Saturday, October 30, 2010

Dari Jalan Grove...

Jalan Grove, Poskod 30110 Ipoh. Dinihari 30 Oktober 2010. PZ bertamu sebentar di ibu negeri Perak Darul Ridzuan ini, melegakan diri dari lelah setelah memandu hampir lima jam dari Kuantan. Destinasi PZ - Bandar Diraja Kuala Kangsar. Menikmati segelas Nescafe tarik panas amat-amat menyegarkan mata, mensisakan kudrat untuk menyudahkan kelana ini. Sedikit lagi masa diperlukan untuk melangkah masuk ke Kuala Kangsar dan menunaikan fardu subuh di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan yang indah lagi bersejarah.

Inilah kunjungan pertama PZ ke Bandaraya Ipoh setelah lebih setahun. Tiada apa yang boleh dijenguk, apatah lagi diziarahi kala hari masih gelap-gelita seperti ini. Yang penting, tenaga yang telah sedikit tercukai sepanjang pemanduan tadi dapat dipulihkan semula, mengembalikan stamina untuk menghadapi agenda kelana ini yang seterusnya.

Walaupun kesihatan diri ini tidak sesempurna dahulu, Alhamdulillah PZ bersyukur kerana masih punya upaya untuk memandu sejauh ini, mengisi kegemaran masa lapang. Kembara kali ini bukanlah sekadar 'jalan-jalan' yang lazim, tetapi punya sebabnya yang tersendiri - memenuhi sebuah undangan. Ya, persahabatan yang dibina atas landasan keikhlasan tidak terjejas oleh jauh jarak atau batas waktu.  Justeru, PZ tidak rasa terbeban untuk memandu sejauh ini untuk memaknakan sebuah persahabatan. Sekurang-kurangnya, ada kesempatan buat PZ lari seketika dari suasana biasa yang dilatari politik pejabat dan beban tugas. Syukur!

Sekadar catatan ringkas PZ di pinggir jalanan menghala ke Kuala Kangsar. Masih ada 35 kilometer berbaki untuk PZ sudahkan. Mohon berlalu!

Friday, October 29, 2010

Mengejar Kelam Jalur Cahaya

Langit terlukis jingga
saat ambang senjakala
menggembala suria ke peraduannya.

Hampir usai seperjalanan hari
Mengisi waktu aneka citra melatari
Segenap ceruk sudut rata disuluhi
sempurna tugas sang mentari
...sebentar tadi.

Hari melewati perbatasan siangnya
Memasuki malam penuh misteri untuk diteroka
Hitam kelam langit tanpa cahaya
Resah mendesah jiwa
Dibalut sangsi awas curiga
...menjejak bahaya!

Namun dikuatkan jua
separuh lagi gelita kembara
seorang cuma berteman tiada
menggagahi denai tanpa penghujungnya
dengan ketakpastian dan tanda tanya
mengejar kelam jalur cahaya
penuh pengharapan mindanya berbicara
menanti sinar bertitik di sana... 

Thursday, October 28, 2010

Mencari Arah...

Saban detik jiwa itu bertanya:
Masih bersisakah lagi harapan?

Saban waktu jiwa itu bertanya:
Masihkah musim punya simpati?

Saban ketika jiwa itu bertanya:
Siapa lagi yang bisa diharapkan?

Roda masa diharungi pancawarnanya
Keruh sungai hayat diranduk tanpa curiga
Terlalu yakin ia tiada waspada akan bahaya tak terduga.

Melewati putaran detik, waktu dan ketika
Mata jadi saksi suasana ragam peristiwa
Tersepit ia oleh realiti tak terjangka
Sambil laut fikirnya dibayangi redup usang ceritera
Keliru dirinya oleh persoalan yang menerpa.

Indera matanya memandang masa muka
Kelana impian yang sedia direncana
Namun apakah sesuai saatnya
Atau kan terbiar lagi kembaranya?

Rumit sekali perhitungannya!
Antara kebajikan sendiri dan kepentingan perjuangannya
Perlukah lagi sebuah pengorbanan dimakna?

Terpinga-pinga jiwa itu mencari hala
Telah jerih kotak fikir menjejak jawapannya
Ternyata terlalu sukar baginya menerima
Pertimbangan saksama tanpa ada sesiapa yang terluka.

Mencatur langkah selanjutnya
Insaf jiwa itu akan tuntutan masa
Terus menghambat dengan sedikit baki cuma
Maka apakah lagi yang ada?

Di hujung pudar musim
Jiwa itu bertarung dengan dilemanya
..mencatur pilihan.

Melihat silam semalam dan meramal sinar esok
Jiwa itu akur dengan kekerdilannya
Kepada-Nya dikembalikan seribu persoalan
...merafakkan permohonan suluh pedoman
berteleku ia sendiri
di ambang permulaan dinihari
tawaqquf duniawinya di celah istikharah
...mencari arah.

Wednesday, October 27, 2010

Kaku Larut Malam

Tiada terdengar
rintik hujan
hanya desiran
lemah bayu.

Kaku larut malam
merangkak perlahan di dada ufuk
suram bersulam kelam
kosong gelita tanpa rasa.

Meriah juga sesekali dahulu kala
saat senyum tawa girang wajah
menumpahkan rona pada laman itu
betapa indah suasana!

Telah takdirnya
maka singkat cuma sebuah temasya
hadirnya sebentar beransur pulang
kakulah kembali suasana
bulan seolah pegun di dada tabir larut malam
dan segalanya ternoktah
...tiada arah.

Meronta-ronta jiwa itu mencari jawapan
kenapakah sesingkat itu temasyanya?
Tiada simpatikah pada laman kosong itu?
...tiada terjawab.

Lantas...apakan lagi dayanya
sekadar melihat cuma
hampa pandangan mata
dalam kekecewaannya!
...silih pergantian masa
sepi tanpa bicara
akhirnya usang belaka
jiwa itu tertanya-tanya
...apakah lagi yang bersisa untuknya?


Sunday, October 24, 2010

Sembah Tahniah dan Perihal Kesinambungan Kuasa

Sembah Tahniah

24 Oktober 2010. Entri kali ini PZ mulakan dengan menyembahkan setinggi-tinggi tahniah ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah al-Must'ain Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin al-Muadzam Shah di atas sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-80 pada hari ini. PZ memanjatkan doa ke hadrat Allah Ta'ala mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terus dilanjutkan usia dengan limpah lindungan keimanan, kesihatan dan kesentosaan. Dirgahayu Tuanku!


Perihal Kesinambungan Kuasa

Perhimpunan Agung UMNO Ke-64 melabuhkan tirainya petang tadi. Sepertimana yang telah dijanjikan dalam entri terdahulu, ada sesuatu mengenai isi Perhimpunan Agung tersebut yang ingin PZ kongsikan dalam entri kali ini.

Meneliti ucapan dasar pada hari perasmian dan ucapan penggulungan petang tadi oleh Presiden UMNO, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak, terselit mesej tersirat yang sarat dengan sejuta makna untuk ditekuni. Malah, sesetengah pemerhati meramalkan bahawa apa yang telah diungkapkan Dato' Sri Najib tersebut mengisyaratkan hampirnya Pilihanraya Umum Ke-13. Pastinya, Pilihanraya Kecil Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Kelantan dan Pilihanraya Kecil Kawasan Parlimen Batu Sapi di Sabah tidak lama lagi merupakan medan ujian yang genting buat yang memerintah dan yang membangkang. Pada pandangan PZ, keputusan kedua-dua pilihanraya kecil tersebut amat penting buat Dato' Sri Najib mencatur tarikh Pilihanraya Umum Ke-13.

Di ambang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10, Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi, Dato' Sri Najib memerlukan mandat jelas daripada rakyat dalam bentuk tanda pangkah atas kertas undi. Ini penting bagi membuktikan bahawa langkah-langkah tranformasi dan pembaharuan yang diterajui beliau benar-benar mendapat restu daripada para pengundi.

PZ sendiri telah selesai membedah kandungan Program Transformasi Kerajaan yang dicetuskan beliau, dan secara peribadi PZ melihat dokumen tersebut amat lengkap dan hampir sempurna perhitungannya. Mensasarkan pencapaian status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, dokumen ini memerlukan jentera penggerak yang benar-benar komited, ikhlas dan kompeten untuk direalisasikan sepenuhnya.

Justeru, detik-detik pasca Perhimpunan Agung UMNO Ke-64 ini adalah amat kritikal kepada UMNO-Barisan Nasional, begitu juga kepada parti-parti pembangkang. Dalam suasana politik tanah air yang amat sukar diramalkan selepas berakhirnya Pilihanraya Umum Ke-12 pada tahun 2008, parti-parti siasah di Malaysia, sama ada yang menerintah mahu pun yang membangkang bergelut hebat untuk bernafas dalam selut politik demi survival kuasa dan pengaruh. Malah, mantan Perdana Menteri kelima, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri menyuarakan bahawa adalah sukar UMNO-Barisan Nasional untuk memperolehi majoriti 2/3 kerusi di Parlimen dalam suasana hari ini.

Pun begitu, pentadbiran pimpinan Dato' Sri Najib memerlukan mandat dan restu yang jelas daripada rakyat. Itulah semangat demokrasi dan soal mandat dan restu daripada yang diperintah bukanlah lagi sesuatu yang boleh dipandang enteng kini. Lantas, sekiranya Pilihanraya Umum Ke-13 direncanakan lebih awal daripada tahun 2012, percaturan tersebut merupakan satu risiko besar bagi kedua-dua belah pihak, yang memerintah dan yang membangkang dalam perebutan kuasa dan survival politik mereka. Maka, pada hemat PZ, Dato' Sri Najib telah membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam hal ini dan telah jua mengambil kira kesan dan akibat yang mungkin timbul daripada keputusan yang bakal diambil itu.

Itu pengamatan PZ. Cabaran yang menanti amat besar kepada yang memerintah dan yang membangkang. Pertarungan hari ini tidak lagi secara totalnya ditentukan secara konvensional, malah pengaruh media baharu di dunia maya terlebih-lebih lagi berperanan besar. Maka, pemain-pemain politik tanah air tidak dapat lari dari mengakui hakikat bahawa dunia maya tanpa sempadan tersebut telah memberi impak tinggi kepada literasi politik rakyat, terutamanya pengundi muda. Kaedah dan pendekatan lapuk melalui media arus perdana hanya akan menjadi jenaka kepada mereka, yang sentiasa dikemaskini melalui sumber alternatif yang disediakan media baharu.

Walau bagaimana terdesak sekali pun di pihak yang memerintah dan yang membangkang, satu sahaja harapan dan pinta PZ - tolonglah berhemah, telus dan bijaksana! Memang PZ amat skeptikal dan sinis dengan ahli-ahli politik kerana 'kehebatan' retorik, manis kata dan janji mereka. Iklim semasa tanah air dan sentimen pengundi menuntut keikhlasan para pemain politik. Ini bukan lagi zaman di mana kita perlu berutus surat dan telegram untuk menyampaikan khabar berita; kini dengan kemudahan jalur lebar, tiada lagi sesiapa yang privilleged  dengan sesuatu berita.

Itu realiti yang perlu ditekuni dan diinsafi. Kesinambungan kuasa kala ini ialah melalui ilmu dan kebijaksanaan, bukan lagi emosi, provokasi dan nostalgia!

Saturday, October 23, 2010

Perihal rencana yang tergendala dan di sebalik Perhimpunan Agung UMNO Ke-64

Beria-ia juga PZ menanti hadirnya hujung minggu yang panjang pada minggu kedua akhir Oktober ini. Berlangsungnya sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Ke-80 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada Ahad, 24 Oktober 2010 melapangkan Isnin, 25 Oktober sebagai kelepasan am bagi seluruh Negeri Pahang. Menghadapi hujung minggu yang panjang tersebut, memang telah PZ rangka dan rencanakan sesuatu untuk dilakukan. Namun, PZ akur bahawa, "kita merancang, Allah juga merancang", lantas rencana kelana yang dinanti-nanti itu tiada terlaksana, kerana perubahan susunan pada akhir. Apakan daya, PZ hanya upaya redha dan akur.

Maka, terkapai-kapailah PZ menyelam laut fikir untuk memikirkan rancangan ganti. Buntu dan rumit sekali! Memang ada kehampaan yang berbekas tetapi PZ meminta diri untuk berbaik sangka dan memahami kesulitan orang lain; ya, sesuatu yang mudah untuk diungkap tapi sukar untuk diserap sepenuhnya. Walaubagaimanapun, panjang hujung minggu yang terluang ini membolehkan PZ untuk kembali ke kampung halaman menjenguk orang tua, di samping berehat dalam erti kata yang sebenarnya. Ya, istirehat tanpa perlu bergerak ke mana-mana, melegakan lesu longlai tubuh dan mengembalikan tenaga yang telah hilang.

Di celah-celah kebuntuan kala ini, PZ turut meninjau perkembangan Perhimpunan Agung UMNO Ke-64 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur dengan penuh minat. Meneliti usul, membedah isu, memperhalusi isi perbahasan dan menilai gagasan yang dikemukakan minda para perwakilan, PZ berhasrat untuk memberikan beberapa ulasan dan pandangan. Namun, tidak di laman entri ini, akan PZ nukilkan dalam entri seterusnya. Sekadar melontar buah fikiran, sebagai seorang individu yang tidak menggemari retorik ahli politik, tetapi suka mengambil tahu perkembangan semasanya.

Semoga setiap perwakilan yang hadir sama ada untuk memerhati atau berbahas dalam Perhimpunan Agung tersebut hadir dengan keikhlasan dan suci niat hati untuk berbakti kepada pertiwi, bukan untuk maksud dan tujuan lain!

Wednesday, October 20, 2010

Mencongak pilihan

Hampir tiga hari berlalu setelah kembalinya PZ dari monolog di sebuah 'destinasi'. Lebih 25 tahun destinasi tersebut PZ tinggalkan, terasa asing sekali kala kaki melangkah sesaat tiba Sabtu, 16 Oktober lalu. Melihat di sana, meninjau di sini, tempoh sehari memang tidak cukup. Letih berjalan dan bertukar pelbagai pengangkutan semasa di sana menyebabkan PZ memasang niat untuk kembali semula ke destinasi tersebut satu hari nanti.

Dek pertukaran cuaca dan suasana barangkali, tubuh PZ terasa lesu dan lemah sekali apabila kembali dinihari Isnin, 18 Oktober. Kelesuan dan kelemahan itu tidak berhenti begitu sahaja, akhirnya melarat menjadi selesema, demam dan radang kerongkong, menyebabkan PZ akur dengan nasihat doktor untuk bercuti sakit selama dua hari. Agak berat untuk PZ menerima cuti sakit tersebut, memandangkan sepanjang hampir lapan tahun bekerja, tidak pernah sekali pun PZ mengambil cuti sakit. Tetapi bak sanggah sang doktor, "Mana lagi penting, menjaga penyakit daripada terus melarat atau kekalkan rekod tiada cuti sakit?" PZ terpaksa akur!

Merehatkan tubuh dari serangan penyakit adakalanya agak membosankan. Lantas, PZ memilih untuk pulang ke rumah orang tua PZ di kampung. Sejak Eidul Fitri baru-baru ini, agak jarang PZ dapat luangkan hujung minggu seperti kelaziman sebelum ini di kampung halaman dek kesibukan tugas. Justeru, cuti sakit selama dua hari ini ibarat suatu hikmah yang membolehkan PZ pulang sebentar menjenguk orang tua. Hujung minggu selepas ini telah padat terisi dengan pelbagai program dan aktiviti, dan PZ hanya akan 'bebas' semula pada November.

Sambil mencongak-congak perancangan esok hari, PZ memerhati langit petang yang kian menghampiri ambang senja. Alhamdulillah, dengan izin Allah Ta'ala, tubuh terasa kian segar dengan mematuhi arahan pengambilan ubat-ubatan yang telah dipreskripsikan. Untuk mempercepatkan proses penyembuhan, PZ turut memamah buah kiwi kuning yang kaya dengan Vitamin C sebagai tambahan kepada buah epal yang menjadi diet ruji PZ.

Esok PZ akan kembali bertugas seperti sedia kala. Tahun 2010 yang kian menipis di hujungnya ini bakal menyaksikan percaturan-percaturan kehidupan yang perlu PZ putuskan. Telah lima tahun berlalu sejak saat akhir PZ membuat percaturan besar, dan ia muncul lagi kini. Berlegar di sekitar isu penghijrahan, peralihan dan perubahan, PZ harus membuat pilihan dengan seteliti dan sebijaksana mungkin. Ya, tidak banyak masa yang tinggal!

Mudah-mudahan Allah Ta'ala melorongkan PZ di jalan yang lurus untuk menyelesaikan percaturan ini. Suka atau tidak, pilihan dan keputusan perlu dibuat. Walau apa pun laluannya, PZ akan redha.