Thursday, December 30, 2010

Transisi

Semalam Yang Pergi. Barangkali itu puisi PZ yang terakhir sebelum 2010 melabuhkan tirainya kurang tiga hari lagi. Melalui puisi yang mengisi entri 28 Disember tersebut, PZ rumus dan gulung lembaran dan rentetan peristiwa yang mewarnai hidup PZ sepanjang tahun 2010 ini. Segalanya berkaitan dengan  liku cabaran, dugaan dan ujian. Tidak perlu PZ panjang-panjangkan lagi kupasan mengenainya kerana hampir semua puisi yang menghiasi perantauzaman sepanjang 2010 bercerita tentang perkara yang sama.

Biarlah pahit kenangan itu berlalu pergi. Bertatih-tatih PZ melangkah dalam serba kesulitan sepanjang tahun ini. Tidak ramai, hanya segelintir yang benar-benar PZ percayai sahaja tahu apa yang telah berlaku. Selebihnya, PZ sandarkan kepada ilmu Allah Ta'ala Yang Maha Luas dan hanya pandangan-Nya sahaja yang PZ harapkan. Tidak upaya bagi PZ memberitahu, apatah lagi menyuruh-nyuruh orang lain untuk memahami apa sebenarnya yang telah berlaku.

Dalam rangkak ketidakpastian itu jugalah, kotak minda PZ tidak lepas dari memikirkan corak hidup baharu sebaik melangkah ke tahun 2011. Titik noktah telah dipasakkan pada segala kedukaan dan kekecewaan, maka diri PZ perlu bangkit dengan jiwa dan nafas baharu tanpa dihantui semalam yang pergi.

Dengan panduan Allah Ta'ala jua maka 29 Disember 2010 menyinarkan hijrah buat diri ini. Transisi kerjaya - sesuatu yang tak terjangka langsung akan berlaku sesegera ini. Perkembangan iklim sosial semasa di tempat kerja mencabar neraca minda PZ untuk mencatur keputusan sesingkatnya. Bukan senang dan tidak mudah untuk PZ meninggalkan rutin yang telah enam tahun dilazimkan. Tetapi pastinya, laluan baharu ini akan lebih merasionalkan PZ untuk fokus terhadap perkara-perkara pokok yang perlu PZ beri perhatian.

Habis cerita lama. Buka cerita baharu. Minggu-minggu awal ini agak kaku buat PZ, walaupun dalam suasana yang sama. Ya, kekakuan itu sebenarnya lebih tertumpu kepada pelarasan norma dan budaya kerja untuk disesuaikan dengan iklim baharu ini. PZ akur dengan ketentuan Allah Ta'ala ini. Azam PZ - menyelesaikan urusan pengajian bagi menggenggam ijazah Doktor Falsafah dan seterusnya memartabatkan diri sebagai cendekiawan yang bermaruah!

Sekali pun amat berat, PZ meyakini janji Allah Ta'ala dalam ayat 286 Surah al-Baqarah. Tidak perlu kipas dan ampu, jauh sekali mengorbankan kemuliaan prinsip sebagai cagaran rezeki dan pandangan dangkal insan. Hanya Allah Ta'ala Yang Maha Berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya!


Wednesday, December 29, 2010

"Semalam Yang Pergi"

Semalam
wajah itu murung durja
tanpa upaya...

Semalam
jiwa itu duka hampa
tanpa daya...

Semalam
hati itu lara nestapa
putus asa...

Semalam
diri itu hanyut keseorangan
meniti rapuhan dahan
merangkak kebasahan
tika lebat hujan perasaan
menakung kekecewaan bercurahan...

Semalam
diri itu telah hampir hilang tunjangan
tiada ketahuan arah haluan
dek kekecewaan yang merompak keyakinan
lantas terlonta-lontalah dia sendirian
menongkat tapak atas secebis kekuatan
walau kala itu dia tahu tiada lagi harapan...

Itu kisah semalam
liku riwayat melengkapi sebuah kehidupan
denai duri ranjau menghampar ujian
dan diri itu keseorangan
menapak, merangkak dan tersungkur kesakitan
tangisnya tiada kedengaran
hanya kelihatan air matanya berlinangan...

Itu kisah semalam
tatkala diri itu di ambang kejatuhan
tatkala diri itu telah hilang kepercayaan
tatkala diri itu longlai dimamah penderitaan
tiada lagi manisnya kehidupan
hanya menadah caci celaan...

dan hari ini
diri itu bangkit dari longlainya
jiwa itu pulih dari hampanya
hati itu reda dari laranya
bersama sinar cahaya suria
2011 hadir dengan kudratnya
tiada bertongkat lagi dia...

Hari ini
...ada azam ditempa
...ada harapan dibina
...ada janji dikota...

Hari ini
tangis syukur pula hadir mengganti
air mata putus asa tiada lagi
betapa sabarnya dia menanti
benar wa'ad-Mu wahai Ilahi
hikmah di celah penderitaan ini...

Alhamdulillah...


Wednesday, December 22, 2010

Pulang jua

Mengharungi penerbangan pulang dari kota Tian Jin selama enam jam, PZ selamat tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) tepat jam 10:00 malam, 20 Disember. Berbaris panjang untuk urusan imigresen, bersesak pula di lapangan tuntutan bagasi dan mengisi perut dengan santapan larut malam, LCCT hanya ditinggalkan lewat jam 12:30 tengah malam, 21 Disember. Tiba di teratak PZ empat jam setengah kemudian, PZ hanya dapat lena seusai solat Subuh, itu pun hanya untuk empat jam sahaja!

Ya, hampir seminggu PZ kembali semula ke Republik Rakyat China yang telah PZ tinggalkan bulan Jun lepas. Bezanya hanya musim. Kala ziarah pertama enam bulan lalu, kota Beijing masih suam dengan awal musim panasnya, dan berbeza benar kali ini, tubuh kering PZ digigit kedinginan melampau musim sejuk, hingga menjangkau -10'Celcius! Satu pengalaman baharu buat PZ.

Sesekali berkelana menjauhkan diri dari timbunan kerja dan masalah di pejabat ternyata menjadi riadah minda yang amat berkesan. Meskipun amat meletihkan, namun ia terbit dari perencanaan sendiri, tiada kaitannya dengan urusan rasmi yang dibayangi protokol dan peraturan yang menjengkelkan. Kita bebas merencana sendiri dan mengembara dengan berdikari.

Kembali semula ke tanah air, PZ syukur kerana segalanya sempurna terlaksana. Walau sehebat mana pun negeri orang, namun tempat sendiri juga yang lebih selesa. Buat PZ, tahun baharu 2011 yang kini berada di ambangnya menakung satu titik soal besar - ke mana arah PZ selepas ini?