Mendung langit tengkujuh nampaknya awal benar hadir tahun ini. Telah 12 hari November merangkak masuk untuk melengkapkan peredaran tahun 2010 dan sepanjang tempoh itu, hampir setiap hari bumi dibasahi titik hujan yang silih berganti renyai, sederhana dan lebat. Syukur kerana lebat tengkujuh tahun ini telah awal dicerap, justeru dapat PZ katakan bahawa di pelbagai peringkat, kelihatan persediaan yang baik terencana untuk menghadapi kemungkinan bencana bah. Itulah yang sepatutnya. Berupaya membuat jangkaan dan bersedia dalam perimeter ramalan itu. Pelan tindakan telah disusun, sekaligus mengurangkan budaya "sudah terhantuk baharu terngadah" dan buat kerja pada saat akhir, yang kerap mencacatkan persepsi massa kepada sesetengah agensi dan jabatan kerajaan. Harapan PZ, biarlah indah perencanaan pada dada kertas itu molek diterjemah di peringkat pelaksanaan kelak.
Tanpa menghiraukan hari yang basah ini, PZ mengharung pangkal malam untuk meluangkan masa berjeda bersama seorang sahabat. Enak bersembang bertemankan kopi secangkir, pelbagai perkembangan jadi bahan tukaran bualan. Kebanyakannya berkisar dalam lingkungan perencanaan tahun baharu PZ, yang telah banyak kali PZ kiaskan dalam puisi-puisi yang mengisi perantauzaman sebelum ini. Banyak sekali petunjuk dan petanda yang PZ perolehi minggu ini. Berpaksikan panduan yang PZ pinta dalam doa kepada-Nya, pelbagai perkembangan yang melatari minggu ini cukup membantu PZ mencatur pilihan dan seterusnya memuktamadkan keputusan. Amat-amat PZ insafi bahawa tiada banyak lagi masa yang berbaki. Permulaan tahun baharu 2011 perlu diengkapkan dengan perancangan rapi mengenai laluan kerjaya yang melorongkan kelana penghidupan PZ.
Alhamdulillah, walaupun mungkin awal benar untuk PZ menetapkan laluan yang bakal diikuti selepas ini, namun baharulah sekarang dapat PZ rasakan keupayaan yang lahir dari diri untuk menyakini keputusan yang akan dibuat. Kunci-kunci jawapan kepada beberapa soalan penting berhubung laluan kerjaya dan kelana PZ telah memberikan tindak balas, lantas membolehkan PZ menyusun rentak dan langkah seterusnya.
Pun begitu, PZ amat menginsafi hakikat bahawa apa jua pilihan yang bakal dimuktamadkan, diri ini tidak dapat memuaskan hati semua orang. Atas kesedaran bahawa if you want to satisfy everybody, you will satisfy nobody, PZ perlu menimbangkan opsyen yang paling baik dan bermanfaat untuk kebajikan diri ini buat masa sekarang. Pastinya akan ada yang mempersoal dan mempertikaikan apa jua keputusan yang akan dibuat, namun biarlah mereka terus-terusan begitu. Pada PZ, Allah Ta'ala jualah yang Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu.
No comments:
Post a Comment