Seperti biasa jika ada kesempatan, Kemaman Kopitiam di Seri Dagangan 2, Kuantan menjadi lokasi PZ bersendirian mencari ilham atau meredakan tekanan. Maka malam tadi di sana, hampir sejam lebih PZ meneliti angkasa kelam dan mencari kilauan bintang di celah awan malam. Bertemankan segelas besar kopi O panas untuk mengekalkan haba dalam tubuh, PZ bergelut dengan ketidakselesaan hidung dan kerongkong, alamat jangkitan selesema.
Dua hari berehat di kampung halaman, dan keadaan cuaca yang tidak ketentuan dingin panasnya ternyata memberi kesan kepada tubuh PZ, malah dengan cepat dan mudah berbekas, kerana telah hampir seminggu PZ tidak mengunyah bekalan vitamin C dari buah oren yang kebiasananya dijamah sekurang-kurangnya dua biji setiap hari. Sekembali ke rumah, dua biji buah kiwi dimamah dan segera PZ baluti tubuh dengan gebar tebal untuk mengurangkan rasa tidak sihat tersebut. Mungkin ini adalah kemuncak kepada kecelaruan fikiran PZ kebelakangan ini dan hendaknya sembuh sihatlah sebelum PZ berangkat ke luar negara akhir minggu ini nanti.
Betapa lemahnya kita sebagai manusia. Apalah daya kita untuk menolak ujian-Nya jika telah disuratkan? Sehebat mana sasa tubuh badan, akan layu terkapar jua jika penyakit menimpa. Daifnya kejadian manusia, dan itulah besar hikmah supaya kita menginsafi bahawa kuasa-Nya mengatasi segala yang lain. Sepandai mana kita tidak akan dapat menandingi ilmu kebijaksanaan-Nya. Jika Dia menghendaki sesuatu terjadi, maka jadilah ia, takkan dapat siapa jua menahan ketentuan-Nya.
Mengenang hakikat tersebut, pastinya kita menginsafi bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah suatu persinggahan. Ada yang susah dan sulit hidupnya, diuji dengan kepapaan dan kemiskinan, melarat dan merempat. Ada pula yang selesa dan mewah hidupnya, diuji dengan kekayaan harta, pangkat, pengaruh dan kuasa. Namun, tidak semestinya yang mewah kaya itu bahagia ceria dan tidak semestinya pula yang daif papa itu duka derita hidupnya. Hakikat ini jika dicermati, mengandungi iktibar yang tidak sedikit untuk memuhasabah diri. Bahkan PZ sendiri selalu dihambat igauan ngeri, bagaimana nasib diri ini jika dijemput Izra'il sebelum sempat mengikhlaskan taubat pada Ilahi.
Menyusuri suasana dan corak hidup masa kini, pastinya siapa jua yang waras akan gundah memikirkan warna generasi hari ini. Memandu pulang ke rumah tadi, PZ berselisih dengan gerombolan anak muda bermotosikal yang bangga beraksi bahaya di jalan raya. Hilangkah waras fikiran mereka untuk menginsafi besar petaka yang akan menimpa akibat perbuatan itu? Bersediakah mereka menghadap Ilahi dalam keadaan begitu? Singkat sekali jalur fikir generasi kini dan mudah-mudahan Allah Ta'ala sentiasa mengampuni kealpaan hamba-hamba-Nya, walaupun kita sering melupai-Nya.
Berbalik kepada diri ini, PZ memanjatkan doa supaya sembuh hendaknya seperti sedia kala. Kita hanya merancang, Allah Ta'ala jualah yang menentukan untung nasib percaturan. Teringat PZ kepada sepotong hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "setiap musibah yang menimpa itu adalah kafarah (pengampunan)."