Saturday, November 13, 2010

Dia Maha Mengetahui

Mendung langit tengkujuh nampaknya awal benar hadir tahun ini. Telah 12 hari November merangkak masuk untuk melengkapkan peredaran tahun 2010 dan sepanjang tempoh itu, hampir setiap hari bumi dibasahi titik hujan yang silih berganti renyai, sederhana dan lebat. Syukur kerana lebat tengkujuh tahun ini telah awal dicerap, justeru dapat PZ katakan bahawa di pelbagai peringkat, kelihatan persediaan yang baik terencana untuk menghadapi kemungkinan bencana bah. Itulah yang sepatutnya. Berupaya membuat jangkaan dan bersedia dalam perimeter ramalan itu. Pelan tindakan telah disusun, sekaligus mengurangkan budaya "sudah terhantuk baharu terngadah" dan buat kerja pada saat akhir, yang kerap mencacatkan persepsi massa kepada sesetengah agensi dan jabatan kerajaan. Harapan PZ, biarlah indah perencanaan pada dada kertas itu molek diterjemah di peringkat pelaksanaan kelak.

Tanpa menghiraukan hari yang basah ini, PZ mengharung pangkal malam untuk meluangkan masa berjeda bersama seorang sahabat. Enak bersembang bertemankan kopi secangkir, pelbagai perkembangan jadi bahan tukaran bualan. Kebanyakannya berkisar dalam lingkungan perencanaan tahun baharu PZ, yang telah banyak kali PZ kiaskan dalam puisi-puisi yang mengisi perantauzaman  sebelum ini. Banyak sekali petunjuk dan petanda yang PZ perolehi minggu ini. Berpaksikan panduan yang PZ pinta dalam doa kepada-Nya, pelbagai perkembangan yang melatari minggu ini cukup membantu PZ mencatur pilihan dan seterusnya memuktamadkan keputusan. Amat-amat PZ insafi bahawa tiada banyak lagi masa yang berbaki. Permulaan tahun baharu 2011 perlu diengkapkan dengan perancangan rapi mengenai laluan kerjaya yang melorongkan kelana penghidupan PZ.

Alhamdulillah, walaupun mungkin awal benar untuk PZ menetapkan laluan yang bakal diikuti selepas ini, namun baharulah sekarang dapat PZ rasakan keupayaan yang lahir dari diri untuk menyakini keputusan yang akan dibuat. Kunci-kunci jawapan kepada beberapa soalan penting berhubung laluan kerjaya dan kelana PZ telah memberikan tindak balas, lantas membolehkan PZ menyusun rentak dan langkah seterusnya.
 
Pun begitu, PZ amat menginsafi hakikat bahawa apa jua pilihan yang bakal dimuktamadkan, diri ini tidak dapat memuaskan hati semua orang. Atas kesedaran bahawa if you want to satisfy everybody, you will satisfy nobody, PZ perlu menimbangkan opsyen yang paling baik dan bermanfaat untuk kebajikan diri ini buat masa sekarang. Pastinya akan ada yang mempersoal dan mempertikaikan apa jua keputusan yang akan dibuat, namun biarlah mereka terus-terusan begitu. Pada PZ, Allah Ta'ala jualah yang Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu.

Thursday, November 11, 2010

"Tiada lagi ragu"

Berliku-liku denainya ditempuhi
Meranduk payau rawa
Mendaki tinggi gunung
Menuruni cangkat lembah
Calar-balar cakar duri menggarisi
Kematu telapak menjejaki
Ceruk sudut diterokai
Mencari pengertian hakiki.

Rentak persoalan bertingkah iramanya
Di celah sulam simpulan duka dan suka
sambil lagu silam dan hari muka didendang
di ambang persimpangan
...memori, nostalgia dan pilihan
...dan seri wajah-wajah meruntun jiwa.

Berliku-liku denainya
Rumit sulit timbang nilainya
merumus saksama caturan
...agar tiada cedera tiada luka
...agar pengorbanan sekali ini
berlaba mulia
di hujung hari muka.

Hampirlah sudah
liku-liku denai itu disusur sendiri
sukakah sebaliknya
harus wujud jawapannya
harus ada bicara putusnya
supaya tiada tersungkur lagi
oleh rapuh yakin diri
telah jiwa bicara:
"Tidak untuk kali ini!"
detik telah menyapa
doa ditadah mohon pada-Nya
tiada lagi ragu
untuk aku ceria berlagu:
"Ya, masanya telah tiba!"

Tuesday, November 9, 2010

"Bersama Tengkujuh November"

Basah laman hati
Kala tengkujuh November menyirami
bersama gema angin badai pesisir
hadirlah ia sekali lagi
di hujung jalur tahun
mengisi ruang nan sepi.

Basah laman hati
Oleh lelah keringat perah fikir
menerjah segenap penjuru arah
menjejaki kunci tembok masalah
merungkai lilit persoalan
menghambat diri
di tengah sunyi perjalanan ini.

Basah laman hati
Jiwa menakung titis tangis
angin badainya seolah tak tertangkis
...ceria dihakis
...senyum dikikis
...tawa ditepis
ke manakah sekaliannya habis?

Basah laman hati
disapu seorang diri
cukuplah yang lain sekadar memerhati
tiada dipaksa untuk memahami
biarlah diri itu sendiri mencari
pedih parah dideritai
biarpun tiada siapa di sisi...
Bersama tengkujuh November
...biarkan derita itu berlalu pergi.


Friday, November 5, 2010

"Ditelan mati emak..."

November. Kurang dua bulan lagi tahun baharu 2011 akan menjengah. Beralihlah lagi putaran masa dan berubahlah pula warna suasana. Cuma persoalannya, adakah kita semua akan terus berada di pentas dan tahap yang sama? Sukar sekali untuk diramal, apatah lagi dengan perkembangan mutakhir, terutamanya yang bersangkutan dengan kehidupan PZ.

Kembara PZ ke Kuala Kangsar telah hampir seminggu disudahkan. Singkat cuma, namun mengandungi aneka makna dan pengertian. Mengeratkan ukhuwwah, dan pada masa yang sama melebarkan jaringan silaturrahim. Ya, indah sekali jika semangat persaudaraan seagama itu dihayati sepenuhnya. Menghormati kepelbagaian ragam manusia dan menerima perbezaan dengan hati yang lapang lagi terbuka. Aman kehidupan dan ceria dunia. Tiada nilai untuk dipaksakan dan tiada resam untuk dilazimkan. Dalam erti kata yang lain, menerima seadanya.

Kembali semula ke laman kehidupan biasa, terasa sekali bahawa telah hampir benar ketikanya untuk PZ membuat pilihan lagi. Telah lama babak ini PZ tinggalkan, dan begitu berat bagi PZ untuk mengulangnya lagi. Namun, jika itulah ketentuan dan keperluan yang terbaik untuk diri ini buat masa sekarang, maka redhalah PZ untuk menabahkan hati menghadapinya. Kosong ruang masa yang panjang merentang sejak berakhirnya Majlis Konvokesyen Ke-5 pada 9 Oktober lalu sehinggalah saat ini telah melorongkan kotak fikir PZ untuk menaakul dan mencatur, dan seterusnya menetapkan arah tujuan bagi tahun 2011. Situasinya tidaklah mudah berbanding masa-masa yang lalu, memandangkan beban, komitmen dan tanggungjawab yang tidak pernah menipis. Segalanya menuntut sehalus-halus pertimbangan, penilaian dan perhitungan.

Menyorot perkembangan-perkembangan yang disaksikan dan alami minggu ini, minda cetek PZ menduga bahawa ada alamat dan petanda yang jelas untuk segera membuat pilihan dan memuktamadkan keputusan. Dalam suasana yang dibayangi keyakinan dan ketidakpastian yang silih berganti hadir, begitu sukar untuk PZ menopangkan diri pada pelantar yang benar-benar stabil. Maka, rujukan kepada Yang Maha Pencipta jualah yang lebih awla dalam situasi genting seumpama ini. Ibaratnya seumpama "ditelan mati emak, diluah mati bapak."

Dalam ketidakyakinan itu, PZ berterima kasih kepada mereka di sekeliling PZ yang memahami dan sentiasa setia memberi sokongan moral. Satu mesej pesanan ringkas (SMS) yang diterima beberapa hari yang lalu sedikit menghadirkan kudrat untuk PZ membuat penilaian dan perhitungan yang benar-benar sempurna dan saksama dalam masa terdekat ini. Bicara sang pengirim dalam SMS beliau:

"Bila hati berjuang kerana Allah, dugaan itu tempat bersinggah;
Keperitan ditelan sebagai juadah, kejayaan dianggap mimpi indah;
Semoga Allah memberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan."

Kepada sang pengirim, PZ hargai pesanan tersebut dan dihulurkan ucapan jazakallah.