keadaan ini berterusan? Teman-temanku, kembalikanlah kesarjanaan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
serious??jgn2 translet buku haknuk
hahaha =)
anyway itu la fenomena sbnq dlm kampus kite.. =D
selamat hari raya..
Post a Comment