Sunday, November 22, 2009

Pudar langit malam di Senai...

Dari Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail di Senai, Johor, jari-jemari PZ memasukkan catatan untuk entri kali ini. Beberapa hari berlalu tanpa sebarang khabar, saat menanti keberangkatan dengan pesawat AK5277 ke Kuala Lumpur sebentar lagi PZ manfaatkan untuk menziarahi laman ini.

Telah hampir tiga hari PZ bermusafir di bumi Darul Ta'zim ini, berjumpa orang itu dan ini dan menyelesaikan sesuatu di sana dan di sini. Penerbangan ke Kuala Lumpur pada malam ini memang pada asalnya tidak termasuk dalam rencana kelana PZ, namun satu panggilan telefon lewat petang Jumaat, 20 September memerlukan PZ melaraskan semula rencana kelana ini.

Pengalaman baru juga malam ini kerana inilah pertama kali PZ menggunakan khidmat AirAsia. Dengan tambang serendah RM99.00, PZ tidak berfikir panjang lagi untuk menyambung kelana ke Kuala Lumpur berbanding RM132.00 yang perlu PZ 'korbankan' sekiranya menggunakan perkhidmatan Kelas Pertama dengan tempat tidur Ekspres Senandung Malam Keretapi Tanah Melayu yang pastinya memakan masa yang lebih lama. Pengalaman 'ngeri' PZ menaiki perkhidmatan sama akhir Julai 2003 menyebabkan PZ terpaksa berfikir banyak kali sekiranya mahu berkelana dengan keretapi.

Selain membereskan beberapa perkara penting sepanjang tiga hari yang lepas, PZ turut menggunakan peluang ini untuk menyambung 'monolog' dan memuhasabah diri dalam beberapa hal dan ehwal yang terlalu penting dan pokok. Ternyata, tengkujuh yang awal mencurah pada tahun ini turut memaknakan beberapa perkara yang tersirat, sekaligus memerlukan perhatian segera yang bagi PZ, telah "no way out". Langit sepanjang tiga hari lepas juga berkecamuk dengan cuaca yang tidak menentu, lebat hujan yang berganti terik panas dalam masa yang singkat, dan begitulah jua sebaliknya.

Jauh di sudut hati kecil PZ, ada sesuatu yang belum beres sepenuhnya dan sekali lagi hambatan detik kembali mencengkam langit fikir dan lubuk jiwa. Benarlah, berkelana memberi kita masa dan kesempatan yang tidak sedikit untuk merenung, mengamati dan membuat pertimbangan. Lebih penting lagi, renungan, pengamatan dan pertimbangan kali ini perlu PZ soroti dengan mata hati serta sudut analisa yang amat mendalam.

Dalam keresahan itu, timbul juga kekhuatiran lain setelah mengamati perkembangan musibah banjir yang kembali melanda Pantai Timur Semenanjung. Saat PZ meninggalkan Pahang pada Jumaat lepas, air Sungai Pahang di Pekan ternyata telah berada pada paras yang agak membimbangkan. Ini mengingatkan PZ kepada peristiwa dua tahun lepas, di mana pada tahun 1997 daerah Pekan dilanda banjir yang amat teruk sehingga PZ sendiri terkandas di pejabat selama dua minggu, sekembali dari tugasan rasmi di Genting Highlands. Selama dua minggu tersebut, PZ tinggal di dalam kampus dengan sedikit bekalan pakaian yang dibawa semasa ke Genting Highlands.

Lebih nostalgik lagi, kerana peristiwa tersebut, PZ merayakan Eidul Adha 1428 Hijrah sebagai seorang sukarelawan banjir di atas sebuah bot nelayan yang disewa UMP untuk mengirim hampir satu tan bekalan makanan kepada staf UMP yang berada di Pekan. Hari-hari seterusnya dalam tempoh dua minggu tersebut menyaksikan PZ dan rakan-rakan siswa yang turut menjadi sukarelawan membantu pengurusan Pusat Perpindahan Mangsa Banjir di Kampung Batu Lapan, Lepar dan mengedarkan bekalan makanan daripada pusat pengumpulan di Paloh Hinai. Meredah air bah, memunggah barangan ke dalam lori dan makan ala kadar bersama rakan-rakan siswa yang lain, kenangan manis yang sukar PZ lakukan.

Ingin PZ lanjutkan lagi catatan ini kerana kelancaran ilham yang mencurah, namun panggilan untuk menaiki pesawat AK5277 memerlukan PZ akur untuk berhenti setakat ini dahulu. Pudar cahaya lapangan terbang yang sedang rancak diubahsuai ini mengiringi pemergian PZ...

Tuesday, November 17, 2009

"I have no respect for you"

Sambil memandu pulang dari pejabat lewat petang tadi, minda PZ melayang jauh mencari ilham untuk mengisi catatan di laman ini. Kilometer demi kilometer dilewati dan seusai solat fardhu Maghrib, PZ menyingkap helai demi helai halaman daripada buku England in Literature keluaran tahun 1979 dan diterbitkan oleh Scott, Foresman & Co. Sebuah judul yang menarik bagi teman-teman yang ingin mendalami sejarah dan perkembangan kesusasteraan Inggeris dari zaman pertengahan hingga zaman moden. Meneliti puisi-puisi Inggeris pasca 1915, lensa minda PZ tertarik untuk menyorot sebuah karya tahun 1937 nukilan Stevie Smith:

No Respect

I have no respect for you
For you would not tell the truth about your grief
But laughed at it
When the first pang was past
And made it a thing of nothing.
You said
That what had been
Had never been
That what was
Was not;
You have a light mind
And a coward's soul.

Membedah pengertian di sebalik puisi ini, PZ teringat kata-kata K. Bali, seorang penulis veteran dari Sabah dalam sebuah karyanya. Menurut beliau, "Dalam masyarakat binatang, tidak ada manusia; tetapi dalam masyarakat manusia, ada binatang jalang." Zahirnya kita semua sama fizikalnya, secara asasnya punya kepala, mata, telinga, mulut, tangan dan kaki. Dalam persamaan fizikal itu, tidak siapa bisa menduga apa yang tersirat dalam hati seseorang, baik atau buruk niat, jahat atau mulia perasaan.

"You have a light mind, and a coward's soul", kata Smith dalam puisi di atas. Teringat pula PZ pada peribahasa Melayu, "baling batu sembunyi tangan" dan simpulan bahasa "tikam belakang". Sejarah tamadun manusia dari dahulu hingga kini banyak dilatari oleh peristiwa-peristiwa sebegini, ada yang kita mungkin ingat, tapi lebih banyak yang telah kita lupakan. Sebab itulah sejarah kerap berulang, kerana kita jarang mengambil iktibar dari peristiwa dan tamsilan silam. Kejatuhan empayar dan tokoh seringkali diwarnai oleh penipuan dan pengkhianatan dari dalam. Salah seorang Bendahara yang paling masyhur semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Tun Mutahir terpaksa mengakhiri hayatnya di hujung mata keris kerana menjadi mangsa fitnah dan kedengkian Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hasan. Pengkhianatan Sang Rajuna Tapa pula telah menyebabkan kejatuhan Temasik (Singapura kuno) di tangan Majapahit dengan membuka kunci kota Temasik dari dalam.

Sejarah tetap berulang dalam zaman serba canggih ini. Cuma latar tempat dan suasananya sahaja yang berbeza. Temanya tetap sama - hasad dan dengki yang membenihkan fitnah dan seterusnya membiakkan perseteruan atau perbuatan yang memudaratkan. Kadangkala terlintas juga di laman minda PZ bahawa today's world has no place for those who are kind and sincere. Barangkali teman-teman pernah mendengar, dan PZ sendiri pernah melihat dan merasai pedihnya permainan keji seperti ini. Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercayai orang yang khianat, dan akan dituduh khianat orang yang boleh  dipercayai..." (Riwayat Ibn Majah)

Bibirnya mengorak senyum, tetapi hati berselirat ranjau. Persaingan di tempat kerja di sesetengah sektor pada zaman ini tidak lagi didasarkan kepada keupayaan sebenar, kompetensi, pencapaian dan potensi, tetapi semata-mata berpaksikan puak, proksi dan kepentingan peribadi. Situasi sebegini hanya menguntungkan mereka yang bijak mengampu dan bercakap besar, walau hasil kerjanya tidak seberapa, sedang yang bertungkus-lumus tanpa berkira sebarang dan tiada kepentingan peribadi seringkali terpelanting ke tepi. Ini adalah hakikat dan kebenarannya amatlah pahit untuk ditelan, apatah lagi jika penyakit ini melanda menara gading sebagai gedung ilmu pengetahuan. Bagaimanakah bisa kita melahirkan generasi yang punya personaliti menjulang jika jiwa pemain-pemain dalam pelbagai segmen di gedung ilmu itu sendiri bersalut serakah niat, buruk sangka, negatif terhadap anjakan paradigma serta culas menerima perubahan?

Susah melihat orang lain senang dan senang melihat orang lain susah. Ini satu lagi penyakit yang begitu berbahaya bagi sesuatu organisasi. Lazimnya penyakit ini menjangkiti mereka yang merasakan diri telah begitu senior, mempertahankan status quo secara membuta-tuli dan menganggap orang muda atau idea baharu sebagai suatu ancaman. Satu lagi indikator mereka yang dijangkiti penyakit ini ialah mereka sukar menerima pandangan orang lain, menganggap dirinya sahajalah yang betul dalam semua perkara dan dengan mudah memperlekehkan orang lain. Dalam perkataan lain, takabbur! Penyakit yang dibawa oleh golongan inilah yang kerap kali membantutkan perkembangan dan kemajuan sesuatu organisasi. Lebih menjelikkan, mereka sanggup mensabotaj sebarang inisiatif penghijrahan dan tranformasi yang menambah nilai terhadap upaya perkhidmatan dan governan sesuatu organisasi. Jadi, bagaimanakah kita bisa maju ke hadapan?

Pengampu, pengipas dan penjilat. Satu lagi golongan yang bernanah jiwanya dan sering berlegar-legar dalam organisasi. Kelompok oportunis ini punya matlamat yang tersendiri dan mengaut laba peribadi daripada lakonan mereka ibarat ketoprak dalam wayang kulit Jawa. Kepimpinan baharu dijulang, diangkat, dipuja dan dipuji tanpa sebarang cela. Segala kata kepimpinan disokong dan disorak seolah tiada salahnya dan perlahan-lahan pesakit-pesakit jiwa ini menusukkan jarum hasutan dan fitnah dengan mengemukakan pelbagai babak dan adegan yang skripnya direka-reka terlebih dahulu.

Pernah juga PZ saksikan kehebatan wayang yang dimainkan golongan ini. Apabila laba peribadi yang dicari tidak tercapai atau apabila niat petualang mereka dihidu oleh yang diampu, dikipas dan dijilat, para pesakit jiwa ini tidak teragak-agak memasang perangkap fitnah dan mencari seribu alasan untuk menjerat kepimpinan yang pernah diampu, dikipas dan dijilat itu. "Hubaya, hubaya!", antara seruan yang pernah diungkap Allahyarham Dato' Onn; berjaga-jagalah teman-teman kerana golongan ini amat licik, mendukung pelbagai pangkat dan watak serta membawa pelbagai peranan. Banyak sekali pembawa penyakit ini berselindung di sebalik aktiviti dan pertubuhan yang memperlihatkan populariti dan caringnya mereka, melalui cara inilah penyakit jiwa mereka dinanahkan pada orang lain tanpa sedar atau tidak. Ada yang terjerat dalam permainan licik ini akhirnya mandul untuk berbuat apa-apa kerana telah terhutang budi dengan 'jasa' golongan ini. Ada lagi yang lebih pengecut dan takut hilang pengaruh, kedudukan dan populariti, memilih untuk play safe. Inilah orang-orangnya yang meruntuhkan ketinggian nilai sebuah menara gading dan menggadaikan prinsip dan maruah demi menjaga kepentingan peribadi. Rugi, amat rugi.

Sedih sekali fenomena ini. Golongan pengampu, pengipas dan penjilat ini seolah-olahnya mengkasadkan bahawa rezeki, kenaikan pangkat dan laba duniawi datang daripada orang besar-besar yang diampu, dikipas dan dijilat itu. Semudah itu kasad dan sangkaan mereka, dan semudah itu jugalah mereka tidak takut untuk mensyirikkan Allah Taala kerana beranggapan bahawa dengan mengampu, mengipas dan menjilat manusia, mereka akan mendapat rezeki. Mereka lupa bahawa Allah Taala itulah Maha Pemberi Rezeki. Jangan teman-teman terperanjat pula, pesakit-pesakit jiwa ini ada dalam kalangan 'bijak pandai', berjawatan besar, nampak warak dan petah berbicara. Kenangkanlah sabda Rasululullah SAW, "Tanda orang munafik itu tiga; apabila berbicara ia dusta, apabila diberi amanah ia khianat dan apabila berjanji ia mungkir."

Dalam hadith yang lain pula Baginda mengingatkan: "Akan timbul pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang diperbuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan jahat). Allah Taala berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Atau apakah terlampau berani berbohong kepadaKu? Demi KebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)."  (Riwayat Tirmidzi)

Buat golongan ini, sepertimana yang dinukilkan oleh Stevie Smith dalam puisi pada awal catatan ini, PZ katakan: I have no respect for you!
 

Monday, November 16, 2009

Sudah-sudahlah!






Governan politik adalah asas dalam kehidupan bernegara.
Namun, governan yang terlalu dipengaruhi permainan politik
tidak menguntungkan rakyat yang sepatutnya mendapat
keutamaan untuk dibela.
Akhirnya masalah asas rakyat tidak pernah selesai walaupun pilihanraya datang silih berganti.
Rakaman lensa PZ di Mumbai, India. Januari 2009.

Pelik juga melihat ragam musim tengkujuh kali ini. Lebat hujannya sehingga berlaku banjir dalam tempoh singkat, dan di celah lebat hujan itu terik panasnya begitu membahang dan membakar. Cuaca pun tidak dapat diramalkan dengan tepat sangat, barangkali impak daripada perubahan iklim dunia dan ketidakstabilan alam. Pastinya fenomena ini merupakan peringatan kepada kita bahawa usia dunia kian mendekati penghujungnya.

Sesuatu yang jarang PZ lakukan, petang Isnin ini PZ isi dengan 'monolog' di sebuah cawangan restoran KFC. Berbekalkan komputer riba dan Celcom Broadband, PZ selesaikan beberapa kerja tertangguh, menikmati makanan dari pakej JomJimat KFC dan seterusnya mengemaskini Perantauzaman. Cuaca baik di luar, tetapi kedinginan dalam restoran KFC ini begitu menyengat dan mengganggu.

Mutakhir ini menyaksikan pelbagai kontroversi dan isu mewarnai arena politik tanah air. Bagaikan tiada sudah-sudahnya, masalah demi masalah terus melanda orang-orang politik, baik dari parti yang memerintah mahupun parti yang membangkang. Dari isu-isu yang besar hinggalah kepada yang remeh-temeh dan hampir tiada nilai, begitulah warna politik Malaysia. Tidaklah perlu untuk PZ perincikan isu-isu yang hangat dipublisitikan kini, teman-teman bolehlah rujuk di media massa.

Minggu lepas, dalam Facebook, PZ lontarkan soalan "Are our politicians serving the people sincerely?" . Sengaja PZ ajukan persoalan tersebut untuk meninjau respon teman-teman dan sejauh manakah kepekaan teman-teman dalam meneliti prestasi para ahli politik kita. Minda sinis PZ kadangkala menganggap bahawa segelintir (mungkin juga kebanyakan!) ahli politik kita lebih mengutamakan soal pengaruh dan publisiti berbanding tugas utama mereka untuk berkhidmat kepada rakyat. Dalam konteks ini, komentar PZ adalah seimbang untuk semua pihak, baik yang memerintah atau yang membangkang.

Senario politik pasca 8 Mac 2008 telah dimaklumi benar sangat merubah lanskap semasa tanah air. Pilihanraya telah berlangsung dengan baik dan rakyat telah membuat pilihan dengan bebas. Cukup setakat itu. Tumpuan selepas itu seharusnya dipusatkan kepada pemberian khidmat kepada rakyat berbanding terus-terusan berpolitik dan berseteru antara parti dan puak seolah-olahnya pilihanraya masih berjalan. Tahun 2010 yang akan datang mengemukakan fasa yang cukup mencabar dalam pengurusan kewangan tanah air berikutan krisis ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya. Justeru, dalam suasana yang mencabar ini, kebajikan rakyat terbanyak perlu mengisi agenda utama setiap ahli politik dan parti-parti yang mereka dukungi, baik yang memerintah atau yang membangkang.

Dalam keadaan di mana ramai rakyat yang tertekan kesan kenaikan kos sara hidup, harga barangan dan kelembapan pasaran kerja, satu mekanisme perlu disepakati untuk menangani kemelut ini. PZ percaya terdapat ramai bijak pandai dalam parti-parti politik di negara ini dengan kelulusan dan kelayakan berjela-jela dan kepetahan lidah berpidato yang PZ harap bukan sekadar retorik.

Perseteruan atas pentas politik tidak seharusnya melarat kepada situasi yang menjejaskan kepentingan dan hasrat rakyat. Dalam kita sibuk berpolemik tentang soal membentuk minda kelas pertama, PZ berpandangan bahawa yang perlu dibentuk terlebih dahulu ialah minda ahli-ahli politik kita. Untuk sekali dua mungkin massa seronok membaca isu-isu politik yang kontroversial, tapi sekiranya hal yang sama dihidang setiap hari, rakyat akan menjadi bosan dan muak. Secara tegasnya PZ berpendapat bahawa perlu wujud satu kesedaran (will) tinggi dan tenaga baharu yang berupaya mengkonsolidasi ahli-ahli politik dari pelbagai aliran, lapisan, segmen dan fahaman untuk duduk bersama dan berbuat sesuatu untuk manfaat rakyat BUKAN atas tiket dan publisiti politik, sebaliknya atas PRINSIP KHIDMAT yang sepatutnya mendasari tindak-tanduk setiap ahli politik.

Mengheret rakyat dan negara dalam perseteruan politik yang tidak berkesudahan hanya menguntungkan segolongan oportunis yang mencari political milleage. Ahli-ahli politik sibuk bercakaran dalam soal perebutan kuasa dalam parti, mencantas bakat muda yang meningkat naik, melobi kontrak dan projek, berhimpun bersama juak-juak di warung jalanan atau coffee house, dan lain-lain aktiviti yang jarang sekali menggambarkan keikhlasan niat dan ketulenan khidmat mereka kepada rakyat.

Dalam kesibukan percakaran dan perseteruan politik itu, rakyat jugalah yang menanggung rugi dan sengsara; pengurusan kutipan sampah yang tidak sistematik, kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa, penyelenggaraan perparitan dan pembetungan yang tidak teratur, lopak dan lubang di jalan tidak bertampal dan yang paling menyedihkan PZ, sesetengah perpustakaan dan pusat sumber di desa-desa kemiskinan bahan bacaan dan sumber rujukan, akhirnya tinggal nama dan bangunannya sahaja. lPersatuan dan kelab belia turut menjadi medan percaturan dan perebutan politik hingga akhirnya aktiviti belia lesu dan banyak 'mat-mat belia' dalam pertubuhan ini hanya syok sendiri. Anak muda terus merempit dan memekak di taman-taman perumahan hingga lewat malam, mana peranan pertubuhan belia? Perkara sekecil ini perlukah sampai Perdana Menteri atau Menteri Besar terpaksa campur tangan? Manakah penggerak-penggerak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung)? Sistem dan garis panduan telah elok tersedia di peringkat kerajaan, masalahnya ialah pelaksanaan oleh pemimpin di akar umbi.

Demikianlah, dalam soal-soal asas yang melibatkan kebajikan dan bina insan rakyat seperti ini, seharusnya politik ditolak ke tepi. Begitu juga di masjid-masjid, sepatutnya soal pembentukan minda, pengukuhan aqidah, peluasan dakwah dan pemantapan rohani mengisi agenda khutbah dan aktiviti tarbiyyah, bukan mencela dan memperlekeh, sudahlah kupasannya tidak akademik, diburukkan lagi dengan emosi dan sentimen kepartian melampau yang langsung tidak mencerminkan wibawa dan kesarjanaan.

Saranan PZ, janganlah semua perkara dipolitikkan. Sudah-sudahlah!

Saturday, November 14, 2009

Multum in parvo!


Sesuatu mungkin dilihat kosong tanpa sebarang makna
sedang sebenarnya mengandungi cerita yang tersirat.
Sekeping gambar biasa mungkin membawa sejuta pengertian.
Rakaman lensa PZ di Selancar, Rompin. Mac 2008.



Ingin PZ kongsi satu kes yang PZ kendalikan pada hari Rabu, 11 November yang baru lepas. Seorang siswi, yang memang langsung PZ tidak kenali, dengan ditemani seorang siswi lain, dan tanpa sebarang temujanji, serta dengan seribu tanda tanya di wajah, menanti untuk berjumpa PZ di pejabat pada tengah hari tersebut. Pada awalnya PZ memang agak terganggu, memandangkan PZ tidak diberitahu dahulu, dan kebetulan pula PZ baru selesai mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada sebelah paginya. Minda PZ telah diprogramkan untuk menyemak coretan minit dan dokumen lain berkaitan mesyuarat tersebut pada sebelah petang.

PZ terima kedua-dua siswi tersebut untuk satu perjumpaan singkat. Mendengar cerita yang menghantui pelajar tersebut dan kecelaruan yang dihadapinya kini, timbul rasa simpati dan ingin membantu. Siswi ini telah menjadi mangsa sindiket yang berselindung di sebalik promosi 'Privillege Card'. PZ tidaklah ingin menamakan syarikat yang mendalangi sindiket ini, tetapi siswi ini tertekan dengan 'tuntutan-tuntutan bayaran' daripada syarikat kad ini. Kerana terpedaya dengan pakej yang 'ditawarkan' termasuklah potongan harga tiket penerbangan, siswi ini yang berasal dari Sabah telah membayar sejumlah wang kepada seorang ejen kad ini ketika promosi di Kuantan Parade pada tahun 2006. Siswi ini telah diyakinkan oleh ejen ini bahawa bayaran yang telah dijelaskan itu adalah sekali sahaja tanpa sebarang caj lain.

Disangkakan kisah ini berhenti setakat itu sahaja, siswi ini terkejut besar menerima bil tuntutan daripada syarikat terbabit lewat minggu lalu yang menuntut baki bayaran yuran kad yang tertunggak. Tambah mencemaskan siswi ini, ejen syarikat ini membuat panggilan telefon dan mengancam untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya bayaran yang tertunggak tersebut tidak dijelaskan. Ejen syarikat tersebut juga cuba mendapatkan nombor telefon bapa siswi ini, tetapi tidak dilayan.

Simpati dan kasihan. Pelajar ini telah terdesak untuk memohon bantuan dan seperti biasa PZ berikan nasihat undang-undang sebagaimana yang  diminta. PZ berhasil melayari laman sesawang syarikat terbabit dan PZ dapati laman tersebut telah lebih setahun tidak dikemaskini. Bentuk perniagaannya juga meragukan dan PZ percaya ini adalah salah satu daripada banyak pemangsa yang mensasarkan golongan pelajar dan orang yang tidak faham untuk mendapatkan wang segera.

Pelajar ini PZ bantu untuk menghubungi pusat aduan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur dan Alhamdulillah, panggilan dijawab dan aduan siswi tersebut dilayan dengan baik sekali. Walaupun masih berdebar-debar, terpancar sedikit kelegaan pada wajah siswi itu dan pihak PPIM dan PZ sependapat menyarankan supaya beliau membuat satu laporan polis. Mana tahu, satu sindiket lagi dapat dibongkar!

Kebetulan pula, selesai aduan kepada PPIM, dan sebelum siswi tersebut permisi dari pejabat PZ, ejen syarikat tersebut sekali lagi menghubungi siswi itu dan kali ini PZ berjaya mencelah. Ejen tersebut gagal menjawab apabila ditanya nama firma guaman yang mewakili syarikatnya. Tuntutan saman tidaklah boleh dibuat dengan mudah tanpa bantuan firma guaman. Nyata sekali, ini SYARIKAT PENIPU!

Apa iktibar daripada kes ini?

1. Orang ramai, termasuklah pelajar janganlah mudah terpedaya dengan promosi kad diskaun, privillege card dan seumpamanya;

2. Jika telah mula was-was, lekas-lekas elakkan diri daripada didatangi oleh ejen kad;

3. Jangan tandatangani apa-apa dokumen kosong;

4. Jangan tandatangani apa-apa dokumen tanpa membaca isi kandungannya terlebih dahulu;

5. Berani mengatakan TIDAK!


Ini kali kedua dalam tempoh kurang sebulan, PZ mengendalikan dua aduan yang berkait rapat dengan kebajikan dan kesejahteraan pelajar. Walaupun tidak tertulis sebagai sebahagian tugas rasmi, namun PZ bantu atas dasar kemanusiaan, simpati dan tanggungjawab sebagai seorang staf Universiti ini.

Namun, sebagaimana yang PZ pernah utarakan dalam entri SRO sebelum ini, telah tibalah masanya untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) memperkasa dirinya dengan mewujudkan sistem pengurusan aduan yang teratur dan boleh dimanfaatkan oleh para pelajar. Entah bila agaknya pengwujudan jawatan SRO akan dipertimbangkan oleh pihak atasan, namun sesuatu yang proaktif perlu diilhamkan oleh para pimpinan pelajar kita untuk mengisi ruang kosong ini.

Memanglah, MPP tidak akan berupaya menyelesaikan masalah seumpama ini, tetapi organisasi utama pelajar ini perlu memperlihatkan peranannya sebagai medan saluran aduan dan masalah yang BOLEH DIPERCAYAI (trustworthy) oleh para pelajar kita. MPP perlu mewujudkan rangkaian kerjasama yang baik dengan organisasi pengguna seperti FOMCA, PPIM, Tribunal Tuntutan Pengguna dan seumpamanya bagi membolehkan aduan berkaitan dapat diuruskan dengan sempurna. Cuba bayangkan betapa tingginya impression pelajar dan massa sekiranya fungsi ini dapat diperanankan dengan berkesan oleh MPP. Selain mendekati tokoh-tokoh politik, MPP juga perlu mendekati tokoh-tokoh dan organisasi kepenggunaan supaya rangkaian kerjasama yang PZ nyatakan tadi dapat dimaknakan. Dalam sudut yang lain pula, pelajar akan melihat bahawa MPP mengutamakan agenda kebajikan dan pembelaan. PZ percaya, banyak lagi kes lain yang melibatkan pelajar kita selain dua kes yang PZ kendalikan ini. Jadi, act, do not just talk!

MULTUM IN PARVO. Frasa bahasa Latin yang membawa makna "banyak dalam sedikit" atau much in little. Satu inisiatif atau perbuatan yang mungkin melibatkan kos yang sedikit tetapi memberi impak besar. Itu lebih baik daripada berbelanja besar dan mewah atas sesuatu perkara, tetapi impaknya langsung tiada, atau jika adapun hanya memanfaatkan puak atau individu tertentu sahaja. Apa yang PZ sarankan dalam entri ini mungkin nampak remeh dan enteng di mata teman-teman, namun ingatlah bahawa dalam kita memikirkan yang besar-besar, perkara-perkara kecil jangan pula dikesampingkan kerana perkara-perkara kecil biasanya memberi impak kepada perkara yang lebih besar. Lebih-lebih lagi jika kita hanya beretorik terhadap perkara-perkara besar, sedangkan ada perkara-perkara kecil yang boleh diselesaikan dalam bidang keupayaan kita. Pendekatan seimbang dan menang-menang adalah amat penting dalam kepimpinan. Menjadi pemimpin jangan disalah niatkan untuk mencari publisiti dan populariti, tetapi hadirnya seseorang pemimpin adalah kerana amanah dan tanggungjawab.

Dalam satu ceramah mengenai kepimpinan, pernah PZ ingatkan pada sekumpulan pimpinan pelajar bahawa mereka perlu stand out from the crowd untuk mengemukakan gaya kepimpinan yang kreatif, praktikal dan tidak streotaip. Dalam zaman serba canggih ini, wibawa seorang pemimpin tidak lagi terpancar oleh hebatnya beliau berpidato semata-mata, tetapi lebih dilihat pada keberkesanan dan profesonalisme tindakannya. Dinamika tindakannya pula hendaklah merentasi generasi dan tidak hanya relevan untuk zamannya sahaja. Itulah tanda kebijaksanaan, wawasan dan jiwa besar seorang pemimpin.



  

Sunday, November 8, 2009

Habis gelap terbitlah terang...


Raden Adjeng Kartini (1879 - 1904).
Sesingkat hayatnya selama 25 tahun, puteri bangsawan Jepara ini
mencabar status quo zamannya dengan pelbagai idea pencerahan.
Dengan coretan penanya, wanita ini berjuang memperbaiki kondisi masyarakatnya
dengan daya kesarjanaan yang tinggi. Habis gelap terbitlah terang merupakan
antara karya Kartini yang paling berpengaruh
(Foto dipetik dari http://open-trace.net/)

Satu lagi hujung minggu yang mendung di sini. Musim tengkujuh mengiringi kehadiran November 2009. Hujan mula mencurah seawal 1 November dan tika entri ini ditulis pun, saudara-mara kita di Kelantan dan Terengganu sedang meranduk keruh air bah. Agak awal bah melanda tahun ini kerana seingat-ingat PZ, curahan hujan yang paling banyak ialah pada Disember dan lazimnnya bah akan hanya bermula pada pertengahan bulan tersebut. Walau apa pun, pastinya ada hikmah di sebalik tengkujuh yang begitu awal bermula ini. Hikmah, iktibar dan peringatan daripada Maha Pencipta supaya kita jangan lekas leka dan alpa.

Kekosongan jadual pada hujung minggu ini PZ isi dengan membedah beberapa buah karya. PZ selesaikan bacaan Sejarah Melayu dan kemudian meneliti biografi beberapa tokoh dengan tujuan mendapatkan ilham bagi entri kali ini. Peluang untuk membedah beberapa karya dalam satu hujung minggu jarang-jarang dapat PZ lakukan lantaran kesibukan tugas, namun minggu ini berhasil juga dibuat memandangkan pelajar-pelajar PZ mula menghadapi peperiksaan, maka tiada lagi nota kuliah yang perlu PZ sediakan.

Habis gelap terbitlah terang merupakan sebuah karya besar seorang wanita yang dinobatkan sebagai salah seorang Tokoh Nasional di Indonesia. Raden Adjeng Kartini (Kartini), nama yang mungkin kurang dikenali di Malaysia, tetapi cukup berpengaruh di Republik Indonesia. Nama Kartini di Malaysia hanya disebut secara ringkas dalam sukatan pelajaran Sejarah bagi SPM, sedang pada hakikatnya nama ini cukup besar di zamannya. Hebatnya Kartini, tarikh lahirnya pada 21 April 1879 diraikan saban tahun sebagai Hari Kartini yang merupakan cuti umum di Indonesia sejak tahun 1964. Wajahnya juga menghiasi salah satu not kertas matawang Rupiah Indonesia. Kisahnya juga diangkat ke layar perak melalui filem RA Kartini, arahan sutradara Sjumandjaya yang menggondol anugerah Piala Citra tahun 1983.
(Lihat bagaimana teman-teman kita di Indonesia mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh nasional melalui layar perak, tidak seperti di Malaysia, begitu sedikit filem sejarah yang dihasilkan, akhirnya filem yang sama diulang tayang setiap kali sambutan kemerdekaan. Indonesia mungkin miskin harta, tetapi kaya dengan keperibadian nasional, manakala kita mengaku kaya hasil ekonomi tetapi cukup miskin dengan apresiasi terhadap sejarah tanah air.)



Wajah Kartini diabadikan pada setem peringatan khas Republik Indonesia
sempena ulang tahun ke-100 kelahirannya.

PZ tergerak untuk berbicara mengenai Kartini atas tiga asas. Pertama, hayatnya yang singkat. Kedua, sumbangan besarnya terhadap idea pencerahan di Indonesia sewaktu hayatnya yang singkat itu. Ketiga, intelektualisme yang ada padanya, apatah lagi sebagai seorang wanita yang dilatari zaman imperialisme Belanda dan masyarakat yang kolot. Justeru bagi PZ, Kartini ialah ikon kesarjanaan seorang anak muda.

Dibesarkan dalam keluarga bangsawan di Jepara, Jawa, Kartini berpeluang menikmati kemudahan persekolahan sehingga usianya 12 tahun. Seorang gadis yang pintar, beliau menguasai bahasa Belanda
dengan baik sekali, satu kelebihan yang membolehkannya mendampingi karya-karya besar dalam bahasa tersebut yang turut memberi pengaruh dalam idea pencerahan beliau. Maka tidak hairanlah, belum pun usianya menjangkau 20 tahun, karya-karya seperti Max Haveelar, De Stille Kracht dan Die Waffen Nieder! yang mencakupi pelbagai tema, isu dan persoalan telah usai ditekuni Kartini. Pada waktu tersebut, Kartini belajar secara sendirian di rumah setelah tamat pendidikan formalnya. Adat yang diwarisi keluarganya memerlukan beliau di'istirehat'kan di rumah sebelum dikahwinkan.

Melalui surat-surat diutuskan kepada rakan-rakan penanya yang terdiri daripada pelbagai bangsa, Kartini menyuarakan protesnya terhadap adat-adat yang mengongkong, penyalahgunaan agama bagi tujuan politik serta idea penambahbaikan terhadap status sosial wanita dan masyarakat tempatan, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan seumpamanya. Idea-idea beliau tentang Zelf-ontwikkeling, Zelf-onderricht, Zelf-vertrouwen, Zelf-werkzaamheid dan Solidariteit didasarkan kepada aliran humanitarianisme dan nasionalisme.

Kepintaran dan intelektualisme beliau yang tinggi telah menarik perhatian pemerintah Belanda untuk mengirim Kartini dan adiknya Rukmini melanjutkan pengajian ke Batavia (kini Jakarta) dan ke Netherlands, satu impian yang dicita-citakannya selama ini, tetapi sayangnya tidak kesampaian kerana beberapa sebab. Perkahwinannya sebagai isteri keempat kepada Raden Adipati Joyodiningrat, seorang bangsawan wilayah Rembang di Jawa, merupakan salah satu sebabnya.

Kematian Kartini pada usia 25 tahun tanggal 3 September 1904 adalah satu kehilangan yang amat besar. Sesingkat usianya, ketokohan, kewibawaan dan kesarjanaan Kartini wajar diteladani generasi muda hari ini. PZ yakin, hatta para mahasiswa kita pun tidak dapat menandingi kehebatan minda Kartini, khususnya dalam aspek pembacaan, penerokaan ilmu dan pengembangan idea. Kartini tidak pernah belajar di mana-mana universiti, namun idea dan mindanya meninggalkan pengaruh yang tidak sedikit kepada kondisi sosial yang melatari zamannya. Seawal usia 20'an, Kartini telah dapat berbicara sebagai seorang yang berjiwa besar, khususnya dalam ehwal pendidikan, ekonomi dan politik. Berapa ramai kalangan mahasiswa kita yang menghuni 20 buah universiti awam yang dapat mencapai tahap ini?

Kiranya ada masa dan kesempatan, PZ kadangkala menonton juga program bual bicara Suara Siswa di TV1 setiap Selasa malam. Maaf, tapi terpaksa juga PZ katakan bahawa sangat sedikit dalam kalangan pimpinan mahasiswa yang diketengahkan dalam program tersebut yang berupaya berbicara atas idea yang tulen, wibawa yang tersendiri dan kesarjanaan yang tinggi. Kebanyakannya hanya beretorik, sekadar ikut-ikutan dan hanya tahu memetik mutiara kata daripada sumber itu dan ini TANPA sebarang idea baharu yang menggambarkan jiwa besar seorang mahasiswa.

Kadang-kadang PZ hampir tergelak melihat sesetengah pimpinan mahasiswa yang ditampilkan melalui program bual bicara tersebut 'buat-buat pandai' dengan membawa fakta yang diragui kesahihannya, mengemukakan ulasan dangkal, dan hanya bercakap dari sudut pandang tunggal, tanpa melihat aspek-aspek lain. Maka tidak hairanlah, kenapakah generasi mahasiswa hari ini amat lesu tanpa sebarang jenama yang boleh dibanggakan kerana mereka hanya selesa menjadi pengikut kepada 'jerung-jerung' politik di luar atau sekadar selesa bersukaria tanpa mempedulikan apa-apa, sedang kewajipan besar menanti mereka di lapangan masyarakat apabila bergraduat kelak.

Dengan ringkas kisah Kartini PZ paparkan dalam entri kali ini untuk membuka mata teman-teman mengenai keperluan untuk terus bermujahadah bagi meningkatkan tahap penguasaan ilmu dan pengetahuan. Semakin banyak kita membaca, belajar dan meneroka, semakin sedarlah kita bahawa betapa luasnya ilmu Allah dan betapa kerdilnya kita. Kepada para mahasiswa, papara dalam entri ini adalah satu cabaran untuk ada bermuhasabah. Apakah anda sebenarnya layak berada di tempat pengajian kini atau sebenarnya anda telah mengambil tempat orang lain yang lebih layak?

Menutup entri ini, PZ teringat kata-kata Kartini, "agama sepatutnya melindungi kita daripada melakukan dosa, tetapi ramai orang melakukan dosa atas nama agama."   Mesej tajam dalam petikan kata-kata ini tepat berkait dengan realiti semasa di Malaysia pada hari ini. Ya, politik murahan dan kampungan yang cukup memualkan. Mahasiswa sekalian, bangkitlah sebagai cendekiawan untuk menambahbaik bangsamu, jangan biarkan 'jerung-jerung' politik memamah rakus masa depan tanah air!


p/s: PZ syorkan teman-teman untuk mengikuti kisah hidup Kartini dalam filem RA Kartini yang ada dimuatnaik di Youtube dalam 18 bahagian. Selamat menonton!

Saturday, November 7, 2009

Monolog Senja

Senjakala
Merah langit ditabiri mega
Seperjalanan hari
dan suria kembali mendakap peraduannya.

Senjakala
Kelam cahaya di sebalik suram gemawan
Kala tengkujuh datang menyiram musim
Maka hari tak seceria biasa.

Seperjalanan hari
Saat fajar tersenyum di langit dinihari
Pagi menjelang dan petang menggelincir suria
Dari teduh hingga rembang hari
Tiada terjawab jua persoalan.

Ternoktahkah ia
atau kelak bersambut jawabnya
Perkiraan masa rumit menghisab.

Seperjalanan hari
Hanya mampu merakam kata dan frasa
Tanpa suara, tinggal sepi di dalam jiwa.

Akhir hari di senjakala
Sendirian memerhati langit menutup tirai hari
Dan esok fajar kan menyinsing kembali
Bersisakah lagi harapan semalam?

Thursday, November 5, 2009

Manakan mungkin bangsaku maju jika...

Telah hampir seminggu November 2009 kita lewati. Maknanya, semakin dekatlah juga penghujung tahun 2009 sebelum menjelma tahun baharu 2010. Usia akan berganti dan semakin singkatlah lagi baki yang bersisa sebelum Izrail mencabut nyawa.

Menelaah koleksi yang tersimpan di perpustakaan mini PZ, buku Sejarah Melayu (versi Shellabear) karya Tun Seri Lanang menarik lensa analisa PZ pada tengah hari Khamis yang redup ini. Penuh dengan pelbagai ceritera berlatar zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan dihiasi Bahasa Melayu klasik yang indah tersusun, karya besar ini memiliki 'jiwa' yang tersendiri.

Hasad, dengki dan benci. Penyakit jiwa yang membusuk dalam diri segelintir dalam kalangan kita. Tidak kira siapa, pekung hasad, dengki dan benci (HDB) boleh menjangkiti kalangan orang bawahan dan juga orang atasan. Malah, dalam perjalanan hidup PZ, pernah juga PZ saksikan kalangan orang-orang bergelar 'cendekiawan' dan 'agamawan' dihinggapi kudis HDB.

Persaingan di tempat kerja untuk mendapat tempat, pangkat dan kedudukan, perebutan cinta dan inginkan perhatian adalah situasi-situasi yang mempercepatkan lagi penularan penyakit ini. Maka tidak hairanlah, ada yang sanggup 'berhantu-hantuan', 'bersantau-sauntauan' dan 'bersihir-sihiran' apabila serakah HDB menggila dalam diri. Manakan mungkin bangsa PZ maju jika sesama bangsa sendiri pun sanggup bercantas-cantasan apabila merasakan kepentingan diri dan kroni digugat, terancam dengan perubahan dan transformasi dan yang paling menyedihkan PZ, takut melihat orang muda lebih pandai. Manakan mungkin bangsa PZ bisa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan megah bermartabat sekiranya bangsa PZ terus senang melihat orang lain susah dan susah melihat orang lain senang. Sungguh rendah akal budi dan jelek sekali!

Berbalik kepada perbicaraan kita tentang Sejarah Melayu, suka PZ perturunkan sedikit petikan daripada karya tersebut mengenai rentetan peristiwa yang membawa kepada Kesultanan Melayu Melaka. Sayang sekali, Kesultanan agung yang punya kuasa dagang yang besar hingga dikatakan oleh sarjana Tom Pires sebagai setaraf dengan Venice akhirnya lenyap akibat pengkhianatan yang bermula dari dalam. Sejarah bukan sekadar riwayat lapuk. Sejarah akan berulang. Hanya yang menekuni sejarah lampau dengan mata dan jiwa yang celik akan memahami apa yang PZ maksudkan. Kebejatan dan kegawatan sosial dan politik yang berlaku dapat diredakan sekiranya sejarah dihargai dan tidak dilacurkan sesuka hati.

(akan bersambung)

Saturday, October 31, 2009

SRO


PZ bersama delegasi Majlis Tatatertib & Disiplin
Universiti Malaysia (MATDUM) berpeluang berdialog
bersama Student Rights Officer (SRO) di Monash University
semasa lawatan rasmi ke sana.
Rakaman lensa PZ di Monash University, Melbourne, Australia.
Mei 2005.

Seminggu berlalu. Pejam celik mata, gelap cerah langit, turun naik matahari. Peredaran masa menghambat kita dengan pelbagai perkara dan cerita. Minggu ini menyaksikan kotak fikir PZ dihimpit dengan pelbagai persoalan yang akhirnya membawa kepada STRES! Saat entri Warna apakah yang mendasari hari? terpapar di blog ini, PZ ditujah bertalu-talu dengan pertanyaan dari teman-teman. Biarlah PZ simpan sendiri 'kedalaman' maksud yang tersirat di sebalik puisi tersebut dan terima kasih kepada teman-teman yang prihatin.

Walaupun tertekan dengan hal-hal yang PZ nyatakan tadi, namun kerja tetap berjalan seperti biasa. Berulang-alik menghadiri mesyuarat, menyemak draf dan fail, memenuhi temujanji dan lain-lain. Rutin yang perlu dijalankan sebagai penjawat awam.

Ada satu peristiwa yang menarik fokus lensa analisa PZ untuk minggu ini. Mungkin kerana telah terlalu terdesak atau hampir putus asa agaknya, PZ telah didatangi oleh sekumpulan pelajar awal baru-baru ini. Hanya seorang dari kumpulan tersebut yang PZ kenali. Kisahnya, salah seorang dari kumpulan tersebut telah mendapati salah satu dari subjek yang perlu diduduki untuk peperiksaan akhir semester tidak lama lagi telah digugurkan tanpa pengetahuannya. Sebaik mengetahui, keadaan telah semakin suntuk dan turun naiknya pelajar ini di beberapa pejabat yang berkaitan seolah-olahnya tiada dilayan. Lebih menggusarkan lagi apabila subjek ini merupakan pre-requisite  kepada beberapa subjek lain semester depan. Bagaimanakah subjek tersebut telah digugurkan tanpa pengetahuannya? Kesilapan sistem barangkali? Unauthorized access? PZ timbangkan pelbagai kemungkinan, namun walau apapun kisah di sebaliknya, pelajar ini perlu PZ bantu. PZ menasihatkan pelajar ini untuk membuat surat rayuan kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) bagi mendapatkan budi bicara beliau dalam masalah ini, dan surat tersebut disalinkan kepada beberapa individu lain, termasuklah Naib Canselor. Ini penting bagi memastikan masalah pelajar ini 'dilayan' dengan terhormat. (Kerana seringkali staf mahu pelajar menghormati mereka, tetapi mereka tidak pula melayan pelajar dengan hormat!)

Alhamdulillah, PZ menerima satu mesej pesanan ringkas daripada pelajar ini bahawa segala masalahnya telah diselesaikan dengan baik dan dia boleh menduduki peperiksaan dengan tenang. Syukur pada Allah Taala!

Meneliti insiden ini, PZ terfikir-fikir, bagaimanakah boleh kita mantapkan sistem pengurusan aduan oleh para pelajar? Ini termasuklah penyediaan khidmat nasihat, bimbingan dan runding cara kepada pelajar-pelajar yang menghadapi masalah dengan pihak pentadbiran dan seumpamanya.

Student Rights Officer atau SRO. Istilah ini mula PZ kenali semasa lawatan PZ ke Monash University di Melbourne, Australia pada Mei 2005. Enam buah universiti awam telah PZ singgahi sepanjang 12 hari musafir PZ di Australia. University of New Soth Wales dan University of Sydney di Negeri New South Wales, University of Canberra dan National University of Australia di Wilayah Ibukota Australia serta University of Melbourne dan Monash University di Negeri Victoria. Setiap universiti ini punya kekuatan masing-masing, dan bagi PZ, Monash punya sistem pengurusan pelajar yang cukup baik.

SRO adalah seorang pegawai yang dilantik oleh Monash untuk memberi bimbingan dan menasihatkan pelajar sekiranya hak-hak pelajar tersebut dicabuli oleh mana-mana pihak di dalam atau di luar kampus. Contohnya, jika seorang pelajar mendapati bahawa beliau telah dikeluarkan dari asrama hanya kerana ideologi politiknya, sedangkan itu bukanlah suatu kesalahan di sebuah negara demokrasi, maka pelajar ini boleh mendapatkan bantuan SRO. SRO akan meneliti aduan pelajar ini dan melakukan apa yang perlu sekiranya aduan tersebut sahih dan bukan diada-adakan. Semasa di Monash, PZ telah berpeluang berdialog dengan SRO yang dilantik dan pelbagai isu telah kami  bicarakan.

Sistem SRO yang diwujudkan akan mampu merapatkan jurang yang terbina atau kadangkala 'sengaja' diada-adakan antara pentadbiran dan pelajar. Pelajar yang terkilan (aggrieved) kerana sesuatu tindakan daripada pihak pentadbiran berhasil mendapatkan khidmat nasihat yang betul dari SRO yang dilantik, apatah lagi jika melibatkan isu-isu undang-undang.

PZ akui, ada segelintir pelajar yang hanya tahu meluaskan mulut untuk bersuara tentang hak dan kebebasan tetapi tidak disandarkan atas kerangka fakta, perundangan dan realiti, tetapi sekadar beremosi dan mencari populariti. Hal ini tentu sekali merumitkan lagi hubungan antara mereka dengan pihak pentadbiran yang kebiasaannya berakhir dengan perbuatan-perbuatan provokatif dan pendekatan agresif. Ini bukanlah watak mahasiswa yang berkesarjanaan dan berwibawa. Keadaan ini hanya akan menjadi modal kepada pihak yang satu lagi untuk terus memandang kecil suara dan peranan mahasiswa.

Justeru, sekiranya SRO dapat diperanankan dalam erti kata yang sebenarnya, para pimpinan pelajar dan kalangan pelajar berupaya dipandu untuk menyuarakan rasa hati, permasalahan dan isu secara yang lebih profesional dan menggambarkan wibawa intelektualisme mereka. Maka, tidaklah timbul lagi soal penyediaan memorandum itu dan ini yang bombastik ayat-ayatnya tetapi hanya mengandungi retorik dan 'awta' tanpa sebarang cadangan yang konstruktif dalam bahasa yang lebih 'bertamadun'. Lebih dari itu, pengwujudan SRO akan dapat mengurangkan atau terus melenyapkan kebergantungan segelintir kelompok mahasiswa terhadap Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) atau parti-parti politik untuk menjadi penyambung suara mereka. PZ sentiasa percaya bahawa mahasiswa perlu mengambil tahu tentang politik, namun PZ tidak bersetuju jika mahasiswa menjadi kuda tunggangan mana-mana parti politik. Orang-orang politik sepatutnya menyegani kewujudan universiti sebagai gedung ilmu.

Jika kita mahu mewujudkan suasana menang-menang di kampus antara pihak pentadbiran dan pelajar, maka SRO adalah salah satu alternatif yang wajar dipertimbangkan. Apalah maknanya membuat lawatan ke sana-sini di seluruh dunia saban tahun jika tiada sebarang penambahbaikan dibuat terhadap pengurusan pelajar kita.

Sunday, October 25, 2009

Warna apakah yang mendasari hari?

Warna apakah yang mendasari hari
Saat terbit suria hingga peraduan senjanya...

Warna apakah yang mendasari hari
Tika sunyi hingga hingar mengganti...

Warna apakah yang mendasari hari
Kala damai hingga sengketa melanda...

Celaru jiwa dihambat badai keliru
Apakah tersalah arah hingga khilaf percaturan?

Tempoh getir dilewati tiada teratur langkahnya lagi
Kunci jawapan tak terjejak jua...

Kelam hari dibayangi pudar paparan silam
Memendam rasa dalam cangkir peristiwa...

Apakah telah pernah terduga?
Apakah igauan cuma?

Rangkap dan bait membarisi luahan rasa
Bercambahkah lagi harapan?

Saban hari dilewati serba ketakpastian
Warna apakah yang mendasari hari?

Saturday, October 24, 2009

Ketam yang mengajar anaknya berjalan betul...


Jadilah seperti pokok yang rendang di mana yang lain boleh
menumpang teduhnya. Bukan seperti dedalu yang menyambung hidup
atas usaha orang lain.
Rakaman lensa PZ di Tasik Banding, Perak. Oktober 2007.

Dalam kedamaian malam di Bandar Muadzam Shah, Pahang, PZ mencari-cari ilham untuk dikongsi bersama teman-teman untuk entri kali ini. Berhujung minggu di pekan kecil ini mula menjadi kelaziman buat PZ sejak akhir-akhir ini setelah penukaran status peribadi PZ. Kebiasaannya, setiap kali di sini, rutin PZ diisi dengan memenuhi undangan ke majlis kenduri, menziarahi saudara-mara dan lain-lain. Ya, satu citra baharu dalam kehidupan peribadi PZ. Perkara yang sebelum ini bukan menjadi kelaziman dan agak mengambil masa untuk berakar umbi dalam diri.

Jadual PZ di pejabat semalam turut diisi dengan jemputan untuk menyampaikan ceramah "Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam" dalam Kursus Induksi untuk kakitangan Kumpulan Sokongan 2 dan 3. Dalam konteks perkhidmatan awam, Kumpulan Sokongan 2 dan 3 merujuk kepada kakitangan yang berada dalam gred 1 hingga 17 iaitu yang memiliki kelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebenarnya, tajuk ceramah ini telah diperuntukkan untuk PZ setiap kali berlangsungnya kursus induksi, baik untuk Kumpulan Pengurusan & Profesional mahu pun Kumpulan Sokongan sejak dua tahun yang lepas. Tajuknya lebih bersifat umum, dan lazimnya akan PZ bicarakan dan kembangkan berdasarkan isu-isu semasa dan kajian kes-kes yang pernah PZ kendalikan di institusi ini. Matlamatnya jelas - para peserta haruslah mampu menghayati prinsip akauntibiliti, integriti dan ketelusan untuk diterjemahkan dalam gerak kerja dan tindak tanduk mereka sebagai penjawat awam.

Dalam derai tawa, PZ membuat penegasan kepada para peserta semalam bahawa berkhidmat di institusi pendidikan seumpama Universiti ini adalah berbeza sekali dengan berkhidmat di jabatan atau agensi kerajaan yang lain. Semasa PZ berkhidmat di Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dulu, norma dan suasananya mudah. Bertertib sebagai seorang penjaway awam antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan tiada siapa yang akan ambil pusing selepas kita punch out pada jam 5.00 petang.

Di Universiti ini dan institusi pendidikan lain, warga kerjanya punya tanggungjawab yang lebih berat - menunjukkan teladan  yang baik pada setiap masa. Kenapa? Kerana di sini kita ada PELAJAR yang sentiasa memerhati gelagat kita. Baik teladan yang ditunjukkan, maka baiklah penerimaan oleh para pelajar dan buruk perangai yang diperlihatkan, maka buruklah rupa diri dan tertib para pelajar.

Ramai warga kerja yang seringkali alpa akan hakikat ini. Kalau tidak, masakan sehingga mengundang teguran tajam daripada Naib Canselor Universiti ini dalam perutusan tahunannya awal tahun ini! Agak mengecewakan, sikap yang sama masih diperlihatkan walaupun telah ditegur. Betullah, Melayu mudah lupa. Apakah bentuk generasi mahasiswa yang ingin kita bentuk sekiranya warga kerja sendiri gagal menzahirkan wibawa dan kesarjanaan yang dapat disegani?

Zaman telah berubah, dan bersama-samanya, aliran pemikiran juga telah jauh berbeza. Mahasiswa kini lebih kritis, justeru amat reaktif dan tidak mudah reseptif terhadap sesuatu perkara yang mengisi ruang pandangan mereka. Dengan 'bisa' yang ada pada media ketiga, seperti blog, mahasiswa akan menyuarakan pandangan mereka secara terus dan langsung, sebagaimana apa yang PZ lakukan kini. Warga kerja Universiti pula perlulah memahami rupa audien yang mereka hadapi sebagai pelanggan pada hari ini. Universiti bukanlah sekolah, di mana pelajar boleh dimarahi, diperlekeh atau diperolokk-olokkan tanpa sebarang sebab yang munasabah. Berdasarkan pemerhatian PZ, apabila ada staf yang mengeluh bahawa pelajar kini amat berlagak dan tak makan saman, jawapannya kembali semula kepada sikap yang ditunjukkan oleh segelintir warga kerja Universiti ini. Manakan tidak pelajar jadi tidak makan saman jika mereka sendiri melihat staf sewenang-wenangnya melanggar undang-undang sesuka hati? Memarkir kereta di sana sini, bukan di tempat yang sepatutnya, seolah-olahnya kampus ini sebuah lapangan pasar malam dan bukannya gedung ilmu.

Mahasiswa yang diperlihatkan dengan situasi dan suasana sebegini akan menzahirkan protes melalui tingkah laku dan gelagat mereka. Pernah PZ sentuh dalam entri Bimbing, Bukan Suruh! bahawa pelajar mengharapkan staf yang berupaya untuk turun padang bersama mereka, merasai susah senang yang dihadapi oleh pemegang taruh ini, bukan sekadar melaungkan arahan dari kamar pejabat dan kemudiannya menghentam pelajar atas kegagalan sesuatu projek atau program.

Barangkali ada yang beranggapan bahawa luahan pandangan PZ dalam entri ini bias kepada pelajar. PZ juga adalah staf dan PZ pernah menghadapi pelajar-pelajar yang lebih teruk bermasalah semasa mengendalikan kes-kes tatatertib pelajar dahulu. Pada masa yang sama, PZ juga adakah bekas mahasiswa yang pernah menghadapi zaman di mana aktivisme pelajar dibobrokkan dengan karenah yang bukan-bukan daripada pentadbiran. Sebagai mantan pimpinan pelajar, PZ amat memahami apa yang rakan-rakan mahasiswa rasai apabila hasil kerja tidak dihargai, apatah lagi diperkecil dan diperlekehkan.

Justeru, menerima tawaran untuk berkhidmat dengan sesebuah imstitusi pendidikan bermakna menerima tanggungjawab untuk menjadi ayah, ibu, abang, kakak, pembimbing dan sahabat kepada para pelajar, walau apapun jawatan yang kita sandang, dari Pembantu Am Rendah hinggalah Naib Canselor. Bukannya masuk bekerja di sini semata-mata untuk mencari ruang untuk memperkukuh kepentingan diri sehingga mengorbankan kewajipan untuk membina bakal peneraju negara masa hadapan.

Janganlah hendaknya kita menjadi seperti ketam yang mengajarnya anaknya berjalan betul.

Thursday, October 22, 2009

Cubaan, dugaan, cabaran...

Seminggu berlalu tanpa sebarang catatan bertamu di laman ini. Bukan kerana pudarnya minat atau kekeringan ilham, namun rentetan dugaan yang menimpa dalam tempoh seminggu yang lepas sejak catatan terakhir menyebabkan PZ sedikit celaru minggu ini.

Redha dengan suratan takdir, sehari selepas entri "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri", PZ terlibat dengan satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Kajang SILK pada 17 Oktober 2009. Mujurnya tiada calar luka hinggap di tubuh, namun PZ akur dengan kerosakan yang dialami kereta kerdil PZ. Impak kemalangan menyebabkan kereta PZ terdampar di atas longkang di bahu jalan selepas hilang kawalan semasa hujan renyai. PZ terima kejadian ini dengan tabah dan penuh syukur. Syukur kerana PZ selamat. Syukur kerana kejadian ini tidak berlaku di laluan sunyi. Syukur kerana melalui kejadian ini, PZ dapat bermuhasabah, meneropong jauh ke dalam lubuk hati serta menginsafi kekurangan diri ini.

Akibat kemalangan ini, terlantarlah kereta kerdil PZ di sebuah bengkel panel di Balakong untuk tempoh kurang lebih sebulan. Lebih dari itu, peristiwa ini mengajar PZ erti sebuah persahabatan. Pernah PZ nyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa perkara yang paling PZ cherish kala berkhidmat di institusi ini ialah saat bersama para pelajar PZ. Susah senang ditempuh seperti saudara kandung. Ya, para pelajar inilah yang turun padang menghulurkan khidmat ikhlas dan sukarela untuk majlis peribadi PZ 9 Oktober lalu walaupun PZ menjemput mereka sebagai tetamu. Seminggu selepas detik gembira itu, para pelajar itulah juga yang turun membantu kala PZ ditimpa kemalangan. Daripada urusan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, menumpangkan tempat tidur dan menghantar PZ pulang ke Pahang pada 17 dan 18 Oktober. Alhamdulillah, Allah Taala memberikan kemudahan kala PZ ditimpa kesulitan dengan adanya insan-insan mulia ini.

Walau apa pun, life goes on. Hanya ini yang dapat PZ coretkan saat ini. Pastinya ada hikmah di sebalik peristiwa ini...

Friday, October 16, 2009

"Perangai bergantung pada diri sendiri"



Hitam putih kehidupan, hala dan arah perjalanan, sendiri yang menentukan.
Untung nasib sempurna lancar jalannya, silap perhitungan terbabas ke jalan mati.
Rakaman lensa PZ di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor. Jun 2009.


Satu lagi hari Jumaat menjengah kehidupan PZ. Telah dua hari PZ kembali bertugas selepas bercuti panjang. Seperti yang dijangka, banyak kerja yang menanti untuk PZ selesaikan, khususnya kerja-kerja tulis menulis, karang mengarang, sunting menyunting dan lain-lain lagi. Apa yang pasti, PZ kembali menghadap rutin.

Tidak pernah pula PZ menyangka cuti panjang memberi impak psikologi terhadap prestasi dan produktiviti kerja kita. Alhamdulillah, berbanding semalam, PZ rasa lebih segar dan selesa mengusaikan tugasan. Walaupun tidaklah sampai melibatkan penggunaan tenaga dan keringat, cuma memerah idea dan mengharap curahan ilham dari kotak minda, secara ikhlas PZ hilang fokus tatkala mula bertugas semalam. Ada beberapa draf teks ucapan dan alu-aluan yang memerlukan sentuhan akhir PZ, namun sehingga petang, ilham dan idea yang dinanti tidak kesampaian. Pulang ke rumah dengan keletihan minda dan tidur seawal pukul 9.30 malam.

Ya, dalam entri yang lepas, PZ ada berkongsi dengan teman-teman mengenai Mahatma Gandhi dan pengalamaannya mencari dirinya yang sebenar melalui karyanya The Story of My Experience With Truth. PZ juga pernah menukilkan dalam blog ini bahawa jangan memanjakan diri sendiri adalah antara kaedah yang penting untuk meneroka peribadi dan personaliti. Biasakan diri dengan kesusahan, walaupun sebenarnya kita mampu, tetapi janganlah sampai menjadi kufur nikmat pula. Memanjakan diri sendiri hanya akan menyebabkan kita menjadi complacent dan akhirnya punya peribadi yang rapuh prinsip dan tiada pendirian, seperti lalang yang ditiup angin.

Semasa beliau mula tiba di London untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-undang, Gandhi menyangka bahawa beliau perlu bersikap dan bergaya seperti seorang Inggeris untuk membolehkannya hidup sempurna di sana. Mengikut saranan rakan-rakannya, Gandhi berbelanja besar untuk membolehkannya dipandang sebagai a civilized gentleman dan berperwatakan seperti seorang Inggeris. Dengan cara ini, Gandhi berharap dapat menemui kebenaran yang dicari-carinya. Beliau mendaftar untuk kelas tarian, belajar menggesek biola, membeli evening suit dan lain-lain. Semuanya melibatkan belanja yang tidak sedikit, dan tambah menyulitkan lagi keupayaan kewangannya. Kehidupan artificial ini tidak menyeronokkan buatnya dalam dalam buku tersebut beliau menulis:
I had not to spend a lifetime in England, I said to myself. What then the use of learning elocution? And how could dancing make a gentleman of me? The violin I could learn in India. I was student and ought to go on with my studies. I should qualify myself to join the Inns of Court. If my character made a gentleman of me, so much the better. Otherwise I should forego the ambition.

These and similar thoughts possessed me, and I expressed them in a letter which I addressed to the elocution teacher, requesting him to excuse me from further lessons. I had taken only two or three. I wrote similar letter to the dancing teacher, and went personally to the violin teacher with a request to dispose of the violin for any price it might fetch. She was rather friendly to  me, so I told her how I had discovered that I was pursuing a false idea. She encouraged me in the determination to make a complete change.



Petikan di atas sebenarnya berkait dengan self-discovery dan keutamaan (priorities) dalam kehidupan kita. Mencari diri kita yang sebenar menyedarkan kita mengenai persoalan adalah kita orang yang berprinsip atau ikut-ikutan. Membedah lanjut karya ini, yang mana akan PZ perturunkan pula dalam entri akan datang, akan membawa kita memahami bahawa perubahan datang dari dalam jiwa kita. Kata Pendeta Za'aba "Perangai bergantung kepada diri sendiri". Perubahan diri sesekali tidak boleh dipaksakan kerana ia akan menyebabkan seseorang hanya menipu dirinya sendiri dan berlakon di hadapan orang lain. Dalam hal ini, PZ sentiasa percaya pada prinsip be yourself.

Tuesday, October 13, 2009

Di celah dentuman guruh...


Musim tengkujuh. Langit muram, hujan mencurah, laut gelora.
Si nelayan termenung panjang kerana terhenti mata pencarian.
Rakaman lensa PZ di Tanjung Gosong, Pekan pada Disember 2007
sewaktu mengiringi Naib Canselor UMP meninjau keadaan banjir
besar di Pekan dan melawat mangsa banjir di sana.

Seingat-ingat PZ, cuaca begitu panas di bumi Pahang sejak dua minggu lepas. Panas yang amat terik dan merimaskan, seolah-olahnya seperti musim kemarau yang lazimnya melanda antara bulan Mac hingga Ogos. Oktober menyaksikan musim tengkujuh dengan angin monsun timur lautnya yang membawa hujan lebat hinggalah lewat Januari.

Telah hampir sembilan hari PZ bercuti, ya antara cuti yang paling panjang pernah PZ ambil sepanjang lima tahun perkhidmatan dengan kerajaan. Menyelesaikan apa yang perlu di sini sana, dan akhirnya termenung kosong apabila kebosanan mula melanda. Terlalu panjang cuti kali ini, dan pagi tadi PZ memandu 70 kilometer ke pejabat. Alangkah leganya melihat bilik kerja PZ di Bangunan Canseleri, melihat kampus dan sebentar dapat meluangkan masa tengah hari dan petang menikmati minuman ringan dan makanan lewat petang bersama pelajar-pelajar yang rapat. Jam telah menunjukkan pukul 6.30 petang kala PZ mula memandu pulang ke Pekan. Saat melalui Lebuhraya Tun Razak menghala ke Paloh Hinai, langit mula menghitam diselubungi awan yang amat-amat tebal dengan letusan sinar kilat yang kerap. "Pasti hujan lebat malam ni", getus hati PZ, dan ketika kereta kerdil PZ menyeberangi Sungai Pahang di Paloh Hinai sekitar pukul 6.50 petang, nyatalah gumpalan awan hitam yang PZ saksikan itu terlalu besar dan panjang, merentang dari kawasan Temai hinggalah ke Salong, menurut anggaran PZ, jarak yang tidak kurang dari 30 kilometer.

Memang tepat telahan PZ, di tengah-tengah terik cuaca Oktober, hujan ribut yang amat lebat melanda malam ini, dan entri ini ditulis di celah-celah dentuman petir dan sabungan kilat.

Tujuh hari berselang sejak entri terdahulu dan seminggu yang lepas menyaksikan peristiwa-peristiwa penting menghiasi diari hidup PZ. Bermula dengan episod penting pada 3 Oktober, ia berakhir dengan penganugerahan Ijazah Sarjana Undang-undang Perbandingan kepada PZ sempena Majlis Konvokesyen UIAM ke 25 pada 10 Oktober. Tamat sebuah episod, dan dalam masa lima tahun akan datang , PZ mencabar diri sendiri untuk mendapatkan ijazah PhD pula, so there is not a single moment to lose. Keutamaan kini ialah mengejar ijazah PhD, walau apa jua rintangan dan dugaannya. Dalam hal ini, falsafah yang dinadikan oleh karya-karya mendiang Mahatma Gandhi begitu mempengaruhi prinsip PZ. Menyingkap karya beliau berjudul My Experience With Truth, teman-teman akan dapat melihat perjuangan Gandhi untuk mencari identiti dan siapa dirinya melalui kaedah tidak memanjakan diri sendiri. Karya tersebut PZ beli dengan RM10.00 di Borders Times Square Kuala Lumpur beberapa tahun lepas, judul yang sangat bagus untuk dibaca.

Ramai teman yang bertanya siapa yang PZ 'hentam' dalam entri Yang Hampas dan Yang Waras, tetapi PZ enggan komen. Biarlah PZ simpan komen tersebut untuk diluahkan melalui saluran rasmi - Mesyuarat Post-Mortem Majlis Konvokesyen Komemoratif & Konvokesyen Ke-4 UMP tidak lama lagi. PZ ambil tanggungjawab penuh terhadap luahan rasa dalam entri tersebut. Lebih baik beterus terang dari mengumpat kosong ibarat seorang pengecut di belakang tabir.

Bangsa kita rosak dan diselaputi kudis hasad dan dengki kerana ramai orang takut untuk berterus terang dan berkata benar di hadapan. Takut untuk berkata benar dan menegur kesilapan kerana takut tidak dinaikkan pangkat, diboikot dan hilang kawan. Sedih PZ lihat orang-orang seperti ini, yang memang ramai melata di sekeliling kehidupan kita. Mereka lupa, rezeki datang dari Allah Taala, dan bukannya manusia. Ya, kita dituntut untuk berbuat baik sesama manusia, namun, tuntutan tersebut tidaklah sampai hingga sehingga kita mesti MENDUSTAKAN KEBENARAN hanya untuk menjaga perasaan orang lain. Bangsaku seringkali alpa tentang perkara ini dan akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana. Sedang Rasulullah S.A.W. pernah bersabda "Katakanlah kebenaran walaupun pahit."

Pernah PZ berbicara dengan salah seorang rakan sekerja di kampus. "Kita ni tak boleh berterus terang sangat menegur kesilapan orang, nanti susah, orang tak suka kita pulak nanti, kenaikan pangkat pun susah", demikian pendapatnya. PZ hormati dengan penuh sinis pendapat tersebut. Kecewa dan hampa pun ada. Bagaimana bisa bangsaku maju jika semua orang berfikiran seperti ini? Kita berkhidmat untuk negara dan teguran yang kita utarakan adalah untuk kepentingan bersama, supaya kesilapan yang sama tidak diulangi lagi, supaya generasi akan datang dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik, dan yang paling utama, kita tidak dicerca seranah oleh generasi hari esok kerana tidak memperbetulkan kesilapan yang dilakukan pada hari ini.

Guruh telah berhenti berdentum, cuma kilat masih sekali-sekala mencakar langit malam. Perlu atau tidak entri ini diteruskan? Cukup dulu buat kala ini. Insya-Allah, akan PZ perturunkan petikan daripada My Experience With Truth karya mendiang Mahatma Gandhi dalam entri akan datang.

Sebelum PZ terlupa, ingin PZ rakamkan perasaan bangga dengan kelancaran Majlis Konvokesyen PZ di UIAM tanggal 10 Oktober yang lepas. Walaupun ada sedikit kecacatan setelah PZ teliti semula rakaman DVD majlis tersebut, namun yang pastinya sebagai graduan, PZ berpuas hati dengan suasana majlis yang menggambarkan kesarjanaan sebuah institusi, meninggalkan kesan yang mendalam kepada sekalian yang hadir, kerana alunan indah irama gamelan mengiringi penganugerahan ijazah kepada graduan, bukannya muzik hampas seperti yang PZ nyatakan dalam entri lepas!

Tuesday, October 6, 2009

Yang hampas dan yang waras


Uniqueness comes from simplicity...
Rakaman lensa PZ di Air Papan, Mersing. Jun 2009.


Menghilangnya PZ buat beberapa hari bukanlah bermakna minat menulis telah lenyap dari jiwa ini. Pelbagai acara dan majlis mengisi waktu PZ beberapa hari lepas menyebabkan Perantauzaman kekontangan entri baru untuk bulan Oktober 2009. 3 dan 4 Oktober 2009, PZ melalui hari yang paling besar dan bermakna dalam sejarah 29 tahun kewujudan PZ di mayapada ini. PZ tidaklah berhajat untuk berkongsi apa yang berlaku pada tarikh tersebut kerana Perantauzaman diwujudkan untuk membicarakan soal-soal semasa sekitar masyarakat dan umat, dan PZ tidak mahu fokus Perantauzaman berubah menjadi paparan peribadi pula.

Apa yang pasti, Majlis Konvokesyen Ke-4 Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 3 Oktober 2009 datang serentak dengan tarikh keramat dalam diri PZ. Hari Konvokesyen yang amat bermakna kepada para pelajar yang amat PZ kasihi dan hari yang paling penting dalam kehidupan peribadi PZ. Demi untuk tidak meninggalkan salah satu daripada kedua-dua acara penuh makan itu, PZ tangguhkan majlis peribadi yang sepatutnya berlangsung pada sebelah petang kepada malamnya bagi membolehkan PZ menyaksikan beberapa orang pelajar yang paling rapat dengan PZ menerima skrol diploma dan ijazah mereka dan yang paling penting, dapat bergambar dengan mereka. Mereka ini (tidak perlulah PZ namakan) telah bersama-sama dengan PZ kala senang dan susah tanpa sebarang jurang, walaupun PZ seorang pegawai dan mereka hanya pelajar biasa. Keakraban silaturrahim ibarat saudara kandung bersama mereka menyebabkan PZ dihurung kesayuan dan kepiluan yang amat sangat sepanjang 83 kilometer ke Bandar Muadzam Shah setelah selesai menyaksikan konvokesyen mereka.

Berbicara tentang Majlis Konvokesyen Komemoratif dan Konvokesyen Ke-4 UMP yang bermula pada 3 Oktober dan selesai pada hari berikutnya, lensa analisa PZ dicuit-cuit untuk mengemukakan beberapa pandangan, yang pada PZ lebih merupakan luahan kekesalan. Kesal kerana perkara yang sama diulangi walaupun telah ditegur berkali-kali.

Irama yang terhasil daripada susunan muzik yang teratur akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada emosi mereka yang mendengar. Oleh sebab skor muzik yang ber'aura'lah, maka filem-filem yang kita tonton di kaca televisyen atau di pawagam seolah-seolah mempunyai jiwa dan hidup, membawa emosi para penonton untuk tertawa dan menangis, seolah-olah mereka juga sebahagian daripada filem tersebut.

Maka tidak hairanlah, filem-filem Barat mendapat untung yang tidak sedikit, bukan sahaja daripada hasil tayangan, tetapi juga jualan soundtrack. Filem-filem seperti A Bridge Too Far (1977), Gandhi (1982) dan lain-lain dikatakan mempunyai soundtrack terbaik. Justeru, komposisi muzik mempunyai peranan yang amat besar dan signifikan bagi menghidupkan suasana atau 'ruh' sesebuah majlis dan acara. Kata Ibnu Khaldun, "Barangsiapa yang tidak tersentuh jiwanya mendengar gesekan biola, orang itu mempunyai hati yang amat keras."

PZ bukanlah seorang yang terlatih dan berkepakaran dalam bidang muzik dan seni suara, tetapi mengetahui sedikit sebanyak bidang ini melalui pembacaan sendiri, bertanya orang itu dan ini dan belajar daripada internet. Sekurang-kurangnya, PZ boleh juga menentukan kesesuaian irama menurut suasana dan membezakan IRAMA MUZIK YANG HAMPAS dengan IRAMA MUZIK YANG WARAS.

Susunan irama muzik yang mengiringi Majlis Konvokesyen Ke-4 Sidang Pertama pada petang 3 Oktober 2009 yang lalu bagi PZ amat-amat MEMALUKAN nama UMP. Susunan yang serba tidak kena, bunyi irama seolah-olah nada dering telefon bimbit dan seumpamanya MEROSAKKAN aura Majlis Konvokesyen Ke-4 yang pertama kali dilangsungkan di Dewan Kompleks Sukan UMP.

Konvokesyen adalah majlis yang agung kepada sesebuah universiti. Kedudukannya ibarat majlis pertabalan seseorang Raja atau majlis pengurniaan darjah kebesaran. Justeru, setiap gerak, tindakan dan atur cara yang mendasari majlis tersebut perlulah mencerminkan keagungan sesebuah universiti. Tertib berpakaian, susun atur tempat duduk, dan muzik iringan adalah perkara-perkara pokok yang perlu diberikan perhatian serius.

Konvokesyen juga adalah saat yang amat berharga bagi seseoua tiga orang graduan. Mungkin ada yang mengikuti dua tiga lagi konvokesyen lagi selepas ini untuk ijazah sarjana dan doktor falsafah, tetapi bagi sebahagian besar graduan, ini sahajalah sekali peluang merasai sebuah majlis agung di universiti. Muzik yang dimainkan, jika disusun dengan penuh kejiwaan, akan meninggalkan nostalgia dan nilai sentimental yang tidak sedikit dalam kalangan graduan. Setiap generasi graduan akan mendengar muzik perarakan yang sama, lantas akan mengenang asal mereka sebagai alumni UMP.

PZ telah mengikuti konvokesyen UMP sejak edisi pertamanya pada tahun 2006. Sehingga tahun lepas, muzik iringan boleh dikatakan baik, dengan persembahan langsung daripada kumpulan gamelan dan orkestra, tetapi tahun 2009 yang sepatutnya mencatatkan sejarah sebagai konvokesyen ulung di premis UMP, dimalukan dengan muzik iringan yang meletakkan taraf UMP seperti sebuah tadika dan kelas pra-sekolah dengan muzik yang boleh diubah-ubah sesuka hati. Di universiti, kita bercakap tentang kesarjanaan, ya kesarjanaan yang perlu dijiwai oleh semua. Budaya kesarjanaan seharusnya meletakkan UMP sebagai institusi yang lain dari yang lain. Kata Rasulullah s.a.w, "Setiap amalan itu bergantung kepada niat". Janganlah hendaknya menara gading dijadikan komoditi untuk menjual beli pangkat dan anugerah, ampu sana dan ampu sini, apatah lagi mencari publisiti murahan.

Merenung balik kejadian semasa Konvokesyen Ke-4 UMP ini, sebagai warga sebuah menara gading, PZ amat kecewa. Sekali lagi PZ menyeru, KEMBALIKANLAH KESARJANAAN!

Tuesday, September 29, 2009

Masihkah musim punya simpati?


"Saat wajah musim beralih ganti, sang ombak hilang mesranya,
Bayu menghembus kasar, camar enggan bertamu, si pelayar tak sudi berlabuh."
Rakaman lensa PZ di Pulau Gemia, Terengganu. Jun 2007.


Minggu yang amat sibuk di sini. Pelbagai acara mewarnai Majlis Konvokesyen Komemoratif dan Majlis Konvokesyen Ke-4 Universiti Malaysia Pahang. Jadual PZ minggu ini dipenuhi dengan mesyuarat, raptai, jemputan ke majlis perasmian dan lain-lain. Minggu ini juga minggu yang kritikal buat kehidupan peribadi PZ kerana tarikh keramat tersebut hanya tinggal empat hari sahaja lagi. Namun, PZ hanya akan mulai bercuti mulai 5 September sehingga 14 September. Minggu terakhir ini PZ manfaatkan sebaiknya untuk menyelesaikan tugas-tugas yang sepatutnya supaya tiada yang tertangguh sepanjang ketiadaan PZ.

Kisah Kacang Lupakan Kulit menanti-nanti untuk disambung ke Bahagian Kedua. Kotak fikir PZ juga telah merangka-rangka draf untuk Bahagian Kedua kisah tersebut, namun kesibukan minggu ini memperlahankan limpahan ilham untuk menyusun sambungan Kacang Lupakan Kulit.

Justeru, untuk entri kali ini, cukuplah bagi PZ berkongsi dengan teman-teman sebuah puisi yang pernah PZ nukilkan lebih setahun yang lepas. Membelek-belek arkib puisi yang begitu lama tidak dikemaskini, PZ terjumpa puisi Masihkah Musim Punya Simpati? yang bagi PZ, berkait rapat dengan minggu paling kritikal ini. Puisi ini PZ nukilkan kala dugaan getir yang melanda kerjaya PZ tahun lepas.

Masihkah musim punya simpati?

Dalam sayup rembang hari
Bersama lemah bayu samudera biru


Sebuah pulau terdampar sendiri
Mengharap ziarah pelayar payar usang
Menumpangkan jejak di putih bebutir pasir.

Lena pulau itu segar dalam belaian
Sang ombak tak jemu dengan belai gemalai
Menziarahi jajar pasir di landai pantai...


Saat jingga ufuk
Camar pula bertamu di celah dinding batu
Penunggu setia memelihara lena pulau itu
...agar terus tenang dalam peraduannya.

Namun kadangkala lena pulau itu terusik juga
Saat wajah musim beralih ganti
Sang ombak hilang mesranya
Bayu menghembus kasar
Camar enggan bertamu
Si pelayar tak sudi berlabuh.

Hampir tak terlawan gelombang arus
Setiap kali menerjah peralihan musim
Pulau itu sekadar ingin lena tenang di tengah biru samudera
...mengharap belas alam dan musim
yang makin celaru oleh gelojoh umat si pelayar di sayup pantai sana...

Dalam samar masih terdengar nyanyian sunyi sang camar
Dalam keliru musim terlihat robek butir pasir ditelan ombak


Dalam jingga ufuk senjakala
Pulau itu cuba untuk lena
...tanpa mesra ombak
...tanpa lembut bayu
...tanpa ziarah si pelayar
Merenung kosong samudera
Mencongak rentak
...masihkah musim punya simpati?



Pekan
27 Mei 2008
4.05 pagi

Friday, September 25, 2009

Nota Jumaat

2.36 petang. Berhenti sebentar PZ setelah mengharungi trafik yang agak sesak antara Kuala Terengganu ke Kuantan. Kereta kerdil PZ meninggalkan Bandaraya Kuala Terengganu tepat jam 11.36 pagi, dan kini, dari Secret Recipe Bandar Indera Mahkota, Kuantan, jari-jemari PZ mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer riba untuk memuatkan paparan kisah hari ini.

Berakhir sudah musafir singkat PZ sempena Syawal kali ini. Musafir kali ini sarat dengan pengertian yang biarlah PZ simpan sendiri. Namun yang pastinya, PZ 'menemui' apa yang PZ cari-cari setelah tiga kali musafir singkat ini bertamu setiap kali menjelangnya Syawal. Segala-galanya berkait dengan cabaran, dugaan, perasaan dan matlamat kehidupan. Sepanjang musafir singkat kali ini, PZ dapat berinteraksi dalam keadaan yang paling ikhlas dengan diri PZ dan menginsafi bahawa betapa diri ini penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Dalam keadaan seperti itu, tiadalah yang lebih bermakna selain sujud, berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya. Masa kian kritikal buat PZ dan Alhamdulillah, buat pertama kalinya PZ dapat merasakan sekelumit keyakinan, keberanian dan kekuatan untuk menghadapi masa yang berbaki tujuh hari lagi ini. Keinsafan yang mendalam bertamu di jiwa PZ, dan terima kasih kepada mereka yang banyak menghadiahkan mutiara nasihat dan panduan kepada PZ sepanjang musafir singkat ini.

Jauh di sudut hati PZ, terdetik kesedaran yang tidak sedikit...ya, betapa mudah kita melakukan maksiat dan dosa dan melupakan ingatan Ilahi, namun Allah Taala tidak pernah culas mendengar rintihan dan memakbulkan permintaan hamba-Nya yang selalu alpa...titis jernih air mata mengalir setiap kali mengenang kelemahan diri ini, betapa kasih-Nya Allah Taala dengan sifat Pengampun dan Penyayangnya kepada kita..

Thursday, September 24, 2009

Politik atau Poli-itik?

Sepatutnya PZ telah kembali ke Pekan hari ini. Namun, memandangkan ada satu dua urusan yang PZ tidak dapat usaikan segera, perjalanan pulang terpaksa PZ tangguhkan kepada hari Jumaat, 25 September. Terik matahari mulai pagi hingga lewat petang menyengat-nyengat tubuh PZ, seolah-olah bumi Kuala Terengganu tak disirami titisan gerimis semalam.

Beberapa kawasan tumpuan di bandaraya ini masih sesak dengan kunjungan, terutamanya sekitar Pasar Besar Kedai Payang, Giant dan Mydin. Ditambah pula dengan kenderaan bertali-arus membawa perantau yang kembali ke destinasi mereka, kesesakan di Kuala Terengganu hari ini agak memeningkan kepala.

Seperti biasa, PZ ambil kesempatan dalam musafir singkat di KT ini untuk berjumpa dengan bekas pelajar dan sebagaimana lazim, polemik tentang pelbagai isu tidak ketinggalam mengisi ruang perbualan kami. Seronok kami berbicara tentang soal peranan ahli politik di Malaysia, adakah golongan ini benar-benar berkhidmat kepada rakyat ATAU adakah golongan ini menggunakan rakyat sebagai alat? Persoalan ini PZ tujukan kepada ahli politik di semua peringkat tanpa mengira parti dan ideologi yang mereka dukungi.

Salah satu isu yang menarik bicara kami ialah intelektualisme para ahli politik Malaysia. Dalam alam persaingan politik Malaysia yang 'serba tidak kena' dan sukar dijangka kini, para ahli politik memerlukan paradigma baharu dalam pendekatan mereka untuk memenangi hati rakyat. Masyarakat kini, khususnya generasi muda sangat kritis dan analitis menghalakan pemerhatian mereka terhadap gelagat para ahli politik dari semua parti. Pendekatan memperlekeh, memperkecil, memperbodoh, apatah lagi berhujah atas emosi, ekstrimisme dan tohmahan SAMA SEKALI tidak relevan lagi. Sikap menunjuk-nunjuk, berlagak dan feudalis yang dibangga-banggakan oleh sesetengah ahli politik hanya akan mengundang kemarahan rakyat.

Berserderhana, turun padang, menghormati taulan dan lawan dan intelektual, demikian ciri yang perlu ada pada ahli politik kita. Maaf, PZ percaya ramai kalangan ahli politik yang kurang membaca, tidak fasih berbahasa sopan, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai prioriti utama. Paradigma baharu politik Malaysia perlu diisi dengan kematangan, kesaksamaan dan kesarjanaan. Dahulu, PZ minat juga untuk terjun ke alam politik, gaya permainan politik dalam parti-parti politik, apatah lagi antara part-parti politik amat menggerunkan PZ. Bukan takut mengambil risiko, tapi PZ jelek dengan budaya cantas-mencantas, hasad dengki dan KEDANGKALAN AKAL BUDI yang menjangkiti parti-parti politik di Malaysia. Meneliti kisah perjuangan ahli-ahli politilk silam, PZ terharu dan kagum dengan semangat khidmat mereka yang amat tinggi. PRINSIP PERJUANGAN dan KHIDMAT KEPADA RAKYAT mestilah mengatasi keserakahan mencari projek, mengaut keuntungan material, mencari publisiti peribadi serta mendahulukan puak bedrbanding rakyat. Teman-teman yang berkelapangan, jemputlah membaca kisah perjuangan Allahyarham Dato' Onn, Tun Dr. Ismail, Aziz Ishak, Tunku Abdul Rahman dan Allahyarhamah Khadijah Sidek. Ini antara tokoh-tokoh politik yang boleh dicontohi ketegasan mereka mempertahankan prinsip.

Tidak lewat untuk ahli-ahli politik yang telah tersasar untuk kembali menginsafi tujuan sebenar mereka memasuki dunia politik. PZ bersyukur tidak berada dalam dunia tersebut. Cukuplah PZ melontarkan pandangan dari menara gading ini. Bagi PZ, menara gading adalah benteng terakhir di mana survival agama, bangsa dan negara dapat disandarkan.

PZ - without fear or favour. Kepada Allah berserah...

Wednesday, September 23, 2009

Dari jendela kamar...


Langit petang.
Panorama Kepong - Selayang dari kamar penginapan
PZ di aras 6, Crystal Crown Kuala Lumpur.

Terlalu hilang fokus barangkali akibat tujahan satu persatu persoalan bertalu-talu, sehingga PZ boleh tertinggal beg yang mengandungi komputer riba PZ di tempat penginapan PZ di KL. Apabila direnung-renung semula, banyak hikmahnya. Dalam rangka musafir singkat PZ, sepatutnya PZ terus bertolak ke Kuala Terengganu dari KL jam 9.00 pagi tadi. Awal pagi tadi, dek kerana mata yang tidak-tidak juga mengantuk walaupun badan amat letih, PZ membuat sedikit pindaan terhadap rangka musafir singkat ini dengan menyimpang sekejap ke Nilai 3 sebelum menziarahi ibu saudara di Muadzam Shah dan langsung ke Kuala Terengganu. Hanya setelah tiba di Nilai 3, barulah PZ sedar beg berharga tu tertinggal. Mujurnya beg tu selamat dalam simpanan Crystal Crown Hotel KL, tempat PZ menginap semalam setelah dihubungi.


5.45 petang. PZ di Lebuhraya Pantai Timur, 
230 km dari Kuala Terengganu

Alhamdulillah, setelah membeli apa yang patut di Nilai 3, PZ pusing kembali ke KL, ambil beg dan terus ke Muadzam Shah menggunakan Lebuhraya Pantai Timur. Tepat jam 12.30 tengah hari kala PZ meninggalkan KL dan terus memandu tanpa henti ke  Muadzam Shah dan tiba jam 3.21 petang. Sejenak beraya di rumah ibu saudara, PZ meninggalkan Muadzam Shah jam 4.41 petang dan tiba di Kuala Terengganu jam 8.18 malam. Kala ini, dari salah sebuah kamar di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu, PZ mengemaskini blog ini. Alhamdulillah, selamat juga PZ tiba, what a long journey and a tiring day...



6.45 petang. PZ di Jalan Jerangau - Jabor,
128 km dari Kuala Terengganu. 

Keadaan trafik dari Muadzam Shah hingga Kuala Terengganu sederhana sibuknya. PZ dapat mengekalkan kelajuan biasa (yang pastinya bukan 80km/j!) dan buat timing perjalanan sebagaimana yang dirancang. Memang syukur dan puas hati sangat apabila segala perancangan berjalan baik seperti yang dijadualkan. Sehingga kini, PZ masih memikirkan apa hikmahnya hingga tanpa diduga Allah Taala mentakdirkan pindaan pada rangka musafir singkat PZ kali ini. Pastinya ada sesuatu...


7.45 malam. PZ di Kampung Tok Randok,
43 km dari Kuala Terengganu.


Bila dihitung dan dicongak, perjalanan PZ hari ini boleh tahan juga jauhnya. KL ke Nilai 60 km, Nilai ke KL 60 km, KL ke Persimpangan Gambang 226 km, Persimpangan Gambang ke Muadzam Shah 83 km, Muadzam Shah ke Persimpangan Gambang 83 km dan Persimpangan Gambang ke Kuala Terengganu 230 km, bila dijumlahkan = 742 km. Pengalaman yang meletihkan tetapi memberi lebih ruang masa untuk PZ berfikir dan berfikir, mencari jawapan-jawapan ke persoalan-persoalan yang 'melanda'.


8.18 malam. Akhirnya PZ tiba di Bandaraya Kuala Terengganu.

Gerimis di Kuala Terengganu kala ini berselang-seli dengan ngauman guruh dan pancaran kilat di Laut China Selatan, nampak jelas dari kamar penginapan PZ di Aras 7 ini. Sungguh-sungguh sukar dimengerti apa yang PZ fikirkan kala ini. Bagaimana kehidupan selepas ini? Apa cabarannya selepas ini? Mampukah PZ menghadapinya?

Kompleks, kompleks sungguh persoalannya...dari jendela kamar di Aras 7 ini, PZ memerhati suram langit malam dan tompok cahaya di jalanan...bulan tak kelihatan, hanya kerdipan neon buatan menerangi...banyak betul yang artificial dalam hidup kita kan?