Saturday, September 19, 2009

Bimbing, bukan suruh!

Alhamdulillah, hari terakhir di pejabat pada akhir Ramadhan 1430. Cukup sunyi senyap bangunan pejabat PZ hari ni. Sampai untuk bersolat Jumaat pun, PZ terpaksa memandu 10 kilometer ke sebuah tanah rancangan FELDA berhampiran pejabat PZ. Hari yang tidak berapa panas, tenang dan agak syahdu. Apakah mungkin bertemu pula Ramadhan tahun akan datang?

PZ menikmati ifthar bersama dua pelajar PZ di Padang MPK, di tengah-tengah Bandar Kuantan. Saat yang penuh makna dan pastinya PZ akan mengenang hari-hari ceria seperti ini nanti. Bermula dengan bual-bual kosong, cakap-cakap kami bersambung dengan polemik mengenai pelbagai isu semasa. Ya, bab ni yang paling PZ cherish apabila bersama-sama para pelajar PZ. Prinsip PZ mudah, jika kita mahu melahirkan bakal-bakal pimpinan tanah air yang berkualiti untuk manfaat umat masa muka, buluhnya perlu dilentur mulai sekarang. Para pelajar yang menghuni menara gading perlu didekati, dilayan dan dihormati sebagai orang dewasa secara matang. Kita sering melenting menyalahkan golongan muda ini apabila muncul isu pengangguran dan lain-lain, tapi apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?

Justeru, para pembuat dasar, pentadbir dan akademia di menara gading perlu melihat golongan muda ini sebagai pemegang taruh yang amat penting, bukan sekadar 'budak hingusan' yang boleh dibohongi dan di'awta'. PZ pernah melalui zaman perit sebagai mahasiswa kurang 10 tahun lalu, dan betapa terhirusnya perasaan apabila kadangkala suara golongan muda ini dipandang sepi dan sering dianggap sebagai 'ancaman' sedangkan mempunyai idealisme adalah sesuatu yang normal bagi remaja yang sedang meningkat dewasa. Yang lebih utama ialah didikan supaya idealisme golongan muda ini disalurkan kepada jalan ilmiah yang mendatangkan manfaat kepada tanahair, masyarakat dan umat.

Jadi, jika golongan muda ini kadangkala memberontak dan naik marah, bukankah berpunca dari kesalahan kita sendiri juga? Berapa ramai dari kalangan pembuat dasar, pentadbir dan akademia yang mahu mendekati golongan muda ini sepertimana seorang bapa atau ibu mendekati anak dan seorang abang atau kakak mendekati adik. Golongan muda ini tegar dengan idealisme dan minda yang kritis, jadi kitalah yang bertanggungjawab MEMBIMBING, BUKAN MENGARAH mereka. Ramai pelajar yang PZ temui menyatakan bahawa mereka tidak kisah jika pembuat dasar, pentadbir atau akademia turut serta dalam gerak kerja aktiviti mereka, tetapi bukan untuk mencari nama dan glamour atau menyuruh-nyuruh pelajar seperti seorang mandur mengarah kuli bawahan. Golongan muda ini mengharapkan para pembuat dasar, pentadbir dan akademia turut sama memahami dan berkongsi kepayahan dan kesulitan mereka dalam beraktiviti serta mencari jalan untuk MEMUDAHCARA secara BIJAKSANA.

PZ amat kecewa dengan sesetengah pembuat dasar, pentadbir dan akademia yang rasa puas apabila melihat pelajar GAGAL dalam melaksanakan aktiviti atau menghadapi kesulitan. Sindrom "padan muka engkau" menebal di kalangan segelintir pembuat dasar, pentadbir dan akademia yang sembrono mendukung idea of authority, bukannya authority of idea.

Tanggungjawab seorang pembuat dasar, pentadbir dan akademia di menara gading tidak dibatasi oleh perimeter ruang pejabat, bilik mesyuarat atau dewan kuliah semata-mata. Bekerja di menara gading mengundang kewajipan yang tidak sedikit untuk membentuk generasi pewaris kepimpinan dengan acuan yang sebenarnya supaya mereka menjadi individu BIJAKSANA, MATANG dan RASIONAL.

Buktikan dengan komitmen, bukan sembang kosong atau awta. Menara gading adalah benteng terakhir di mana survival agama, ummah dan watan boleh bergantung. Kebijaksanaan ditimbang di atas neraca ILMU bukannya POLITIK SEMPIT. Pedulikah kita terhadap masa depan generasi pengganti ini? Teringat PZ terhadap nukilan Sasterawan Rendra dari Indonesia: Perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata...

Monday, September 14, 2009

Cendekiawan Celup?



Mohon maaf sekiranya entri PZ kali ini menyinggung perasaan mana-mana teman yang berada dalam dunia akademik, baik sebagai pensyarah atau pendidik. Jika tidak kerana apa yang PZ lihat sendiri waktu di pejabat petang tadi, idea untuk menulis entri ini tidak akan muncul.

Lazimnya, para ahli akademik, pensyarah dan pendidik dikenali sebagai golongan bijak pandai cendekiawan. Panggilan yang cukup mulia, menggambarkan kebijaksanaan dan ketinggian ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Sebagaimana yang pernah PZ nyatakan dalam entri sebelum ini, PZ amat-amat menghormati golongan ini, terutamanya guru-guru yang pernah mendidik PZ.

Seorang ahli akademik dan pensyarah menjadi medan rujukan kerana bidang kepakaran mereka. Walaupun kadangkala isu yang dirujuk itu tidak berkait secara langsung dengan bidang kepakaran mereka, namun itu cukup menggambarkan betapa ulasan dan pandangan golongan ini mempunyai nilai yang diyakini. Kepercayaan ini adalah penghormatan, dan penghormatan ini perlu dipelihara sebaiknya supaya golongan cendekiawan diakui kebijaksanaan mereka bersuara dengan jujur dan ikhlas, jauh sekali dari menyalahguna kepercayaan itu untuk kepentingan perut, puak dan peribadi.



Sarjana silam mencurahkan sepenuh masa dan tenaga untuk mengembangkan ilmu pengetahuan bagi manfaat sejagat. Usaha pengembangan ilmu pengetahuan dilakukan dalam jerih payah serta serba kekurangan, namun hasil penemuan dan ciptaan mereka memberi impak besar terhadap kemajuan tamadun manusia pada abad-abad seterusnya. Lihat sahaja kegigihan Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Imam al-Bukhari, Alexander Graham Bell, Wright Bersaudara dan lain-lain. Impak besar penemuan dan ciptaan para sarjana dan ilmuan ini didasarkan kepada pokok persolan utama iaitu BERUSAHA dan MEMANFAATKAN ILMU PENGETAHUAN.

Sayang seribu kali sayang. Masa beredar dan zaman berubah. Kesarjanaan dan intelektualisme yang sepatutnya menjadi kewajipan (Hadith Rasulullah SAW: Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam) telah berubah arah menjadi satu kerjaya. Pada PZ, itu masih tidak mendatangkan apa-apa masalah. Namun, lazimnya, kerjaya akan berkait dengan struktur sesuatu organisasi dan secara langsung akan menyentuh soal birokrasi. Apakah para ahli akademik, pensyarah dan pendidik masa kini meletakkan pengembangan illmu pengetahuan sebagai prioriti pertama atau apakah hal tersebut telah menjadi agenda sampingan yang didahului dengan prioriti untuk naik pangkat dengan cepat, mengampu, mencari jawatan, populariti dan kedudukan? Jika premis kedua itu menjadi prioriti, negara dan umat bakal berada dalam keadaan yang amat genting!

Ya, apa yang PZ lalui petang tadi? Seorang pensyarah yang berkemahiran dalam bidang bahasa telah ditugaskan untuk membuat terjemahan daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris untuk beberapa petikan teks yang perlu dimuatkan ke dalam sebuah buku untuk disembahkan kepada Sultan sebuah negeri. Jadi, sudah tentu kerja terjamahan tersebut mestilah dilakukan dengan teliti terutamanya bagi mengelakkan kejanggalan bahasa dan struktur maksud direct translation. Sebagai seorang pensyarah bahasa, tentu sekali staf tersebut berkeupayaan melaksanakannya, ini satu ujian terhadap penguasaan ilmu bahasa yang dimilikinya, kalau tidak, masakan dilantik sebagai Pensyarah Universiti Gred DS45 pada usia muda?



Apabila tiba tarikh akhir tugasan iaitu petang tadi, naskah terjemahan dikembalikan untuk suntingan akhir. TERKEJUT! Inikah hasil terjemahan seorang pensyarah? PZ mengeluh panjang dan menggeleng-geleng. Ayat-ayat terjemahan yang dikemukakan dalam naskah tersebut adalah direct translation! Akibatnya amatlah memalukan jika naskah yang sedemikian rupa diterbitkan. Lebih mengejutkan PZ apabila pensyarah itu sendiri mengakui, beliau hanya menggunakan Google Translator untuk menyiapkan tugasan itu. Sedih PZ, inikah rupa ahli akademik yang boleh diharapkan untuk menyemarakkan budaya kesarjanaan di kampus? PZ mengharapkan kemahiran beliau (yang sepatutnya banyak membaca karya berkualiti) untuk dimanfaatkan bagi tugasan terjemahan yang diberikan. Setakat menggunakan Google Translator, tidak perlu PZ menggunakan khidmat waima seorang Profesor Emiritus sekalipun, cukup dengan menyuruh kerani PZ melakukannya!

Jadi teman-teman, itulah gambaran realitinya. PZ percaya, senario ini juga berlaku di institusi-institusi lain. Amat jelek apabila ahli akademik sendiri tidak mahu membaca. Amat parah apabila ahli akademik sendiri tidak menghayati firman sulung Allah Taala dalam al-Qur'an iaitu Iqra'. Betapa terhinanya dunia akademia dan runtuhnya budaya kesarjanaan jika institusi-institusi kita dipenuhi oleh ahli akademik seperti ini!

Dalam renungan panjang, PZ melihat dengan penuh gusar, apakah untung nasib anak watan dan ummah jika keadaan ini berterusan? Teman-temanku, kembalikanlah kesarjanaan!

Marathon...


Apa yang dikejar di laluan ini?
Rakaman lensa PZ di Jalan Sungai Koyan - Ringlet. November 2008.

Mengejar hari. Itu gambaran tepat tentang kehidupan PZ mutakhir ni. Sisa baki hari dihitung dengan debaran yang tidak berkesudahan. Minda PZ diketuk-ketuk dengan pernyataan my life is not gonna be the same again after this. Ya, realiti yang perlu PZ relakan dan kerelaan itu hadir dengan pengorbanan yang tidak sedikit. Kotak fikir PZ dihambat dengan persoalan-persoalan mengenai masalah penyesuaian, adjustment, gaya hidup, tanggungjawab dan seumpamanya. Hanya Tuhan yang mengerti perasaan PZ kala ini...

Marathon. Mengejar masa. Dua perkara yang saling berkaitan. Marathon, perlumbaan di laluan yang panjang dan demikianlah PZ sedang bermarathon yang bakal memasuki fasa baru selepas ini. Apa agaknya yang dikejar dalam hidup kita? Wang? Pangkat? Kuasa? Pujian?

Memang seronok apabila punya wang yang banyak, tetapi apakah pemburuan wang tersebut seimbang dengan makanan rohani dan ketenteraman jiwa? Bertambah seronok lagi apabila punya pangkat yang besar. Orang lain sentiasa memandang tinggi kepada kita, namun takut juga jika kebesaran pangkat itu menyebabkan kita jadi riak dan takabur. Bertambah besar diri jika punya kuasa yang tiada batasan. Seolah-olah dunia milik kita dan dengan kuasa yang ada maruah dan harga diri orang lain boleh dibeli. Apakah itu yang kita mahu? Pujian memang diharapkan, ada orang menganggapnya sebagai sumber motivasi diri, namun dalam banyak hal pujian itu adalah pembunuh senyap yang meratah keikhlasan hati dengan ujub diroi.

Sepanjang 29 tahun marathon di medan ini, PZ masih mencari identiti dan jatidiri hakiki. Marathon yang cukup panjang dan laluannya masih terbentang untuk PZ terokai. Apa yang pasti, di sebalik pencarian identiti dan jatidiri, PZ mengharapkan kebahagiaan dan ketenangan jiwa. Apa yang PZ akan hadapi tidak lama lagi ini, Insya-Allah bakal menghiasi laluan marathon PZ selepas ini.

Catatan pendek PZ buat pagi ini. Baru kembali dari perjalanan ke rumah kakak sulung PZ di Jasin, Melaka. Jam 12.30 tengah hari 13 September PZ bertolak dari teratak kediaman, dan tepat 12 jam berikutnya PZ kembali semula, memang marathon kan? Pagi nanti selepas Subuh kena bertolak ke tempat kerja lak...

Wednesday, September 9, 2009

090909

090909. Tarikh yang cukup unik. Lewat PZ pulang, waktu telah pun 11.15 malam apabila kereta kerdil PZ menjengah garaj rumah. Badan letih dan lesu, namun ingin PZ kongsikan sesuatu yang mungkin tidak berkaitan atau mungkin juga berkaitan dengan teman-teman atau mereka yang mengenali PZ. 090909 seharusnya dilihat dengan mata ceria, tetapi kehadiran 090909 menyebabkan PZ berfikir tentang sesuatu...ya, soal BERTERIMA KASIH dan MENGENANG BUDI.

Sempat semasa berbuka puasa tadi, PZ berbicara mengenai soal TERIMA KASIH dan KENANG BUDI dengan salah seorang teman PZ. Kata Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa "Melayu mudah lupa." Ramai yang melenting dan merasa bahawa seolah-olahnya Tun Mahathir menghina bangsa Melayu dengan kenyataan tersebut. Mudah sekali Melayu melenting kan? Terlalu emosional dan tidak berfikir panjang. Jadi, bagaimanakah bisa bangsaku berubah?

Memang Melayu mudah lupa. Berat, tapi PZ mesti mengakui hakikat ini. Betapa sukarnya peluang untuk melanjutkan pengajian di IPTA ketika ini. Tetapi berapa ramai dari kalangan anak-anak Melayu yang menghargai peluang yang telah diberikan untuk berada di universiti-universiti awam seluruh negara. Dengan kos pengajian yang rendah, anak-anak Melayu ini sepatutnya memberikan yang terbaik dari sudut pencapaian akademik mereka.

Tuesday, September 8, 2009

Sistem atau Sikap?


Keghairahan PZ untuk menghabiskan baki syarahan bagi sub-topik Undang-undang Perkongsian terbantut sangat-sangat malam ni gara-gara alat penyaman udara yang gagal berfungsi dengan baik dalam bilik kuliah. Tidak lagi berfungsi menyamankan udara, alat tersebut menjadi pemanas udara, seolah-olahnya PZ dan pelajar-pelajar sedang mengikuti kuliah pada musim dingin. Akhirnya, PZ terpaksa tambah kelajuan pada malam ni supaya kuliah habis awal dan para pelajar PZ dapat keluar dari 'ketuhar' itu. Tapi Alhamdulillah, akhirnya habis kuliah mengenai Undang-undang Perkongsian dan akan bersambung semula selepas Eidul Fitri dengan Undang-undang Syarikat.

Masalah sambungan internet terus menghambat PZ daripada mengemaskini entri dalam blog ni pada hari semalam. Banyak yang menarik untuk dikongsi tapi ilham tinggal ilham apabila gagal dikemaskini. Ya, cabaran dan dugaan Ramadhan. Dan tentunya, tak terbanding kesulitan ini dengan cabaran yang akan PZ lalui 25 hari dari sekarang.

Sekali lagi dalam kuliah tadi, PZ membuka celoteh mengenai prestasi semasa pelajar PZ. Masalah utama yang membelenggu mereka, dan mungkin rakan-rakan mereka di IPTA lain ialah penguasaan Bahasa Inggeris. Ya, apa pokok persoalannya? Kegagalan sistem pendidikan atau sikap pelajar sendiri?



Tiada sistem yang sempurna di dunia ini kerana kesempurnaan hanya milik Allah Yang Maha Esa. Namun, hakikat itu tudak seharusnya menghalang kita daripada berkreativiti dalam pelbagai sudut dan lapangan bagi menghasilkan penambahbaikan yang dapat mengupayakan perubahan. Jika kegagalan sistem pendidikan dijadikan alasan, maka apakah sumbangan kita sebagai warganegara dinamik yang bertanggungjawab untuk menyuntik pengubahsuian tanpa menggugat kerangka sistem tersebut untuk menatijahkan sesuatu yang bermanfaat? Maka persoalan ini PZ lontarkan untuk direnung oleh para pelaksana dasar, pegawai-pegawai kerajaan dan para pendidik.



Pendeta Zaa'ba pernah menyatakan bahawa perangai bergantung pada diri sendiri. Personaliti individu ditentukan oleh sikap yang dibentuk daripada persekitarannya. Tiada jalan lain untuk bergerak maju ke hadapan tanpa aliran deras transformasi ke arah kemajuan. Hari ini seharusnya lebih baik berbanding semala, dan hari esok sepatutnya lebih bermakna berbanding hari ini.

Ternyata, ledakan era digital telah membentuk citra baru generasi muda yang turut meliputi siswa dan siswi di IPT. Lain sekali citranya berbanding era PZ di UIAM dahulu. Tanpa internet, rencat para siswa kita. Perpustakaan sangat culas untuk didekati dan bahan-bahan bacaan berkualiti kemiskinan pembaca. Di mana siswa siswi kita?

Tatkala menjadi siswa di Institut Teknologi Bandung (ITB), Soekarno, Bapa Kemerdekaan Republik Indonesia telah menulis puluhan rencana dan artikel di pelbagai penerbitan bagi meniupkan semangat revolusi dan kesedaran kepada rakyat Indonesia untuk bangun sebagai bangsa merdeka. Pada usia semuda 20an, beliau telah berupaya menulis dengan kupasan yang amat ilmiah mengenai falsafah dan teori politik, walaupun secara ikhtisasnya, Soekarno adalah seorang jurutera.

Lantas, sikap adalah perkara utama yang perlu ditransformasi oleh siswa siswi kita jika mahu dilihat sebagai pemain global, dan bukan sekadar produk sebuah kilang pengajaran. Ramai lagi siswa siswi kita yang berperangai dengan karenah seorang pelajar sekolah yang dependen, sedang mereka berada dalam lingkungan menara gading yang menuntut mereka menjadi individu kental, berfikiran rasional dan matang sebagai seorang yang independen. Masa tidak banyak berbaki buat siswa dan siswi ini, dan sekiranya transformasi kendiri tidak dicetuskan sekarang, pastinya negara ini akan digerakkan jenteranya oleh manusia-manusia robotik yang tidak menguasai perkara lain melainkan bidang ikhtisas mereka sahaja. Rugi, sunnguh rugi.

Jadi wahai siswa dan siswi sekalian, PEDULIKAH ANDA?

Sunday, September 6, 2009

Guru, Kepimpinan dan Kuasa

SK (LKTP) Purun, Bera. PZ bertamu di sini
buat kali kedua.

Selesai sudah tugasan singkat PZ selama sehari di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Purun, Bera. Bagi teman-teman yang belum tahu, LKTP adalah singkatan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, yang lebih sinonim dengan akronim Inggerisnya, FELDA - Federal Land Development Authority.

Bertamu sehari di sekolah tersebut, melihat bakat para pelajar PZ mengendalikan slot akademik bersama calon-calon UPSR di sana, bertandang ke Bazar Ramadhan FELDA Purun, berbuka puasa, bertarawih dan akhirnya berpisah di penghujung malam ke-16 Ramadhan meninggalkan kesan yang mendalam buat PZ yang setiap detik menghitung hari. Ya, tinggal 27 hari lagi...

Ini kali kedua PZ bertandang ke sekolah tersebut, setelah kunjungan yang pertama pada 17 hingga 19 Julai 2009 yang lalu. Alhamdulillah, ada sinar peningkatan yang ketara pada prestasi calon UPSR, dan semasa ucapan penutup semalam, Guru Besar menyuarakan keyakinannya bahawa sekurang-kurangnya 15 orang calon akan memperolehi 5A, Insya Allah. Berdasarkan pengamatan PZ, unjuran ini adalah realistik berdasarkan perkembangan semasa calon-calon tersebut.

Ingin PZ kongsikan dalam coretan kali ini mengenai komitmen dan pengorbanan warga pendidik. Dunia pendidikan bukan asing buat PZ, PZ datang dari keluarga guru, abah dan arwah bonda merupakan pesara Guru Besar, dua kakak dan adik perempuan PZ adalah guru dan PZ juga seorang pensyarah, selain tugas hakiki sebagai pentadbir. Kebetulan pula, tanpa dirancang dan diketahui, Cikgu Jamaludin Mustafa, Guru Besar SK (LKTP) Purun yang PZ kunjungi semalam juga adalah bekas pelajar kepada abah PZ di SK Pusat, Pekan, pada tahun 1967 iaitu 42 tahun yang lalu.

Kecemerlangan pelajar di sesebuah sekolah ditentukan oleh tiga elemen pokok: kecerdasan, komitmen guru dan kualiti kepimpinan Guru Besar atau Pengetua. Sepanjang perkhidmatan PZ, telah banyak sekolah rendah dan menengah yang telah PZ jelajahi dan memang tiga elemen di atas sentiasa berkait rapat. Pelajar yang pandai akan hilang motivasi jika guru bersifat negatif dan pesimistik; guru yang rajin dan bersungguh-sungguh akan luntur komitmennya apabila diperlecehkan Guru Besar atau Pengetua; dan Guru Besar atau Pengetua yang berkepimpinan tinggi akan menghadapi masalah besar jika para guru tidak memberi kerjasama dan para pelajar sentiasa memberontak. Fenomena ini kerap berlaku dan akan terus berlaku kerana itulah realiti dunia pendidikan yang menitikberatkan kesempurnaan insan, namun pada realitinya, tiada sesiapa yang sempurna. Tetapi inisiatif perlu sentiasa digerakkan.



PZ terharu melihat komitmen Guru Besar dan guru-guru SK (LKTP) Purun bagi menjayakan program para pelajar PZ di sana. Bergotong-royong memasak, menghidang makanan dan mengemas bersama dengan semua guru hadir, termasuk pasangan mereka. Ya, kepimpinan, kepimpinan yang turun padang adalah aset utama kepada sekolah ini. Para pelajar PZ dan PZ sendiri sampai naik segan dengan layanan istimewa yang diberikan itu. Ya, sesungguhnya para guru telah banyak berkorban. Walau apapun tanggapan negatif sesetengah pihak kepada penjawat profesion mulia ini, bagi PZ hanya mereka yang bergelumang dalam dunia tersebut sahaja akan mengerti keperitan menjadi seorang guru, khususnya pada zaman sekarang. Cabarannya, amat-amatlah getir.

Teringat PZ petikan puisi Allahyarham Usman Awang yang masyhur bertajuk Guru oh Guru yang dinukilkan pada tahun 1979:

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.



Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.



Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.



Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Sajak ini memang sangat-sangat mengesankan buat PZ, khususnya pada bait-bait yang PZ merahkan tulisannya. Apa agaknya yang PZ kerjakan sekarang kalau tidak didesak oleh para guru untuk bersungguh-sungguh belajar semasa di Sekolah Rendah Kebangsaan Ahmad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad dulu? Terima kasih kepada guru-guru kerana dapat melentur PZ daripada kenakalan kepada kejayaan...PZ amat hargai.

Berbalik kepada soal kepimpinan sekolah tadi, PZ amat berkeyakinan, kepimpinan berkesan adalah kepimpinan yang mengutamakan authority of idea dan bukannya idea of authority. Ini PZ petik dari gagasan pemikiran bos PZ. Kepimpinan memang berkait rapat dengan soal kuasa, namun kuasa yang mengiringi kepimpinan mestilah digunakan secara bijaksana dan bukannya disalah guna. Intelektualisme mestilah mendasari penggunaan kuasa mengatasi dengan sejauh-jauhnya kepentingan diri, puak dan juak, politik dan lain-lain. Soalnya kini ialah, adakah kepimpinan di semua peringkat dan lapangan pada hari ini didasari oleh intelektualisme?


Authority of Idea ATAU Idea of Authority?

 
Menutup entri ini, PZ ingin perturunkan mutiara panduan yang diberikan oleh mantan bos PZ mengenai
KUASA:
1. Pentadbir perlu tahu bila masanya untuk mendengar pandangan dan nasihat orang lain;
2. Pentadbir perlu tahu bila masanya untuk membuat keputusan menggunakan KUASA budi bicaranya;
3. Pentadbir perlu juga tahu bila masanya untuk berkompromi antara budi bicaranya dan pandangan orang lain;
4. Perkara 1 hingga 3 di atas perlu ada pada diri pentadbir sejati yang berdaya kepimpinan, perkara 1 hingga 3 tidak boleh berdiri sendiri tanpa dukungan satu sama lain kerana ia akan merosakkan kepimpinan;
5. Pentadbir yang hanya tahu mendengar pandangan orang lain dalam membuat keputusan adalah pemimpin yang lemah dan tidak berkeyakinan;
6. Pentadbir yang hanya tahu menggunakan kuasa budi bicaranya semata-mata tanpa meraikan pandangan pihak luar adalah seorang DIKTATOR yang mabuk kuasa; dan
7. Pentadbir yang hanya tahu berkompromi adalah musuh dalam selimut yang tidak kita sedari kerana dia tiada pendirian dan hanya ingin popular bagi mengekalkan survival kuasanya.
Mutiara panduan ini, PZ pegang sejak mula berkhidmat dengan kerajaan sehingga kini. Alhamdulillah, mutiara panduan ini amat-amat membantu, khususnya dalam membina jati diri dan daya tahan PZ. Ya, kuasa yang tidak dilingkari dengan iman dan keinsafan tidak akan menambah baik, malah akan membinasakan.






Saturday, September 5, 2009

Sudah terhantuk baru terngadah!




Sengaja PZ masukkan entri untuk hari ni awal-awal. Takut-takut malam ni tak termasukkan sebab sejam dua lagi PZ akan ada tugasan luar daerah ke Bera, lebih tepat Sekolah Kebangsaan (LKTP) Purun, Bera hingga esok hari. Tempatnya agak terpencil dan memang sah Celcom Broadband PZ akan kaku.

Ya, Bera adalah daerah yang paling junior di Negeri Pahang ni. Diwujudkan pada tahun 1992, kawasan daerah Bera adalah percantuman beberapa kawasan dalam Daerah Temerloh dan Maran. Memang jarang disebut nama daerah ni, tapi sekarang ni mungkin dah dikenali sikit memandangkan Ahli Parlimen Bera ialah Dato' Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merangkap bapa kepada artis Dafi.

Itu sedikit latar belakang Bera, tapi PZ bukan nak bercerita tentang tempat ni. Itu PZ reserve untuk entri akan datang.



Sambil PZ memandu ke pejabat pagi ni, sinis juga PZ bila mendengar iklan advokasi keselamatan jalan raya yang diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di IKIM.fm. Tidak ada apa yang lucu atau luar biasa tentang iklan tu, cuma lensa analisa PZ tiba-tiba menyorot ruang fikir tentang keberkesanan kempen-kempen sebegini, sedang kadar kemalangan terus-terusan meningkat, kenderaan berat terus bermaharajalela di atas jalan raya dan pelumba-pelumba haram terus rancak berpesta.

Sudah terhantuk baru terngadah, itu persepsi lazim tentang aspek penguatkuasaan di Malaysia. Kalau berlaku kemalangan, yang ditunding ialah sikap pengguna jalan raya. To certain extent memang PZ akui dan setuju. Namun lebih dari itu, PZ melihat bahawa aspek yang perlu perhatian maksimum ialah menutup ruang dan pintu yang boleh menyebabkan para pengguna kenderaan berlagak semasa di jalan raya.

Sehingga kini, PZ belum melihat satu komitmen yang benar-benar serius daripada agensi-agensi penguatkuasa - PDRM, JPJ, KDRM, JKJR dan lain-lain untuk mengawal aktiviti perniagaan kedai-kedai aksesori kenderaan dan bengkel ubahsuai yang memang banyak di negara kita. Berniaga bagus, tapi lihat apa impak daripada keghairahan para pemilik kenderaan yang terdiri dari orang-orang muda dan tua berbelanja besar untuk menambah aksesori dan mengubahsuai. Jawapan-jawapan lazim - "Untuk kepuasan sendiri", "Duit aku, aku punya suka, bukan duit bapak engkau pun", "Kereta ni kita kena belai" dan lain-lain, ya, ya seribu jawapan pun boleh diberi sebagai justifikasi.

Cuba teman-teman lihat di jalan raya, yang berlagak memecut laju dengan bunyi ekzos macam bot nelayan, yang membising dengan audio disko dan seumpamanya adalah orang-orang yang PZ nyatakan di atas. Apa tujuan dan motifnya? Memang untuk riak! Inilah sebenarnya ancaman yang perlu ditangani oleh agensi-agensi penguatkuasa. Sedih juga PZ melihat, di kalangan anggota agensi penguatkuasa ini, ada juga makhluk-makhluk yang spesis itu, maka akhirnya pi mai pi mai tang tu juga.



Ada juga yang menghujah, "kita tiada kuasa" atau "belum ada undang-undang mengenai perkara tersebut". Kasihan dan belas PZ kepada pegawai-pegawai tinggi yang boleh keluarkan kenyataan sebegini. Ketua-ketua Pengarah dan Pengarah-pengarah, anda dibayar gaji oleh Kerajaan yang dibiayai oleh pembayar cukai untuk merancang dengan strategik, memimpin agensi anda untuk BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT terbanyak. Justeru, keutamaan anda ialah memelihara kepentingan umum. PZ juga adalah pegawai kerajaan, banyak sudah PZ saksikan, kerusi-kerusi pengurusan kanan di jabatan-jabatan kadang-kadang (tidak semua) sekadar dipanaskan kerana gred JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) sama ada JUSA A, B atau C, malah kadang-kadang Gred TURUS pun, yang menjadi idaman pegawai-pegawai kerajaan. Telah ditakdirkan Allah Taala mendapat jawatan tersebut, Alhamdulillah, tetapi gunakanlah peluang tersebut untuk menambah baik kualiti perkhidmatan supaya rakyat melihat pegawai-pegawai kanan ni buat kerja.

Makanya, jika tidak ada legislation bagi sesuatu perkara, maka buatlah kajian untuk menggubalnya. Penguatkuasaan perlu dijalankan, without fear or favour. Kita sering sinis dan bersentimen dengan Republik Singapura, tapi lihat penguatkuasaan di sana. Rakyat Singapura masuk Malaysia pula memandu laju dan menjadi pengotor, kenapa? Sebab mereka tahu kita tidak serius lantas menjadikan negara kita litar lumba dan tong sampah mereka. Tidak terhinakah kita?


Teringat PZ maksud hadith Junjungan Agung, "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin dipertanggungjawabkan atas pimpinannya...". Soal amanah bukan mainan yang boleh dijual beli. Sabda Rasulullah lagi, "Tanpa orang munafik itu tiga: Apabila berbicara dia berdusta, apabila diberi amanah dia khianat dan apabila berjanji dia mungkir."

Menutup entri ni, PZ minta sahabat-sahabat dalam agensi-agensi penguatkuasa bermuhasabah supaya jangan jadi pengkhianat tanpa sedar. ALLAH melihat dan rakyat menilai...