Tuesday, November 17, 2009

"I have no respect for you"

Sambil memandu pulang dari pejabat lewat petang tadi, minda PZ melayang jauh mencari ilham untuk mengisi catatan di laman ini. Kilometer demi kilometer dilewati dan seusai solat fardhu Maghrib, PZ menyingkap helai demi helai halaman daripada buku England in Literature keluaran tahun 1979 dan diterbitkan oleh Scott, Foresman & Co. Sebuah judul yang menarik bagi teman-teman yang ingin mendalami sejarah dan perkembangan kesusasteraan Inggeris dari zaman pertengahan hingga zaman moden. Meneliti puisi-puisi Inggeris pasca 1915, lensa minda PZ tertarik untuk menyorot sebuah karya tahun 1937 nukilan Stevie Smith:

No Respect

I have no respect for you
For you would not tell the truth about your grief
But laughed at it
When the first pang was past
And made it a thing of nothing.
You said
That what had been
Had never been
That what was
Was not;
You have a light mind
And a coward's soul.

Membedah pengertian di sebalik puisi ini, PZ teringat kata-kata K. Bali, seorang penulis veteran dari Sabah dalam sebuah karyanya. Menurut beliau, "Dalam masyarakat binatang, tidak ada manusia; tetapi dalam masyarakat manusia, ada binatang jalang." Zahirnya kita semua sama fizikalnya, secara asasnya punya kepala, mata, telinga, mulut, tangan dan kaki. Dalam persamaan fizikal itu, tidak siapa bisa menduga apa yang tersirat dalam hati seseorang, baik atau buruk niat, jahat atau mulia perasaan.

"You have a light mind, and a coward's soul", kata Smith dalam puisi di atas. Teringat pula PZ pada peribahasa Melayu, "baling batu sembunyi tangan" dan simpulan bahasa "tikam belakang". Sejarah tamadun manusia dari dahulu hingga kini banyak dilatari oleh peristiwa-peristiwa sebegini, ada yang kita mungkin ingat, tapi lebih banyak yang telah kita lupakan. Sebab itulah sejarah kerap berulang, kerana kita jarang mengambil iktibar dari peristiwa dan tamsilan silam. Kejatuhan empayar dan tokoh seringkali diwarnai oleh penipuan dan pengkhianatan dari dalam. Salah seorang Bendahara yang paling masyhur semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Tun Mutahir terpaksa mengakhiri hayatnya di hujung mata keris kerana menjadi mangsa fitnah dan kedengkian Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hasan. Pengkhianatan Sang Rajuna Tapa pula telah menyebabkan kejatuhan Temasik (Singapura kuno) di tangan Majapahit dengan membuka kunci kota Temasik dari dalam.

Sejarah tetap berulang dalam zaman serba canggih ini. Cuma latar tempat dan suasananya sahaja yang berbeza. Temanya tetap sama - hasad dan dengki yang membenihkan fitnah dan seterusnya membiakkan perseteruan atau perbuatan yang memudaratkan. Kadangkala terlintas juga di laman minda PZ bahawa today's world has no place for those who are kind and sincere. Barangkali teman-teman pernah mendengar, dan PZ sendiri pernah melihat dan merasai pedihnya permainan keji seperti ini. Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercayai orang yang khianat, dan akan dituduh khianat orang yang boleh  dipercayai..." (Riwayat Ibn Majah)

Bibirnya mengorak senyum, tetapi hati berselirat ranjau. Persaingan di tempat kerja di sesetengah sektor pada zaman ini tidak lagi didasarkan kepada keupayaan sebenar, kompetensi, pencapaian dan potensi, tetapi semata-mata berpaksikan puak, proksi dan kepentingan peribadi. Situasi sebegini hanya menguntungkan mereka yang bijak mengampu dan bercakap besar, walau hasil kerjanya tidak seberapa, sedang yang bertungkus-lumus tanpa berkira sebarang dan tiada kepentingan peribadi seringkali terpelanting ke tepi. Ini adalah hakikat dan kebenarannya amatlah pahit untuk ditelan, apatah lagi jika penyakit ini melanda menara gading sebagai gedung ilmu pengetahuan. Bagaimanakah bisa kita melahirkan generasi yang punya personaliti menjulang jika jiwa pemain-pemain dalam pelbagai segmen di gedung ilmu itu sendiri bersalut serakah niat, buruk sangka, negatif terhadap anjakan paradigma serta culas menerima perubahan?

Susah melihat orang lain senang dan senang melihat orang lain susah. Ini satu lagi penyakit yang begitu berbahaya bagi sesuatu organisasi. Lazimnya penyakit ini menjangkiti mereka yang merasakan diri telah begitu senior, mempertahankan status quo secara membuta-tuli dan menganggap orang muda atau idea baharu sebagai suatu ancaman. Satu lagi indikator mereka yang dijangkiti penyakit ini ialah mereka sukar menerima pandangan orang lain, menganggap dirinya sahajalah yang betul dalam semua perkara dan dengan mudah memperlekehkan orang lain. Dalam perkataan lain, takabbur! Penyakit yang dibawa oleh golongan inilah yang kerap kali membantutkan perkembangan dan kemajuan sesuatu organisasi. Lebih menjelikkan, mereka sanggup mensabotaj sebarang inisiatif penghijrahan dan tranformasi yang menambah nilai terhadap upaya perkhidmatan dan governan sesuatu organisasi. Jadi, bagaimanakah kita bisa maju ke hadapan?

Pengampu, pengipas dan penjilat. Satu lagi golongan yang bernanah jiwanya dan sering berlegar-legar dalam organisasi. Kelompok oportunis ini punya matlamat yang tersendiri dan mengaut laba peribadi daripada lakonan mereka ibarat ketoprak dalam wayang kulit Jawa. Kepimpinan baharu dijulang, diangkat, dipuja dan dipuji tanpa sebarang cela. Segala kata kepimpinan disokong dan disorak seolah tiada salahnya dan perlahan-lahan pesakit-pesakit jiwa ini menusukkan jarum hasutan dan fitnah dengan mengemukakan pelbagai babak dan adegan yang skripnya direka-reka terlebih dahulu.

Pernah juga PZ saksikan kehebatan wayang yang dimainkan golongan ini. Apabila laba peribadi yang dicari tidak tercapai atau apabila niat petualang mereka dihidu oleh yang diampu, dikipas dan dijilat, para pesakit jiwa ini tidak teragak-agak memasang perangkap fitnah dan mencari seribu alasan untuk menjerat kepimpinan yang pernah diampu, dikipas dan dijilat itu. "Hubaya, hubaya!", antara seruan yang pernah diungkap Allahyarham Dato' Onn; berjaga-jagalah teman-teman kerana golongan ini amat licik, mendukung pelbagai pangkat dan watak serta membawa pelbagai peranan. Banyak sekali pembawa penyakit ini berselindung di sebalik aktiviti dan pertubuhan yang memperlihatkan populariti dan caringnya mereka, melalui cara inilah penyakit jiwa mereka dinanahkan pada orang lain tanpa sedar atau tidak. Ada yang terjerat dalam permainan licik ini akhirnya mandul untuk berbuat apa-apa kerana telah terhutang budi dengan 'jasa' golongan ini. Ada lagi yang lebih pengecut dan takut hilang pengaruh, kedudukan dan populariti, memilih untuk play safe. Inilah orang-orangnya yang meruntuhkan ketinggian nilai sebuah menara gading dan menggadaikan prinsip dan maruah demi menjaga kepentingan peribadi. Rugi, amat rugi.

Sedih sekali fenomena ini. Golongan pengampu, pengipas dan penjilat ini seolah-olahnya mengkasadkan bahawa rezeki, kenaikan pangkat dan laba duniawi datang daripada orang besar-besar yang diampu, dikipas dan dijilat itu. Semudah itu kasad dan sangkaan mereka, dan semudah itu jugalah mereka tidak takut untuk mensyirikkan Allah Taala kerana beranggapan bahawa dengan mengampu, mengipas dan menjilat manusia, mereka akan mendapat rezeki. Mereka lupa bahawa Allah Taala itulah Maha Pemberi Rezeki. Jangan teman-teman terperanjat pula, pesakit-pesakit jiwa ini ada dalam kalangan 'bijak pandai', berjawatan besar, nampak warak dan petah berbicara. Kenangkanlah sabda Rasululullah SAW, "Tanda orang munafik itu tiga; apabila berbicara ia dusta, apabila diberi amanah ia khianat dan apabila berjanji ia mungkir."

Dalam hadith yang lain pula Baginda mengingatkan: "Akan timbul pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang diperbuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan jahat). Allah Taala berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Atau apakah terlampau berani berbohong kepadaKu? Demi KebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)."  (Riwayat Tirmidzi)

Buat golongan ini, sepertimana yang dinukilkan oleh Stevie Smith dalam puisi pada awal catatan ini, PZ katakan: I have no respect for you!
 

No comments: