Monday, August 31, 2009

Sepasang Kaca Mata, Sejarah dan Nasib Anak Bangsa

KISAH KACA MATA

Kaca mata baru PZ. Ganjaran untuk diri sendiri.


31 Ogos 2009...Cukup sederhana sambutan Hari Kebangsaan Ke-52 tahun ini. Dek kerana kesiangan, PZ terlepas menonton siaran langsung sambutan di Dataran Parlimen melalui televisyen. Mujur ada siaran ulangan di TV tengah hari tadi.

Sebagai hadiah untuk diri sendiri sempena Hari Kebangsaan, PZ belikan bingkai baru cermin mata untuk gantikan bingkai lama yang dah berusia hampir tiga tahun. Pembelian yang telah lama dirancang dan ceria tak terkata bila dah terealisasi.

Bukan niat PZ berbicara tentang kaca mata baru, tapi waktu memandu petang tadi (hari ini meneroka Kampung Pasir Panjang dan Tanjung Agas), PZ berfikir tentang kaitan kaca mata dan kemerdekaan. Ya, ia berhubung rapat dengan soal perspektif, sudut pandang yang pelbagai tentang kemerdekaan. Kemerdekaan telah jadi sejarah, soalnnya kini adakah kita memahami sejarah itu dengan sempurna, atau sekadar bergantung ingatan kepada buku teks sejarah di sekolah menengah? Mempelajari sejarah itu seperkara, namun memahami dan mengerti semangat serta susur-galur sejarah pula adalah satu perkara lain.

KISAH SEJARAH



Terus terang PZ katakan, ramai rakyat Malaysia kini, khususnya yang muda belia sekadar tahu melaungkan Merdeka! tapi jauh sekali dari mengintai latar peristiwa di sebalik kalimah itu. Ramai produser drama dan filem berlumba-lumba menerbitkan karya masing-masing atas nama kemerdekaan dan patriotisme, tapi ketidaktelitian mereka dalam menggarap karya tersebut, khususnya dari aspek ketepatan fakta sejarah menyebabkan mereka mengkhianati sejarah dan membohongi para penonton Malaysia yang tipikal (menelan bulat-bulat apa yang ditonton).

Sebelum masuk ke kamar tidur semalam, PZ sempat menonton filem 1957 Hati Malaya di TV 2. Bagi mereka yang tidak begitu mendalami perkara-perkara yang detail pastinya menganggap karya tersebut sebagai sempurna atau hampir sempurna. Meneliti babak malam sebelum kemerdekaan berlatarkan Padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka), PZ melihat dua penyelewengan fakta yang tidak boleh dimaafkan. Mungkin teman-teman menganggap PZ terlalu meticulous dengan perkara-perkara detail, tetapi bak kata Senator Tan Sri Jins Shamsudin, sejarah yang diangkat ke layar perak mestilah sejarah yang hidup dan punya jiwa.

Dalam babak yang PZ nyatakan sebentar tadi, kesilapan pertama ialah tentang kostum anggota Polis Diraja Persekutuan di mana dalam filem tersebut anggota polis memakai songkok atau dipanggil bakul di kalangan warga polis kala itu. Dangkal sungguh penyelidikan filem ini kerana mulai 26 Ogos 1957, Polis Diraja Persekutuan telah menggantikan songkok anggota polis dengan peaked cap (Sila rujuk Straits Times 26 Ogos 1957, halaman pertama). Yang kedua, ditunjukkan juga upacara menurunkan bendera Union Jack dengan iringan lagu God Save the Queen diikuti dengan menaikkan bendera Persekutuan dan lagu Negaraku. Ini adalah satu lagi penyelewengan fakta. Lagu Negaraku hanya dimainkan buat pertama kali semasa upacara pengisytiharan kemerdekaan secara rasmi di Stadium Merdeka. Dalam temubual beliau bersama Filem Negara Malaysia dalam dokumentari UMNO 25 Tahun, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra menyatakan bahawa pada malam 30 Ogos 1957 itu, ketika bendera Persekutuan dinaikkan, azan dan bukan lagu Negaraku yang dikumandangkan. Lihat, bagaimana dua fakta sejarah dengan mudah dikelirukan oleh mereka yang kononnya patriotik. Kecewa PZ, kecewa sangat-sangat apabila sejarah dilacurkan!

KISAH NASIB ANAK BANGSA

Jalan raya menuju Kampung Tanjung Agas.
Simpang masuk terletak di Kilometer 51,
Jalan Kuala Rompin - Kuantan (Laluan Persekutuan 3)

Hutan paya menghiasi kiri kanan jalan menuju
Tanjung Agas.
Kampung Tanjung Agas
Dari tanjung ke tanjung. Semalam telah PZ paparkan tentang kunjungan singkat ke Kampung Tanjung Medang. Masih lagi mendung sepanjang hari ini, jadi selepas mengenakan kaca mata baru, PZ memandu pula 10 kilometer ke timur Bandar Pekan, kali ini ke Kampung Tanjung Agas. Kalau teman-teman lihat foto udara yang PZ muat naik dalam entri semalam, Tanjung Agas terletak di tebing selatan Sungai Pahang, sebelah kanan, dan menganjur sedikit ke Laut China Selatan.

Tidak ada apa yang menarik dari segi tarikan pelancongan di Tanjung Agas. Ada perusahaan ternakan udang yang luas di sini dan baru-baru ini nama kawasan ini melonjak sekejap apabila diumumkan sebagai lokasi Terminal Minyak dan Gas, projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Lebih 30 tahun yang lalu, Tanjung Agas dan kawasan pinggirnya iaitu Sekukuh didiami oleh orang Melayu tempatan. Waktu Rejim Pol Pot mengganas dan menjarah Republik Kampuchea, ramai Melayu Kemboja menjadi orang hanyut atau pelarian dan ada yang 'terdampar' di Tanjung Agas. Mereka berkumpul dan menetap khususnya di kawasan Sekukuh. Kala itu cukup sukar buat mereka, merempat di tanah orang dan dipandang hina oleh orang setempat.

Kesusahan adalah sekolah survival masyarakat Melayu Kemboja di kampung ini. Mereka lakukan apa sahaja yang halal untuk terus hidup, jadi nelayan, jual kain, buat ikan kering dan lain-lain. Lebih 30 tahun telah berlalu sejak mereka mula-mula 'terdampar' di Tanjung Agas. Percaya atau tidak, orang Melayu tempatan yang dahulunya memandang hina pada orang-orang pelarian ini masih duduk di rumah-rumah yang kian mereput dan usang, tetapi Melayu Kemboja yang berstatus penduduk tetap ini telah mampu tinggal di banglo dan ada yang memandu Toyota Estima! (kalau teman-teman tak percaya, mari ke Pekan dan PZ akan tunjukkan). Berkat usaha anak dagang, akhirnya lebih mewah daripada anak tempatan yang telah berada turun-temurun di tanah sendiri dan akhirnya ada yang makan gaji dengan anak dagang! Cukup menjengkelkan buat PZ.

Jangan ditunding pula jari menyalahkan Melayu Kemboja tersebut mengaut kekayaan di tanah orang! Itulah rezeki bagi mereka yang tidak culas dan segan berusaha. Sedang anak tempatan hanyut dibuai mimpi, rasa complacent dalam zon selesa. Jangan pula diapi-apikan pula dengki dan hasad kesumat kepada Melayu Kemboja itu! Anak tempatan juga berupaya mewah seperti mereka jika sanggup berjerih payah. Tapi berapa ramai di kalangan anak tempatan yang punya kesedaran seperti itu. Mereka datang tanpa sebarang harta dan kini berbangga dengan Estima menjalar di jalan raya, sedang anak tempatan terus berlagak Mat Rempit dalam bodoh sombongnya dengan Honda C70 tua, itu pun bukan sendiri punya, tapi dipinjam dari si bapa!

Teringat PZ lirik lagu Warisan:

"Nenek moyang kaya raya,
tergadai seluruh harta benda,
kerana sengketa sesamalah kita,
bumi dipijak milik orang..."

Nukilan minda dan jiwa PZ untuk teman-teman sempena Hari Kebangsaan Ke-52...

1 comment:

Cikguiti said...

Askum PZ,
Petikan Berbunyi!

"Nenek moyang kaya raya,
tergadai seluruh harta benda,
kerana sengketa sesamalah kita,
bumi dipijak milik orang..."

Alangkah Indah Budi Bahasa yang dituturkan. Bagi terlupa Dari Perut Ibu Bangsa apa Yang kauherdik itu bangsamu jua . Sejuk sungguh Perut Ibumu Mengandungkan dikau yang menjarah bangsamu sendiri.

Agak tinggi jugak ilmu yang ditimba dimenara Gading tu yer. Disini Cikguiti nak berpesah usah diherdik bangsa ibu mu jika dirimu jua belum murtad bangsa Melayu.

Cikguiti, rasa biak kita kembali bentangkan apa yang dikau ada dan apa yang bangsa kemboja ada. Kita disuap dengan kesedihan bangsa Kemboja di Negara Mereka sedang mereka mengaut keuntungan di bumi Bangsa Melayu sedar lah PZ.

Bangsa Ku bukan sombong dan belagak tapi bangsa ku bangsa Merdeka dari pemikiran Murtad Bangsa Sendiri!.

Yang benar Cikguiti,
Kenali lah bangsa sendiri