Sunday, May 8, 2011

Seorang Ibu, Seorang Isteri, Seorang Wanita

"Surat rasmi begini cara tulisnya, laras bahasa mesti betul, walaupun maksudnya sama, tapi ada beza taraf antara perkataan undang, jemput, pelawa dan ajak." Pada ketika yang lain pula dia mengingatkan si suami, "Nak ke istana nanti songketnya dah sedia ke belum. Kain sampin Pahang bengkungnya di dalam, bunga soleknya diikat pada sampir keris."

Itu hanya mungkin sepotong peringatan dari berkajang-kajang kenangan PZ bersama bonda tercinta, Allahyarhamah Hajah Nor Aizan Md Saman (1946-2006). Bersara sebagai seorang Guru Besar, arwah bonda, yang kami adik-beradik panggil sebagai Ma memang mempunyai pengaruh yang amat mendalam dalam pembentukan keperibadian, perwatakan dan budaya kerja PZ secara khususnya. 

Mendapat pendidikan ilmu perguruan daripada District Training Centre di Kuantan, mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu merupakan opsyen arwah bonda. Tahun-tahun akhir sebelum menamatkan perkhidmatan, beliau dipilih pula oleh Kementerian Pendidikan pada ketika itu sebagai kumpulan perintis Guru Pakar mata pelajaran Sains yang diperkenalkan semula di sekolah-sekolah rendah.

Bertitik-tolak dari latar belakang opsyen arwah bonda itulah, maka PZ mempunyai minat yang amat mendalam dalam bidang sejarah, kesusasteraan dan bahasa. Sejak PZ berusia tujuh tahun lagi, buku Tawarikh Untok Tingkatan Enam disuakan kepada PZ untuk dibaca dan tanpa jemu dan bosan, minat yang berputik itu terus mekar subur hingga ke hari ini. Arwah bonda jugalah menjadi mentor PZ dalam ilmu pengurusan, walaupun secara tidak formal, yang PZ dapati amat berguna setelah menyertai perkhidmatan awam, terutamanya dalam menangani karenah kakitangan dan office politics. Begitu juga asuhan beliau dalam ilmu protokol dan adat istiadat, menjadikan kami adik-beradik begitu teliti dan cermat dalam selok-belok perbahasaan, berpakaian dan lain-lain.

Pastinya kalangan pembaca yang lain juga punya kenangan tersendiri bersama bonda masing-masing. Ada yang masih hidup, dan ada juga yang telah berada di alam barzakh, bersama-sama arwah bonda PZ. Sayang sekali ramai dalam kalangan kita yang mengambil mudah kewujudan seseorang kala hayatnya, dan hanya akan menderita dalam perasaan 'kehilangan' setelah insan itu diambil semula oleh Maha Pencipta.

Melihat kepada telatah anak-anak muda hari ini, terdapat segelintir yang bijak bermain 'wayang' dengan ibu bapa, terutamanya yang tinggal berjauhan daripada mereka, oleh sebab pekerjaan atau melanjutkan pengajian. Berwatak baik tatkala pulang ke kampung halaman itu satu perkara, dan watak lain di luar pandangan orang tua itu merupakan satu perkara lagi. Ini berkait rapat dengan soal kejujuran dipancarkan dengan penuh suci hati. Bukankah kita dituntut untuk sentiasa jujur?

Pandangan ini dilontarkan PZ berasaskan pengalaman. Hampir empat tahun terlibat dalam penyiasatan dan pendakwaan tatatertib mahasiswa, pelbagai kes telah PZ kendalikan. Telah sifatnya manusia itu mudah lupa, hampir semua mahasiswa yang menjadi OKT (orang kena tuduh) mengalirkan air mata kekesalan, hanya selepas mengetahui kesan besar akibat tindakan bodoh dan gerak nafsu mereka terhadap akademik dan masa depan. Apabila dimaklumkan kepada ibu bapa dan keluarga pula, memang lazim responnya begini, "Betul ke encik? Tak sangka sungguh, anak kami ni baik amat kalau di rumah, tak tahu sampai jadi macam ni!".

Itulah realitinya. Apa yang diperlukan ialah kecaknaan. Ibu bapa harus melepaskan si anak untuk menyambung pengajian atau bekerja dengan penuh keredhaan, namun perkembangan semasa si anak perlu diambil tahu, namun tidaklah sampai peringkat mengongkong hingga si anak merasa rimas. Di satu sudut lain pula, tidak wajar bagi si anak untuk sekadar menunggu panggilan orang tua untuk mengemaskini keadaan semasanya, si anak itu sendiri perlu ada inisiatif untuk berhubung dengan keluarga.

Naluri seorang ibu itu amat tajam, dan telah PZ alami sendiri. Siapa pun jua akan merindui saat suka duka yang telah dilalui bersama bonda tercinta, justeru hargailah masa yang ada ini selagi si ibu masih bernyawa.

Demikian bermaknanya kehadiran seorang insan bergelar ibu dalam hidup kita. Dia juga isteri kepada bapa kita, dan pengorbanannya bagaikan pejuang yang mencari syahid di medan jihad. Tatkala PZ menelaah autobiografi Allahyarhamah Benazir Bhutto berjudul Daughter of the East, catatan beliau di halaman 9 amat menarik untuk dihayati. Menziarahi bapanya, Zulfikar Ali Bhutto yang ditahan oleh rejim Jeneral Zia-ul-Haq dan menanti saat hukuman mati, si bapa berpesan kepada si ibu, "You have both suffered a lot," he says. "Now they are going to me tonight, I want to free you as well. If you want to, you can leave Pakistan while the Constitution is suspended and Martial Law imposed. If you want peace of mind and to pick up your lives again, then you might want to go to Europe. I give you my permission. You can go." Namun si isteri yang setia  tidak akan meninggalkan suaminya kala sukar seperti itu. Benazir mencatatkan reaksi ibunya, "No, no," Mummy says. "We can't go. We'll never go...If we leave, there will be no one to lead the party, the party you built." Mengetahui bahawa saat mautnya semakin hampir, si suami membalas, "I'm so glad. You don't know how much I love you, how much I've always loved you. You are my jewel. You always have been."


Kental dan waja. Itu semangat seorang wanita, seorang isteri dan seorang ibu. Benazir Bhutto sendiri telah kembali ke rahmatullah, menyertai ibunya yang telah pergi lebih awal, dan juga bonda PZ. Moga mereka dikurniakan Allah Ta'ala dengan rahmat dan peliharaan sebagai hamba-Nya yang solehah dan bertaqwa.

Selamat Hari Ibu...



Saturday, May 7, 2011

Tentang Pilihanraya Umum Singapura 2011

Kurang lebih 300 kilometer ke utara negara-kota Singapura, di Pantai Timur Semenanjung Malaysia tarikh 7 Mei saban tahun menjadi hari kelepasan am bagi Negeri Pahang Darul Makmur. Sejak tahun 1975, tarikh tersebut diisytiharkan sebagai Hari Hol Negeri Pahang bagi mengingati kemangkatan al-Marhum Sultan Abu Bakar Ria'yatuddin al-Muadzam Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah, Sultan Pahang keempat yang dimakamkan di Bandar Diraja Pekan pada 7 Mei 1974.

Namun, 7 Mei 2011 menyaksikan warga negara-kota Singa menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi. Demikian resam dalam sistem demokrasi berparlimen, apabila parlimen dibubarkan dan mandat pemerintahan berakhir, maka kuasa memilih kembali kepada rakyat jelata yang berkelayakan. Maka dalam semangat tersebut, berlangsunglah Pilihanraya Umum Singapura ke-11.

Walaupun secara tidak rasminya Singapura dan Malaysia seringkali memandang sinis antara satu sama lain, setiap perkembangan yang berlaku di bekas negeri-anggota yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 itu diikuti dengan penuh minat. Malah, dari sudut sejarah, negara pulau itu yang dirujuk sebagai Temasik dalam sastera Melayu silam mempunyai perkaitan yang terlalu rapat dengan Malaysia, sejak zaman bahri hinggalah hari ini.

Barangkali generasi muda di kedua-dua negara tersebut pada hari ini tidak mengetahui bahawa ramai bekas negarawan dan tokoh politik Singapura sebenarnya berasal dari Malaysia. Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusoff Ishak merupakan anak kelahiran kampung Trong, di Taiping, Perak. Malah, terdapat seorang bekas menteri kabinet Singapura era Lee Kuan Yew merupakan anak jati negeri Kelantan!

Perkaitan sejarah yang rapat ini, termasuk isu-isu yang berbangkit darinya, seperti bekalan air, tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar, pembinaan Jambatan Bengkok dan perobohan Tambak Johor serta lain-lain memerlukan hubungan diplomatik dua negara tetangga ini diuruskan dengan penuh cermat dan bijaksana oleh pimpinan kedua-dua negara. Maka tidak hairanlah, Dr Yaacob Ibrahim, seorang Anggota Parlimen dari Kawasan Perwakilan Berkumpulan (Group Representation Constituency - GRC) Jalan Besar dinamakan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, khusus bagi menangani urusan berkaitan bekalan air, yang tentunya melibatkan Malaysia.

Barangkali dengan meletakkan seorang Menteri Kabinet berbangsa Melayu untuk menguruskan sebarang rundingan bekalan air dengan Malaysia, Lee Hsien Loong mengandaikan proses tersebut dapat diredakan daripada sebarang sentimen kaum, kerana umum mengetahui bahawa rakyat Malaysia berketurunan Melayu memandang sinis Singapura sebagai 'negeri Cina'. Dari satu sudut yang lain pula, langkah ini merupakan kebijaksanaan kepimpinan Lee Hsien Loong, anak Lee Kuan Yew yang boleh menuturkan Bahasa Melayu dengan fasih. Rakyat di kedua-dua negara ini juga dapat melihat bahawa hubungan Malaysia - Singapura berada pada tahap yang amat baik dan harmoni sejak Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak menerajui kerajaan Malaysia.

Dilaporkan bahawa pilihanraya umum kali ini merupakan yang paling mencabar kepada parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (People's Action Party - PAP) yang memerintah Singapura sejak tahun 1959. Penggunaan media baharu sebagai senjata kempen oleh pihak pembangkang, serta corak pemikiran rakyat yang kian kritis diakui boleh memberi kesan kepada dominasi PAP. Dalam konteks ini, PAP harus memikirkan strategi dan taktik baharu bagi mengekalkan kesetiaan pengundi, dan tidak sekadar mencanangkan pencapaian Singapura sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dianggarkan $255.388 bilion dan pendapatan per-kapita rakyat $57,238 - jauh mengatasi Malaysia.

Sama ada mandat kerajaan PAP akan diperbaharui atau sebaliknya, pastinya parti politik yang menerajui Singapura perlu terus mencari titik pertemuan dan persamaan dengan Malaysia bagi memastikan dua negara ini terus harmoni berjiran, dalam semangat setiakawan yang sebenar. Ambil pendekatan positif terhadap sejarah silam hubungan antara kedua-dua negara ini, ianya merupakan peluang untuk lebih memahami, bukannya jurang untuk membiarkan sangkaan buruk bersarang.

Apa yang penting rakyat Malaysia menghayati semangat cogan kata pada Jata Negara - Bersekutu Bertambah Mutu manakala hampir lima juta rakyat di seberang Tambak Johor, Majulah Singapura.

Monday, May 2, 2011

Mengenang Allahyarham Zainal Aznam Yusof

Tidak banyak perkara yang menarik sorotan teropong minda PZ sepanjang minggu akhir April yang baharu berlalu. Sebagaimana biasa, warna semasa tanah air dicorakkan berita-berita politik, sengketa dan retorik, saban hari dan setiap ketika. Mungkin kerana telah terlalu dibiasakan dengan persembahan berita dan isu seumpama itu, maka orientasi pemikiran segelintir rakyat di negara ini cenderung mengarah kepada sesuatu yang sensasi, dan diburukkan lagi dengan analisa yang emosional dan konklusi yang dangkal.

Hari ketiga puluh bulan April tahun 2011 dimulakan dengan berita kembalinya Datuk Dr. Zainal Aznam Yusof ke rahmatullah. Dikenali sebagai seorang penganalisis ekonomi yang berwibawa, Allahyarham merupakan salah seorang ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, selain pernah menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia. PZ( tidaklah berhasrat untuk menyingkap riwayat hidup Allahyarham, tetapi sekadar ingin mengajak teman-teman untuk menginsafi bahawa negara kini kehilangan seorang lagi tokoh yang punya keberanian untuk menyuarakan mindanya (speak his mind) tanpa takut atau memihak (without fear or favour) demi kepentingan negara.

Pastinya kita mengingati bagaimana Allahyarham dikritik dengan hebatnya oleh kalangan-kalangan tertentu ketika beliau mempersoalkan pelantikan tokoh kontroversi yang juga bekas Menteri Kabinet dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai Pengerusi FELDA yang baharu menggantikan Tan Sri Dato' Dr. Yusof Noor. Sebagai seorang ahli ekonomi yang cendekia dan bijaksana, PZ percaya bahawa pandangan kritis Allahyarham terhadap kerajaan ekoran pelantikan Tan Sri Mohd Isa itu semata-mata bersandarkan hujah akademik dan penilaiannya terhadap tata kelola korporat (corporate governance) yang baik, tanpa sebarang pengaruh dan sentimen politik kepartian.

PZ menyebut sebentar tadi bahawa segelintir rakyat kita gemar membuat analisa emosional dan konklusi dangkal dek terbiasa oleh pendekatan sensasi media yang rendah wibawa akademiknya. Pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Allahyarham, terutamanya daripada kelompok yang punya kepentingan politik. Dalam konteks ini, PZ seperti juga Allahyarham, teguh berpandangan bahawa sesebuah organisasi korporat atau entiti perniagaan perlu bebas dari pengaruh politik bagi membolehkannya maju ke hadapan. Biarkan yang ahli dan pakar mengurus dan merancang, dan biarlah ahli-ahli politik berada di tempat mereka yang sepatutnya, berbicara tentang polisi dan menggubal dasar yang baik untuk dilaksanakan.

Malaysia memerlukan ramai lagi tokoh seperti Allahyarham. Kita mempunyai ramai sekali tokoh politik dan ahli retorik, namun kita kurang sekali tokoh non-partisan seperti Allahyarham, yang mendahulukan kesarjanaan dan kebijaksanaan dan membebaskan dirinya daripada terikat untuk kritis terhadap yang memerintah atau yang membangkang. Sayang sekali di Malaysia, seringkali mereka yang berbicara melawan arus terus dilabel sebagai pro-pembangkang!

Semoga roh Allahyarham dicucuri setinggi-tinggi rahmat oleh Allah Ta'ala dan ditempatkan bersama-sama hamba-Nya yang bertaqwa. Al-Fatihah...

Sunday, May 1, 2011

Hari Buruh 2011 - Harapan dan cita-cita pekerja Malaysia

1 Mei dirai golongan pekerja seantero dunia. Dilihat sebagai sambutan yang mengangkat 'kuasa' kaum buruh, Hari Pekerja Sedunia meniti sejarah, menyaksikan perjuangan golongan ini untuk mendapatkan tempat dan kedudukan yang lebih baik di sisi golongan majikan.

Di sesetengah negara, 1 Mei dirayakan dengan penuh teratur dan tertib, manakala di sesetengan negara pula, 1 Mei sinonim dengan tunjuk perasaan dan pertembungan dengan dan pasukan pencegah rusuhan, ucapan penuh semangat serta syarahan berapi-api. Sebagaimana hangatnya alam perjuangan mahasiswa, demikian jugalah bahang yang disuakan oleh kaum pekerja. Kedua-dua segmen ini dilingkungi idealisme tegar, semangat yang membuak-buak serta dorongan kuat untuk berwatak sebagai kumpulan pendesak.

Justeru, kaum buruh dilihat sebagai segmen kritikal dalam sesebuah negara, seperti juga para mahasiswa. Revolusi Bolshevik di Russia pada tahun 1917 pimpinan Lenin yang menumbangkan pemerintahan beraja Tsar, mendapat dukungan besar kaum buruh. Begitu juga di negara-negara lain, lantas perjuangan kaum buruh kerap kali digambarkan sebagai bayangan sosialisme - penuh dengan idea radikal dan tindakan agresif.

Walau apa jua label dan anggapannya, sumbangan signifikan kaum buruh dan pekerja terhadap pembangunan negara tidak boleh dinafikan. Keghairahan pihak majikan dan pengusaha untuk melipatgandakan keuntungan daripada perusahaan mereka mestilah diseimbangkan dengan keprihatinan mereka terhadap kebajikan kaum buruh dan pekerja. Tidak mudah untuk menunaikan setiap tuntutan dan permintaan golongan tersebut, namun perhatian dan pertimbangan penuh kebijaksanaan akan membuahkan iklim perhubungan yang lebih harmoni antara majikan dan pekerja, sekaligus melestarikan produktiviti.

Di satu sudut yang lain pula, golongan pekerja juga perlu sentiasa rasional dalam setiap tuntutan dan permintaan mereka. Segala-galanya perlu disandarkan kepada kesedaran terhadap realiti semasa dan kajian yang mendalam, bukan sekadar omongan kosong atau retorik yang tidak ke mana. Hubungan yang bersifat komplimentari ini perlu disuburkan, di mana ada give and take dan persefahaman, tanpa sebarang sentimen atau sangkaan yang tiada asasnya.

Dalam konteks Malaysia, barangkali banyak yang diharapkan oleh golongan pekerja pada tahun 2011 ini. Tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang mengeluh tertekan dengan kos hidup yang tinggi pada ketika ini. Harga barangan keperluan dan perkhidmatan yang kian meningkat menghimpit kehidupan, justeru gema tuntutan kenaikan gaji pekerja semakin kuat kedengaran. 

Sebagai seorang pekerja dalam sektor awam, PZ turut memahami keadaan ini. Bagi kami penjawat awam, semakan gaji kali terakhir dibuat pada tahun 2005, ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Enam tahun telah berlalu, dan berdasarkan iklim ekonomi semasa, maka amat wajar bagi gaji penjawat awam disemak semula. Begitu juga dengan rakan-rakan pekerja dalam sektor swasta. Telah lama gaji minimum diperjuangkan, dan sekiranya ini tidak diberi perhatian, maka lebih ramai golongan pekerja khususnya yang berjawatan rendah akan berada di bawah garis kemiskinan.

Menteri Kewangan Kedua, Dato' Ahmad Husni Hanadzlah telah mengumumkan bahawa Bajet 2012 yang bakal dibentangkan Oktober depan akan mengambil kira aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Pada masa yang sama juga, Menteri Sumber Manusia, Dato' S Subramaniam telah memberi jaminan bahawa Rang Undang-undang Majlis Konsultasi Gaji Minimum akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang. 

Sebagai pengundi dan pembayar cukai, pastinya PZ bersama rakan-rakan pekerja, baik dalam sektor awam mahu pun swasta mengharapkan angin transformasi terhadap kebajikan dan kesejahteraan hidup kami. Pengumuman dan jaminan pihak pemerintah perlu diterjemah kepada keputusan berhemah yang mendukung kepentingan awam. Dalam sistem demokrasi, tiada yang kuat, tiada yang lemah - kerajaan rakyat, daripada rakyat untuk rakyat. Para pemimpin perlu ingat, sepertimana juga para buruh dan marhaen yang lain, mereka juga adalah rakyat. Jika tidak, ungkapan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan hanya akan dianggap sebahagian rakyat sebagai pernyataan politik semata-mata.




Monday, January 17, 2011

Nota Sulung Januari

Minggu Januari yang panjang dan dipenuhi aneka peristiwa. Telah lebih 16 hari tahun 2011 diharungi, dan PZ masih berada dalam proses penyesuaian dalam alam kerjaya baharu sebagai seorang cendekiawan. Satu permulaan yang menarik bagi tahun baharu ini dan amat PZ yakini bahawa inilah laluan yang dicari-cari selama ini. Kebebasan untuk berkarya, mengutara idea dan mengulas suasana di medan ini, pastinya without fear or favour.

Tatkala berkereta pulang dari mesyuarat di Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu, sempat PZ berjeda seketika di destinasi kesukaan PZ, The Curve di Mutiara Damansara. Sambil meninjau-ninjau habuan baharu bagi mengisi ruang perpustakaan peribadi PZ, bersama secangkir kopi PZ habiskan penghujung petang tersebut di sisi jendela restoran IKEA, menyelesaikan sedikit kerja suntingan dan terjemahan yang muncul tiba-tiba. Cemas sahaja bunyinya staf yang menghubungi PZ memohon bantuan kerana masa yang kian suntuk, dan dengan tenang PZ minta sedikit masa untuk menyemak naskah yang telah dikirim melalui e-mel. Melihat kualiti teks yang dikirim, PZ menarik nafas geram dan sedikit kesal. Susunan kata dan binaan ayat yang terhasil dari direct translation membuahkan naskah yang amat janggal. Ini sikap segelintir 'cendekiawan' kita, buat kerja sekadar melepaskan batuk di tangga. Yang diinginkan cuma nama dan pangkat berjela, namun cuai sekali pekerjaannya! Sungguh-sungguh jelek!

Lantas, lebih dua jam PZ memaku diri di sisi jendela restoran IKEA tersebut, memperbetul naskah yang longgar supaya jadi lebih segar. Merenung ke kanan, memandang ke kiri, mendongak ke atas untuk memancing inspirasi, akhirnya usai juga. Telah hampir 6:30 petang kala itu, dan PZ melabuhkan pula diri di toko buku Borders di seberang IKEA, menanti seorang sahabat lama yang telah lebih tiga tahun tidak bersua.

Tidak sampai 10 halaman buku di ribaan ditelaah, sahabat yang dinanti tercegat di depan mata. "Kenapa kurus sangat ni?!" soalan yang telah PZ jangka akan terpacul dari mulut beliau. Memang pun berhak beliau menyoal sedemikian kerana sepanjang hampir 10 tahun perkenalan kami, beliau arif benar dengan perangai, cara dan kehidupan PZ. Itulah Saudara Amin Idris, junior PZ di Kulliyyaah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIAM dan kini merupakan seorang perunding motivasi dan personaliti TV yang PZ kira punya bintang yang cerah bersinar.

Bertemankan hidangan ayam goreng McD dan burger quarter pounder, satu jam perbualan kami berkisar di pelbagai penjuru, soal kerjaya dan juga peribadi. Tidak perlu diperinci di sini. Namun yang pastinya, PZ amat bangga dengan kejayaan saudara Amin, yang lebih merupakan seorang mentor kepada PZ, walaupun usianya lebih muda berbanding PZ. Seronok bertukar cerita dan jenaka, terpaksa jua kami berpisah oleh batas Maghrib. Tidak mengapa, permulaan yang baik bagi mengukuhkan sebuah jaringan!

Dek kesibukan itulah, maka perantauzaman hanya terisi kembali lebih dua minggu selepas Januari menjelma. Itu pun, petang tadi, mata PZ masih meneliti abjad demi abjad pada satu lagi naskah yang dikirim secara 'kecemasan' untuk PZ sunting dan semak terjemahannya. 30 halaman semuanya dan PZ usaikan bersama secangkir coklat panas di Secret Recipe di Bandar Indera Mahkota.

Nah kini, dari perpustakaan peribadi yang telah 90% siap di kediaman PZ, entri sulung 2011 ini berjaya PZ abadikan. Satu sejarah, kerana inilah pertama kali PZ menjalankan urusan dalam kamar perpustakaan peribadi ini. Siap sepenuhnya kelak, akan PZ raikan dengan penuh kesyukuran. Dari kecil lagi telah PZ impikan, memiliki sebuah perpustakaan dan pejabat sendiri di rumah. Alhamdulillah!

Thursday, December 30, 2010

Transisi

Semalam Yang Pergi. Barangkali itu puisi PZ yang terakhir sebelum 2010 melabuhkan tirainya kurang tiga hari lagi. Melalui puisi yang mengisi entri 28 Disember tersebut, PZ rumus dan gulung lembaran dan rentetan peristiwa yang mewarnai hidup PZ sepanjang tahun 2010 ini. Segalanya berkaitan dengan  liku cabaran, dugaan dan ujian. Tidak perlu PZ panjang-panjangkan lagi kupasan mengenainya kerana hampir semua puisi yang menghiasi perantauzaman sepanjang 2010 bercerita tentang perkara yang sama.

Biarlah pahit kenangan itu berlalu pergi. Bertatih-tatih PZ melangkah dalam serba kesulitan sepanjang tahun ini. Tidak ramai, hanya segelintir yang benar-benar PZ percayai sahaja tahu apa yang telah berlaku. Selebihnya, PZ sandarkan kepada ilmu Allah Ta'ala Yang Maha Luas dan hanya pandangan-Nya sahaja yang PZ harapkan. Tidak upaya bagi PZ memberitahu, apatah lagi menyuruh-nyuruh orang lain untuk memahami apa sebenarnya yang telah berlaku.

Dalam rangkak ketidakpastian itu jugalah, kotak minda PZ tidak lepas dari memikirkan corak hidup baharu sebaik melangkah ke tahun 2011. Titik noktah telah dipasakkan pada segala kedukaan dan kekecewaan, maka diri PZ perlu bangkit dengan jiwa dan nafas baharu tanpa dihantui semalam yang pergi.

Dengan panduan Allah Ta'ala jua maka 29 Disember 2010 menyinarkan hijrah buat diri ini. Transisi kerjaya - sesuatu yang tak terjangka langsung akan berlaku sesegera ini. Perkembangan iklim sosial semasa di tempat kerja mencabar neraca minda PZ untuk mencatur keputusan sesingkatnya. Bukan senang dan tidak mudah untuk PZ meninggalkan rutin yang telah enam tahun dilazimkan. Tetapi pastinya, laluan baharu ini akan lebih merasionalkan PZ untuk fokus terhadap perkara-perkara pokok yang perlu PZ beri perhatian.

Habis cerita lama. Buka cerita baharu. Minggu-minggu awal ini agak kaku buat PZ, walaupun dalam suasana yang sama. Ya, kekakuan itu sebenarnya lebih tertumpu kepada pelarasan norma dan budaya kerja untuk disesuaikan dengan iklim baharu ini. PZ akur dengan ketentuan Allah Ta'ala ini. Azam PZ - menyelesaikan urusan pengajian bagi menggenggam ijazah Doktor Falsafah dan seterusnya memartabatkan diri sebagai cendekiawan yang bermaruah!

Sekali pun amat berat, PZ meyakini janji Allah Ta'ala dalam ayat 286 Surah al-Baqarah. Tidak perlu kipas dan ampu, jauh sekali mengorbankan kemuliaan prinsip sebagai cagaran rezeki dan pandangan dangkal insan. Hanya Allah Ta'ala Yang Maha Berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya!


Wednesday, December 29, 2010

"Semalam Yang Pergi"

Semalam
wajah itu murung durja
tanpa upaya...

Semalam
jiwa itu duka hampa
tanpa daya...

Semalam
hati itu lara nestapa
putus asa...

Semalam
diri itu hanyut keseorangan
meniti rapuhan dahan
merangkak kebasahan
tika lebat hujan perasaan
menakung kekecewaan bercurahan...

Semalam
diri itu telah hampir hilang tunjangan
tiada ketahuan arah haluan
dek kekecewaan yang merompak keyakinan
lantas terlonta-lontalah dia sendirian
menongkat tapak atas secebis kekuatan
walau kala itu dia tahu tiada lagi harapan...

Itu kisah semalam
liku riwayat melengkapi sebuah kehidupan
denai duri ranjau menghampar ujian
dan diri itu keseorangan
menapak, merangkak dan tersungkur kesakitan
tangisnya tiada kedengaran
hanya kelihatan air matanya berlinangan...

Itu kisah semalam
tatkala diri itu di ambang kejatuhan
tatkala diri itu telah hilang kepercayaan
tatkala diri itu longlai dimamah penderitaan
tiada lagi manisnya kehidupan
hanya menadah caci celaan...

dan hari ini
diri itu bangkit dari longlainya
jiwa itu pulih dari hampanya
hati itu reda dari laranya
bersama sinar cahaya suria
2011 hadir dengan kudratnya
tiada bertongkat lagi dia...

Hari ini
...ada azam ditempa
...ada harapan dibina
...ada janji dikota...

Hari ini
tangis syukur pula hadir mengganti
air mata putus asa tiada lagi
betapa sabarnya dia menanti
benar wa'ad-Mu wahai Ilahi
hikmah di celah penderitaan ini...

Alhamdulillah...