Tuesday, September 29, 2009

Masihkah musim punya simpati?


"Saat wajah musim beralih ganti, sang ombak hilang mesranya,
Bayu menghembus kasar, camar enggan bertamu, si pelayar tak sudi berlabuh."
Rakaman lensa PZ di Pulau Gemia, Terengganu. Jun 2007.


Minggu yang amat sibuk di sini. Pelbagai acara mewarnai Majlis Konvokesyen Komemoratif dan Majlis Konvokesyen Ke-4 Universiti Malaysia Pahang. Jadual PZ minggu ini dipenuhi dengan mesyuarat, raptai, jemputan ke majlis perasmian dan lain-lain. Minggu ini juga minggu yang kritikal buat kehidupan peribadi PZ kerana tarikh keramat tersebut hanya tinggal empat hari sahaja lagi. Namun, PZ hanya akan mulai bercuti mulai 5 September sehingga 14 September. Minggu terakhir ini PZ manfaatkan sebaiknya untuk menyelesaikan tugas-tugas yang sepatutnya supaya tiada yang tertangguh sepanjang ketiadaan PZ.

Kisah Kacang Lupakan Kulit menanti-nanti untuk disambung ke Bahagian Kedua. Kotak fikir PZ juga telah merangka-rangka draf untuk Bahagian Kedua kisah tersebut, namun kesibukan minggu ini memperlahankan limpahan ilham untuk menyusun sambungan Kacang Lupakan Kulit.

Justeru, untuk entri kali ini, cukuplah bagi PZ berkongsi dengan teman-teman sebuah puisi yang pernah PZ nukilkan lebih setahun yang lepas. Membelek-belek arkib puisi yang begitu lama tidak dikemaskini, PZ terjumpa puisi Masihkah Musim Punya Simpati? yang bagi PZ, berkait rapat dengan minggu paling kritikal ini. Puisi ini PZ nukilkan kala dugaan getir yang melanda kerjaya PZ tahun lepas.

Masihkah musim punya simpati?

Dalam sayup rembang hari
Bersama lemah bayu samudera biru


Sebuah pulau terdampar sendiri
Mengharap ziarah pelayar payar usang
Menumpangkan jejak di putih bebutir pasir.

Lena pulau itu segar dalam belaian
Sang ombak tak jemu dengan belai gemalai
Menziarahi jajar pasir di landai pantai...


Saat jingga ufuk
Camar pula bertamu di celah dinding batu
Penunggu setia memelihara lena pulau itu
...agar terus tenang dalam peraduannya.

Namun kadangkala lena pulau itu terusik juga
Saat wajah musim beralih ganti
Sang ombak hilang mesranya
Bayu menghembus kasar
Camar enggan bertamu
Si pelayar tak sudi berlabuh.

Hampir tak terlawan gelombang arus
Setiap kali menerjah peralihan musim
Pulau itu sekadar ingin lena tenang di tengah biru samudera
...mengharap belas alam dan musim
yang makin celaru oleh gelojoh umat si pelayar di sayup pantai sana...

Dalam samar masih terdengar nyanyian sunyi sang camar
Dalam keliru musim terlihat robek butir pasir ditelan ombak


Dalam jingga ufuk senjakala
Pulau itu cuba untuk lena
...tanpa mesra ombak
...tanpa lembut bayu
...tanpa ziarah si pelayar
Merenung kosong samudera
Mencongak rentak
...masihkah musim punya simpati?



Pekan
27 Mei 2008
4.05 pagi

Friday, September 25, 2009

Nota Jumaat

2.36 petang. Berhenti sebentar PZ setelah mengharungi trafik yang agak sesak antara Kuala Terengganu ke Kuantan. Kereta kerdil PZ meninggalkan Bandaraya Kuala Terengganu tepat jam 11.36 pagi, dan kini, dari Secret Recipe Bandar Indera Mahkota, Kuantan, jari-jemari PZ mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer riba untuk memuatkan paparan kisah hari ini.

Berakhir sudah musafir singkat PZ sempena Syawal kali ini. Musafir kali ini sarat dengan pengertian yang biarlah PZ simpan sendiri. Namun yang pastinya, PZ 'menemui' apa yang PZ cari-cari setelah tiga kali musafir singkat ini bertamu setiap kali menjelangnya Syawal. Segala-galanya berkait dengan cabaran, dugaan, perasaan dan matlamat kehidupan. Sepanjang musafir singkat kali ini, PZ dapat berinteraksi dalam keadaan yang paling ikhlas dengan diri PZ dan menginsafi bahawa betapa diri ini penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Dalam keadaan seperti itu, tiadalah yang lebih bermakna selain sujud, berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya. Masa kian kritikal buat PZ dan Alhamdulillah, buat pertama kalinya PZ dapat merasakan sekelumit keyakinan, keberanian dan kekuatan untuk menghadapi masa yang berbaki tujuh hari lagi ini. Keinsafan yang mendalam bertamu di jiwa PZ, dan terima kasih kepada mereka yang banyak menghadiahkan mutiara nasihat dan panduan kepada PZ sepanjang musafir singkat ini.

Jauh di sudut hati PZ, terdetik kesedaran yang tidak sedikit...ya, betapa mudah kita melakukan maksiat dan dosa dan melupakan ingatan Ilahi, namun Allah Taala tidak pernah culas mendengar rintihan dan memakbulkan permintaan hamba-Nya yang selalu alpa...titis jernih air mata mengalir setiap kali mengenang kelemahan diri ini, betapa kasih-Nya Allah Taala dengan sifat Pengampun dan Penyayangnya kepada kita..

Thursday, September 24, 2009

Politik atau Poli-itik?

Sepatutnya PZ telah kembali ke Pekan hari ini. Namun, memandangkan ada satu dua urusan yang PZ tidak dapat usaikan segera, perjalanan pulang terpaksa PZ tangguhkan kepada hari Jumaat, 25 September. Terik matahari mulai pagi hingga lewat petang menyengat-nyengat tubuh PZ, seolah-olah bumi Kuala Terengganu tak disirami titisan gerimis semalam.

Beberapa kawasan tumpuan di bandaraya ini masih sesak dengan kunjungan, terutamanya sekitar Pasar Besar Kedai Payang, Giant dan Mydin. Ditambah pula dengan kenderaan bertali-arus membawa perantau yang kembali ke destinasi mereka, kesesakan di Kuala Terengganu hari ini agak memeningkan kepala.

Seperti biasa, PZ ambil kesempatan dalam musafir singkat di KT ini untuk berjumpa dengan bekas pelajar dan sebagaimana lazim, polemik tentang pelbagai isu tidak ketinggalam mengisi ruang perbualan kami. Seronok kami berbicara tentang soal peranan ahli politik di Malaysia, adakah golongan ini benar-benar berkhidmat kepada rakyat ATAU adakah golongan ini menggunakan rakyat sebagai alat? Persoalan ini PZ tujukan kepada ahli politik di semua peringkat tanpa mengira parti dan ideologi yang mereka dukungi.

Salah satu isu yang menarik bicara kami ialah intelektualisme para ahli politik Malaysia. Dalam alam persaingan politik Malaysia yang 'serba tidak kena' dan sukar dijangka kini, para ahli politik memerlukan paradigma baharu dalam pendekatan mereka untuk memenangi hati rakyat. Masyarakat kini, khususnya generasi muda sangat kritis dan analitis menghalakan pemerhatian mereka terhadap gelagat para ahli politik dari semua parti. Pendekatan memperlekeh, memperkecil, memperbodoh, apatah lagi berhujah atas emosi, ekstrimisme dan tohmahan SAMA SEKALI tidak relevan lagi. Sikap menunjuk-nunjuk, berlagak dan feudalis yang dibangga-banggakan oleh sesetengah ahli politik hanya akan mengundang kemarahan rakyat.

Berserderhana, turun padang, menghormati taulan dan lawan dan intelektual, demikian ciri yang perlu ada pada ahli politik kita. Maaf, PZ percaya ramai kalangan ahli politik yang kurang membaca, tidak fasih berbahasa sopan, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai prioriti utama. Paradigma baharu politik Malaysia perlu diisi dengan kematangan, kesaksamaan dan kesarjanaan. Dahulu, PZ minat juga untuk terjun ke alam politik, gaya permainan politik dalam parti-parti politik, apatah lagi antara part-parti politik amat menggerunkan PZ. Bukan takut mengambil risiko, tapi PZ jelek dengan budaya cantas-mencantas, hasad dengki dan KEDANGKALAN AKAL BUDI yang menjangkiti parti-parti politik di Malaysia. Meneliti kisah perjuangan ahli-ahli politilk silam, PZ terharu dan kagum dengan semangat khidmat mereka yang amat tinggi. PRINSIP PERJUANGAN dan KHIDMAT KEPADA RAKYAT mestilah mengatasi keserakahan mencari projek, mengaut keuntungan material, mencari publisiti peribadi serta mendahulukan puak bedrbanding rakyat. Teman-teman yang berkelapangan, jemputlah membaca kisah perjuangan Allahyarham Dato' Onn, Tun Dr. Ismail, Aziz Ishak, Tunku Abdul Rahman dan Allahyarhamah Khadijah Sidek. Ini antara tokoh-tokoh politik yang boleh dicontohi ketegasan mereka mempertahankan prinsip.

Tidak lewat untuk ahli-ahli politik yang telah tersasar untuk kembali menginsafi tujuan sebenar mereka memasuki dunia politik. PZ bersyukur tidak berada dalam dunia tersebut. Cukuplah PZ melontarkan pandangan dari menara gading ini. Bagi PZ, menara gading adalah benteng terakhir di mana survival agama, bangsa dan negara dapat disandarkan.

PZ - without fear or favour. Kepada Allah berserah...

Wednesday, September 23, 2009

Dari jendela kamar...


Langit petang.
Panorama Kepong - Selayang dari kamar penginapan
PZ di aras 6, Crystal Crown Kuala Lumpur.

Terlalu hilang fokus barangkali akibat tujahan satu persatu persoalan bertalu-talu, sehingga PZ boleh tertinggal beg yang mengandungi komputer riba PZ di tempat penginapan PZ di KL. Apabila direnung-renung semula, banyak hikmahnya. Dalam rangka musafir singkat PZ, sepatutnya PZ terus bertolak ke Kuala Terengganu dari KL jam 9.00 pagi tadi. Awal pagi tadi, dek kerana mata yang tidak-tidak juga mengantuk walaupun badan amat letih, PZ membuat sedikit pindaan terhadap rangka musafir singkat ini dengan menyimpang sekejap ke Nilai 3 sebelum menziarahi ibu saudara di Muadzam Shah dan langsung ke Kuala Terengganu. Hanya setelah tiba di Nilai 3, barulah PZ sedar beg berharga tu tertinggal. Mujurnya beg tu selamat dalam simpanan Crystal Crown Hotel KL, tempat PZ menginap semalam setelah dihubungi.


5.45 petang. PZ di Lebuhraya Pantai Timur, 
230 km dari Kuala Terengganu

Alhamdulillah, setelah membeli apa yang patut di Nilai 3, PZ pusing kembali ke KL, ambil beg dan terus ke Muadzam Shah menggunakan Lebuhraya Pantai Timur. Tepat jam 12.30 tengah hari kala PZ meninggalkan KL dan terus memandu tanpa henti ke  Muadzam Shah dan tiba jam 3.21 petang. Sejenak beraya di rumah ibu saudara, PZ meninggalkan Muadzam Shah jam 4.41 petang dan tiba di Kuala Terengganu jam 8.18 malam. Kala ini, dari salah sebuah kamar di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu, PZ mengemaskini blog ini. Alhamdulillah, selamat juga PZ tiba, what a long journey and a tiring day...



6.45 petang. PZ di Jalan Jerangau - Jabor,
128 km dari Kuala Terengganu. 

Keadaan trafik dari Muadzam Shah hingga Kuala Terengganu sederhana sibuknya. PZ dapat mengekalkan kelajuan biasa (yang pastinya bukan 80km/j!) dan buat timing perjalanan sebagaimana yang dirancang. Memang syukur dan puas hati sangat apabila segala perancangan berjalan baik seperti yang dijadualkan. Sehingga kini, PZ masih memikirkan apa hikmahnya hingga tanpa diduga Allah Taala mentakdirkan pindaan pada rangka musafir singkat PZ kali ini. Pastinya ada sesuatu...


7.45 malam. PZ di Kampung Tok Randok,
43 km dari Kuala Terengganu.


Bila dihitung dan dicongak, perjalanan PZ hari ini boleh tahan juga jauhnya. KL ke Nilai 60 km, Nilai ke KL 60 km, KL ke Persimpangan Gambang 226 km, Persimpangan Gambang ke Muadzam Shah 83 km, Muadzam Shah ke Persimpangan Gambang 83 km dan Persimpangan Gambang ke Kuala Terengganu 230 km, bila dijumlahkan = 742 km. Pengalaman yang meletihkan tetapi memberi lebih ruang masa untuk PZ berfikir dan berfikir, mencari jawapan-jawapan ke persoalan-persoalan yang 'melanda'.


8.18 malam. Akhirnya PZ tiba di Bandaraya Kuala Terengganu.

Gerimis di Kuala Terengganu kala ini berselang-seli dengan ngauman guruh dan pancaran kilat di Laut China Selatan, nampak jelas dari kamar penginapan PZ di Aras 7 ini. Sungguh-sungguh sukar dimengerti apa yang PZ fikirkan kala ini. Bagaimana kehidupan selepas ini? Apa cabarannya selepas ini? Mampukah PZ menghadapinya?

Kompleks, kompleks sungguh persoalannya...dari jendela kamar di Aras 7 ini, PZ memerhati suram langit malam dan tompok cahaya di jalanan...bulan tak kelihatan, hanya kerdipan neon buatan menerangi...banyak betul yang artificial dalam hidup kita kan?

Tuesday, September 22, 2009

Mencari kesempurnaan

Musafir singkat PZ berlabuh di Kuala Lumpur hari ini. Alhamdulillah, pemanduan yang licin dan trafik yang lancar membolehkan PZ sampai di KL dalam tempoh tiga jam sahaja, seperti hari biasa. Selesai dengan urusan membeli-belah di IKEA Mutiara Damansara lewat Asar, PZ kembali ke tempat penginapan dengan fikiran yang dipenuhi pelbagai persoalan. Saat musafir PZ bermula pada sebelah paginya, kotak fikir PZ masih lapang, namun tiba-tiba ditujah dengan satu-persatu soalan dari pelbagai arah kala tiba di KL.




Merenung, menaakul dan memuhasabah...
Pulau Tioman. Rakaman lensa PZ, Jun 2009. 


Teringat PZ pada kata-kata yang diungkapkan oleh Dr. Mohd. Daud Bakar, seorang mentor PZ semasa di UIAM enam tahun lalu: "If you want to satisfy everybody, you will satisfy nobody". Kesempurnaan hanya ada pada Allah Yang Maha Esa, dan apa yang mampu dilakukan oleh kita selaku insan biasa adalah berusaha ke arah kesempurnaan pekerti, peribadi dan rohani. Difirmankan oleh Allah Taala dalam al-Qur'an bahawa "Sesungguhnya manusia itu diciptakan dalam keadaan lemah dan tidak berdaya". Atas premis itu, pastinya ada lompang dan kekurangan pada diri tiap-tiap manusia. Walaupun diciptakan lemah dan tidak berdaya, namun itu bukanlah alasan buat manusia untuk culas berusaha memperbaiki kehidupan supaya hari ini lebih baik berbanding semalam dan hari esok lebih baik berbanding hari ini. Apa yang difirmankan Allah Taala dalam petikan al-Qur'an sebentar tadi adalah satu bentuk cabaran kepada manusia untuk mencurahkan lebih usaha dan tenaga pada jalan-Nya supaya kebahagiaan duniawi dan ukhrawi dapat dinikmati. Berfirman lagi Allah Taala, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya." Pastinya, inisiatif untuk mengupayakan titik perubahan memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit dengan pelbagai dugaan yang cukup-cukup menguji ketahanan diri.



Senjakala. Kehidupan ibarat warna hari yang sentiasa berubah.
Rakaman lensa PZ di Pulau Tioman, Jun 2009.


Berbalik kepada persoalan yang menghimpit kotak fikir PZ kala ini, PZ telah cukup letih, ya cukup letih mengorbankan kegembiraan PZ untuk kepentingan orang lain selama ini. Bukan PZ mahu mementingkan diri sendiri, tetapi ada kalanya perlu untuk PZ bersendirian. Sebabnya? Biarlah PZ sahaja yang tahu. Peduli apa PZ pada pandangan dan persepsi orang lain, contohnya menyombong, melarikan diri, escapism dan lain-lain. Sukar untuk orang lain memahami PZ dan PZ sesekali tidak kisah. PZ cuma mahu sendirian, menenangkan fikiran. Pastinya pernyataan PZ kali ini sukar dimengertikan tetapi teman-teman yang rapat dengan PZ (yang PZ anggap sebagai sahabat) akan cukup memahami apa yang PZ maksudkan. Mereka inilah yang sentiasa berada di sisi PZ saat senang dan sukar. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang memahami... 

Monday, September 21, 2009

Musafir Syawal

Perkiraan hari PZ makin hampir...hari ini 2 Syawal 1430 dan hanya tinggal 12 hari lagi tarikh keramat itu. Perasaan PZ terus bercampur-baur dan amat sukar dimengertikan. Apakah ini sesuatu yang dilalui oleh setiap orang yang akan menghadapi tarikh keramat itu?




Panorama di Tanjung Dawai Kedah.
Rakaman Lensa PZ dalam Musafir Syawal 1429 (2008)

Sejak tahun 2007, telah menjadi kelaziman buat PZ untuk keluar bermusafir mulai hari ketiga Syawal. Tahun 2007, PZ menikmati Syawal di rumah sahabat baik PZ di Sik, Kedah dan keluarga angkat PZ di Pasir Mas, Kelantan. Bukan sekejap kalau PZ keluar bermusafir kala Syawal seperti ini. Tahun lepas, PZ keluar bermusafir sendirian selama 7 hari - semalaman di Bukit Mertajam, dua malam di Sungai Petani, tiga malam di Pasir Mas dan Kota Bharu serta malam akhir di Kuala Terengganu. "Menghabiskan duit je!" ujar seorang teman kepada PZ. PZ cuma tersenyum. "I know myself better than you do", getus hati PZ. Yang penting, melalui musafir Syawal yang PZ amalkan, PZ belajar untuk mengenali diri PZ, melihat alam dan resam di tempat orang serta mencipta dan merapatkan silaturrahim. Yang paling penting, tiap kali pulang dari musafir panjang itu, PZ rasa amat puas dan 'bahagia'. Ya, kepuasan dan kegembiraan diri tak terbeli dengan timbunan wang ringgit. Dengan kereta kerdil PZ itulah pelbagai tempat telah PZ singgahi. Baru berumur lima tahun, tetapi mileage kereta kerdil PZ telah mencecah 191,000 kilometer. Memang seronok bermusafir sendirian!



Panorama di Merbok, Kedah.
Rakaman lensa PZ dalam Musafir Syawal 1429 (2008)


Kerana tarikh keramat yang tinggal 12 hari sahaja lagi itu, musafir Syawal PZ kali ini terpaksa dipendekkan. Esok, PZ akan bermalam di Kuala Lumpur di samping membuat urusan shopping pasca raya di IKEA. Online catalogue IKEA telah pun PZ singkap halaman demi halaman semalam dan beberapa barangan akan menjadi sasaran esok! Lusa, Rabu, 23 September, PZ akan bermalam pula di Kuala Terengganu. Ada beberapa agenda ziarah telah PZ rangka di samping menenangkan fikiran untuk menghadapi 12 hari lagi.



Panorama di Tasik Banding, Perak.
Rakaman lensa PZ dalam Musafir Syawal 1429 (2008)


Mungkin ada teman-teman yang menganggap musafir Syawal seperti yang PZ lakukan sebagai membuang masa, membuang petrol, membuang duit dan sebagainya. Namun, dalam hidup, keselesaan dan kesenangan wang ringgit dan material yang kita nikmati bukanlah sekadar untuk disimpan, akhirnya perkara-perkara itu kita tinggalkan jua apabila kita kembali menemui Pencipta. Kala selesa, senang dan sihat seperti inilah peluangnya untuk kita melebarkan sudut pandang, menikmati pemandangan alam, menyuburkan silaturrahim dan seumpamanya. Prinsip PZ mudah, kita kena menyimpan sejumlah wang untuk bekalan kala sukar, dan sebahagian juga perlu dilaburkan untuk meningkatkan motivasi diri. Buat PZ, motivasi diri diperolehi melalui memandu dan bermusafir. Diri rasa bahagia, jauh dari duka. Jangan lokek memperuntukkan sedikit wang untuk kebahagiaan diri. "Apabila kita tidak berkira sangat dengan harta benda, Allah Taala juga tidak akan berkira memberi pahala dan pertolongan-Nya, tetapi jika kita lokek dengan harta sendiri, Allah Taala juga akan berkira dalam memberi pahala dan pertolongan-Nya". Fikir-fikirkanlah...

Sunday, September 20, 2009

Salam Eidulfitri

PZ ingin mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA EIDULFITRI
&
MAAF ZAHIR BATIN
buat semua teman dan pembaca blog ini.


Saturday, September 19, 2009

Bimbing, bukan suruh!

Alhamdulillah, hari terakhir di pejabat pada akhir Ramadhan 1430. Cukup sunyi senyap bangunan pejabat PZ hari ni. Sampai untuk bersolat Jumaat pun, PZ terpaksa memandu 10 kilometer ke sebuah tanah rancangan FELDA berhampiran pejabat PZ. Hari yang tidak berapa panas, tenang dan agak syahdu. Apakah mungkin bertemu pula Ramadhan tahun akan datang?

PZ menikmati ifthar bersama dua pelajar PZ di Padang MPK, di tengah-tengah Bandar Kuantan. Saat yang penuh makna dan pastinya PZ akan mengenang hari-hari ceria seperti ini nanti. Bermula dengan bual-bual kosong, cakap-cakap kami bersambung dengan polemik mengenai pelbagai isu semasa. Ya, bab ni yang paling PZ cherish apabila bersama-sama para pelajar PZ. Prinsip PZ mudah, jika kita mahu melahirkan bakal-bakal pimpinan tanah air yang berkualiti untuk manfaat umat masa muka, buluhnya perlu dilentur mulai sekarang. Para pelajar yang menghuni menara gading perlu didekati, dilayan dan dihormati sebagai orang dewasa secara matang. Kita sering melenting menyalahkan golongan muda ini apabila muncul isu pengangguran dan lain-lain, tapi apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Justeru, para pembuat dasar, pentadbir dan akademia di menara gading perlu melihat golongan muda ini sebagai pemegang taruh yang amat penting, bukan sekadar 'budak hingusan' yang boleh dibohongi dan di'awta'. PZ pernah melalui zaman perit sebagai mahasiswa kurang 10 tahun lalu, dan betapa terhirusnya perasaan apabila kadangkala suara golongan muda ini dipandang sepi dan sering dianggap sebagai 'ancaman' sedangkan mempunyai idealisme adalah sesuatu yang normal bagi remaja yang sedang meningkat dewasa. Yang lebih utama ialah didikan supaya idealisme golongan muda ini disalurkan kepada jalan ilmiah yang mendatangkan manfaat kepada tanahair, masyarakat dan umat.

Jadi, jika golongan muda ini kadangkala memberontak dan naik marah, bukankah berpunca dari kesalahan kita sendiri juga? Berapa ramai dari kalangan pembuat dasar, pentadbir dan akademia yang mahu mendekati golongan muda ini sepertimana seorang bapa atau ibu mendekati anak dan seorang abang atau kakak mendekati adik. Golongan muda ini tegar dengan idealisme dan minda yang kritis, jadi kitalah yang bertanggungjawab MEMBIMBING, BUKAN MENGARAH mereka. Ramai pelajar yang PZ temui menyatakan bahawa mereka tidak kisah jika pembuat dasar, pentadbir atau akademia turut serta dalam gerak kerja aktiviti mereka, tetapi bukan untuk mencari nama dan glamour atau menyuruh-nyuruh pelajar seperti seorang mandur mengarah kuli bawahan. Golongan muda ini mengharapkan para pembuat dasar, pentadbir dan akademia turut sama memahami dan berkongsi kepayahan dan kesulitan mereka dalam beraktiviti serta mencari jalan untuk MEMUDAHCARA secara BIJAKSANA.

PZ amat kecewa dengan sesetengah pembuat dasar, pentadbir dan akademia yang rasa puas apabila melihat pelajar GAGAL dalam melaksanakan aktiviti atau menghadapi kesulitan. Sindrom "padan muka engkau" menebal di kalangan segelintir pembuat dasar, pentadbir dan akademia yang sembrono mendukung idea of authority, bukannya authority of idea.

Tanggungjawab seorang pembuat dasar, pentadbir dan akademia di menara gading tidak dibatasi oleh perimeter ruang pejabat, bilik mesyuarat atau dewan kuliah semata-mata. Bekerja di menara gading mengundang kewajipan yang tidak sedikit untuk membentuk generasi pewaris kepimpinan dengan acuan yang sebenarnya supaya mereka menjadi individu BIJAKSANA, MATANG dan RASIONAL.

Buktikan dengan komitmen, bukan sembang kosong atau awta. Menara gading adalah benteng terakhir di mana survival agama, ummah dan watan boleh bergantung. Kebijaksanaan ditimbang di atas neraca ILMU bukannya POLITIK SEMPIT. Pedulikah kita terhadap masa depan generasi pengganti ini? Teringat PZ terhadap nukilan Sasterawan Rendra dari Indonesia: Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata...

Monday, September 14, 2009

Cendekiawan Celup?



Mohon maaf sekiranya entri PZ kali ini menyinggung perasaan mana-mana teman yang berada dalam dunia akademik, baik sebagai pensyarah atau pendidik. Jika tidak kerana apa yang PZ lihat sendiri waktu di pejabat petang tadi, idea untuk menulis entri ini tidak akan muncul.

Lazimnya, para ahli akademik, pensyarah dan pendidik dikenali sebagai golongan bijak pandai cendekiawan. Panggilan yang cukup mulia, menggambarkan kebijaksanaan dan ketinggian ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Sebagaimana yang pernah PZ nyatakan dalam entri sebelum ini, PZ amat-amat menghormati golongan ini, terutamanya guru-guru yang pernah mendidik PZ.

Seorang ahli akademik dan pensyarah menjadi medan rujukan kerana bidang kepakaran mereka. Walaupun kadangkala isu yang dirujuk itu tidak berkait secara langsung dengan bidang kepakaran mereka, namun itu cukup menggambarkan betapa ulasan dan pandangan golongan ini mempunyai nilai yang diyakini. Kepercayaan ini adalah penghormatan, dan penghormatan ini perlu dipelihara sebaiknya supaya golongan cendekiawan diakui kebijaksanaan mereka bersuara dengan jujur dan ikhlas, jauh sekali dari menyalahguna kepercayaan itu untuk kepentingan perut, puak dan peribadi.



Sarjana silam mencurahkan sepenuh masa dan tenaga untuk mengembangkan ilmu pengetahuan bagi manfaat sejagat. Usaha pengembangan ilmu pengetahuan dilakukan dalam jerih payah serta serba kekurangan, namun hasil penemuan dan ciptaan mereka memberi impak besar terhadap kemajuan tamadun manusia pada abad-abad seterusnya. Lihat sahaja kegigihan Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Imam al-Bukhari, Alexander Graham Bell, Wright Bersaudara dan lain-lain. Impak besar penemuan dan ciptaan para sarjana dan ilmuan ini didasarkan kepada pokok persolan utama iaitu BERUSAHA dan MEMANFAATKAN ILMU PENGETAHUAN.

Sayang seribu kali sayang. Masa beredar dan zaman berubah. Kesarjanaan dan intelektualisme yang sepatutnya menjadi kewajipan (Hadith Rasulullah SAW: Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam) telah berubah arah menjadi satu kerjaya. Pada PZ, itu masih tidak mendatangkan apa-apa masalah. Namun, lazimnya, kerjaya akan berkait dengan struktur sesuatu organisasi dan secara langsung akan menyentuh soal birokrasi. Apakah para ahli akademik, pensyarah dan pendidik masa kini meletakkan pengembangan illmu pengetahuan sebagai prioriti pertama atau apakah hal tersebut telah menjadi agenda sampingan yang didahului dengan prioriti untuk naik pangkat dengan cepat, mengampu, mencari jawatan, populariti dan kedudukan? Jika premis kedua itu menjadi prioriti, negara dan umat bakal berada dalam keadaan yang amat genting!

Ya, apa yang PZ lalui petang tadi? Seorang pensyarah yang berkemahiran dalam bidang bahasa telah ditugaskan untuk membuat terjemahan daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris untuk beberapa petikan teks yang perlu dimuatkan ke dalam sebuah buku untuk disembahkan kepada Sultan sebuah negeri. Jadi, sudah tentu kerja terjamahan tersebut mestilah dilakukan dengan teliti terutamanya bagi mengelakkan kejanggalan bahasa dan struktur maksud direct translation. Sebagai seorang pensyarah bahasa, tentu sekali staf tersebut berkeupayaan melaksanakannya, ini satu ujian terhadap penguasaan ilmu bahasa yang dimilikinya, kalau tidak, masakan dilantik sebagai Pensyarah Universiti Gred DS45 pada usia muda?



Apabila tiba tarikh akhir tugasan iaitu petang tadi, naskah terjemahan dikembalikan untuk suntingan akhir. TERKEJUT! Inikah hasil terjemahan seorang pensyarah? PZ mengeluh panjang dan menggeleng-geleng. Ayat-ayat terjemahan yang dikemukakan dalam naskah tersebut adalah direct translation! Akibatnya amatlah memalukan jika naskah yang sedemikian rupa diterbitkan. Lebih mengejutkan PZ apabila pensyarah itu sendiri mengakui, beliau hanya menggunakan Google Translator untuk menyiapkan tugasan itu. Sedih PZ, inikah rupa ahli akademik yang boleh diharapkan untuk menyemarakkan budaya kesarjanaan di kampus? PZ mengharapkan kemahiran beliau (yang sepatutnya banyak membaca karya berkualiti) untuk dimanfaatkan bagi tugasan terjemahan yang diberikan. Setakat menggunakan Google Translator, tidak perlu PZ menggunakan khidmat waima seorang Profesor Emiritus sekalipun, cukup dengan menyuruh kerani PZ melakukannya!

Jadi teman-teman, itulah gambaran realitinya. PZ percaya, senario ini juga berlaku di institusi-institusi lain. Amat jelek apabila ahli akademik sendiri tidak mahu membaca. Amat parah apabila ahli akademik sendiri tidak menghayati firman sulung Allah Taala dalam al-Qur'an iaitu Iqra'. Betapa terhinanya dunia akademia dan runtuhnya budaya kesarjanaan jika institusi-institusi kita dipenuhi oleh ahli akademik seperti ini!

Dalam renungan panjang, PZ melihat dengan penuh gusar, apakah untung nasib anak watan dan ummah jika keadaan ini berterusan? Teman-temanku, kembalikanlah kesarjanaan!

Marathon...


Apa yang dikejar di laluan ini?
Rakaman lensa PZ di Jalan Sungai Koyan - Ringlet. November 2008.

Mengejar hari. Itu gambaran tepat tentang kehidupan PZ mutakhir ni. Sisa baki hari dihitung dengan debaran yang tidak berkesudahan. Minda PZ diketuk-ketuk dengan pernyataan my life is not gonna be the same again after this. Ya, realiti yang perlu PZ relakan dan kerelaan itu hadir dengan pengorbanan yang tidak sedikit. Kotak fikir PZ dihambat dengan persoalan-persoalan mengenai masalah penyesuaian, adjustment, gaya hidup, tanggungjawab dan seumpamanya. Hanya Tuhan yang mengerti perasaan PZ kala ini...

Marathon. Mengejar masa. Dua perkara yang saling berkaitan. Marathon, perlumbaan di laluan yang panjang dan demikianlah PZ sedang bermarathon yang bakal memasuki fasa baru selepas ini. Apa agaknya yang dikejar dalam hidup kita? Wang? Pangkat? Kuasa? Pujian?

Memang seronok apabila punya wang yang banyak, tetapi apakah pemburuan wang tersebut seimbang dengan makanan rohani dan ketenteraman jiwa? Bertambah seronok lagi apabila punya pangkat yang besar. Orang lain sentiasa memandang tinggi kepada kita, namun takut juga jika kebesaran pangkat itu menyebabkan kita jadi riak dan takabur. Bertambah besar diri jika punya kuasa yang tiada batasan. Seolah-olah dunia milik kita dan dengan kuasa yang ada maruah dan harga diri orang lain boleh dibeli. Apakah itu yang kita mahu? Pujian memang diharapkan, ada orang menganggapnya sebagai sumber motivasi diri, namun dalam banyak hal pujian itu adalah pembunuh senyap yang meratah keikhlasan hati dengan ujub diroi.

Sepanjang 29 tahun marathon di medan ini, PZ masih mencari identiti dan jatidiri hakiki. Marathon yang cukup panjang dan laluannya masih terbentang untuk PZ terokai. Apa yang pasti, di sebalik pencarian identiti dan jatidiri, PZ mengharapkan kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Apa yang PZ akan hadapi tidak lama lagi ini, Insya-Allah bakal menghiasi laluan marathon PZ selepas ini.

Catatan pendek PZ buat pagi ini. Baru kembali dari perjalanan ke rumah kakak sulung PZ di Jasin, Melaka. Jam 12.30 tengah hari 13 September PZ bertolak dari teratak kediaman, dan tepat 12 jam berikutnya PZ kembali semula, memang marathon kan? Pagi nanti selepas Subuh kena bertolak ke tempat kerja lak...

Wednesday, September 9, 2009

090909

090909. Tarikh yang cukup unik. Lewat PZ pulang, waktu telah pun 11.15 malam apabila kereta kerdil PZ menjengah garaj rumah. Badan letih dan lesu, namun ingin PZ kongsikan sesuatu yang mungkin tidak berkaitan atau mungkin juga berkaitan dengan teman-teman atau mereka yang mengenali PZ. 090909 seharusnya dilihat dengan mata ceria, tetapi kehadiran 090909 menyebabkan PZ berfikir tentang sesuatu...ya, soal BERTERIMA KASIH dan MENGENANG BUDI.

Sempat semasa berbuka puasa tadi, PZ berbicara mengenai soal TERIMA KASIH dan KENANG BUDI dengan salah seorang teman PZ. Kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa "Melayu mudah lupa." Ramai yang melenting dan merasa bahawa seolah-olahnya Tun Mahathir menghina bangsa Melayu dengan kenyataan tersebut. Mudah sekali Melayu melenting kan? Terlalu emosional dan tidak berfikir panjang. Jadi, bagaimanakah bisa bangsaku berubah?

Memang Melayu mudah lupa. Berat, tapi PZ mesti mengakui hakikat ini. Betapa sukarnya peluang untuk melanjutkan pengajian di IPTA ketika ini. Tetapi berapa ramai dari kalangan anak-anak Melayu yang menghargai peluang yang telah diberikan untuk berada di universiti-universiti awam seluruh negara. Dengan kos pengajian yang rendah, anak-anak Melayu ini sepatutnya memberikan yang terbaik dari sudut pencapaian akademik mereka.

Tuesday, September 8, 2009

Sistem atau Sikap?


Keghairahan PZ untuk menghabiskan baki syarahan bagi sub-topik Undang-undang Perkongsian terbantut sangat-sangat malam ni gara-gara alat penyaman udara yang gagal berfungsi dengan baik dalam bilik kuliah. Tidak lagi berfungsi menyamankan udara, alat tersebut menjadi pemanas udara, seolah-olahnya PZ dan pelajar-pelajar sedang mengikuti kuliah pada musim dingin. Akhirnya, PZ terpaksa tambah kelajuan pada malam ni supaya kuliah habis awal dan para pelajar PZ dapat keluar dari 'ketuhar' itu. Tapi Alhamdulillah, akhirnya habis kuliah mengenai Undang-undang Perkongsian dan akan bersambung semula selepas Eidul Fitri dengan Undang-undang Syarikat.

Masalah sambungan internet terus menghambat PZ daripada mengemaskini entri dalam blog ni pada hari semalam. Banyak yang menarik untuk dikongsi tapi ilham tinggal ilham apabila gagal dikemaskini. Ya, cabaran dan dugaan Ramadhan. Dan tentunya, tak terbanding kesulitan ini dengan cabaran yang akan PZ lalui 25 hari dari sekarang.

Sekali lagi dalam kuliah tadi, PZ membuka celoteh mengenai prestasi semasa pelajar PZ. Masalah utama yang membelenggu mereka, dan mungkin rakan-rakan mereka di IPTA lain ialah penguasaan Bahasa Inggeris. Ya, apa pokok persoalannya? Kegagalan sistem pendidikan atau sikap pelajar sendiri?



Tiada sistem yang sempurna di dunia ini kerana kesempurnaan hanya milik Allah Yang Maha Esa. Namun, hakikat itu tudak seharusnya menghalang kita daripada berkreativiti dalam pelbagai sudut dan lapangan bagi menghasilkan penambahbaikan yang dapat mengupayakan perubahan. Jika kegagalan sistem pendidikan dijadikan alasan, maka apakah sumbangan kita sebagai warganegara dinamik yang bertanggungjawab untuk menyuntik pengubahsuian tanpa menggugat kerangka sistem tersebut untuk menatijahkan sesuatu yang bermanfaat? Maka persoalan ini PZ lontarkan untuk direnung oleh para pelaksana dasar, pegawai-pegawai kerajaan dan para pendidik.



Pendeta Zaa'ba pernah menyatakan bahawa perangai bergantung pada diri sendiri. Personaliti individu ditentukan oleh sikap yang dibentuk daripada persekitarannya. Tiada jalan lain untuk bergerak maju ke hadapan tanpa aliran deras transformasi ke arah kemajuan. Hari ini seharusnya lebih baik berbanding semala, dan hari esok sepatutnya lebih bermakna berbanding hari ini.

Ternyata, ledakan era digital telah membentuk citra baru generasi muda yang turut meliputi siswa dan siswi di IPT. Lain sekali citranya berbanding era PZ di UIAM dahulu. Tanpa internet, rencat para siswa kita. Perpustakaan sangat culas untuk didekati dan bahan-bahan bacaan berkualiti kemiskinan pembaca. Di mana siswa siswi kita?

Tatkala menjadi siswa di Institut Teknologi Bandung (ITB), Soekarno, Bapa Kemerdekaan Republik Indonesia telah menulis puluhan rencana dan artikel di pelbagai penerbitan bagi meniupkan semangat revolusi dan kesedaran kepada rakyat Indonesia untuk bangun sebagai bangsa merdeka. Pada usia semuda 20an, beliau telah berupaya menulis dengan kupasan yang amat ilmiah mengenai falsafah dan teori politik, walaupun secara ikhtisasnya, Soekarno adalah seorang jurutera.

Lantas, sikap adalah perkara utama yang perlu ditransformasi oleh siswa siswi kita jika mahu dilihat sebagai pemain global, dan bukan sekadar produk sebuah kilang pengajaran. Ramai lagi siswa siswi kita yang berperangai dengan karenah seorang pelajar sekolah yang dependen, sedang mereka berada dalam lingkungan menara gading yang menuntut mereka menjadi individu kental, berfikiran rasional dan matang sebagai seorang yang independen. Masa tidak banyak berbaki buat siswa dan siswi ini, dan sekiranya transformasi kendiri tidak dicetuskan sekarang, pastinya negara ini akan digerakkan jenteranya oleh manusia-manusia robotik yang tidak menguasai perkara lain melainkan bidang ikhtisas mereka sahaja. Rugi, sunnguh rugi.

Jadi wahai siswa dan siswi sekalian, PEDULIKAH ANDA?

Sunday, September 6, 2009

Guru, Kepimpinan dan Kuasa

SK (LKTP) Purun, Bera. PZ bertamu di sini
buat kali kedua.

Selesai sudah tugasan singkat PZ selama sehari di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Purun, Bera. Bagi teman-teman yang belum tahu, LKTP adalah singkatan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, yang lebih sinonim dengan akronim Inggerisnya, FELDA - Federal Land Development Authority.

Bertamu sehari di sekolah tersebut, melihat bakat para pelajar PZ mengendalikan slot akademik bersama calon-calon UPSR di sana, bertandang ke Bazar Ramadhan FELDA Purun, berbuka puasa, bertarawih dan akhirnya berpisah di penghujung malam ke-16 Ramadhan meninggalkan kesan yang mendalam buat PZ yang setiap detik menghitung hari. Ya, tinggal 27 hari lagi...

Ini kali kedua PZ bertandang ke sekolah tersebut, setelah kunjungan yang pertama pada 17 hingga 19 Julai 2009 yang lalu. Alhamdulillah, ada sinar peningkatan yang ketara pada prestasi calon UPSR, dan semasa ucapan penutup semalam, Guru Besar menyuarakan keyakinannya bahawa sekurang-kurangnya 15 orang calon akan memperolehi 5A, Insya Allah. Berdasarkan pengamatan PZ, unjuran ini adalah realistik berdasarkan perkembangan semasa calon-calon tersebut.

Ingin PZ kongsikan dalam coretan kali ini mengenai komitmen dan pengorbanan warga pendidik. Dunia pendidikan bukan asing buat PZ, PZ datang dari keluarga guru, abah dan arwah bonda merupakan pesara Guru Besar, dua kakak dan adik perempuan PZ adalah guru dan PZ juga seorang pensyarah, selain tugas hakiki sebagai pentadbir. Kebetulan pula, tanpa dirancang dan diketahui, Cikgu Jamaludin Mustafa, Guru Besar SK (LKTP) Purun yang PZ kunjungi semalam juga adalah bekas pelajar kepada abah PZ di SK Pusat, Pekan, pada tahun 1967 iaitu 42 tahun yang lalu.

Kecemerlangan pelajar di sesebuah sekolah ditentukan oleh tiga elemen pokok: kecerdasan, komitmen guru dan kualiti kepimpinan Guru Besar atau Pengetua. Sepanjang perkhidmatan PZ, telah banyak sekolah rendah dan menengah yang telah PZ jelajahi dan memang tiga elemen di atas sentiasa berkait rapat. Pelajar yang pandai akan hilang motivasi jika guru bersifat negatif dan pesimistik; guru yang rajin dan bersungguh-sungguh akan luntur komitmennya apabila diperlecehkan Guru Besar atau Pengetua; dan Guru Besar atau Pengetua yang berkepimpinan tinggi akan menghadapi masalah besar jika para guru tidak memberi kerjasama dan para pelajar sentiasa memberontak. Fenomena ini kerap berlaku dan akan terus berlaku kerana itulah realiti dunia pendidikan yang menitikberatkan kesempurnaan insan, namun pada realitinya, tiada sesiapa yang sempurna. Tetapi inisiatif perlu sentiasa digerakkan.



PZ terharu melihat komitmen Guru Besar dan guru-guru SK (LKTP) Purun bagi menjayakan program para pelajar PZ di sana. Bergotong-royong memasak, menghidang makanan dan mengemas bersama dengan semua guru hadir, termasuk pasangan mereka. Ya, kepimpinan, kepimpinan yang turun padang adalah aset utama kepada sekolah ini. Para pelajar PZ dan PZ sendiri sampai naik segan dengan layanan istimewa yang diberikan itu. Ya, sesungguhnya para guru telah banyak berkorban. Walau apapun tanggapan negatif sesetengah pihak kepada penjawat profesion mulia ini, bagi PZ hanya mereka yang bergelumang dalam dunia tersebut sahaja akan mengerti keperitan menjadi seorang guru, khususnya pada zaman sekarang. Cabarannya, amat-amatlah getir.

Teringat PZ petikan puisi Allahyarham Usman Awang yang masyhur bertajuk Guru oh Guru yang dinukilkan pada tahun 1979:

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.



Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.



Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.



Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Sajak ini memang sangat-sangat mengesankan buat PZ, khususnya pada bait-bait yang PZ merahkan tulisannya. Apa agaknya yang PZ kerjakan sekarang kalau tidak didesak oleh para guru untuk bersungguh-sungguh belajar semasa di Sekolah Rendah Kebangsaan Ahmad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad dulu? Terima kasih kepada guru-guru kerana dapat melentur PZ daripada kenakalan kepada kejayaan...PZ amat hargai.

Berbalik kepada soal kepimpinan sekolah tadi, PZ amat berkeyakinan, kepimpinan berkesan adalah kepimpinan yang mengutamakan authority of idea dan bukannya idea of authority. Ini PZ petik dari gagasan pemikiran bos PZ. Kepimpinan memang berkait rapat dengan soal kuasa, namun kuasa yang mengiringi kepimpinan mestilah digunakan secara bijaksana dan bukannya disalah guna. Intelektualisme mestilah mendasari penggunaan kuasa mengatasi dengan sejauh-jauhnya kepentingan diri, puak dan juak, politik dan lain-lain. Soalnya kini ialah, adakah kepimpinan di semua peringkat dan lapangan pada hari ini didasari oleh intelektualisme?


Authority of Idea ATAU Idea of Authority?

 
Menutup entri ini, PZ ingin perturunkan mutiara panduan yang diberikan oleh mantan bos PZ mengenai
KUASA:
1. Pentadbir perlu tahu bila masanya untuk mendengar pandangan dan nasihat orang lain;
2. Pentadbir perlu tahu bila masanya untuk membuat keputusan menggunakan KUASA budi bicaranya;
3. Pentadbir perlu juga tahu bila masanya untuk berkompromi antara budi bicaranya dan pandangan orang lain;
4. Perkara 1 hingga 3 di atas perlu ada pada diri pentadbir sejati yang berdaya kepimpinan, perkara 1 hingga 3 tidak boleh berdiri sendiri tanpa dukungan satu sama lain kerana ia akan merosakkan kepimpinan;
5. Pentadbir yang hanya tahu mendengar pandangan orang lain dalam membuat keputusan adalah pemimpin yang lemah dan tidak berkeyakinan;
6. Pentadbir yang hanya tahu menggunakan kuasa budi bicaranya semata-mata tanpa meraikan pandangan pihak luar adalah seorang DIKTATOR yang mabuk kuasa; dan
7. Pentadbir yang hanya tahu berkompromi adalah musuh dalam selimut yang tidak kita sedari kerana dia tiada pendirian dan hanya ingin popular bagi mengekalkan survival kuasanya.
Mutiara panduan ini, PZ pegang sejak mula berkhidmat dengan kerajaan sehingga kini. Alhamdulillah, mutiara panduan ini amat-amat membantu, khususnya dalam membina jati diri dan daya tahan PZ. Ya, kuasa yang tidak dilingkari dengan iman dan keinsafan tidak akan menambah baik, malah akan membinasakan.






Saturday, September 5, 2009

Sudah terhantuk baru terngadah!




Sengaja PZ masukkan entri untuk hari ni awal-awal. Takut-takut malam ni tak termasukkan sebab sejam dua lagi PZ akan ada tugasan luar daerah ke Bera, lebih tepat Sekolah Kebangsaan (LKTP) Purun, Bera hingga esok hari. Tempatnya agak terpencil dan memang sah Celcom Broadband PZ akan kaku.

Ya, Bera adalah daerah yang paling junior di Negeri Pahang ni. Diwujudkan pada tahun 1992, kawasan daerah Bera adalah percantuman beberapa kawasan dalam Daerah Temerloh dan Maran. Memang jarang disebut nama daerah ni, tapi sekarang ni mungkin dah dikenali sikit memandangkan Ahli Parlimen Bera ialah Dato' Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merangkap bapa kepada artis Dafi.

Itu sedikit latar belakang Bera, tapi PZ bukan nak bercerita tentang tempat ni. Itu PZ reserve untuk entri akan datang.



Sambil PZ memandu ke pejabat pagi ni, sinis juga PZ bila mendengar iklan advokasi keselamatan jalan raya yang diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di IKIM.fm. Tidak ada apa yang lucu atau luar biasa tentang iklan tu, cuma lensa analisa PZ tiba-tiba menyorot ruang fikir tentang keberkesanan kempen-kempen sebegini, sedang kadar kemalangan terus-terusan meningkat, kenderaan berat terus bermaharajalela di atas jalan raya dan pelumba-pelumba haram terus rancak berpesta.

Sudah terhantuk baru terngadah, itu persepsi lazim tentang aspek penguatkuasaan di Malaysia. Kalau berlaku kemalangan, yang ditunding ialah sikap pengguna jalan raya. To certain extent memang PZ akui dan setuju. Namun lebih dari itu, PZ melihat bahawa aspek yang perlu perhatian maksimum ialah menutup ruang dan pintu yang boleh menyebabkan para pengguna kenderaan berlagak semasa di jalan raya.

Sehingga kini, PZ belum melihat satu komitmen yang benar-benar serius daripada agensi-agensi penguatkuasa - PDRM, JPJ, KDRM, JKJR dan lain-lain untuk mengawal aktiviti perniagaan kedai-kedai aksesori kenderaan dan bengkel ubahsuai yang memang banyak di negara kita. Berniaga bagus, tapi lihat apa impak daripada keghairahan para pemilik kenderaan yang terdiri dari orang-orang muda dan tua berbelanja besar untuk menambah aksesori dan mengubahsuai. Jawapan-jawapan lazim - "Untuk kepuasan sendiri", "Duit aku, aku punya suka, bukan duit bapak engkau pun", "Kereta ni kita kena belai" dan lain-lain, ya, ya seribu jawapan pun boleh diberi sebagai justifikasi.

Cuba teman-teman lihat di jalan raya, yang berlagak memecut laju dengan bunyi ekzos macam bot nelayan, yang membising dengan audio disko dan seumpamanya adalah orang-orang yang PZ nyatakan di atas. Apa tujuan dan motifnya? Memang untuk riak! Inilah sebenarnya ancaman yang perlu ditangani oleh agensi-agensi penguatkuasa. Sedih juga PZ melihat, di kalangan anggota agensi penguatkuasa ini, ada juga makhluk-makhluk yang spesis itu, maka akhirnya pi mai pi mai tang tu juga.



Ada juga yang menghujah, "kita tiada kuasa" atau "belum ada undang-undang mengenai perkara tersebut". Kasihan dan belas PZ kepada pegawai-pegawai tinggi yang boleh keluarkan kenyataan sebegini. Ketua-ketua Pengarah dan Pengarah-pengarah, anda dibayar gaji oleh Kerajaan yang dibiayai oleh pembayar cukai untuk merancang dengan strategik, memimpin agensi anda untuk BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT terbanyak. Justeru, keutamaan anda ialah memelihara kepentingan umum. PZ juga adalah pegawai kerajaan, banyak sudah PZ saksikan, kerusi-kerusi pengurusan kanan di jabatan-jabatan kadang-kadang (tidak semua) sekadar dipanaskan kerana gred JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) sama ada JUSA A, B atau C, malah kadang-kadang Gred TURUS pun, yang menjadi idaman pegawai-pegawai kerajaan. Telah ditakdirkan Allah Taala mendapat jawatan tersebut, Alhamdulillah, tetapi gunakanlah peluang tersebut untuk menambah baik kualiti perkhidmatan supaya rakyat melihat pegawai-pegawai kanan ni buat kerja.

Makanya, jika tidak ada legislation bagi sesuatu perkara, maka buatlah kajian untuk menggubalnya. Penguatkuasaan perlu dijalankan, without fear or favour. Kita sering sinis dan bersentimen dengan Republik Singapura, tapi lihat penguatkuasaan di sana. Rakyat Singapura masuk Malaysia pula memandu laju dan menjadi pengotor, kenapa? Sebab mereka tahu kita tidak serius lantas menjadikan negara kita litar lumba dan tong sampah mereka. Tidak terhinakah kita?


Teringat PZ maksud hadith Junjungan Agung, "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin dipertanggungjawabkan atas pimpinannya...". Soal amanah bukan mainan yang boleh dijual beli. Sabda Rasulullah lagi, "Tanpa orang munafik itu tiga: Apabila berbicara dia berdusta, apabila diberi amanah dia khianat dan apabila berjanji dia mungkir."

Menutup entri ni, PZ minta sahabat-sahabat dalam agensi-agensi penguatkuasa bermuhasabah supaya jangan jadi pengkhianat tanpa sedar. ALLAH melihat dan rakyat menilai...

Friday, September 4, 2009

29 hari lagi...


Tiap kali PZ lihat kalendar, tiap kali itu jugalah hati PZ berdebar-debar...29 hari lagi, ya 29 hari lagi. Sepatutnya entri ni PZ masukkan malam semalam, tapi entah apa masalahnya, dah lima hari Celcom Broadband PZ buat hal. Jadi terpaksa harapkan internet di pejabat...




Kebetulan ada masa lapang sekejap sebelum mesyuarat pagi ni, jadi PZ ingin kongsi mengenai 29 hari lagi. 29 tahun usia PZ dan 29 hari lagi merupakan titik besar dalam perjalanan hidup PZ. Memang, siapa jua yang berada dalam kedudukan PZ sekarang akan menerawang mindanya...how's life is gonna look like after this?



Hadirnya 29 hari lagi berbaur antara debar, gembira dan curiousity. Dalam ruang masa yang masih bersisa ini, sering kali PZ mengimbas dan 'terimbas' kisah-kisah silam, ya, episod-episod yang mewarnai perjalanan PZ...suka, duka, hitam dan putih...terutamanya kisah-kisah semasa di UIAM dulu, zaman yang paling PZ hargai dan cherish sangat-sangat.



Ujian menduga jiwa dan masa gembira hadir silih berganti, dan 2009 benar-benar soothing buat PZ setelah masa sukar pada tahun 2008. Maha Pengasih dan Maha Memahami, Allah Taala hadirkan 29 hari lagi tepat pada masanya dengan segala persediaan ke arahnya terlaksana licin setakat ini. Dengan keyakinan itu, moga Allah Taala permudahkan 29 hari yang berbaki ini.



Apa yang PZ lalui dan alami menjelang hadirnya 29 hari lagi amat-amat mengajar PZ erti kehidupan. Teman-teman yang rapat dengan PZ pasti akan memahami apa yang PZ maksudkan.



Sebagai perkongsian dengan teman-teman, kelancaran yang Allah Taala berikan itu benar-benar menyakinkan PZ bahawa:



1. Jangan kita berkira sangat sesama makhluk, terutamanya dari segi sadaqah dan pengorbanan masa supaya Allah Taala tidak berkira dalam kurniaan pahala dan ganjaran-Nya pada kita;



2. Jangan manjakan diri sendiri, supaya kita tidak kisah apabila kesukaran menimpa dan redha dengan kesederhaan;



3. Jangan merasakan diri kita telah serba cukup dan sempurna segalanya, supaya kita tidak takabbur dan merasa bangga diri serta tidak menambah baik amalan supaya hari ini lebih baik berbanding hari semalam;



4. Jangan mudah menyalahkan orang lain apabila ujian datang menimpa, supaya kita menghayati bahawa ujian tersebut merupakan kafarah terhadap dosa dan kesilapan lalu;



5. Sentiasa berkeyakinan bahawa Allah Taala sentiasa bersama kita. Segala yang terjadi baik atau pun buruk adalah ketentuan-Nya dan punya HIKMAH...percayalah teman-teman, PZ lalui dan alami sendiri. Memang Allah Taala Maha Pengasih dan Maha Membantu, cuma kita yang daif ini selalu tidak menghargai kasih sayang-Nya...

Wednesday, September 2, 2009

Coretan Singkat...

Hari yang amat sibuk...namun syukur pada Allah, kerja yang dirancang sepanjang hari ni terlaksana dengan sempurna.

PZ berbuka puasa di rumah teman sekerja. Seronok dapat hidupkan sunnah Rasulullah, makan berjemaah dalam dulang.

Esok masih banyak tugas menanti...selamat malam teman-teman...

Pantun Pagi...

Selamat pagi!

Keletihan bekerja sepanjang hari menyebabkan PZ terlelap awal dan akhirnya terlepas mengemaskini entri untuk hari pertama bulan September 2009. Lena dibuai mimpi, waktu sudah 12.30 malam apabila PZ terjaga dari tidur dan terus tak mengantuk hingga bertolak ke tempat kerja.

PZ check-in di pejabat jam 7.10 pagi dan masa yang terluang hingga 8.00 pagi PZ isi sedikit dengan 'entri pengganti' untuk 1 September 2009. Ada lima rangkap pantun berkait mengenai keberkatan kerja yang dapat PZ fikir dan nukilkan pagi ni untuk dikongsi dengan teman-teman:

Tualang Sekah Tanjung Blanja,
Mari disewa kuda pedati;
Bila melangkah ke tempat kerja,
Mohon pada-Nya rezeki diberkati.

Mari disewa kuda pedati,
Bawa muatan penuh didepan;
Mohon pada-Nya rezeki diberkati,
Halal pendapatan sempurna kehidupan.

Bawa muatan penuh didepan,
Pedati tua ditarik kuda;
Halal pendapatan sempurna kehidupan,
Suci jiwa tenteramlah minda.

Pedati tua ditarik kuda,
Sampailah sudah ke Kuala Tahan;
Suci jiwa tenteramlah minda,
Tenang beribadah kepada Tuhan.

Sampailah sudah ke Kuala Tahan,
Kirim bingkisan sepucuk surat.
Tenang beribadah kepada Tuhan,
Rahmat peliharaan dunia akhirat.


Kepada teman-teman, selamat memulakan hari baru!