Sunday, August 30, 2009

Meneroka Tanjung Medang

Bandar Pekan dari udara.
 Perhatikan tanjung yang menganjur ke Sungai Pahang
di sebelah kiri foto ini. Di situlah terletaknya Kampung Tanjung Medang.
(Gambar fail PZ tahun 2007) 


Hari kesembilan bulan Ramadhan 1430...redup langit dan cuaca yang sedikit nyaman amat memberi kelegaan. Saban minggu bekerja sampai tak teringat langsung bercuti barang sehari dua. PZ dah bercuti sejak Jumaat, 28 Ogos, jadi dapatlah menikmati weekend yang panjang; satu privillege yang jarang-jarang PZ dapat rasa memandangkan lazimnya setiap weekend PZ pun macam hari bekerja kerana dipenuhi tugasan outstation.

Hari ni lebih ceria dan segar buat PZ. Oleh sebab memandu dan memecut merupakan antara hobi utama PZ, petang tadi PZ ambil masa sedikit untuk merayau di kawasan Tanjung Medang, lebih kurang 10 kilometer dari Bandar Pekan. Kawasan Tanjung Medang ni bukanlah asing bagi PZ, abah PZ adalah Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Tanjung Medang sebelum bersara wajib pada tahun 2000.

Bercakap tentang Tanjung Medang, kampung tradisional ini terletak di tebing selatan Sungai Pahang dan bertentangan dengan Kampung Pahang Tua di tebing utara. Pemandangan sekitar kampung ni memang cantik, khususnya di kawasan tebing Sungai Pahang, tapi PZ tak dapat nak rakamkan kerana kamera tertinggal kat rumah. Kekurangan kampung ni cuma satu, dari segi geografinya terlalu rendah dan memang akan dilimpahi air Sungai Pahang setiap kali musim tengkujuh.

Meneroka jauh ke dalam Tanjung Medang, satu persoalan akan mengetuk kotak fikir: kenapa nampak terbiar dan sunyi sepi kampung ni? Memang, Tanjung Medang tidak lagi semeriah dan seramai dahulu. Seingat-ingat PZ, masa abah jadi Guru Besar di sini pun, jumlah murid di Sekolah Tanjung Medang hanya sekitar 100 orang. Golongan muda tak berminat untuk terus menetap di sini, walaupun tanahnya luas. Mungkin lebih selesa di taman-taman perumahan yang bagi PZ amatlah kaku dan restricted kehidupannya.

Sambil memandu perlahan melalui jalan kampung yang dipenuhi semak-samun di kiri dan kanannya, PZ melihat rumah-rumah kayu tua yang terbiar. Ada yang masih elok. Ada yang amat cantik kedudukannya. Ke mana agaknya waris penghuni rumah-rumah tinggal ni? Jarak rumah yang berpenghuni pula agak jauh antara satu sama lain, maklumlah rumah kampung.

Kampung Tanjung Medang ni mudah untuk diakses bagi teman-teman yang mungkin kebetulan menghala ke Bandar Pekan. Terletak di tepi Laluan Persekutuan 82 atau lebih nama Jalan Batu Balik di kalangan orang tempatan, kampung ni terletak di sebelah kiri jalan kalau teman-teman memandu dari arah Segamat atau Paloh Hinai (selepas Kampung Sekor) dan terletak di sebelah kanan (selepas Kampung Pulau Keladi) sekiranya memandu dari arah Bandar Pekan.

Terfikir-fikir PZ. Apa yang PZ saksikan di Tanjung Medang petang tadi adalah analogi hidup mengenai kehidupan. Tika muda dan masih segar, ramai yang mengelilingi dan melingkungi kita. Semakin jauh jarak masa dan meningkat usia, kita kian terbiar dan sekadar memerhati perubahan zaman. Tiada nilai atau tiada daya? Resam dunia...

1 comment:

Siti Farah said...

Assalamualaikum,

Hari ni terbaca post PZ tentang Tanjung Medang. Saya adalah salah seorang pelajar sekolah SKTM tersebut.

Maaf bertanya, adakah tuan ini anak kepada Cikgu Wan Zain?