Sunday, November 22, 2009

Pudar langit malam di Senai...

Dari Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail di Senai, Johor, jari-jemari PZ memasukkan catatan untuk entri kali ini. Beberapa hari berlalu tanpa sebarang khabar, saat menanti keberangkatan dengan pesawat AK5277 ke Kuala Lumpur sebentar lagi PZ manfaatkan untuk menziarahi laman ini.

Telah hampir tiga hari PZ bermusafir di bumi Darul Ta'zim ini, berjumpa orang itu dan ini dan menyelesaikan sesuatu di sana dan di sini. Penerbangan ke Kuala Lumpur pada malam ini memang pada asalnya tidak termasuk dalam rencana kelana PZ, namun satu panggilan telefon lewat petang Jumaat, 20 September memerlukan PZ melaraskan semula rencana kelana ini.

Pengalaman baru juga malam ini kerana inilah pertama kali PZ menggunakan khidmat AirAsia. Dengan tambang serendah RM99.00, PZ tidak berfikir panjang lagi untuk menyambung kelana ke Kuala Lumpur berbanding RM132.00 yang perlu PZ 'korbankan' sekiranya menggunakan perkhidmatan Kelas Pertama dengan tempat tidur Ekspres Senandung Malam Keretapi Tanah Melayu yang pastinya memakan masa yang lebih lama. Pengalaman 'ngeri' PZ menaiki perkhidmatan sama akhir Julai 2003 menyebabkan PZ terpaksa berfikir banyak kali sekiranya mahu berkelana dengan keretapi.

Selain membereskan beberapa perkara penting sepanjang tiga hari yang lepas, PZ turut menggunakan peluang ini untuk menyambung 'monolog' dan memuhasabah diri dalam beberapa hal dan ehwal yang terlalu penting dan pokok. Ternyata, tengkujuh yang awal mencurah pada tahun ini turut memaknakan beberapa perkara yang tersirat, sekaligus memerlukan perhatian segera yang bagi PZ, telah "no way out". Langit sepanjang tiga hari lepas juga berkecamuk dengan cuaca yang tidak menentu, lebat hujan yang berganti terik panas dalam masa yang singkat, dan begitulah jua sebaliknya.

Jauh di sudut hati kecil PZ, ada sesuatu yang belum beres sepenuhnya dan sekali lagi hambatan detik kembali mencengkam langit fikir dan lubuk jiwa. Benarlah, berkelana memberi kita masa dan kesempatan yang tidak sedikit untuk merenung, mengamati dan membuat pertimbangan. Lebih penting lagi, renungan, pengamatan dan pertimbangan kali ini perlu PZ soroti dengan mata hati serta sudut analisa yang amat mendalam.

Dalam keresahan itu, timbul juga kekhuatiran lain setelah mengamati perkembangan musibah banjir yang kembali melanda Pantai Timur Semenanjung. Saat PZ meninggalkan Pahang pada Jumaat lepas, air Sungai Pahang di Pekan ternyata telah berada pada paras yang agak membimbangkan. Ini mengingatkan PZ kepada peristiwa dua tahun lepas, di mana pada tahun 1997 daerah Pekan dilanda banjir yang amat teruk sehingga PZ sendiri terkandas di pejabat selama dua minggu, sekembali dari tugasan rasmi di Genting Highlands. Selama dua minggu tersebut, PZ tinggal di dalam kampus dengan sedikit bekalan pakaian yang dibawa semasa ke Genting Highlands.

Lebih nostalgik lagi, kerana peristiwa tersebut, PZ merayakan Eidul Adha 1428 Hijrah sebagai seorang sukarelawan banjir di atas sebuah bot nelayan yang disewa UMP untuk mengirim hampir satu tan bekalan makanan kepada staf UMP yang berada di Pekan. Hari-hari seterusnya dalam tempoh dua minggu tersebut menyaksikan PZ dan rakan-rakan siswa yang turut menjadi sukarelawan membantu pengurusan Pusat Perpindahan Mangsa Banjir di Kampung Batu Lapan, Lepar dan mengedarkan bekalan makanan daripada pusat pengumpulan di Paloh Hinai. Meredah air bah, memunggah barangan ke dalam lori dan makan ala kadar bersama rakan-rakan siswa yang lain, kenangan manis yang sukar PZ lakukan.

Ingin PZ lanjutkan lagi catatan ini kerana kelancaran ilham yang mencurah, namun panggilan untuk menaiki pesawat AK5277 memerlukan PZ akur untuk berhenti setakat ini dahulu. Pudar cahaya lapangan terbang yang sedang rancak diubahsuai ini mengiringi pemergian PZ...

Tuesday, November 17, 2009

"I have no respect for you"

Sambil memandu pulang dari pejabat lewat petang tadi, minda PZ melayang jauh mencari ilham untuk mengisi catatan di laman ini. Kilometer demi kilometer dilewati dan seusai solat fardhu Maghrib, PZ menyingkap helai demi helai halaman daripada buku England in Literature keluaran tahun 1979 dan diterbitkan oleh Scott, Foresman & Co. Sebuah judul yang menarik bagi teman-teman yang ingin mendalami sejarah dan perkembangan kesusasteraan Inggeris dari zaman pertengahan hingga zaman moden. Meneliti puisi-puisi Inggeris pasca 1915, lensa minda PZ tertarik untuk menyorot sebuah karya tahun 1937 nukilan Stevie Smith:

No Respect

I have no respect for you
For you would not tell the truth about your grief
But laughed at it
When the first pang was past
And made it a thing of nothing.
You said
That what had been
Had never been
That what was
Was not;
You have a light mind
And a coward's soul.

Membedah pengertian di sebalik puisi ini, PZ teringat kata-kata K. Bali, seorang penulis veteran dari Sabah dalam sebuah karyanya. Menurut beliau, "Dalam masyarakat binatang, tidak ada manusia; tetapi dalam masyarakat manusia, ada binatang jalang." Zahirnya kita semua sama fizikalnya, secara asasnya punya kepala, mata, telinga, mulut, tangan dan kaki. Dalam persamaan fizikal itu, tidak siapa bisa menduga apa yang tersirat dalam hati seseorang, baik atau buruk niat, jahat atau mulia perasaan.

"You have a light mind, and a coward's soul", kata Smith dalam puisi di atas. Teringat pula PZ pada peribahasa Melayu, "baling batu sembunyi tangan" dan simpulan bahasa "tikam belakang". Sejarah tamadun manusia dari dahulu hingga kini banyak dilatari oleh peristiwa-peristiwa sebegini, ada yang kita mungkin ingat, tapi lebih banyak yang telah kita lupakan. Sebab itulah sejarah kerap berulang, kerana kita jarang mengambil iktibar dari peristiwa dan tamsilan silam. Kejatuhan empayar dan tokoh seringkali diwarnai oleh penipuan dan pengkhianatan dari dalam. Salah seorang Bendahara yang paling masyhur semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu Tun Mutahir terpaksa mengakhiri hayatnya di hujung mata keris kerana menjadi mangsa fitnah dan kedengkian Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hasan. Pengkhianatan Sang Rajuna Tapa pula telah menyebabkan kejatuhan Temasik (Singapura kuno) di tangan Majapahit dengan membuka kunci kota Temasik dari dalam.

Sejarah tetap berulang dalam zaman serba canggih ini. Cuma latar tempat dan suasananya sahaja yang berbeza. Temanya tetap sama - hasad dan dengki yang membenihkan fitnah dan seterusnya membiakkan perseteruan atau perbuatan yang memudaratkan. Kadangkala terlintas juga di laman minda PZ bahawa today's world has no place for those who are kind and sincere. Barangkali teman-teman pernah mendengar, dan PZ sendiri pernah melihat dan merasai pedihnya permainan keji seperti ini. Abu Hurairah melaporkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercayai orang yang khianat, dan akan dituduh khianat orang yang boleh  dipercayai..." (Riwayat Ibn Majah)

Bibirnya mengorak senyum, tetapi hati berselirat ranjau. Persaingan di tempat kerja di sesetengah sektor pada zaman ini tidak lagi didasarkan kepada keupayaan sebenar, kompetensi, pencapaian dan potensi, tetapi semata-mata berpaksikan puak, proksi dan kepentingan peribadi. Situasi sebegini hanya menguntungkan mereka yang bijak mengampu dan bercakap besar, walau hasil kerjanya tidak seberapa, sedang yang bertungkus-lumus tanpa berkira sebarang dan tiada kepentingan peribadi seringkali terpelanting ke tepi. Ini adalah hakikat dan kebenarannya amatlah pahit untuk ditelan, apatah lagi jika penyakit ini melanda menara gading sebagai gedung ilmu pengetahuan. Bagaimanakah bisa kita melahirkan generasi yang punya personaliti menjulang jika jiwa pemain-pemain dalam pelbagai segmen di gedung ilmu itu sendiri bersalut serakah niat, buruk sangka, negatif terhadap anjakan paradigma serta culas menerima perubahan?

Susah melihat orang lain senang dan senang melihat orang lain susah. Ini satu lagi penyakit yang begitu berbahaya bagi sesuatu organisasi. Lazimnya penyakit ini menjangkiti mereka yang merasakan diri telah begitu senior, mempertahankan status quo secara membuta-tuli dan menganggap orang muda atau idea baharu sebagai suatu ancaman. Satu lagi indikator mereka yang dijangkiti penyakit ini ialah mereka sukar menerima pandangan orang lain, menganggap dirinya sahajalah yang betul dalam semua perkara dan dengan mudah memperlekehkan orang lain. Dalam perkataan lain, takabbur! Penyakit yang dibawa oleh golongan inilah yang kerap kali membantutkan perkembangan dan kemajuan sesuatu organisasi. Lebih menjelikkan, mereka sanggup mensabotaj sebarang inisiatif penghijrahan dan tranformasi yang menambah nilai terhadap upaya perkhidmatan dan governan sesuatu organisasi. Jadi, bagaimanakah kita bisa maju ke hadapan?

Pengampu, pengipas dan penjilat. Satu lagi golongan yang bernanah jiwanya dan sering berlegar-legar dalam organisasi. Kelompok oportunis ini punya matlamat yang tersendiri dan mengaut laba peribadi daripada lakonan mereka ibarat ketoprak dalam wayang kulit Jawa. Kepimpinan baharu dijulang, diangkat, dipuja dan dipuji tanpa sebarang cela. Segala kata kepimpinan disokong dan disorak seolah tiada salahnya dan perlahan-lahan pesakit-pesakit jiwa ini menusukkan jarum hasutan dan fitnah dengan mengemukakan pelbagai babak dan adegan yang skripnya direka-reka terlebih dahulu.

Pernah juga PZ saksikan kehebatan wayang yang dimainkan golongan ini. Apabila laba peribadi yang dicari tidak tercapai atau apabila niat petualang mereka dihidu oleh yang diampu, dikipas dan dijilat, para pesakit jiwa ini tidak teragak-agak memasang perangkap fitnah dan mencari seribu alasan untuk menjerat kepimpinan yang pernah diampu, dikipas dan dijilat itu. "Hubaya, hubaya!", antara seruan yang pernah diungkap Allahyarham Dato' Onn; berjaga-jagalah teman-teman kerana golongan ini amat licik, mendukung pelbagai pangkat dan watak serta membawa pelbagai peranan. Banyak sekali pembawa penyakit ini berselindung di sebalik aktiviti dan pertubuhan yang memperlihatkan populariti dan caringnya mereka, melalui cara inilah penyakit jiwa mereka dinanahkan pada orang lain tanpa sedar atau tidak. Ada yang terjerat dalam permainan licik ini akhirnya mandul untuk berbuat apa-apa kerana telah terhutang budi dengan 'jasa' golongan ini. Ada lagi yang lebih pengecut dan takut hilang pengaruh, kedudukan dan populariti, memilih untuk play safe. Inilah orang-orangnya yang meruntuhkan ketinggian nilai sebuah menara gading dan menggadaikan prinsip dan maruah demi menjaga kepentingan peribadi. Rugi, amat rugi.

Sedih sekali fenomena ini. Golongan pengampu, pengipas dan penjilat ini seolah-olahnya mengkasadkan bahawa rezeki, kenaikan pangkat dan laba duniawi datang daripada orang besar-besar yang diampu, dikipas dan dijilat itu. Semudah itu kasad dan sangkaan mereka, dan semudah itu jugalah mereka tidak takut untuk mensyirikkan Allah Taala kerana beranggapan bahawa dengan mengampu, mengipas dan menjilat manusia, mereka akan mendapat rezeki. Mereka lupa bahawa Allah Taala itulah Maha Pemberi Rezeki. Jangan teman-teman terperanjat pula, pesakit-pesakit jiwa ini ada dalam kalangan 'bijak pandai', berjawatan besar, nampak warak dan petah berbicara. Kenangkanlah sabda Rasululullah SAW, "Tanda orang munafik itu tiga; apabila berbicara ia dusta, apabila diberi amanah ia khianat dan apabila berjanji ia mungkir."

Dalam hadith yang lain pula Baginda mengingatkan: "Akan timbul pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang diperbuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan jahat). Allah Taala berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Atau apakah terlampau berani berbohong kepadaKu? Demi KebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)."  (Riwayat Tirmidzi)

Buat golongan ini, sepertimana yang dinukilkan oleh Stevie Smith dalam puisi pada awal catatan ini, PZ katakan: I have no respect for you!
 

Monday, November 16, 2009

Sudah-sudahlah!






Governan politik adalah asas dalam kehidupan bernegara.
Namun, governan yang terlalu dipengaruhi permainan politik
tidak menguntungkan rakyat yang sepatutnya mendapat
keutamaan untuk dibela.
Akhirnya masalah asas rakyat tidak pernah selesai walaupun pilihanraya datang silih berganti.
Rakaman lensa PZ di Mumbai, India. Januari 2009.

Pelik juga melihat ragam musim tengkujuh kali ini. Lebat hujannya sehingga berlaku banjir dalam tempoh singkat, dan di celah lebat hujan itu terik panasnya begitu membahang dan membakar. Cuaca pun tidak dapat diramalkan dengan tepat sangat, barangkali impak daripada perubahan iklim dunia dan ketidakstabilan alam. Pastinya fenomena ini merupakan peringatan kepada kita bahawa usia dunia kian mendekati penghujungnya.

Sesuatu yang jarang PZ lakukan, petang Isnin ini PZ isi dengan 'monolog' di sebuah cawangan restoran KFC. Berbekalkan komputer riba dan Celcom Broadband, PZ selesaikan beberapa kerja tertangguh, menikmati makanan dari pakej JomJimat KFC dan seterusnya mengemaskini Perantauzaman. Cuaca baik di luar, tetapi kedinginan dalam restoran KFC ini begitu menyengat dan mengganggu.

Mutakhir ini menyaksikan pelbagai kontroversi dan isu mewarnai arena politik tanah air. Bagaikan tiada sudah-sudahnya, masalah demi masalah terus melanda orang-orang politik, baik dari parti yang memerintah mahupun parti yang membangkang. Dari isu-isu yang besar hinggalah kepada yang remeh-temeh dan hampir tiada nilai, begitulah warna politik Malaysia. Tidaklah perlu untuk PZ perincikan isu-isu yang hangat dipublisitikan kini, teman-teman bolehlah rujuk di media massa.

Minggu lepas, dalam Facebook, PZ lontarkan soalan "Are our politicians serving the people sincerely?" . Sengaja PZ ajukan persoalan tersebut untuk meninjau respon teman-teman dan sejauh manakah kepekaan teman-teman dalam meneliti prestasi para ahli politik kita. Minda sinis PZ kadangkala menganggap bahawa segelintir (mungkin juga kebanyakan!) ahli politik kita lebih mengutamakan soal pengaruh dan publisiti berbanding tugas utama mereka untuk berkhidmat kepada rakyat. Dalam konteks ini, komentar PZ adalah seimbang untuk semua pihak, baik yang memerintah atau yang membangkang.

Senario politik pasca 8 Mac 2008 telah dimaklumi benar sangat merubah lanskap semasa tanah air. Pilihanraya telah berlangsung dengan baik dan rakyat telah membuat pilihan dengan bebas. Cukup setakat itu. Tumpuan selepas itu seharusnya dipusatkan kepada pemberian khidmat kepada rakyat berbanding terus-terusan berpolitik dan berseteru antara parti dan puak seolah-olahnya pilihanraya masih berjalan. Tahun 2010 yang akan datang mengemukakan fasa yang cukup mencabar dalam pengurusan kewangan tanah air berikutan krisis ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya. Justeru, dalam suasana yang mencabar ini, kebajikan rakyat terbanyak perlu mengisi agenda utama setiap ahli politik dan parti-parti yang mereka dukungi, baik yang memerintah atau yang membangkang.

Dalam keadaan di mana ramai rakyat yang tertekan kesan kenaikan kos sara hidup, harga barangan dan kelembapan pasaran kerja, satu mekanisme perlu disepakati untuk menangani kemelut ini. PZ percaya terdapat ramai bijak pandai dalam parti-parti politik di negara ini dengan kelulusan dan kelayakan berjela-jela dan kepetahan lidah berpidato yang PZ harap bukan sekadar retorik.

Perseteruan atas pentas politik tidak seharusnya melarat kepada situasi yang menjejaskan kepentingan dan hasrat rakyat. Dalam kita sibuk berpolemik tentang soal membentuk minda kelas pertama, PZ berpandangan bahawa yang perlu dibentuk terlebih dahulu ialah minda ahli-ahli politik kita. Untuk sekali dua mungkin massa seronok membaca isu-isu politik yang kontroversial, tapi sekiranya hal yang sama dihidang setiap hari, rakyat akan menjadi bosan dan muak. Secara tegasnya PZ berpendapat bahawa perlu wujud satu kesedaran (will) tinggi dan tenaga baharu yang berupaya mengkonsolidasi ahli-ahli politik dari pelbagai aliran, lapisan, segmen dan fahaman untuk duduk bersama dan berbuat sesuatu untuk manfaat rakyat BUKAN atas tiket dan publisiti politik, sebaliknya atas PRINSIP KHIDMAT yang sepatutnya mendasari tindak-tanduk setiap ahli politik.

Mengheret rakyat dan negara dalam perseteruan politik yang tidak berkesudahan hanya menguntungkan segolongan oportunis yang mencari political milleage. Ahli-ahli politik sibuk bercakaran dalam soal perebutan kuasa dalam parti, mencantas bakat muda yang meningkat naik, melobi kontrak dan projek, berhimpun bersama juak-juak di warung jalanan atau coffee house, dan lain-lain aktiviti yang jarang sekali menggambarkan keikhlasan niat dan ketulenan khidmat mereka kepada rakyat.

Dalam kesibukan percakaran dan perseteruan politik itu, rakyat jugalah yang menanggung rugi dan sengsara; pengurusan kutipan sampah yang tidak sistematik, kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa, penyelenggaraan perparitan dan pembetungan yang tidak teratur, lopak dan lubang di jalan tidak bertampal dan yang paling menyedihkan PZ, sesetengah perpustakaan dan pusat sumber di desa-desa kemiskinan bahan bacaan dan sumber rujukan, akhirnya tinggal nama dan bangunannya sahaja. lPersatuan dan kelab belia turut menjadi medan percaturan dan perebutan politik hingga akhirnya aktiviti belia lesu dan banyak 'mat-mat belia' dalam pertubuhan ini hanya syok sendiri. Anak muda terus merempit dan memekak di taman-taman perumahan hingga lewat malam, mana peranan pertubuhan belia? Perkara sekecil ini perlukah sampai Perdana Menteri atau Menteri Besar terpaksa campur tangan? Manakah penggerak-penggerak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung)? Sistem dan garis panduan telah elok tersedia di peringkat kerajaan, masalahnya ialah pelaksanaan oleh pemimpin di akar umbi.

Demikianlah, dalam soal-soal asas yang melibatkan kebajikan dan bina insan rakyat seperti ini, seharusnya politik ditolak ke tepi. Begitu juga di masjid-masjid, sepatutnya soal pembentukan minda, pengukuhan aqidah, peluasan dakwah dan pemantapan rohani mengisi agenda khutbah dan aktiviti tarbiyyah, bukan mencela dan memperlekeh, sudahlah kupasannya tidak akademik, diburukkan lagi dengan emosi dan sentimen kepartian melampau yang langsung tidak mencerminkan wibawa dan kesarjanaan.

Saranan PZ, janganlah semua perkara dipolitikkan. Sudah-sudahlah!

Saturday, November 14, 2009

Multum in parvo!


Sesuatu mungkin dilihat kosong tanpa sebarang makna
sedang sebenarnya mengandungi cerita yang tersirat.
Sekeping gambar biasa mungkin membawa sejuta pengertian.
Rakaman lensa PZ di Selancar, Rompin. Mac 2008.



Ingin PZ kongsi satu kes yang PZ kendalikan pada hari Rabu, 11 November yang baru lepas. Seorang siswi, yang memang langsung PZ tidak kenali, dengan ditemani seorang siswi lain, dan tanpa sebarang temujanji, serta dengan seribu tanda tanya di wajah, menanti untuk berjumpa PZ di pejabat pada tengah hari tersebut. Pada awalnya PZ memang agak terganggu, memandangkan PZ tidak diberitahu dahulu, dan kebetulan pula PZ baru selesai mengendalikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada sebelah paginya. Minda PZ telah diprogramkan untuk menyemak coretan minit dan dokumen lain berkaitan mesyuarat tersebut pada sebelah petang.

PZ terima kedua-dua siswi tersebut untuk satu perjumpaan singkat. Mendengar cerita yang menghantui pelajar tersebut dan kecelaruan yang dihadapinya kini, timbul rasa simpati dan ingin membantu. Siswi ini telah menjadi mangsa sindiket yang berselindung di sebalik promosi 'Privillege Card'. PZ tidaklah ingin menamakan syarikat yang mendalangi sindiket ini, tetapi siswi ini tertekan dengan 'tuntutan-tuntutan bayaran' daripada syarikat kad ini. Kerana terpedaya dengan pakej yang 'ditawarkan' termasuklah potongan harga tiket penerbangan, siswi ini yang berasal dari Sabah telah membayar sejumlah wang kepada seorang ejen kad ini ketika promosi di Kuantan Parade pada tahun 2006. Siswi ini telah diyakinkan oleh ejen ini bahawa bayaran yang telah dijelaskan itu adalah sekali sahaja tanpa sebarang caj lain.

Disangkakan kisah ini berhenti setakat itu sahaja, siswi ini terkejut besar menerima bil tuntutan daripada syarikat terbabit lewat minggu lalu yang menuntut baki bayaran yuran kad yang tertunggak. Tambah mencemaskan siswi ini, ejen syarikat ini membuat panggilan telefon dan mengancam untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya bayaran yang tertunggak tersebut tidak dijelaskan. Ejen syarikat tersebut juga cuba mendapatkan nombor telefon bapa siswi ini, tetapi tidak dilayan.

Simpati dan kasihan. Pelajar ini telah terdesak untuk memohon bantuan dan seperti biasa PZ berikan nasihat undang-undang sebagaimana yang  diminta. PZ berhasil melayari laman sesawang syarikat terbabit dan PZ dapati laman tersebut telah lebih setahun tidak dikemaskini. Bentuk perniagaannya juga meragukan dan PZ percaya ini adalah salah satu daripada banyak pemangsa yang mensasarkan golongan pelajar dan orang yang tidak faham untuk mendapatkan wang segera.

Pelajar ini PZ bantu untuk menghubungi pusat aduan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur dan Alhamdulillah, panggilan dijawab dan aduan siswi tersebut dilayan dengan baik sekali. Walaupun masih berdebar-debar, terpancar sedikit kelegaan pada wajah siswi itu dan pihak PPIM dan PZ sependapat menyarankan supaya beliau membuat satu laporan polis. Mana tahu, satu sindiket lagi dapat dibongkar!

Kebetulan pula, selesai aduan kepada PPIM, dan sebelum siswi tersebut permisi dari pejabat PZ, ejen syarikat tersebut sekali lagi menghubungi siswi itu dan kali ini PZ berjaya mencelah. Ejen tersebut gagal menjawab apabila ditanya nama firma guaman yang mewakili syarikatnya. Tuntutan saman tidaklah boleh dibuat dengan mudah tanpa bantuan firma guaman. Nyata sekali, ini SYARIKAT PENIPU!

Apa iktibar daripada kes ini?

1. Orang ramai, termasuklah pelajar janganlah mudah terpedaya dengan promosi kad diskaun, privillege card dan seumpamanya;

2. Jika telah mula was-was, lekas-lekas elakkan diri daripada didatangi oleh ejen kad;

3. Jangan tandatangani apa-apa dokumen kosong;

4. Jangan tandatangani apa-apa dokumen tanpa membaca isi kandungannya terlebih dahulu;

5. Berani mengatakan TIDAK!


Ini kali kedua dalam tempoh kurang sebulan, PZ mengendalikan dua aduan yang berkait rapat dengan kebajikan dan kesejahteraan pelajar. Walaupun tidak tertulis sebagai sebahagian tugas rasmi, namun PZ bantu atas dasar kemanusiaan, simpati dan tanggungjawab sebagai seorang staf Universiti ini.

Namun, sebagaimana yang PZ pernah utarakan dalam entri SRO sebelum ini, telah tibalah masanya untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) memperkasa dirinya dengan mewujudkan sistem pengurusan aduan yang teratur dan boleh dimanfaatkan oleh para pelajar. Entah bila agaknya pengwujudan jawatan SRO akan dipertimbangkan oleh pihak atasan, namun sesuatu yang proaktif perlu diilhamkan oleh para pimpinan pelajar kita untuk mengisi ruang kosong ini.

Memanglah, MPP tidak akan berupaya menyelesaikan masalah seumpama ini, tetapi organisasi utama pelajar ini perlu memperlihatkan peranannya sebagai medan saluran aduan dan masalah yang BOLEH DIPERCAYAI (trustworthy) oleh para pelajar kita. MPP perlu mewujudkan rangkaian kerjasama yang baik dengan organisasi pengguna seperti FOMCA, PPIM, Tribunal Tuntutan Pengguna dan seumpamanya bagi membolehkan aduan berkaitan dapat diuruskan dengan sempurna. Cuba bayangkan betapa tingginya impression pelajar dan massa sekiranya fungsi ini dapat diperanankan dengan berkesan oleh MPP. Selain mendekati tokoh-tokoh politik, MPP juga perlu mendekati tokoh-tokoh dan organisasi kepenggunaan supaya rangkaian kerjasama yang PZ nyatakan tadi dapat dimaknakan. Dalam sudut yang lain pula, pelajar akan melihat bahawa MPP mengutamakan agenda kebajikan dan pembelaan. PZ percaya, banyak lagi kes lain yang melibatkan pelajar kita selain dua kes yang PZ kendalikan ini. Jadi, act, do not just talk!

MULTUM IN PARVO. Frasa bahasa Latin yang membawa makna "banyak dalam sedikit" atau much in little. Satu inisiatif atau perbuatan yang mungkin melibatkan kos yang sedikit tetapi memberi impak besar. Itu lebih baik daripada berbelanja besar dan mewah atas sesuatu perkara, tetapi impaknya langsung tiada, atau jika adapun hanya memanfaatkan puak atau individu tertentu sahaja. Apa yang PZ sarankan dalam entri ini mungkin nampak remeh dan enteng di mata teman-teman, namun ingatlah bahawa dalam kita memikirkan yang besar-besar, perkara-perkara kecil jangan pula dikesampingkan kerana perkara-perkara kecil biasanya memberi impak kepada perkara yang lebih besar. Lebih-lebih lagi jika kita hanya beretorik terhadap perkara-perkara besar, sedangkan ada perkara-perkara kecil yang boleh diselesaikan dalam bidang keupayaan kita. Pendekatan seimbang dan menang-menang adalah amat penting dalam kepimpinan. Menjadi pemimpin jangan disalah niatkan untuk mencari publisiti dan populariti, tetapi hadirnya seseorang pemimpin adalah kerana amanah dan tanggungjawab.

Dalam satu ceramah mengenai kepimpinan, pernah PZ ingatkan pada sekumpulan pimpinan pelajar bahawa mereka perlu stand out from the crowd untuk mengemukakan gaya kepimpinan yang kreatif, praktikal dan tidak streotaip. Dalam zaman serba canggih ini, wibawa seorang pemimpin tidak lagi terpancar oleh hebatnya beliau berpidato semata-mata, tetapi lebih dilihat pada keberkesanan dan profesonalisme tindakannya. Dinamika tindakannya pula hendaklah merentasi generasi dan tidak hanya relevan untuk zamannya sahaja. Itulah tanda kebijaksanaan, wawasan dan jiwa besar seorang pemimpin.



  

Sunday, November 8, 2009

Habis gelap terbitlah terang...


Raden Adjeng Kartini (1879 - 1904).
Sesingkat hayatnya selama 25 tahun, puteri bangsawan Jepara ini
mencabar status quo zamannya dengan pelbagai idea pencerahan.
Dengan coretan penanya, wanita ini berjuang memperbaiki kondisi masyarakatnya
dengan daya kesarjanaan yang tinggi. Habis gelap terbitlah terang merupakan
antara karya Kartini yang paling berpengaruh
(Foto dipetik dari http://open-trace.net/)

Satu lagi hujung minggu yang mendung di sini. Musim tengkujuh mengiringi kehadiran November 2009. Hujan mula mencurah seawal 1 November dan tika entri ini ditulis pun, saudara-mara kita di Kelantan dan Terengganu sedang meranduk keruh air bah. Agak awal bah melanda tahun ini kerana seingat-ingat PZ, curahan hujan yang paling banyak ialah pada Disember dan lazimnnya bah akan hanya bermula pada pertengahan bulan tersebut. Walau apa pun, pastinya ada hikmah di sebalik tengkujuh yang begitu awal bermula ini. Hikmah, iktibar dan peringatan daripada Maha Pencipta supaya kita jangan lekas leka dan alpa.

Kekosongan jadual pada hujung minggu ini PZ isi dengan membedah beberapa buah karya. PZ selesaikan bacaan Sejarah Melayu dan kemudian meneliti biografi beberapa tokoh dengan tujuan mendapatkan ilham bagi entri kali ini. Peluang untuk membedah beberapa karya dalam satu hujung minggu jarang-jarang dapat PZ lakukan lantaran kesibukan tugas, namun minggu ini berhasil juga dibuat memandangkan pelajar-pelajar PZ mula menghadapi peperiksaan, maka tiada lagi nota kuliah yang perlu PZ sediakan.

Habis gelap terbitlah terang merupakan sebuah karya besar seorang wanita yang dinobatkan sebagai salah seorang Tokoh Nasional di Indonesia. Raden Adjeng Kartini (Kartini), nama yang mungkin kurang dikenali di Malaysia, tetapi cukup berpengaruh di Republik Indonesia. Nama Kartini di Malaysia hanya disebut secara ringkas dalam sukatan pelajaran Sejarah bagi SPM, sedang pada hakikatnya nama ini cukup besar di zamannya. Hebatnya Kartini, tarikh lahirnya pada 21 April 1879 diraikan saban tahun sebagai Hari Kartini yang merupakan cuti umum di Indonesia sejak tahun 1964. Wajahnya juga menghiasi salah satu not kertas matawang Rupiah Indonesia. Kisahnya juga diangkat ke layar perak melalui filem RA Kartini, arahan sutradara Sjumandjaya yang menggondol anugerah Piala Citra tahun 1983.
(Lihat bagaimana teman-teman kita di Indonesia mengiktiraf sumbangan tokoh-tokoh nasional melalui layar perak, tidak seperti di Malaysia, begitu sedikit filem sejarah yang dihasilkan, akhirnya filem yang sama diulang tayang setiap kali sambutan kemerdekaan. Indonesia mungkin miskin harta, tetapi kaya dengan keperibadian nasional, manakala kita mengaku kaya hasil ekonomi tetapi cukup miskin dengan apresiasi terhadap sejarah tanah air.)



Wajah Kartini diabadikan pada setem peringatan khas Republik Indonesia
sempena ulang tahun ke-100 kelahirannya.

PZ tergerak untuk berbicara mengenai Kartini atas tiga asas. Pertama, hayatnya yang singkat. Kedua, sumbangan besarnya terhadap idea pencerahan di Indonesia sewaktu hayatnya yang singkat itu. Ketiga, intelektualisme yang ada padanya, apatah lagi sebagai seorang wanita yang dilatari zaman imperialisme Belanda dan masyarakat yang kolot. Justeru bagi PZ, Kartini ialah ikon kesarjanaan seorang anak muda.

Dibesarkan dalam keluarga bangsawan di Jepara, Jawa, Kartini berpeluang menikmati kemudahan persekolahan sehingga usianya 12 tahun. Seorang gadis yang pintar, beliau menguasai bahasa Belanda
dengan baik sekali, satu kelebihan yang membolehkannya mendampingi karya-karya besar dalam bahasa tersebut yang turut memberi pengaruh dalam idea pencerahan beliau. Maka tidak hairanlah, belum pun usianya menjangkau 20 tahun, karya-karya seperti Max Haveelar, De Stille Kracht dan Die Waffen Nieder! yang mencakupi pelbagai tema, isu dan persoalan telah usai ditekuni Kartini. Pada waktu tersebut, Kartini belajar secara sendirian di rumah setelah tamat pendidikan formalnya. Adat yang diwarisi keluarganya memerlukan beliau di'istirehat'kan di rumah sebelum dikahwinkan.

Melalui surat-surat diutuskan kepada rakan-rakan penanya yang terdiri daripada pelbagai bangsa, Kartini menyuarakan protesnya terhadap adat-adat yang mengongkong, penyalahgunaan agama bagi tujuan politik serta idea penambahbaikan terhadap status sosial wanita dan masyarakat tempatan, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi dan seumpamanya. Idea-idea beliau tentang Zelf-ontwikkeling, Zelf-onderricht, Zelf-vertrouwen, Zelf-werkzaamheid dan Solidariteit didasarkan kepada aliran humanitarianisme dan nasionalisme.

Kepintaran dan intelektualisme beliau yang tinggi telah menarik perhatian pemerintah Belanda untuk mengirim Kartini dan adiknya Rukmini melanjutkan pengajian ke Batavia (kini Jakarta) dan ke Netherlands, satu impian yang dicita-citakannya selama ini, tetapi sayangnya tidak kesampaian kerana beberapa sebab. Perkahwinannya sebagai isteri keempat kepada Raden Adipati Joyodiningrat, seorang bangsawan wilayah Rembang di Jawa, merupakan salah satu sebabnya.

Kematian Kartini pada usia 25 tahun tanggal 3 September 1904 adalah satu kehilangan yang amat besar. Sesingkat usianya, ketokohan, kewibawaan dan kesarjanaan Kartini wajar diteladani generasi muda hari ini. PZ yakin, hatta para mahasiswa kita pun tidak dapat menandingi kehebatan minda Kartini, khususnya dalam aspek pembacaan, penerokaan ilmu dan pengembangan idea. Kartini tidak pernah belajar di mana-mana universiti, namun idea dan mindanya meninggalkan pengaruh yang tidak sedikit kepada kondisi sosial yang melatari zamannya. Seawal usia 20'an, Kartini telah dapat berbicara sebagai seorang yang berjiwa besar, khususnya dalam ehwal pendidikan, ekonomi dan politik. Berapa ramai kalangan mahasiswa kita yang menghuni 20 buah universiti awam yang dapat mencapai tahap ini?

Kiranya ada masa dan kesempatan, PZ kadangkala menonton juga program bual bicara Suara Siswa di TV1 setiap Selasa malam. Maaf, tapi terpaksa juga PZ katakan bahawa sangat sedikit dalam kalangan pimpinan mahasiswa yang diketengahkan dalam program tersebut yang berupaya berbicara atas idea yang tulen, wibawa yang tersendiri dan kesarjanaan yang tinggi. Kebanyakannya hanya beretorik, sekadar ikut-ikutan dan hanya tahu memetik mutiara kata daripada sumber itu dan ini TANPA sebarang idea baharu yang menggambarkan jiwa besar seorang mahasiswa.

Kadang-kadang PZ hampir tergelak melihat sesetengah pimpinan mahasiswa yang ditampilkan melalui program bual bicara tersebut 'buat-buat pandai' dengan membawa fakta yang diragui kesahihannya, mengemukakan ulasan dangkal, dan hanya bercakap dari sudut pandang tunggal, tanpa melihat aspek-aspek lain. Maka tidak hairanlah, kenapakah generasi mahasiswa hari ini amat lesu tanpa sebarang jenama yang boleh dibanggakan kerana mereka hanya selesa menjadi pengikut kepada 'jerung-jerung' politik di luar atau sekadar selesa bersukaria tanpa mempedulikan apa-apa, sedang kewajipan besar menanti mereka di lapangan masyarakat apabila bergraduat kelak.

Dengan ringkas kisah Kartini PZ paparkan dalam entri kali ini untuk membuka mata teman-teman mengenai keperluan untuk terus bermujahadah bagi meningkatkan tahap penguasaan ilmu dan pengetahuan. Semakin banyak kita membaca, belajar dan meneroka, semakin sedarlah kita bahawa betapa luasnya ilmu Allah dan betapa kerdilnya kita. Kepada para mahasiswa, papara dalam entri ini adalah satu cabaran untuk ada bermuhasabah. Apakah anda sebenarnya layak berada di tempat pengajian kini atau sebenarnya anda telah mengambil tempat orang lain yang lebih layak?

Menutup entri ini, PZ teringat kata-kata Kartini, "agama sepatutnya melindungi kita daripada melakukan dosa, tetapi ramai orang melakukan dosa atas nama agama."   Mesej tajam dalam petikan kata-kata ini tepat berkait dengan realiti semasa di Malaysia pada hari ini. Ya, politik murahan dan kampungan yang cukup memualkan. Mahasiswa sekalian, bangkitlah sebagai cendekiawan untuk menambahbaik bangsamu, jangan biarkan 'jerung-jerung' politik memamah rakus masa depan tanah air!


p/s: PZ syorkan teman-teman untuk mengikuti kisah hidup Kartini dalam filem RA Kartini yang ada dimuatnaik di Youtube dalam 18 bahagian. Selamat menonton!

Saturday, November 7, 2009

Monolog Senja

Senjakala
Merah langit ditabiri mega
Seperjalanan hari
dan suria kembali mendakap peraduannya.

Senjakala
Kelam cahaya di sebalik suram gemawan
Kala tengkujuh datang menyiram musim
Maka hari tak seceria biasa.

Seperjalanan hari
Saat fajar tersenyum di langit dinihari
Pagi menjelang dan petang menggelincir suria
Dari teduh hingga rembang hari
Tiada terjawab jua persoalan.

Ternoktahkah ia
atau kelak bersambut jawabnya
Perkiraan masa rumit menghisab.

Seperjalanan hari
Hanya mampu merakam kata dan frasa
Tanpa suara, tinggal sepi di dalam jiwa.

Akhir hari di senjakala
Sendirian memerhati langit menutup tirai hari
Dan esok fajar kan menyinsing kembali
Bersisakah lagi harapan semalam?

Thursday, November 5, 2009

Manakan mungkin bangsaku maju jika...

Telah hampir seminggu November 2009 kita lewati. Maknanya, semakin dekatlah juga penghujung tahun 2009 sebelum menjelma tahun baharu 2010. Usia akan berganti dan semakin singkatlah lagi baki yang bersisa sebelum Izrail mencabut nyawa.

Menelaah koleksi yang tersimpan di perpustakaan mini PZ, buku Sejarah Melayu (versi Shellabear) karya Tun Seri Lanang menarik lensa analisa PZ pada tengah hari Khamis yang redup ini. Penuh dengan pelbagai ceritera berlatar zaman Kesultanan Melayu Melaka dengan dihiasi Bahasa Melayu klasik yang indah tersusun, karya besar ini memiliki 'jiwa' yang tersendiri.

Hasad, dengki dan benci. Penyakit jiwa yang membusuk dalam diri segelintir dalam kalangan kita. Tidak kira siapa, pekung hasad, dengki dan benci (HDB) boleh menjangkiti kalangan orang bawahan dan juga orang atasan. Malah, dalam perjalanan hidup PZ, pernah juga PZ saksikan kalangan orang-orang bergelar 'cendekiawan' dan 'agamawan' dihinggapi kudis HDB.

Persaingan di tempat kerja untuk mendapat tempat, pangkat dan kedudukan, perebutan cinta dan inginkan perhatian adalah situasi-situasi yang mempercepatkan lagi penularan penyakit ini. Maka tidak hairanlah, ada yang sanggup 'berhantu-hantuan', 'bersantau-sauntauan' dan 'bersihir-sihiran' apabila serakah HDB menggila dalam diri. Manakan mungkin bangsa PZ maju jika sesama bangsa sendiri pun sanggup bercantas-cantasan apabila merasakan kepentingan diri dan kroni digugat, terancam dengan perubahan dan transformasi dan yang paling menyedihkan PZ, takut melihat orang muda lebih pandai. Manakan mungkin bangsa PZ bisa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dan megah bermartabat sekiranya bangsa PZ terus senang melihat orang lain susah dan susah melihat orang lain senang. Sungguh rendah akal budi dan jelek sekali!

Berbalik kepada perbicaraan kita tentang Sejarah Melayu, suka PZ perturunkan sedikit petikan daripada karya tersebut mengenai rentetan peristiwa yang membawa kepada Kesultanan Melayu Melaka. Sayang sekali, Kesultanan agung yang punya kuasa dagang yang besar hingga dikatakan oleh sarjana Tom Pires sebagai setaraf dengan Venice akhirnya lenyap akibat pengkhianatan yang bermula dari dalam. Sejarah bukan sekadar riwayat lapuk. Sejarah akan berulang. Hanya yang menekuni sejarah lampau dengan mata dan jiwa yang celik akan memahami apa yang PZ maksudkan. Kebejatan dan kegawatan sosial dan politik yang berlaku dapat diredakan sekiranya sejarah dihargai dan tidak dilacurkan sesuka hati.

(akan bersambung)