Seminggu berlalu tanpa sebarang catatan bertamu di laman ini. Bukan kerana pudarnya minat atau kekeringan ilham, namun rentetan dugaan yang menimpa dalam tempoh seminggu yang lepas sejak catatan terakhir menyebabkan PZ sedikit celaru minggu ini.
Redha dengan suratan takdir, sehari selepas entri "Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri", PZ terlibat dengan satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Kajang SILK pada 17 Oktober 2009. Mujurnya tiada calar luka hinggap di tubuh, namun PZ akur dengan kerosakan yang dialami kereta kerdil PZ. Impak kemalangan menyebabkan kereta PZ terdampar di atas longkang di bahu jalan selepas hilang kawalan semasa hujan renyai. PZ terima kejadian ini dengan tabah dan penuh syukur. Syukur kerana PZ selamat. Syukur kerana kejadian ini tidak berlaku di laluan sunyi. Syukur kerana melalui kejadian ini, PZ dapat bermuhasabah, meneropong jauh ke dalam lubuk hati serta menginsafi kekurangan diri ini.
Akibat kemalangan ini, terlantarlah kereta kerdil PZ di sebuah bengkel panel di Balakong untuk tempoh kurang lebih sebulan. Lebih dari itu, peristiwa ini mengajar PZ erti sebuah persahabatan. Pernah PZ nyatakan beberapa kali sebelum ini bahawa perkara yang paling PZ cherish kala berkhidmat di institusi ini ialah saat bersama para pelajar PZ. Susah senang ditempuh seperti saudara kandung. Ya, para pelajar inilah yang turun padang menghulurkan khidmat ikhlas dan sukarela untuk majlis peribadi PZ 9 Oktober lalu walaupun PZ menjemput mereka sebagai tetamu. Seminggu selepas detik gembira itu, para pelajar itulah juga yang turun membantu kala PZ ditimpa kemalangan. Daripada urusan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, menumpangkan tempat tidur dan menghantar PZ pulang ke Pahang pada 17 dan 18 Oktober. Alhamdulillah, Allah Taala memberikan kemudahan kala PZ ditimpa kesulitan dengan adanya insan-insan mulia ini.
Walau apa pun, life goes on. Hanya ini yang dapat PZ coretkan saat ini. Pastinya ada hikmah di sebalik peristiwa ini...
Thursday, October 22, 2009
Friday, October 16, 2009
"Perangai bergantung pada diri sendiri"
Hitam putih kehidupan, hala dan arah perjalanan, sendiri yang menentukan.
Untung nasib sempurna lancar jalannya, silap perhitungan terbabas ke jalan mati.
Rakaman lensa PZ di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor. Jun 2009.
Satu lagi hari Jumaat menjengah kehidupan PZ. Telah dua hari PZ kembali bertugas selepas bercuti panjang. Seperti yang dijangka, banyak kerja yang menanti untuk PZ selesaikan, khususnya kerja-kerja tulis menulis, karang mengarang, sunting menyunting dan lain-lain lagi. Apa yang pasti, PZ kembali menghadap rutin.
Tidak pernah pula PZ menyangka cuti panjang memberi impak psikologi terhadap prestasi dan produktiviti kerja kita. Alhamdulillah, berbanding semalam, PZ rasa lebih segar dan selesa mengusaikan tugasan. Walaupun tidaklah sampai melibatkan penggunaan tenaga dan keringat, cuma memerah idea dan mengharap curahan ilham dari kotak minda, secara ikhlas PZ hilang fokus tatkala mula bertugas semalam. Ada beberapa draf teks ucapan dan alu-aluan yang memerlukan sentuhan akhir PZ, namun sehingga petang, ilham dan idea yang dinanti tidak kesampaian. Pulang ke rumah dengan keletihan minda dan tidur seawal pukul 9.30 malam.
Ya, dalam entri yang lepas, PZ ada berkongsi dengan teman-teman mengenai Mahatma Gandhi dan pengalamaannya mencari dirinya yang sebenar melalui karyanya The Story of My Experience With Truth. PZ juga pernah menukilkan dalam blog ini bahawa jangan memanjakan diri sendiri adalah antara kaedah yang penting untuk meneroka peribadi dan personaliti. Biasakan diri dengan kesusahan, walaupun sebenarnya kita mampu, tetapi janganlah sampai menjadi kufur nikmat pula. Memanjakan diri sendiri hanya akan menyebabkan kita menjadi complacent dan akhirnya punya peribadi yang rapuh prinsip dan tiada pendirian, seperti lalang yang ditiup angin.
Semasa beliau mula tiba di London untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-undang, Gandhi menyangka bahawa beliau perlu bersikap dan bergaya seperti seorang Inggeris untuk membolehkannya hidup sempurna di sana. Mengikut saranan rakan-rakannya, Gandhi berbelanja besar untuk membolehkannya dipandang sebagai a civilized gentleman dan berperwatakan seperti seorang Inggeris. Dengan cara ini, Gandhi berharap dapat menemui kebenaran yang dicari-carinya. Beliau mendaftar untuk kelas tarian, belajar menggesek biola, membeli evening suit dan lain-lain. Semuanya melibatkan belanja yang tidak sedikit, dan tambah menyulitkan lagi keupayaan kewangannya. Kehidupan artificial ini tidak menyeronokkan buatnya dalam dalam buku tersebut beliau menulis:
I had not to spend a lifetime in England, I said to myself. What then the use of learning elocution? And how could dancing make a gentleman of me? The violin I could learn in India. I was student and ought to go on with my studies. I should qualify myself to join the Inns of Court. If my character made a gentleman of me, so much the better. Otherwise I should forego the ambition.
These and similar thoughts possessed me, and I expressed them in a letter which I addressed to the elocution teacher, requesting him to excuse me from further lessons. I had taken only two or three. I wrote similar letter to the dancing teacher, and went personally to the violin teacher with a request to dispose of the violin for any price it might fetch. She was rather friendly to me, so I told her how I had discovered that I was pursuing a false idea. She encouraged me in the determination to make a complete change.
Petikan di atas sebenarnya berkait dengan self-discovery dan keutamaan (priorities) dalam kehidupan kita. Mencari diri kita yang sebenar menyedarkan kita mengenai persoalan adalah kita orang yang berprinsip atau ikut-ikutan. Membedah lanjut karya ini, yang mana akan PZ perturunkan pula dalam entri akan datang, akan membawa kita memahami bahawa perubahan datang dari dalam jiwa kita. Kata Pendeta Za'aba "Perangai bergantung kepada diri sendiri". Perubahan diri sesekali tidak boleh dipaksakan kerana ia akan menyebabkan seseorang hanya menipu dirinya sendiri dan berlakon di hadapan orang lain. Dalam hal ini, PZ sentiasa percaya pada prinsip be yourself.
Tuesday, October 13, 2009
Di celah dentuman guruh...
Musim tengkujuh. Langit muram, hujan mencurah, laut gelora.
Si nelayan termenung panjang kerana terhenti mata pencarian.
Rakaman lensa PZ di Tanjung Gosong, Pekan pada Disember 2007
sewaktu mengiringi Naib Canselor UMP meninjau keadaan banjir
besar di Pekan dan melawat mangsa banjir di sana.
Seingat-ingat PZ, cuaca begitu panas di bumi Pahang sejak dua minggu lepas. Panas yang amat terik dan merimaskan, seolah-olahnya seperti musim kemarau yang lazimnya melanda antara bulan Mac hingga Ogos. Oktober menyaksikan musim tengkujuh dengan angin monsun timur lautnya yang membawa hujan lebat hinggalah lewat Januari.
Telah hampir sembilan hari PZ bercuti, ya antara cuti yang paling panjang pernah PZ ambil sepanjang lima tahun perkhidmatan dengan kerajaan. Menyelesaikan apa yang perlu di sini sana, dan akhirnya termenung kosong apabila kebosanan mula melanda. Terlalu panjang cuti kali ini, dan pagi tadi PZ memandu 70 kilometer ke pejabat. Alangkah leganya melihat bilik kerja PZ di Bangunan Canseleri, melihat kampus dan sebentar dapat meluangkan masa tengah hari dan petang menikmati minuman ringan dan makanan lewat petang bersama pelajar-pelajar yang rapat. Jam telah menunjukkan pukul 6.30 petang kala PZ mula memandu pulang ke Pekan. Saat melalui Lebuhraya Tun Razak menghala ke Paloh Hinai, langit mula menghitam diselubungi awan yang amat-amat tebal dengan letusan sinar kilat yang kerap. "Pasti hujan lebat malam ni", getus hati PZ, dan ketika kereta kerdil PZ menyeberangi Sungai Pahang di Paloh Hinai sekitar pukul 6.50 petang, nyatalah gumpalan awan hitam yang PZ saksikan itu terlalu besar dan panjang, merentang dari kawasan Temai hinggalah ke Salong, menurut anggaran PZ, jarak yang tidak kurang dari 30 kilometer.
Memang tepat telahan PZ, di tengah-tengah terik cuaca Oktober, hujan ribut yang amat lebat melanda malam ini, dan entri ini ditulis di celah-celah dentuman petir dan sabungan kilat.
Tujuh hari berselang sejak entri terdahulu dan seminggu yang lepas menyaksikan peristiwa-peristiwa penting menghiasi diari hidup PZ. Bermula dengan episod penting pada 3 Oktober, ia berakhir dengan penganugerahan Ijazah Sarjana Undang-undang Perbandingan kepada PZ sempena Majlis Konvokesyen UIAM ke 25 pada 10 Oktober. Tamat sebuah episod, dan dalam masa lima tahun akan datang , PZ mencabar diri sendiri untuk mendapatkan ijazah PhD pula, so there is not a single moment to lose. Keutamaan kini ialah mengejar ijazah PhD, walau apa jua rintangan dan dugaannya. Dalam hal ini, falsafah yang dinadikan oleh karya-karya mendiang Mahatma Gandhi begitu mempengaruhi prinsip PZ. Menyingkap karya beliau berjudul My Experience With Truth, teman-teman akan dapat melihat perjuangan Gandhi untuk mencari identiti dan siapa dirinya melalui kaedah tidak memanjakan diri sendiri. Karya tersebut PZ beli dengan RM10.00 di Borders Times Square Kuala Lumpur beberapa tahun lepas, judul yang sangat bagus untuk dibaca.
Ramai teman yang bertanya siapa yang PZ 'hentam' dalam entri Yang Hampas dan Yang Waras, tetapi PZ enggan komen. Biarlah PZ simpan komen tersebut untuk diluahkan melalui saluran rasmi - Mesyuarat Post-Mortem Majlis Konvokesyen Komemoratif & Konvokesyen Ke-4 UMP tidak lama lagi. PZ ambil tanggungjawab penuh terhadap luahan rasa dalam entri tersebut. Lebih baik beterus terang dari mengumpat kosong ibarat seorang pengecut di belakang tabir.
Bangsa kita rosak dan diselaputi kudis hasad dan dengki kerana ramai orang takut untuk berterus terang dan berkata benar di hadapan. Takut untuk berkata benar dan menegur kesilapan kerana takut tidak dinaikkan pangkat, diboikot dan hilang kawan. Sedih PZ lihat orang-orang seperti ini, yang memang ramai melata di sekeliling kehidupan kita. Mereka lupa, rezeki datang dari Allah Taala, dan bukannya manusia. Ya, kita dituntut untuk berbuat baik sesama manusia, namun, tuntutan tersebut tidaklah sampai hingga sehingga kita mesti MENDUSTAKAN KEBENARAN hanya untuk menjaga perasaan orang lain. Bangsaku seringkali alpa tentang perkara ini dan akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana. Sedang Rasulullah S.A.W. pernah bersabda "Katakanlah kebenaran walaupun pahit."
Pernah PZ berbicara dengan salah seorang rakan sekerja di kampus. "Kita ni tak boleh berterus terang sangat menegur kesilapan orang, nanti susah, orang tak suka kita pulak nanti, kenaikan pangkat pun susah", demikian pendapatnya. PZ hormati dengan penuh sinis pendapat tersebut. Kecewa dan hampa pun ada. Bagaimana bisa bangsaku maju jika semua orang berfikiran seperti ini? Kita berkhidmat untuk negara dan teguran yang kita utarakan adalah untuk kepentingan bersama, supaya kesilapan yang sama tidak diulangi lagi, supaya generasi akan datang dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik, dan yang paling utama, kita tidak dicerca seranah oleh generasi hari esok kerana tidak memperbetulkan kesilapan yang dilakukan pada hari ini.
Guruh telah berhenti berdentum, cuma kilat masih sekali-sekala mencakar langit malam. Perlu atau tidak entri ini diteruskan? Cukup dulu buat kala ini. Insya-Allah, akan PZ perturunkan petikan daripada My Experience With Truth karya mendiang Mahatma Gandhi dalam entri akan datang.
Sebelum PZ terlupa, ingin PZ rakamkan perasaan bangga dengan kelancaran Majlis Konvokesyen PZ di UIAM tanggal 10 Oktober yang lepas. Walaupun ada sedikit kecacatan setelah PZ teliti semula rakaman DVD majlis tersebut, namun yang pastinya sebagai graduan, PZ berpuas hati dengan suasana majlis yang menggambarkan kesarjanaan sebuah institusi, meninggalkan kesan yang mendalam kepada sekalian yang hadir, kerana alunan indah irama gamelan mengiringi penganugerahan ijazah kepada graduan, bukannya muzik hampas seperti yang PZ nyatakan dalam entri lepas!
Tuesday, October 6, 2009
Yang hampas dan yang waras
Uniqueness comes from simplicity...
Rakaman lensa PZ di Air Papan, Mersing. Jun 2009.
Menghilangnya PZ buat beberapa hari bukanlah bermakna minat menulis telah lenyap dari jiwa ini. Pelbagai acara dan majlis mengisi waktu PZ beberapa hari lepas menyebabkan Perantauzaman kekontangan entri baru untuk bulan Oktober 2009. 3 dan 4 Oktober 2009, PZ melalui hari yang paling besar dan bermakna dalam sejarah 29 tahun kewujudan PZ di mayapada ini. PZ tidaklah berhajat untuk berkongsi apa yang berlaku pada tarikh tersebut kerana Perantauzaman diwujudkan untuk membicarakan soal-soal semasa sekitar masyarakat dan umat, dan PZ tidak mahu fokus Perantauzaman berubah menjadi paparan peribadi pula.
Apa yang pasti, Majlis Konvokesyen Ke-4 Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 3 Oktober 2009 datang serentak dengan tarikh keramat dalam diri PZ. Hari Konvokesyen yang amat bermakna kepada para pelajar yang amat PZ kasihi dan hari yang paling penting dalam kehidupan peribadi PZ. Demi untuk tidak meninggalkan salah satu daripada kedua-dua acara penuh makan itu, PZ tangguhkan majlis peribadi yang sepatutnya berlangsung pada sebelah petang kepada malamnya bagi membolehkan PZ menyaksikan beberapa orang pelajar yang paling rapat dengan PZ menerima skrol diploma dan ijazah mereka dan yang paling penting, dapat bergambar dengan mereka. Mereka ini (tidak perlulah PZ namakan) telah bersama-sama dengan PZ kala senang dan susah tanpa sebarang jurang, walaupun PZ seorang pegawai dan mereka hanya pelajar biasa. Keakraban silaturrahim ibarat saudara kandung bersama mereka menyebabkan PZ dihurung kesayuan dan kepiluan yang amat sangat sepanjang 83 kilometer ke Bandar Muadzam Shah setelah selesai menyaksikan konvokesyen mereka.
Berbicara tentang Majlis Konvokesyen Komemoratif dan Konvokesyen Ke-4 UMP yang bermula pada 3 Oktober dan selesai pada hari berikutnya, lensa analisa PZ dicuit-cuit untuk mengemukakan beberapa pandangan, yang pada PZ lebih merupakan luahan kekesalan. Kesal kerana perkara yang sama diulangi walaupun telah ditegur berkali-kali.
Irama yang terhasil daripada susunan muzik yang teratur akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada emosi mereka yang mendengar. Oleh sebab skor muzik yang ber'aura'lah, maka filem-filem yang kita tonton di kaca televisyen atau di pawagam seolah-seolah mempunyai jiwa dan hidup, membawa emosi para penonton untuk tertawa dan menangis, seolah-olah mereka juga sebahagian daripada filem tersebut.
Maka tidak hairanlah, filem-filem Barat mendapat untung yang tidak sedikit, bukan sahaja daripada hasil tayangan, tetapi juga jualan soundtrack. Filem-filem seperti A Bridge Too Far (1977), Gandhi (1982) dan lain-lain dikatakan mempunyai soundtrack terbaik. Justeru, komposisi muzik mempunyai peranan yang amat besar dan signifikan bagi menghidupkan suasana atau 'ruh' sesebuah majlis dan acara. Kata Ibnu Khaldun, "Barangsiapa yang tidak tersentuh jiwanya mendengar gesekan biola, orang itu mempunyai hati yang amat keras."
PZ bukanlah seorang yang terlatih dan berkepakaran dalam bidang muzik dan seni suara, tetapi mengetahui sedikit sebanyak bidang ini melalui pembacaan sendiri, bertanya orang itu dan ini dan belajar daripada internet. Sekurang-kurangnya, PZ boleh juga menentukan kesesuaian irama menurut suasana dan membezakan IRAMA MUZIK YANG HAMPAS dengan IRAMA MUZIK YANG WARAS.
Susunan irama muzik yang mengiringi Majlis Konvokesyen Ke-4 Sidang Pertama pada petang 3 Oktober 2009 yang lalu bagi PZ amat-amat MEMALUKAN nama UMP. Susunan yang serba tidak kena, bunyi irama seolah-olah nada dering telefon bimbit dan seumpamanya MEROSAKKAN aura Majlis Konvokesyen Ke-4 yang pertama kali dilangsungkan di Dewan Kompleks Sukan UMP.
Konvokesyen adalah majlis yang agung kepada sesebuah universiti. Kedudukannya ibarat majlis pertabalan seseorang Raja atau majlis pengurniaan darjah kebesaran. Justeru, setiap gerak, tindakan dan atur cara yang mendasari majlis tersebut perlulah mencerminkan keagungan sesebuah universiti. Tertib berpakaian, susun atur tempat duduk, dan muzik iringan adalah perkara-perkara pokok yang perlu diberikan perhatian serius.
Konvokesyen juga adalah saat yang amat berharga bagi seseoua tiga orang graduan. Mungkin ada yang mengikuti dua tiga lagi konvokesyen lagi selepas ini untuk ijazah sarjana dan doktor falsafah, tetapi bagi sebahagian besar graduan, ini sahajalah sekali peluang merasai sebuah majlis agung di universiti. Muzik yang dimainkan, jika disusun dengan penuh kejiwaan, akan meninggalkan nostalgia dan nilai sentimental yang tidak sedikit dalam kalangan graduan. Setiap generasi graduan akan mendengar muzik perarakan yang sama, lantas akan mengenang asal mereka sebagai alumni UMP.
PZ telah mengikuti konvokesyen UMP sejak edisi pertamanya pada tahun 2006. Sehingga tahun lepas, muzik iringan boleh dikatakan baik, dengan persembahan langsung daripada kumpulan gamelan dan orkestra, tetapi tahun 2009 yang sepatutnya mencatatkan sejarah sebagai konvokesyen ulung di premis UMP, dimalukan dengan muzik iringan yang meletakkan taraf UMP seperti sebuah tadika dan kelas pra-sekolah dengan muzik yang boleh diubah-ubah sesuka hati. Di universiti, kita bercakap tentang kesarjanaan, ya kesarjanaan yang perlu dijiwai oleh semua. Budaya kesarjanaan seharusnya meletakkan UMP sebagai institusi yang lain dari yang lain. Kata Rasulullah s.a.w, "Setiap amalan itu bergantung kepada niat". Janganlah hendaknya menara gading dijadikan komoditi untuk menjual beli pangkat dan anugerah, ampu sana dan ampu sini, apatah lagi mencari publisiti murahan.
Merenung balik kejadian semasa Konvokesyen Ke-4 UMP ini, sebagai warga sebuah menara gading, PZ amat kecewa. Sekali lagi PZ menyeru, KEMBALIKANLAH KESARJANAAN!
Tuesday, September 29, 2009
Masihkah musim punya simpati?
"Saat wajah musim beralih ganti, sang ombak hilang mesranya,
Bayu menghembus kasar, camar enggan bertamu, si pelayar tak sudi berlabuh."
Rakaman lensa PZ di Pulau Gemia, Terengganu. Jun 2007.
Minggu yang amat sibuk di sini. Pelbagai acara mewarnai Majlis Konvokesyen Komemoratif dan Majlis Konvokesyen Ke-4 Universiti Malaysia Pahang. Jadual PZ minggu ini dipenuhi dengan mesyuarat, raptai, jemputan ke majlis perasmian dan lain-lain. Minggu ini juga minggu yang kritikal buat kehidupan peribadi PZ kerana tarikh keramat tersebut hanya tinggal empat hari sahaja lagi. Namun, PZ hanya akan mulai bercuti mulai 5 September sehingga 14 September. Minggu terakhir ini PZ manfaatkan sebaiknya untuk menyelesaikan tugas-tugas yang sepatutnya supaya tiada yang tertangguh sepanjang ketiadaan PZ.
Kisah Kacang Lupakan Kulit menanti-nanti untuk disambung ke Bahagian Kedua. Kotak fikir PZ juga telah merangka-rangka draf untuk Bahagian Kedua kisah tersebut, namun kesibukan minggu ini memperlahankan limpahan ilham untuk menyusun sambungan Kacang Lupakan Kulit.
Justeru, untuk entri kali ini, cukuplah bagi PZ berkongsi dengan teman-teman sebuah puisi yang pernah PZ nukilkan lebih setahun yang lepas. Membelek-belek arkib puisi yang begitu lama tidak dikemaskini, PZ terjumpa puisi Masihkah Musim Punya Simpati? yang bagi PZ, berkait rapat dengan minggu paling kritikal ini. Puisi ini PZ nukilkan kala dugaan getir yang melanda kerjaya PZ tahun lepas.
Masihkah musim punya simpati?
Dalam sayup rembang hari
Bersama lemah bayu samudera biru
Sebuah pulau terdampar sendiri
Mengharap ziarah pelayar payar usang
Menumpangkan jejak di putih bebutir pasir.
Lena pulau itu segar dalam belaian
Sang ombak tak jemu dengan belai gemalai
Menziarahi jajar pasir di landai pantai...
Saat jingga ufuk
Camar pula bertamu di celah dinding batu
Penunggu setia memelihara lena pulau itu
...agar terus tenang dalam peraduannya.
Namun kadangkala lena pulau itu terusik juga
Saat wajah musim beralih ganti
Sang ombak hilang mesranya
Bayu menghembus kasar
Camar enggan bertamu
Si pelayar tak sudi berlabuh.
Hampir tak terlawan gelombang arus
Setiap kali menerjah peralihan musim
Pulau itu sekadar ingin lena tenang di tengah biru samudera
...mengharap belas alam dan musim
yang makin celaru oleh gelojoh umat si pelayar di sayup pantai sana...
Dalam samar masih terdengar nyanyian sunyi sang camar
Dalam keliru musim terlihat robek butir pasir ditelan ombak
Dalam jingga ufuk senjakala
Pulau itu cuba untuk lena
...tanpa mesra ombak
...tanpa lembut bayu
...tanpa ziarah si pelayar
Merenung kosong samudera
Mencongak rentak
...masihkah musim punya simpati?
Pekan
27 Mei 2008
4.05 pagi
Friday, September 25, 2009
Nota Jumaat
2.36 petang. Berhenti sebentar PZ setelah mengharungi trafik yang agak sesak antara Kuala Terengganu ke Kuantan. Kereta kerdil PZ meninggalkan Bandaraya Kuala Terengganu tepat jam 11.36 pagi, dan kini, dari Secret Recipe Bandar Indera Mahkota, Kuantan, jari-jemari PZ mengetuk-ngetuk papan kekunci komputer riba untuk memuatkan paparan kisah hari ini.
Berakhir sudah musafir singkat PZ sempena Syawal kali ini. Musafir kali ini sarat dengan pengertian yang biarlah PZ simpan sendiri. Namun yang pastinya, PZ 'menemui' apa yang PZ cari-cari setelah tiga kali musafir singkat ini bertamu setiap kali menjelangnya Syawal. Segala-galanya berkait dengan cabaran, dugaan, perasaan dan matlamat kehidupan. Sepanjang musafir singkat kali ini, PZ dapat berinteraksi dalam keadaan yang paling ikhlas dengan diri PZ dan menginsafi bahawa betapa diri ini penuh dengan kelemahan dan kekurangan. Dalam keadaan seperti itu, tiadalah yang lebih bermakna selain sujud, berdoa dan memohon keampunan daripada-Nya. Masa kian kritikal buat PZ dan Alhamdulillah, buat pertama kalinya PZ dapat merasakan sekelumit keyakinan, keberanian dan kekuatan untuk menghadapi masa yang berbaki tujuh hari lagi ini. Keinsafan yang mendalam bertamu di jiwa PZ, dan terima kasih kepada mereka yang banyak menghadiahkan mutiara nasihat dan panduan kepada PZ sepanjang musafir singkat ini.
Jauh di sudut hati PZ, terdetik kesedaran yang tidak sedikit...ya, betapa mudah kita melakukan maksiat dan dosa dan melupakan ingatan Ilahi, namun Allah Taala tidak pernah culas mendengar rintihan dan memakbulkan permintaan hamba-Nya yang selalu alpa...titis jernih air mata mengalir setiap kali mengenang kelemahan diri ini, betapa kasih-Nya Allah Taala dengan sifat Pengampun dan Penyayangnya kepada kita..

Thursday, September 24, 2009
Politik atau Poli-itik?
Sepatutnya PZ telah kembali ke Pekan hari ini. Namun, memandangkan ada satu dua urusan yang PZ tidak dapat usaikan segera, perjalanan pulang terpaksa PZ tangguhkan kepada hari Jumaat, 25 September. Terik matahari mulai pagi hingga lewat petang menyengat-nyengat tubuh PZ, seolah-olah bumi Kuala Terengganu tak disirami titisan gerimis semalam.
Beberapa kawasan tumpuan di bandaraya ini masih sesak dengan kunjungan, terutamanya sekitar Pasar Besar Kedai Payang, Giant dan Mydin. Ditambah pula dengan kenderaan bertali-arus membawa perantau yang kembali ke destinasi mereka, kesesakan di Kuala Terengganu hari ini agak memeningkan kepala.
Seperti biasa, PZ ambil kesempatan dalam musafir singkat di KT ini untuk berjumpa dengan bekas pelajar dan sebagaimana lazim, polemik tentang pelbagai isu tidak ketinggalam mengisi ruang perbualan kami. Seronok kami berbicara tentang soal peranan ahli politik di Malaysia, adakah golongan ini benar-benar berkhidmat kepada rakyat ATAU adakah golongan ini menggunakan rakyat sebagai alat? Persoalan ini PZ tujukan kepada ahli politik di semua peringkat tanpa mengira parti dan ideologi yang mereka dukungi.
Salah satu isu yang menarik bicara kami ialah intelektualisme para ahli politik Malaysia. Dalam alam persaingan politik Malaysia yang 'serba tidak kena' dan sukar dijangka kini, para ahli politik memerlukan paradigma baharu dalam pendekatan mereka untuk memenangi hati rakyat. Masyarakat kini, khususnya generasi muda sangat kritis dan analitis menghalakan pemerhatian mereka terhadap gelagat para ahli politik dari semua parti. Pendekatan memperlekeh, memperkecil, memperbodoh, apatah lagi berhujah atas emosi, ekstrimisme dan tohmahan SAMA SEKALI tidak relevan lagi. Sikap menunjuk-nunjuk, berlagak dan feudalis yang dibangga-banggakan oleh sesetengah ahli politik hanya akan mengundang kemarahan rakyat.
Berserderhana, turun padang, menghormati taulan dan lawan dan intelektual, demikian ciri yang perlu ada pada ahli politik kita. Maaf, PZ percaya ramai kalangan ahli politik yang kurang membaca, tidak fasih berbahasa sopan, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai prioriti utama. Paradigma baharu politik Malaysia perlu diisi dengan kematangan, kesaksamaan dan kesarjanaan. Dahulu, PZ minat juga untuk terjun ke alam politik, gaya permainan politik dalam parti-parti politik, apatah lagi antara part-parti politik amat menggerunkan PZ. Bukan takut mengambil risiko, tapi PZ jelek dengan budaya cantas-mencantas, hasad dengki dan KEDANGKALAN AKAL BUDI yang menjangkiti parti-parti politik di Malaysia. Meneliti kisah perjuangan ahli-ahli politilk silam, PZ terharu dan kagum dengan semangat khidmat mereka yang amat tinggi. PRINSIP PERJUANGAN dan KHIDMAT KEPADA RAKYAT mestilah mengatasi keserakahan mencari projek, mengaut keuntungan material, mencari publisiti peribadi serta mendahulukan puak bedrbanding rakyat. Teman-teman yang berkelapangan, jemputlah membaca kisah perjuangan Allahyarham Dato' Onn, Tun Dr. Ismail, Aziz Ishak, Tunku Abdul Rahman dan Allahyarhamah Khadijah Sidek. Ini antara tokoh-tokoh politik yang boleh dicontohi ketegasan mereka mempertahankan prinsip.
Tidak lewat untuk ahli-ahli politik yang telah tersasar untuk kembali menginsafi tujuan sebenar mereka memasuki dunia politik. PZ bersyukur tidak berada dalam dunia tersebut. Cukuplah PZ melontarkan pandangan dari menara gading ini. Bagi PZ, menara gading adalah benteng terakhir di mana survival agama, bangsa dan negara dapat disandarkan.
PZ - without fear or favour. Kepada Allah berserah...

Subscribe to:
Posts (Atom)