Mengharungi penerbangan pulang dari kota Tian Jin selama enam jam, PZ selamat tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) tepat jam 10:00 malam, 20 Disember. Berbaris panjang untuk urusan imigresen, bersesak pula di lapangan tuntutan bagasi dan mengisi perut dengan santapan larut malam, LCCT hanya ditinggalkan lewat jam 12:30 tengah malam, 21 Disember. Tiba di teratak PZ empat jam setengah kemudian, PZ hanya dapat lena seusai solat Subuh, itu pun hanya untuk empat jam sahaja!
Ya, hampir seminggu PZ kembali semula ke Republik Rakyat China yang telah PZ tinggalkan bulan Jun lepas. Bezanya hanya musim. Kala ziarah pertama enam bulan lalu, kota Beijing masih suam dengan awal musim panasnya, dan berbeza benar kali ini, tubuh kering PZ digigit kedinginan melampau musim sejuk, hingga menjangkau -10'Celcius! Satu pengalaman baharu buat PZ.
Sesekali berkelana menjauhkan diri dari timbunan kerja dan masalah di pejabat ternyata menjadi riadah minda yang amat berkesan. Meskipun amat meletihkan, namun ia terbit dari perencanaan sendiri, tiada kaitannya dengan urusan rasmi yang dibayangi protokol dan peraturan yang menjengkelkan. Kita bebas merencana sendiri dan mengembara dengan berdikari.
Kembali semula ke tanah air, PZ syukur kerana segalanya sempurna terlaksana. Walau sehebat mana pun negeri orang, namun tempat sendiri juga yang lebih selesa. Buat PZ, tahun baharu 2011 yang kini berada di ambangnya menakung satu titik soal besar - ke mana arah PZ selepas ini?
No comments:
Post a Comment