Sunday, May 30, 2010

Redha dan pasrah

Bersalah sungguh rasanya PZ kerana tidak menyinggahi perantauzaman selama hampir sebulan. Ternyata, tekanan dan hambatan yang bertali arus benar-benar memberikan kesan kepada keupayaan PZ untuk berkarya bulan ini. Hal-hal peribadi dan kerja, silih-berganti datang menghantui fikiran, dan sekaligus agak menjejaskan prestasi dan produktiviti. Itu realiti yang pahit buat PZ akui.

Sambutan Wesak yang jatuh pada 28 Mei telah memberi waktu rehat yang agak panjang, lantas memberi peluang buat PZ untuk melupakan hal-hal peribadi dan kerja, serta membolehkan PZ bermuhasabah dan memikirkan tentang ehwal diri sendiri. Telah dua malam PZ habiskan di kampung halaman, berehat dan menenangkan fikiran. Baharu sebentar tadi, PZ mula membedah buku California: A History karya Kevin Starr yang telah PZ beli di Carrefour Subang Jaya hampir dua bulan lalu, namun masih belum sempat ditelaah.

Dalam kesibukan kerja, sempat juga PZ selesaikan pembacaan The River of Lost Footsteps: Histories of Burma karya Thant Myint-U pada minggu sudah. Satu perbezaan yang baharu PZ rasai berbanding masa lalu, di mana lazimnya satu-satu buku yang dibaca boleh dihabiskan dalam tempoh dua atau tiga hari sahaja, walaupun ianya sebuah karya sejarah yang berat dan tebal.  Tetapi kini, PZ mengambil masa hampir sebulan untuk menyelesaikan pembacaan karya Thant Myint-U tersebut, yang tebalnya hanya sekitar 350 halaman. Betapa tekanan kerja boleh menjejaskan tumpuan bacaan santai. Satu lagi realiti yang pahit untuk ditelan oleh PZ.

Hampir dua jam setengah PZ habiskan waktu petang 29 Mei di Restoran KFC Pekan. Bukannya kerana terlalu kepingin meratah ayam goreng, tapi sekadar duduk menikmati sedikit juadah ringan dan menyelesaikan sedikit kerja dengan bertemankan komputer riba PZ. Suasana dingin dan khalayak yang tidak begitu ramai sedikit melapangkan fikiran dan kala itulah PZ terfikir untuk mengemaskini perantauzaman pada malam ini. Kalau tidak dipaksakan malam ini, akan bertangguh-tangguh lagilah ziarah PZ di perantauzaman, apatah lagi mulai hujung minggu hadapan, PZ akan berada di luar negara buat beberapa ketika. Pastilah lebih sukar untuk mengemaskini perantauzaman di sana kelak.

Terus terang PZ nyatakan bahawa warna hari sejak kebelakangan ini tidaklah begitu ceria dan indah buat PZ. Pelbagai persoalan mengasak laman fikir PZ, hingga ada ketikanya seolah terbayang di layar mata atau di kaca cermin kereta kala memandu. Makan dan minum juga bukanlah lagi satu keutamaan, dan hanya PZ ambil sekadar untuk menyambung nadi tenaga, walaupun pada hakikatnya langsung tidak berselera. Segala-galanya memberi kesan kepada diri PZ - tumpuan terhadap kerja, kepedulian terhadap diri dan tahap kesihatan. Beratkah persoalan itu? Biarlah PZ simpan sendiri. Namun kini PZ berusaha keras untuk menyuburkan semula kreativiti yang agak terhakis dan menjajarkan semula fokus lensa fikir PZ supaya tidak terbawa-bawa oleh perasaan dan fikiran yang bukan-bukan.

Dalam kecelaruan tersebut, teringat pula PZ kepada sepotong firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud: "Tidak Allah berikan seseorang itu dengan suatu ujian yang lebih berat dari apa yang mampu dipikulnya." Sedikit tenang kala melihat ayat suci ini. Pastinya, Allah Ta'ala lebih mengetahui apa yang tersirat di sebalik setiap ujian ini. Sebagai insan biasa, PZ hanya mampu redha dan pasrah.

No comments: