Saturday, April 17, 2010

Si Bodoh Sombong yang takut dengan bayang-bayang sendiri

Mengharungi terik petang, laut fikir PZ mencari-cari ilham untuk dinukilkan. Sebagaimana lazimnya, PZ akan pulang ke kampung halaman tiap petang Sabtu, dan ingin PZ coretkan sesuatu sebelum memandu pulang. Pagi tadi PZ berwacana bersama hampir 70 orang kaum ibu yang merupakan Sahabat Amanah Ikhtiar. Ceria sekali wacana tersebut, jauh lebih interaktif berbanding wacana sama awal minggu ini di Bandar Muadzam Shah. Program singkat anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) di Dewan Belia 4B di Bandar Indera Mahkota tersebut sekurang-kurangnya memberi kesempatan untuk PZ bermasyarakat, menyelami masalah usahanita Bumiputera dan merentangkan cadangan untuk memperkasa bisnes mereka. Banyak masalah yang dikongsi dan beberapa petua PZ beri kepada mereka. Penghargaan PZ kepada YaPEIM kerana memberi peluang untuk PZ menjadi salah seorang fasilitator program ini.

Entah mengapa, langit kerjaya PZ dibayangi rasa kecewa dan geram sepanjang minggu ini. Jarang sekali PZ dibalut amarah dan kehampaan, tetapi beberapa peristiwa yang mewarnai minggu ini memendungkan perasaan. Tidaklah PZ berhasrat untuk mengisahkan apa yang berlaku dan siapa yang bertanggungjawab, namun bagi PZ, ada banyak jalan lagi untuk menyelesaikan masalah dan menjernihkan suasana, bukan dengan apa yang PZ saksikan minggu ini.

Melihat apa yang telah berlaku, PZ dapat simpulkan bahawa segala-galanya berpunca daripada sikap 'bodoh sombong' dan 'takut' dengan bayang-bayang sendiri. Sikap tergesa-gesa dan gopoh-gapah dalam menghadapi sesuatu seringkali mengakibatkan rangka penyelesaian yang rapuh. Natijahnya, penyelesaian itu tidaklah berusia panjang, sebaliknya memberi implikasi negatif dalam jangka waktu singkat, yang mungkin baik di satu pihak, namun sebaliknya di satu pihak yang lain. Luka yang membelah kulit mungkin telah kering darahnya, namun parutnya membekas sampai bila-bila. Itu yang PZ dapat analogikan.

PZ teguh berpandangan bahawa hati seseorang atau sekolompok individu akan dapat dimenangi dengan adanya KEIKHLASAN. Keikhlasan itu terbit daripada ketulusan hati dan niat suci, yang tentu sekali tidak terbeli dengan mata benda dan wang ringgit. Keihklasan yang dicurah ibarat air baja yang menyuburkan tanaman yang akan tumbuh hijau, sihat dan segar. Keikhlasan sesekali tidak boleh dibuat-buat atau direka-reka, ia datang secara semulajadi. Keikhlasan layanan pada seseorang, sesebuah kumpulan atau komuniti akan menzahirkan KEPERCAYAAN. Bukan mudah untuk memperoleh kepercayaan. Kerana tidak mudah itulah, ada yang tidak sabar sehingga menjadi angkuh bongkak, cuba menjadi meraih kepercayaan dengan cara paksa dan tidak terhormat, seperti lanun dan peragut.

Jurang umur dan hirarki sesekali tidak relevan untuk menjustifikasi perlakuan jelek meraih kepercayaan dengan cara paksa. Inilah masalahnya apabila ada segelintir manusia yang merasakan diri mereka telah cukup 'berkuasa' dan 'kebal'. Kuasa dan kekebalan itu dijadikan perkakas untuk menakut-nakutkan orang lain, dan sesiapa sahaja yang tidak sepandangan akan dilabel sebagai penentang sewenang-wenangnya. Kuasa dan kekebalan itu juga menjadikan individu jelek ini alpa akan hakikat kewujudannya untuk BERKHIDMAT kepada pemegang taruh utama di organisasinnya, bukan memaksakan nilai anutannya dengan cara yang hanya menyuburkan permusuhan, prejudis dan rasa tidak mempercayai antara satu sama lain.

Sedih dan malang sekali jika watak begini membayangi layar kesarjaaan sebuah institusi bertaraf universiti. Berkhidmat di universiti menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tidak sedikit. Berkorban masa dan sabar menghadapi aneka karenah warga universiti, terutamanya mahasiswa. Mahasiswa adalah ibarat anak-anak, dan telah menjadi sesuatu yang lumrah dalam satu keluarga, akan ada anak yang baik, ada yang pendiam, ada yang dengar cakap dan ada juga yang agak nakal. Justeru, pendekatan layanan bagi setiap anak yang berlainan watak itu juga haruslah berbeza menurut kesesuaian. Ada yang cukup dengan sekali arahan, ada yang perlu diperjelas satu-persatu dan ada juga yang perlu ditinggikan suara. Lantas, jika ada anak yang agak nakal membuat kesalahan, cukuplah dia seorang yang ditegur dan dimarahi, kenapa anak-anak lain dipalit sama dengan amarah tersebut?

Inilah realitinya. Ada orang bangga berbicara tentang profesionalisme dan berfalsafah mengenai metodologi pendidikan, tetapi gagal mengawal emosi sendiri apabila menghadapi karenah yang seharusnya boleh diantisipasi sejak awal. Sudah terhantuk baru terngadah, maka pelbagai cara dicuba untuk kononnya 'meredakan' suasana tetapi hakikatnya tambah mencederakan. Dalam suasana seumpama ini, ramai yang hanya mencari penyelesaian, namun apakah mungkin penyelesaian itu memberi kesan yang positif dan long lasting sekiranya punca sebenar masalah tidak diziarahi dan diteliti?

PZ bukanlah seorang nujum yang boleh meramal. Namun bekalan pengalaman yang ditempuh masa lalu menyebabkan PZ amat menghargai sejarah sebagai sumber muhasabah. Mereka yang angkuh bongkak, bodoh sombong dan takut dengan bayang-bayang sendiri ini sama sekali tidak belajar dari sejarah. Akhirnya, krisis dan kemelut sama berulang dan terus berulang dengan dilatari zaman dan generasi yang berbeza. Bagi PZ, mendung peristiwa minggu ini adalah satu lagi pengulangan sejarah. Mungkin ia kelihatan sebagai satu penyelesaian, namun ibarat api dalam sekam, baranya masih merah di satu pihak yang lain.

Selagi mana tiada KEIKHLASAN, KESUCIAN NIAT dan KEPERCAYAAN, yakinlah bahawa sejarah ini akan berulang lagi satu hari nanti. Beruntunglah mereka yang mengambil iktibar dari sejarah silam, dan rugilah mereka yang enggan mengakui kelemahan sendiri, malah terus kebal dalam keangkuhan, karamlah mereka dalam laut kejahilan, selagi mana tiada perubahan sikap.

No comments: